Friday, June 20, 2014

KE DAKAPANKU

     Rancangan realiti di kaca televisyen tidak lagi mampu menarik perhatian Izzyan. Penumpuannya hanya bertahan selama sejam yang lalu sahaja. Jam berbentuk bulat yang tergantung kaku di dinding ditelek sekilas. Ingin melihat waktu yang terus berlalu. Dia masih bersabar menanti kepulangan Pak Ngah. Suasana ruang tamu menjadi sepi tanpa kehadiran Mak Ngah dan tiga orang sepupunya yang sudah lena dibuai mimpi. Sekali-sekala bunyi bising daripada siaran dari kaca televisyen sayup-sayup mengisi kesunyian malam yang semakin larut.
     Izzyan melihat lagi jam di dinding. Oh, tidak! Dah pukul 1.25 pagi. Mana Pak Ngah ni?
     “ Assalamualaikum .. “ Perlahan Ramlee memberi salam kerana menyangka semua isi rumah sudahpun tidur. Pintu yang berkunci dibukanya dengan menggunakan kunci pendua dalam simpanan. Sejurus pintu utama rumah ditutup, dia terkejut apabila terpandangkan kelibat Izzyan di ruang tamu.
     “ Izz, asal tak tidur lagi ni? Mak Ngah dah tidur? “
     Huargghh !! Izzyan sempat menguap sebelum soalan Pak Ngahnya dijawab.
     “ A’ah, Pak Ngah. Mak Ngah, Ecah, Aten, Im, semua dah tidur. Izz seorang aja yang tak tidur, tunggu Pak Ngah. “
     Ramlee tersenyum mendengarkan kata-kata Izzyan. Gugusan kunci di telapak tangan dicampak perlahan ke atas meja makan. Dia berlalu ke dapur untuk seketika demi membasahkan tekak dengan air kosong. Fuhh, lega sikit dapat minum air sejuk! Ramlee tersenyum puas.
     “ Pak Ngah, macam mana dengan permintaan Izz hari tu? Pak Ngah tak lupa kan? Hah, dah jumpa kawan Pak Ngah yang ajar orang memandu tu? Apa dia cakap? “ tanya Izzyan bertalu-talu sejurus dilihatnya Ramlee melabuhkan punggung di sofa bersebelahan sofa dia duduk. Izzyan mengerutkan dahi apabila Ramlee menggeleng-gelengkan kepala.
     “ Izz, Izz .. Sabarlah kalau iya pun. Iya .. iya .. Pak Ngah dah jumpa dengan member Pak Ngah tu. Dia okay aja kalau Izz betul-betul nak belajar memandu. “
     “ Eh, mestilah Izz betul-betul nak belajar memandu! Izz dah tekad tau. Izz dah berazam awal-awal lagi nak dapat driving license ni cepat. Nak tolong mama. Lagipun, kesihatan mama tak menentu sejak akhir-akhir ni. Sementara tunggu SPM’s result, baik Izz ambil lesen memandu daripada tak buat apa-apa. Kan? “ Matanya dikelip-kelipkan di hadapan Ramlee. Izzyan turut ketawa tatkala terletus ketawa pak ciknya dengan kelakuannya sendiri.
     “ Pak Ngah faham. Hah, bagus kalau macam tu! Esok siap awal, pukul 6.45 pagi Abang Fiq jemput Izz. Pergi kelas memandu. Okay? “
     Tidak sempat Izzyan membalas kata-kata Ramlee, lelaki berumur lingkungan 40-an itu sudah menghilangkan diri ke bilik. Akhirnya dia juga yang ditinggalkan terpinga-pinga di ruang tamu dengan arahan Ramlee tadi. Izzyan menggeleng-geleng tidak percaya. Biar betul?
     Aku pergi kelas memandu? Esok? Ahhhhh, macam tak percaya! Tapi, syoknya! Yahuu, aku boleh drive kereta nanti, Izzyan terus-terusan berangan tanpa menghiraukan masa yang semakin tenggelam dalam kegelapan malam.

     “ Woo, tahniahlah Fiq! Baru sebulan dapat kerja, terus dapat awek. Tup.. tup.. dah bertunang sekarang. “ Bahu Syafiq ditepuknya lembut. Gembira dengan kebahagiaan yang dikurniakan oleh Tuhan untuk kawannya yang seorang ini. Zamri tersengih menunjukkan barisan gigi putihnya.
     “ Alhamdulillah, rezeki aku. Aku pun tak expect aku boleh jumpa jodoh aku dekat kedai mamak. “
     Syafiq dan Zamri sama-sama meletuskan ketawa. Masih mengingati akan insiden yang berlaku sebulan lalu di sebuah kedai mamak. Peristiwa tatkala Syafiq berperang mulut dengan Fyza kerana berebutkan ayam goreng berempah. Masing-masing berkeras hati menginginkan bahagian paha ayam yang kebetulan hanya tinggal satu ketul pada waktu itu. Daripada pergaduhan kecil itulah yang menerbitkan bibit-bibit kasih antara Syafiq dan Fyza kini. Buktinya,  mereka berdua sudah bertunang dan merancang untuk mengadakan majlis akad nikah pada lima bulan kemudiannya.
     “ Tulah pasal! Dekat kedai mamak pun kau boleh kaut awek. Bukan sebarang awek pula tuh, awek memang cun punya! So, bakal suami orang ni nak buat apa esok? Ada date ke? “ ujar Zamri sambil mengangkat-angkatkan kening tebalnya. Menduga jawapan yang bakal dituturkan  oleh Syafiq.
     “ Tak ada maknanya nak date. Dua-dua kerja esok! Aku kena hantar Fyza pergi hospital, baru aku pergi kerja.  Dapat student baru, anak buah Abang Lee. “
     “ Oh, okaylah kalau macam tu! Masyuk lagi kau bulan ni. “
     Syafiq hanya mampu tersenyum nipis lalu menyedut air teh ais menggunakan straw yang tersedia. Sekilas Syafiq memandang ke arah Zamri yang mulai leka dengan telefon bimbit yang berada di tangan. Melihat Zamri tersengih-sengih sendiri, Syafiq maklum bahawa rakannya itu sedang saling berbalas mesej dengan kekasih hati. Mana tidaknya, jari-jemari lelaki itu juga laju bermain di skrin sentuh gajet mengalahkan orang yang berzikir dengan tasbih! Hanya gelengan kepala yang mengiringi tingkah Zamri yang asyik bercinta sebelum dia menyeluk sesuatu di poket dan ditatap kejap. Terpampang seraut wajah ayu milik tunangnya, Fyza yang tersenyum manis di skrin utama telefon bimbitnya.

     “ Assalamualaikum “
     Izzyan tersentak. Suara garau yang dipercayai milik seseorang yang akan mengajarnya memandu sudah cukup mendebarkan. Milo suam yang disediakan oleh Mak Ngah dihirupnya selaju-laju yang mampu. Stoking berwarna hitam di dalam laci dicapai sebelum disarungkan ke kakinya. Telefon bimbit berjenama Nokia, dompet, wang saku, botol air dan kad pengenalan dipastikan tersimpan di dalam beg sandang miliknya. Dari kejauhan, suara Mak Ngah nyaring memanggil Izzyan yang terkocoh-kocoh ke muka pintu.
     “ Hah, tengok! Salah siapa yang buat pagi ni kelam-kabut? Mak Ngah dah cakap, tidur awal semalam. Tapi degil! “ Yaniey sudah membebel dengan Izzyan. Dengan gaya seperti berposing, Yaniey selamba menyandarkan tubuh ke pintu sambil berpeluk tubuh. Dia tersenyum kepada seseorang yang merangkap guru memandu yang setia menunggu anak saudaranya yang masih menunduk mengikat tali kasut.
     “ Minta maaflah, Syafiq! Si Izz ni memang macam ni. ‘Dengar kata’ sikit orangnya .. “ Terbatuk Izzyan dengan ‘pujian’ Yaniey. Malulah pula apabila di’puji’ sebegitu di hadapan orang yang baru dia kenali, cukup menggambarkan perangai buruknya. Tak ada dah istilah ‘first expression’! Mak Uda dah awal-awal bagi good first expression bagi pihak aku. Thanks gila, Mak Ngah!
     Kedengaran tawa kecil guru memandunya. Izzyan mengangkat wajah ingin bangkit setelah selesai mengikat tali kasut dengan kemas. Wajah Syafiq singgah di mata. Dan tidak semena-mena, jantungnya berdegup berlainan ritma. Dirasakan darahnya menyerbu ke wajah tatkala terasa panas di muka. Senyuman yang dihadiahkan Syafiq kepadanya benar-benar menusuk ke kalbu. Dia terdiam kaku.
     “ Eh, anak dara seorang ni! Boleh pula berangan depan pintu ni. Cepatlah pergi, Abang Syafiq dah lama tunggu tu! “ arah Yaniey yang melihat keadaan Izzyan masih tercegat dan tidak berganjak.
     “ Shall we? “ Pertanyaan Syafiq menyentak lamunannya. Izzyan tersenyum malu sambil menganggukkan kepala. Dia mula mengatur langkah dan berjalan beriringan dengan Syafiq menuju ke kereta Viva. Sempat Izzyan mengukir senyuman apabila jelas terpampang iklan kelas memandu di badan kereta itu. Akhirnya! Tertunai juga hasratnya untuk belajar memandu. Inilah impian yang sering dia tunggu-tunggu. Niatnya hanya satu, ingin meringankan beban mama. Lebih-lebih lagi, wanita itu juga sering dilihat tidak sihat.
Pitt! Pitt!!
     Syafiq membunyikan hon kepada Yaniey yang masih menunggu pemergian mereka berdua dari tingkat atas lalu kereta dipecut meluncur ke jalan raya. Saat bayang Yaniey hilang dari pandangan, Syafiq bersuara memulakan perbualan. Izzyan masih seperti tadi, berdebar-debar sentiasa.
     “ Awak anak buah Kak Yaniey kan? “
     “ A’ah .. “ Terasa perit di kerongkongnya ingin bersuara. Pandangan terus dilemparkan ke luar cermin tanpa sedikit pun Izzyan menoleh ke arah Syafiq.
     “ Oh, yeke? Mula-mula tadi, saya ingatkan awak ni adik dia. Muka sama sangat, macam adik-beradik. “
     “ Eh, tak adalah! Saya memang anak buah dia. Tak tahu pula yang muka kita orang seiras. “ Izzyan tertawa cuma apabila Syafiq juga tertawa.
     “ Saya dapat tahu daripada Kak Yaniey yang awak ni budak lepasan SPM. So, awak dah plan nak sambung belajar ke mana? Ambil course apa? “
     “ Urm, saya tak pasti lagilah abang. Saya minat sangat nak jadi personal assistant. Bercadang juga nak ambil business study aja. “
     “ Awak kena fikir masak-masak. Jangan tersalah pilih pula. Sekarang ni saingan sengit. Takut apa yang kita plan tak menjadi. “ Syafiq terus-terusan memberikan pendapatnya kepada Izzyan. Dia merasakan bahawa Izzyan perlu bijak mengambil peluang yang terbentang di hadapan mata untuk memiliki karier yang bersesuaian kelak. Lebih-lebih lagi, bilangan pelajar yang memiliki keputusan cemerlang meningkat. Saingan menjadi sengit dalam memperoleh peluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
     Pemandangan di luar kenderaan Viva yang dinaikinya bersama-sama Syafiq lebih menarik perhatian. Izzyan menalakan pandangan ke arah lain selain daripada bertentangan mata dengan Syafiq. Entah mengapa dia berasa sungguh tidak selesa dengan wajah lelaki yang juga merupakan kenalan Pak Ngahnya itu. Hatinya selalu disinggah rasa berdebar yang teramat sehinggakan  dia sendiri sukar mengatur nafas. Demi mengelakkan Syafiq daripada mengesan riak wajahnya yang berubah, Izzyan berkeputusan untuk berbual-bual dengan guru memandunya itu tanpa perlu berhadapan wajah masing-masing.
     Hari itu Syafiqlah yang banyak memulakan perbualan antara mereka berdua. Bermula daripada hal-hal memandu hinggalah topik bertukar kepada perihal yang lebih santai seperti cita-cita sewaktu di bangku sekolah. Terkejut jugalah Izzyan dibuatnya apabila dengan senang hati Syafiq meluahkan keinginan lelaki itu untuk menjadi seorang saintis pada suatu ketika dahulu. Dia juga dapat mengetahui serba sedikit tentang Syafiq. Tidak dia menyangka Syafiq turut sepertinya yang mengambil aliran Sains Tulen. Sekali-sekala terhambur tawa Izzyan dengan lawak bersahaja Syafiq.
     “ Ahad depan awak free? “ tanya Syafiq saat enjin dimatikan setelah kereta Viva milik syarikat memandu diparkirkan. Beg galas dicapai di tempat duduk penumpang bahagian belakang. Izzyan yang duduk bersebelahan dengannya dikerling sekilas.
     “ Urm, insyaallah? Kenapa, abang? “ Tali pinggang keledar ditanggalkan daripada tubuh. Telefon bimbit diseluk dari poket seluarnya.
     “ Awak ada class seterusnya tau. So, on ke? “
     Izzyan mengangkat wajah. Lidahnya terkelu dan bibirnya terkatup rapat tatkala mendapati wajahnya berdekatan dengan wajah Syafiq. Spontan dia menjauhkan diri daripada lelaki itu. Terus memerah pipinya apabila Syafiq merenungnya pelik. Terangkat-angkat kening Syafiq, cukup membuatkan dia seperti mahu melarikan diri dan beredar dari situasi merimaskan itu.
     “ Aaa.. okay! “ Izzyan memberi kata putus seraya punggungnya diangkat kerana tidak betah lagi duduk berlama-lama di situ. Sebelum sempat pintu kereta Viva ditutup, Syafiq mengucapkan terima kasih diiringi dengan senyuman menawannya yang sememangnya telah mencuri sekeping hati milik Izzyan.
     Langkah seribu Izzyan diperhati dengan penuh minat. Ketawa besar Syafiq sendiri melihat tingkah anak murid barunya yang kelam-kabut semacam. Seharian dia merasakan gadis belasan tahun itu tidak senang duduk dengannya. Berdua-duaan dengan dirinya dari pagi hinggalah hari berganjak ke petang. Hendak atau tak, mereka berdua terpaksa berhadapan dengan keadaan dan suasana kekok itu memandangkan pusat belajar memandu jauh dari tempat tinggal mereka.
     Kepalanya digeleng-gelengkan hairan dengan ragam orang. Tidak pernah dia bertemu dengan pelajar seperti Izzyan. Sikap Izzyan yang juga pendiam membuatkan dia berasa kurang gemar dan tidak lagi rasa berkobar-kobar ingin mengajar gadis itu memandu. Kunci pencucuh ditarik dan dimasukkan ke dalam poket baju. Dia keluar dari kereta sambil menggalas begnya menuju ke tangga rumah pangsapuri miliknya. Setibanya dia di hadapan pintu rumah, sempat dia mencuri pandang ke pintu rumah Kak Yaniey dan Abang Lee di tingkat atas. Terbayang wajah Izzyan di ruang minda.
     Buat penat aja aku pot pet, pot pet dengan dia. Dia pula asyik ketawa, bukannya nak layan aku bersembang. Tak syok arhh perempuan macam ni kalau nak dibuat bini. Nasib Fyza tak pendiam macam dia! , getus Syafiq sambil menguak pintu.

     “ Kenapa awak nak jumpa saya tiba-tiba ni? Ada hal penting? “ Terus soalan diajukan oleh Syafiq melihatkan wajah keruh Fyza, buah hatinya. Kerusi plastik ditarik kasar sebelum punggungnya selamat berlabuh. Pelayan restoran dipanggil sebentar dan pesanan dibuat. Syafiq hanya membuat pesanan untuk segelas jus oren bagi membasahkan tekak yang kering sedari tadi memandangkan dia terkocoh-kocoh mendapatkan Fyza.
     “ Kenapa awak lambat? Kerja tak habis lagi ke? Mengajar driving sampai tengah malam? Kuatnya bekerja. “
     “ Fyza, kenapa ni? Asal awak melenting tak tentu pasal? Saya ada buat silap? “ Sedaya-upaya nada suaranya dilembutkan supaya tidak kedengaran kasar di pendengaran Fyza. Syafiq merenung dalam-dalam sepasang mata milik tunangnya yang mulai bergenang. Dia memupuk segala kekuatan bagi memberikannya tenang dan sabar menghadapi masalah yang sedang berlaku dalam perhubungannya dengan si gadis. Gadis pujaan hatinya.
     “ Saya buat silap? Awak tu yang buat silap! Awak belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya awak hanya mampu bekerja sebagai guru memandu aja. Kalau awak nak tahu, ayah saya dah mula mempertikaikan pekerjaan awak. Dia cakap, awak tak mampu tanggung saya bila dah berkeluarga nanti. Saya pun dah cakap dekat awak tentang ni awal-awal kan? Kenapa awak tak cuba cari kerja lain yang lebih elok? “ ujar Fyza sambil mengesat air matanya yang menitis. Jus belimbing yang dipesannya tadi pun tidak berusik kerana sudah hilang selera dengan masalah yang melanda. Pandangan pelanggan-pelanggan lain di restoran tidak diendahkan. Dia mahukan Syafiq bertindak segera jikalau benar lelaki itu ikhlas ingin memperisterikannya.
     Syafiq terdiam. Tidak menyangka perkara ini yang akan diutarakan kembali oleh Fyza. Memang mereka berdua pernah berbincang mengenai perkara ini tetapi dia mengganggapnya sebagai suatu hal yang kecil. Tidak perlu diperbesar-besarkan. Dia percaya bahawa pekerjaannya kini sebagai guru memandu, dia mampu menyara keluarga yang bakal dibina nanti.
     “ Fyza, awak tak percayakan saya? Saya yakin pekerjaan saya ni mampu menyara hidup kita sekeluarga nanti. Rumah dan kereta saya dah beli. Hanya perbelanjaan seharian yang kita akan tanggung. Awak janganlah risau. Saya .. “
     “ Saya apa? Awak tahu kan kawan-kawan saya semuanya berlatar belakangkan keluarga berada. Saya nak cakap apa kalau dia orang tanya saya pekerjaan awak? Nak cakap yang awak ni mengajar orang memandu? “
     “ So, apa salahnya? Kerja tu tetap kerja halal. Saya rasa tiada silapnya dengan kerja tu. Awak aja yang terlalu memilih. Awak malu dengan pekerjaan saya! “ Suaranya mula berubah. Kasar semacam. Dia juga merasakan tangannya menggeletar. Namun, amarahnya cepat-cepat menjadi pudar tatkala Fyza teresak-esak. Syafiq menarik nafas dalam-dalam.
     “ Saya minta maaf. Saya tak bermaksud begitu. Maafkan saya. “ Syafiq meluahkan rasa kesalnya. Tangan kecil Fyza ingin dicapainya tetapi pantas si gadis itu mengelak.
     “ Kita bukan muhrim! “
     “ Maafkan saya sekali lagi. “
     “ Maafkan saya juga. Buat sementara waktu ni, kita jangan berjumpa. Saya nak tenangkan fikiran dan awak pun perlu fikir masak-masak dengan apa yang kita bincangkan ni. “ Wajah yang ditunduk tadi diangkat memandang Syafiq. Fyza bangkit dan mula melangkah. Panggilan Syafiq dibiarkan tidak bersahut. Kakinya terus melangkah meninggalkan Syafiq dengan air mata yang setia mengalir.

     “ Good morning.. “ sapa Syafiq tanpa nada. Matanya tidak menoleh pun ke arah Izzyan yang sudah memboloskan diri ke dalam kereta. Telinganya menangkap suara gemersik Izzyan yang membalas sapaannya. Enjin dihidupkan dan kereta meluncur laju di atas jalan raya.
     Suasana di dalam kereta agak dingin pada pagi itu. Kebiasaannya Syafiq yang ramah menegurnya dan rajin membuka pelbagai topik untuk berbual dengannya. Namun, kedutan yang melatari di dahi Syafiq cukup menunjukkan lelaki itu mengalami masalah. Izzyan menggigit bibir bawah. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Hendak berdiam diri, dia tidak selesa dengan keadaan suram yang mengisi ruang antara mereka berdua. Hendak memulakan perbualan, dia tidak mahir dan takut jikalau perbualan tersebut bakal menimbulkan amarah Syafiq. Izzyan tersepit di antara dua pilihan. Nasib menyebelahinya apabila Syafiq mula berdehem berkali-kali seperti ingin bersuara. Kekok barangkali dengan suasana sepi antara mereka.
     “ Hari ni awak ada satu kelas sebelum dapat lesen L. Fokus betul-betul di dalam kelas. Kalau tak faham, tanya aja penceramah tu. Membazir masa, tenaga dan duit kalau satu hapak pun awak tak faham, tak dapat ilmu yang diberi. “
     Senyuman yang mula terukir di bibir Izzyan terus mati dengan kata-kata Syafiq. Walaupun nasihat yang diberi tetapi dengan nada kasar yang dilontarkan membuatkan Izzyan berjauh hati dengan guru memandunya. Dia mengalihkan pandangan ke arah luar tingkap untuk menyembunyi rasa yang bergelodak di dalam jiwa.
     “ Awak dengar tak apa yang saya cakap? Belajar memandu perlu ada minat dan usaha yang bersungguh-sungguh. Baru memberikan hasil. Kalau tak minat, jangan mengada nak suruh saya ajar. “
     Serasa air mata yang bergenang mahu mengalir tetapi cepat-cepat dikesat dengan sehelai tisu yang dicapai dari dalam beg. Izzyan terus-menerus membuang pandang tanpa berniat untuk memandang Syafiq walau sekilas. Hatinya benar-benar dipagut rasa perit yang menjalar. Hari itu sepi dan dingin sedingin sikap Syafiq terhadapnya.

     Begnya dihempaskan ke sofa berbentuk bulat yang menghiasi rumah pangsapuri milik Pak Ngah dan Mak Ngah. Kaki diatur menuju ke dapur untuk mendapatkan Mak Ngah yang sedang sibuk memasak juadah untuk dihidangkan kepada keluarga. Izzyan mengeluh kuat bagi menarik perhatian ibu saudaranya yang leka dengan aktiviti memasaknya itu. Saat Yaniey menoleh ke arah datangnya bunyian yang kurang enak seperti dengusan kuat, alangkah terkejutnya dia apabila melihat susuk tubuh Izzyan berdiri terpacak di belakangnya.
     “ Astagfirullahalazim! Kau buat apa kat sini Izzyan oii! Terkejut Mak Ngah tau. “
     Api dapur ditutup setelah lauk selesai dimasak. Keadaan dapur yang berselerak dikemas rapi. Sambil membasuh pinggan mangkuk, Yaniey berbual dengan Izzyan yang sudah melabuhkan punggung di kerusi makan yang ditarik ke dapur, berdekatan dengan Mak Ngahnya.
     “ Tak bestlah belajar dengan Cikgu Syaf! Dia .. “ kata-katanya dicelah oleh Yaniey. Izzyan terhenti.
     “ Aik, bila pula panggilan ‘abang’ bertukar ‘cikgu’ ni.. ? Eh, ada hati dengan orang tu ke? “ Mata Izzyan terbeliak luas, manakala Yaniey sudah menjongket-jongketkan keningnya. Sedaya-upaya Izzyan mengawal riak wajahnya agar tidak terlalu jelas pada pandangan Yaniey.
     “ Ada pula cakap macam tu! Mak Ngah, Abang Syafiq tu cikgu Izz. Kenalah hormat sikit, so orang panggillah dia cikgu. Lagipun, budak lain panggil cikgu juga. Nampak pelik pula kalau Izz seorang aja yang panggil dia macam tu. “
     “ Yeke tak ada feelings? Boleh percaya ke? Handsome juga Mak Ngah tengok budak Syafiq tuh! “ Yaniey ketawa mengekeh-kekeh.
     “ Sorry sikit, Mak Ngah! Tak mainlah bercinta dengan cikgu sendiri. Mak Ngah, dengarlah apa orang nak cerita ni! “
     “ Iyalah, iyalah.. “
     “ Macam ni, Abang Syafiq tuh! Entah kenapa tiba-tiba hari ni dia boleh bertukar mood pula. Asyik nak sindir orang aja. Bukan setakat sindir, cakap pun nak berkasar aja. Hari tu bukan main peramah dan gentleman bagai. Hari ni, hancuss! Benganglah, Mak Ngah! Terasa tau bila dia layan orang macam tu. Tapi kan, bila ada dua orang amoi ni masuk aja kereta, puihh meleret kut senyuman dia! Gatal! Pantang tengok perempuan lain sikit. Mak Ngah, dengar tak ni?! “
     “ Ermm.. “
     “ Hih, tak apalah  Mak Ngah. Mak Ngah macam tak nak dengar aja. Baik orang pergi mandi! “
     “ Izz, Izz.. kau suka sebenarnya dengan Syafiq kan? Dah tahap parah ni.. “ Yaniey menggetus dalam hati.

     Bernyanyi kecil Izzyan dalam perjalanan pulang dari kedai Kak Mai yang terletak di seberang jalan. Plastik yang membungkus kuih-muih yang dibeli tadi dijinjit kemas. Langkahnya dipercepat menuju ke tangga pangsapuri. Semasa  kakinya tenang mendaki anak-anak tangga, langkahnya terhenti serta-merta tatkala dia mendengar perbualan antara dua orang. Suara orang-orang tersebut diamati. Dia berjalan perlahan naik ke tingkat atas untuk melihat gerangan dua orang yang jelas sedang bertegang urat. Dia menjadi kaku apabila wajah Syafiq dan Fyza menyapa pandangan.
     “ Kalau awak tak sanggup berkorban untuk saya, macam mana saya nak berkorban untuk awak? “
     “ Fyza, apa yang awak cuba cakap ni? Saya tak faham. “
     “ Jangan nak berdalihlah, Syafiq! Saya nak tanya awak, bila awak nak cari kerja lain? “
     “ Saya masih berusaha. Saya ada minta to.. long.. “ Fyza mencelah terlebih dahulu sehingga Syafiq tidak berpeluang meneruskan kata-katanya. Wajah si tunang diperhati, mahu memupuk kesabaran yang mulai menipis.
     “ Cukuplah, Syafiq! Saya fed up dengan awak.”
     “ Fyza, awak sedar tak apa yang awak cakap ni? “
     “ Saya sedar! Saya muak dengan sikap awak yang sambil lewa. Nampak sangat awak bukan lelaki yang saya cari. “
     “ Fine. Kalau awak fed up dengan saya, saya lagi fed up dengan awak! Awak juga tak pernah nak fahami saya. Saya masih dalam usaha mencari kerja baru tapi awak terlalu mendesak. Saya rimas! “
     Bergema suara keras Syafiq di koridor pangsapuri. Keadaan lengang di kawasan perumahan pada waktu pagi ketika itu memandangkan orang ramai keluar bekerja tidak mampu meredakan suasana tegang yang wujud. Esakan halus Fyza memecah kesunyian. Syafiq hanya mampu melepaskan keluhan berat. Disebalik dinding, Izzyan turut mengalirkan air mata. Untuk sebab apa dia perlu menangis, Izzyan sendiri tidak pasti. Apa yang mampu dikatakan, dia  cukup terkesan dengan pertengkaran yang berlaku tadi.
     “ Fyza.. “ Fyza melarikan diri daripada Syafiq apabila lelaki itu cuba mendekatinya. Dia bangun dan mula melangkah menuruni tangga.
     “ Fyza, jangan buat saya macam ni. Saya minta maaf! “
     “ Jangan ikut saya! “ Pantas kakinya menuruni anak-anak tangga. Air mata yang meleleh dibiarkan membasahi pipi.
     Syafiq berhenti daripada melangkah setelah diberi amaran. Matanya sayu memandang kelibat Fyza yang semakin jauh melangkah dan hilang dari pandangan. Izzyan cepat-cepat mencari tempat persembunyian demi mengelakkan  diri daripada bertembung dengan Syafiq dan Fyza. Namun, kelibat Fyza tanpa Syafiq di sisi yang sudah berada di tingkat bawah menarik perhatian Izzyan. Izzyan laju berjalan menyaingi langkah Fyza untuk berhadapan dengan wanita itu.
     “ Kak Fyza!” jerit Izzyan bagai hendak terkeluar anak tekak meskipun jaraknya dan Fyza tidaklah terlalu jauh.
     “ Awak siapa? “
     “ Saya Izzyan. “
     “ Maaf, saya tak ada masa nak layan awak.. “ Budak perempuan yang menegurnya kala ini benar-benar menguji kesabaran. Entah datang dari mana terus menyapanya, membuatkan Fyza berasa amat jengkel dengan tindakan budak perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Izzyan tersebut.
     “ Saya sukakan Abang Syafiq! “ Pengakuan Izzyan mengejutkan Fyza.
     “ Apa yang awak merepek ni? “
     “ Putuskan hubungan dengan Abang Syafiq! Saya lebih layak untuk dia. Sebab saya cintakan Abang Syafiq! “
     “ Apa? Kau gila ke?! “
     Fyza melenting dengan permintaan yang tidak disangka-sangka itu daripada Izzyan. Bibirnya bergetar menahan perasaan yang bergolak. Berani sungguh gadis muda dihadapannya ini menyuarakan hasrat untuk merampas Syafiq daripadanya. Gadis itu tergamak memintanya memutuskan pertunangan yang terjalin sejak empat bulan yang lalu antaranya dengan Syafiq. Fyza benar-benar terluka dan matanya mula terasa pedih.
     “ Saya minta maaf. Saya betul-betul sayangkan Abang Syafiq.. “ ujar Izzyan dengan lelehan air mata. Terasa dirinya terlalu kejam ketika ini. Tegar sungguh hatinya melukakan hati seorang wanita hanya kerana berebutkan seorang lelaki. Kedua-duanya menagih kasih dan cinta daripada lelaki yang sama. Syafiq.
     Di hujung tangga, Syafiq terpempan. Tubuhnya kaku dan kakinya bagai dipaku ke lantai.
     “ Izzyan! Apa yang kau buat ni?” jerkah Syafiq dengan mata yang terbelalak. Tajam dia merenung seraut wajah milik Izzyan yang basah dengan linangan air mata.

     “ Apa yang Izz dah buat ni? Kenapa Izz bertindak tanpa berfikir dahulu keburukannya? “ Tenang saja Ramlee menuturkan kata-kata. Riak wajahnya juga tenang tanpa sebarang kedutan di dahi. Hanya sabar menanti jawapan daripada Izzyan.
     Namun, sebaliknya bagi Yaniey. Isterinya itu bagai cacing kepanasan kerana asyik berjalan ke hulu, ke hilir. Seperti sudah tidak reti untuk duduk diam. Habis ditawafnya ruang tamu pangsapuri bersaiz sederhana luas yang didiami oleh mereka.
     “ Pak Ngah.. Izz, minta maaf. Izz tak tahu kenapa Izz kejam sangat. Izz, minta maaf. “
     “ Bukan dengan kita orang yang kau perlu minta maaf, Izz. Tapi kepada Syafiq. Disebabkan tindakan melulu kau semalam, budak Syafiq dan Fyza tuh dah putus tunang. Kau tak rasa bersalah ke? “ Yaniey menyuarakan apa yang terbuku di hati sedari tadi. Terluah jua rasa terkilannya kepada Izzyan. Dia akhirnya terduduk di sofa yang berdekatan dengan tempat yang diduduki oleh Izzyan. Jelas wajah anak saudaranya itu yang sembam dan kelihatan tidak terurus dengan lelehan air mata.
     “ Ya, betul cakap Mak Ngah! Izz bodoh sebab bertindak dengan melulu. Izz tak fikir perasaan orang lain. Izz sanggup lakukan apa aja untuk perbetulkan keadaan. Izz janji! “ Izzyan melafaz ikrar dan tekad di hati. Wajah Pak Ngah dan Mak Ngahnya dipandang bersilih ganti. Air mata yang masih mengalir dibiarkan tanpa ada keinginan untuk mengesatnya.

To : Izzyan
From : Cikgu Syafiq
Lesen L kau dah keluar. Nak atau tak, esok aku ajar kau driving. Kalau tak datang, kau yang rugi.
     Izzyan menangis untuk sekian kalinya. Sedih dan terguris hatinya dengan kata-kata Syafiq yang dihantar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke nombor telefon bimbitnya. Bahkan lelaki itu juga sudah membahasakan diri ‘aku kau’ dengannya. Tiada lagi hubungan baik antara guru dan pelajar.
     Dia mengesat air mata yang tumpah. Pad kekunci di telefonnya dipicit-picit untuk membalas mesej daripada Syafiq. Terketar-ketar jarinya menahan sebak yang tak tertanggung. Pilu sungguh rasanya apabila mengetahui seseorang mula membenci dirinya. Benci yang teramat.
To : Cikgu Syafiq
From : Izzyan
Okay. Esok saya turun, tunggu cikgu di koridor.
     Seusai mesej selamat dihantar, Izzyan terus menyembamkan muka ke bantal. Dia menghamburkan air mata yang membawa seribu keperitan. Teresak-esak dia di katil keseorangan. Adik-adik saudaranya juga bagai memahami apabila mereka turut memberikan dirinya ruang untuk bersendirian dan enggan untuk diganggu. Pak Ngah dan Mak Ngah pula sentiasa meredakan perasaannya dengan meniupkan kata-kata semangat. Namun, air matanya tetap tidak berhenti mengalir. Hati tetap berasa pedih mengenangkan kembali perbuatannya sendiri. Aku patut dihukum! Ya, dihukum kerana meretakkan hubungan kasih yang terjalin antara dua jiwa.

     “ Berapa kali aku dah cakap, kawal stereng elok-elok! Takkan tuh pun tak boleh buat. “ Suara kasar Syafiq menampar gegendang telinga. Izzyan menoleh sekilas ke arah lelaki itu yang sudah memeluk tubuh di tempat duduk penumpang. Wajahnya masam mencuka dengan seribu kerutan di dahi.
     Berderau darahnya melihat kenderaan-kenderaan lain yang memecut laju di atas jalan raya. Namun, Izzyan gagahi jua dirinya untuk memandu kereta seperti yang ditunjuk ajar oleh Syafiq. Genggaman tangannya di stereng semakin kuat. Antara rasa gemuruh, takut dan sedih yang bercampur-baur membuatkannya ingin menangis saat itu.
     Apabila Izzyan pasti bahawa kereta yang dipandu dapat dikawal dengan baik, sekali lagi dia mengalih pandang ke arah Syafiq yang berada di sebelah. Serta-merta degupan jantungnya bagai terhenti tatkala mereka bertentang mata. Saat dia mencuri pandang seraut wajah yang mula mendapat tempat di hati, si empunya juga sedang merenungnya tajam. Pantas perhatian ditumpukan kembali terhadap pemanduan.
     “ Dah, berhenti di tepi! Cukup untuk hari ni. Bagi aku drive. “Arahan Syafiq itu Izzyan patuh. Segera dia memberhentikan kereta di bahu jalan raya. Izzyan dan Syafiq menukar tempat duduk. Setelah masing-masing siap mengenakan tali pinggang keselamatan, kereta dipecut laju membelah kepekatan malam.
     Perjalanan balik ke rumah terasa begitu jauh dan memakan masa yang lama. Celoteh DJ radio di siaran RedFM tidak mampu memecah kesunyian di dalam kereta. Suasana menjadi terus dingin tanpa sesiapa yang bersuara. Entah mengapa Izzyan merasakan pendingin hawa yang dipasang benar-benar membuatkannya kesejukan. Dia menggenggam jari-jemarinya.
     Syafiq dilihat terus-menerus membisu. Sedari tadi lelaki itu tidak berkutik terhadap pemanduan. Pandangan lelaki itu juga hanya dihalakan ke arah jalan raya. Izzyan diasak rasa bersalah. Kedua-dua matanya dipejam kejap agar kekuatan dapat dia peroleh untuk berhadapan dengan Syafiq.
     “ Cikgu, saya minta maaf. Memang saya yang bersalah. Saya yang kejam! “
     Syafiq memandang Izzyan sekilas sebelum dia tersenyum sinis.
     “ Aku ingatkan kau tak sedar yang kau tu kejam. “
     “ Saya sanggup buat apa aja untuk pulihkan balik hubungan cikgu dengan Kak Fyza. Saya janji! Tolong maafkan saya.. “
     “ Tak payahlah kau nak menangis bagai. Aku dah muak dengan lakonan kau! “
     “ Cikgu, saya.. “
     “ Cukup! Kenapa dari dulu kau tak fikir baik buruk tindakan bodoh kau ni? Kenapa kau tak fikir hati siapa yang akan terluka? Ada kau fikir semua tu? Tak! Sebab apa? Sebab kau perempuan murahan! Memang awal-awal lagi kau berniat untuk pisahkan aku dan Fyza. Tak pernah aku jumpa budak perempuan belasan tahun yang perangai busuk macam kau! Kau memang tak sedar diri. Kau baru aja lepas SPM, tapi kau dah menggatal dan tergamak hancurkan hubungan orang lain. Kau.. kau memang teruk! “ ujar Syafiq dengan mata yang merah menyala menahan amarah. Stereng kereta dihentak-hentak melepaskan geram.
     “ Saya.. saya.. minta maaf.. “ Izzyan masih menagih kemaafan daripada Syafiq dengan suara yang tersekat-sekat. Tidak dapat dia menahan tangis yang semakin menjadi-jadi. Dia merasakan dirinya terlalu hina di mata Syafiq. Seluruh tubuhnya menggigil dengan kesedihan yang membelenggu diri. Air mata semakin lebat. Habis lencun selendang yang melilit kepala.
     “ Diam!! “ Pedal minyak ditekan kasar. Terus kereta dipecut dengan had laju pada tahap yang berbahaya.

     “ Fuhh, aku punyalah ingatkan yang kau tak boleh lafaz akad tadi! Nasib kali kedua kau lepas. Aku pula yang berpeluh tengok kau tergagap-gagap. Wei, bro! Awat muka macam ayam terberak kapur nih?! “ Beriya-iya Zamri mentertawakan Syafiq yang lengkap berpakaian baju Melayu serba putih krim. Terbatuk-batuk jugalah dia dibuatnya kerana kuat ketawa. Hah, semput!
     Melihat wajah cemberut Syafiq yang amat melucukan, hatinya digeletek kegelian. Setelah nafasnya kembali teratur, Zamri menelek sekilas penampilan rakan sekerjanya itu pada hari pernikahan. Syafiq jelas kelihatan kemas dan kacak dengan baju yang dikenakan dan bersesuaian dengan warna kulitnya yang cerah. Tubuh lelaki itu yang sasa dan tegap juga menjadi salah satu tarikan pada Syafiq. Zamri hanya mampu tersenyum.
     “ Entahlah. Aku tak tahu dengan perasaan aku sendiri. Sepatutnya pengantin perempuan tu, Fyza yang.. “
     “ Ish, kau ni! Kalau dengar dek bini kau tu, tak ke terasa dia? Macam nilah, kawan. Kau kena percaya pada takdir Tuhan. Dia memang jodoh kau dan dia jugalah yang ditakdirkan untuk bersama-sama kau. Tak payah nak serabutkan kepala dengan benda lain. “
     “ Zamri, kau takkan faham masalah aku. “
     “ Yes, definitely! Sebab aku tak berada di tempat kau. Tapi, kau dah pun lafaz akad. Tak boleh nak patah balik dah, bro! Hubungan kau orang berdua dah sah di sisi agama dan undang-undang. Berdosa kalau kau abaikan tanggungjawab. Cuba belajar sayangkan dia. Slow-slow and steady. Insyaallah, menjadi punya! “ Zamri mengenyitkan matanya kepada Syafiq sambil menyambung tawanya. Bahu Syafiq ditepuk-tepuk perlahan. Syafiq tersenyum pahit.

     “ Wei, budak! Kau nak letak barang tu kat mana? Letaklah di dapur. Pergi bawa ke ruang tamu, buat apa? “ jerit Syafiq memarahi Izzyan yang laju menonong ke ruang tamu sambil menjinjit beg plastik berisi barang-barang dapur. Langkah gadis itu yang menapak di ruang tamu serta-merta terhenti mendengarkan sergahan Syafiq. Ish, terkejut aku! Nasib baiklah tak tercampak barang-barang ni.
     Izzyan menoleh ke belakang mencari seraut wajah Syafiq yang tercegat di dapur. Pandangan tajam lelaki itu tidak dihiraukan. Dengan selamba dia mengatur langkah ke dapur dengan beg-beg plastik tadi. Saat mereka berdua berselisih bahu di dapur, panas telinga Izzyan dengan sindiran Syafiq yang cukup sinis!   
     “ Kau memang budak tau! Yang pergi bawanya barang dapur tu ke ruang tamu buat apa? Kalau sofa aku berbau ikan, siap kau aku kerjakan! “
     “ Eleh, cikgu nak buat apa dengan saya? Buatlah! Tak kisah pun.. uweek! “ Izzyan menjelirkan lidah kepada Syafiq. Melihat wajah suaminya yang terpempan dengan tindakan berani matinya, dia berasa puas hati! Hehehe.. padan muka. Geram tau!

     Ternganga mulut Syafiq dengan hidangan makan malam yang disediakan oleh Izzyan. Seperiuk maggi kari yang berisi bebola ikan dan telur. Satu jag air sirap bandung juga disediakan khas untuk suami tercinta. Hehe.
     “ Dah, duduklah. Tak nak makan ke? “
     “ Ni aja kau masak? Wei, aku nak makan nasilah! Lapar kut.. “
     “ Cikgu, saya mana reti masak. Buat maggi ni, pandailah. “
     “ Ish, sebab tulah aku tak nak kahwin dengan kau! Aku dah agak mesti jadi macam ni. Arghh, kalau Fyza, confirm dia masak sedap-sedap untuk aku.. “ keluh Syafiq dengan muka sememeh.
     Aku? Mestilah aku tersentap. Boleh dia bandingkan aku dengan Kak Fyza? Kejam! Umur aku baru aja nak masuk 19 tahun, agak-agaklah kalau expect aku pandai masak pun. Muka Izzyan berubah. Mungkin macam cempedak busuk barangkali. Terasa dengan kata-kata Syafiq. Dia terdiam seketika sebelum dia berusaha menceriakan suasana kembali.
     “ Alah, Kak Fyza lain! Dia memanglah superb memasak. Saya lain. Special sikit. Okay.. okay. Nanti saya belajar memasak tapi kita makan maggi untuk malam ni eh? Eh? Cikgu.. boleh eh? “
     “ Hurm.. yelah. Yelah.. “ Dengan muka pasrah, Syafiq mencedok maggi kari yang berasap-asap ke dalam mangkuknya. Sudu dan garpu diambil. Segelas air sirap bandung juga dibawa bersama-sama. Syafiq berjalan menuju ke ruang tamu dan mengambil tempat duduk di hadapan televisyen.
     Izzyan masih di dapur. Menenangkan hati yang terusik. Tiba-tiba, dia tersentak dengan suara garau milik Syafiq dari ruang tamu.
     “ Wei, kau tak nak makan ke? “
     “ Makanlah dulu! Kejap lagi saya makan. “
     Kepala paip di sinki dipulas. Air dibiarkan keluar membuak-buak sambil air matanya terhambur deras. Bunyi air yang kuat menghalang daripada tangisannya kedengaran. Izzyan menangis sepuas-puasnya.

     “ Kenapa kau tak beritahu aku yang kau dapat tawaran tu? “ tanya Syafiq kasar sambil mencekak pinggang. Dia tidak lagi menghiraukan kesibukan Izzyan yang sedang memasak. Dengan tangan yang masih memegang sudip, Izzyan melemparkan pandangan ke arah suaminya.
     “ Tawaran apa pula ni? “
     “ Tak payah pura-pura tak tahu eh! Kau tahu maksud aku kan? “
     Api dapur dipadam. Lauk yang sudah siap dimasak dihidangkan di atas pinggan. Izzyan berlalu meninggalkan Syafiq menuju ke ruang meja makan.
     “ Aku tanya kau, jawablah! “ jerkah Syafiq sekali gus mematikan tingkah Izzyan.
     “ Saya.. saya tak ada hati nak pergi.. “
     “ Apa maksud kau? “
     “ Ya.. iyalah! Habis tuh siapa yang akan jaga minum, makan dan pakai cikgu? Kan tanggungjawab saya untuk sediakan semua tu. Kalau saya sambung belajar, saya dah tak ada kekangan masa. “
     “ Ooo.. jadi, kau tak nak sambung belajar sebab risaukan makan, pakai aku tak terjaga? Macam tu? “
     Izzyan terdiam. Mata Syafiq mencerlung tajam memandangnya yang terkulat-kulat.
     “ Tak payah mengarut! Pergi sambung belajar. Kau muda lagi. Peluang kau banyak untuk berjaya. “ Suaranya mulai kendur. Matanya juga perlahan-lahan menjadi layu. Syafiq melabuhkan punggungnya di atas salah sebuah kerusi makan yang berdekatan.
     “ Tapi.. “
     “ Tak ada tapi, tapi. Aku kata sambung belajar, kau kena sambung belajar. Pandai-pandailah aku jaga diri. Aku dah besar panjang pun. Tak perlu risau sangatlah! Kau ada atau tak, sama aja. Tak ada beza. “

3 tahun kemudian..
     Kopi panas yang terhidang tidak berusik. Berkepul-kepul asap daripada minuman tersebut. Suasana dingin di luar tingkap kaca kafe terus menenggelamkan Syafiq dalam lamunan ciptaannya. Dia berkhayal melihat titik-titik hujan yang menitis dan membasahi bumi. Hujan yang turun dengan lebat mendesaknya untuk singgah di sebuah kafe berdekatan. Tersentak seketika tatkala bahunya disentuh lembut oleh seseorang. Wajah dipalingkan untuk melihat gerangan yang menyapanya. Syafiq terlopong.
     “ K..kau.. Bila kau balik? Macam mana kau tahu aku dekat sini? “
     “ Assalamualaikum, abang. Sihat? “ Tangan sasa milik Syafiq dicapai lalu disalaminya. Izzyan tunduk mengucup lembut tangan kekar sang suami yang dirinduinya. Wajah Syafiq ditenung untuk seketika. Melepaskan rindu.
     Terusik hati kerasnya apabila diperlakukan sebegitu oleh Izzyan. Spontan dia mengusap kepala si isteri yang dilitupi sehelai selendang berwarna merah hati dengan dada yang lapang. Saat Izzyan ingin melepaskan genggaman tangannya, cepat-cepat Syafiq menarik tangan gadis itu dan dipegang kejap.
     “ Kau.. balik terus ke? “
     Izzyan mengganguk-anggukkan kepala sambil tersenyum nipis.
     “ Betul kau tak pergi lagi .. dan tinggalkan aku? “
     Sekali lagi Izzyan menganggukkan kepala. Air mata mula bergenang di tubir mata.
     “ Dan kalau pun kau nak pergi, aku takkan benarkan. Faham? “
     “ Faham.. “ ujar Izzyan dengan lelehan air mata. Tangisannya semakin menjadi-jadi apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Syafiq. Adegan itu berlaku di hadapan pengunjung kafe yang lain. Babak ‘drama’ antara dirinya dan suami dipertonton di khalayak ramai.
     Dapat Izzyan merasakan pipinya yang mula memerah ekoran banyak mata yang memandang. Syafiq yang seperti memahami keadaan tersebut terus menariknya menuju ke ruang yang menempatkan tangga kecemasan. Jauh daripada pandangan ramai. Suasana kafe yang hingar-bingar tadi bertukar menjadi suasana sepi kerana mereka berada di kawasan yang sememangnya sunyi dan tidak mempunyai kehadiran sesiapa. Hanya dia dan Syafiq.
     Gulp!
    Air liur ditelan kesat. Seluruh tubuh Izzyan menjadi sejuk tidak semena-mena. Meremang bulu romanya tatkala tangan sasa milik Syafiq sudah menjalar di sekitar pinggang. Syafiq menarik tubuh Izzyan supaya mendekatinya. Pelukannya ternyata erat dan kemas. Wajah mereka terlalu hampir sehingga hidung mereka bertemu. Renungan menggoda dihadiahkan untuk isteri tercinta. Isteri yang dirindui dalam diam-diam sejak 3 tahun yang lalu.
     “ Kau.. milik aku. “
     “ Saya minta maaf.. Tentang dulu.. “
     Chupp!!
     Bibir merekah Izzyan dikucup lembut oleh Syafiq. Izzyan terpempan.
     “ Sebut lagi pasal dulu, bibir tu jadi mangsa.. “ Syafiq senyum meleret. Melihat Izzyan yang merenung ke lantai, jari-jemarinya mengangkat dagu isterinya supaya mendongak. Mereka bertentangan mata.
     “ Hal dulu, biarkan berlalu. Dah lama aku maafkan. Aku pun minta maaf atas kesalahan aku. Aku cintakan kau.. “
     “ Saya pun.. “
     Izzyan dan Syafiq berbalas senyuman. Genggaman tangan mereka diperkemas. Untuk seketika, terletus tawa mereka mengenangkan kembali memori kisah cinta semalam.
TAMAT
    


     

PENCARIAN CINTAMU

PENCARIAN CINTAMU.
Tokk! Tokk!
     Bertalu-talu pintu bilik pejabat diketuk seseorang dari luar. Kepala Firdaus yang setia menunduk sedari tadi yang khusyuk melaksanakan tugasan yang bertimbun-timbun didongakkan sedikit. Terhenti seketika jari-jemarinya yang laju menari-nari di atas pad kekunci komputer tadi. Terus dia memberikan kebenaran untuk masuk.
     “ Get in.. “ arah Firdaus dengan riak wajah yang serius. Keningnya bertaut menanti perkara yang ingin disampaikan oleh Qaneef yang merangkap sebagai pembantu peribadinya sejak dua tahun yang lalu. Kelam-kabut Qaneef mencari borang permohonan yang diterimanya untuk diserahkan kepada ketua pentadbirannya bagi mendapatkan pengesahan.
     “ Qaneef, can you make it faster? “ Firdaus sudah mengetuk-ngetuk pen yang terselit di celah jari di meja kerjanya.
     “ Sorry, Encik Firdaus! I did my best. Urm, actually this morning I received application letter from a school leaver. She applied to get a job here. As a packer. What you say? “
     “ You know our procedures and our company is currently not interested in giving any job to school leavers. “
     “ Tapi, Encik Firdaus. Permohonan akan dipertimbangkan jikalau pemohon ada any relation with our workers, right? And it same with this applicant. Both of her parents had working here for a long time ago. Even before you worked here and her mom decided to resign as her father passed away . “
     Tumpuannya dialihkan kembali kepada Qaneef. Sedikit tersentak dengan makluman yang diterimanya. Firdaus menyambut borang permohonan yang dihulurkan Qaneef. Dia meneliti isi borang tersebut sebelum dia mengangkat wajah memandang Qaneef yang masih setia berdiri tegak di hadapan meja kerjanya.
     “ Okay, I’ll settled it everything. I know what I have to do. Thank you. “
     “ Is there anything you need, Encik Firdaus? “
     “ Nothing. You may go. “ Firdaus membetulkan duduknya di kerusi. Qaneef menganggukkan kepala memahami arahan yang diberikan sebelum dia meminta izin untuk berlalu. Langkah diatur perlahan dan pintu ditutup rapat meninggalkan Firdaus dalam privasi kerjanya.

     “ Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Nurul Hannah Zulkeffli? “ Kedengaran suara lunak seorang wanita di corong telefon. Menggeletar sedikit tangan Hannah yang menggenggam telefon bimbitnya. Dia berasa perbualan yang bakal berlangsung akan melibatkan urusan rasmi. Barangkali permohonannya untuk bekerja di sebuah kilang pembuatan makanan yang terletak sekitar kawasan Kuala Lumpur.
     “ Iya, saya yang bercakap. Kenapa ya? “
     “ Saya, Qaneef. Saya merupakan salah seorang staff di kilang yang Hannah mohon.. “ Hannah sudah melopong. Debaran di hati menyukarkannnya mengatur nafas.
     “ … saya ingin memaklumkan bahawa pihak atasan sudah meluluskan permohonan kerja Hannah. Hannah bolehlah start kerja Isnin depan. Boleh? “ sambung Qaneef.
     “ Err, maaf. Maksud cik, saya telah diterima kerja? Di kilang? Tak perlu apa-apa interview ke? “ tanya Hannah polos. Maklumlah, dia baru sahaja ingin punyai pengalaman berkerja. Dia masih tidak tahu-menahu perihal dan peraturan untuk pekerja-pekerja di kilang tersebut.
     Qaneef tertawa kecil di hujung talian. Hannah hanya membisu. Menanti kata-kata seterusnya daripada kakitangan kilang itu.
     “ Tak perlu, Hannah. Awak datang aja Isnin depan. Saya bawa awak jumpa dengan pihak atasan sekejap. Lepas tu, kami akan terus bagi Hannah contract uniform. And you can start working..
     Talian dimatikan. Hannah masih tidak dapat mempercayai kenyataan bahawa dia telahpun diterima untuk bekerja di kilang. Tempat arwah papa dan arwah mama bertemu dan menyulam cinta. Tempat yang menjadi saksi kasih papa dan mama bersatu sehinggalah mereka berdua diikat dengan sebuah ikatan sah sebagai suami isteri.
     Lelehan air mata dikesat dengan belakang telapak tangan. Hannah cepat-cepat berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Laungan azan Maghrib dari surau yang berdekatan dengan rumah pangsapuri yang didiaminya menggesanya untuk melaksanakan perintah Tuhan yang satu itu.

     Seperti kebiasaan, Firdaus kelam-kabut dalam menyelesaikan kerja-kerja pengurusan yang sentiasa berlambak dan menuntutnya untuk bekerja dengan lebih keras. Berkerut-kerut dahinya meneliti kertas-kertas kerja yang telah dikemaskini oleh pelajar-pelajar praktikal. Sejak lima tahun yang lalu, kilang tempat dia bekerja kini menerima banyak kunjungan daripada pelajar-pelajar jurusan teknologi pemakanan untuk menjalani sesi praktikal mereka. Pelajar-pelajar ini diberikan pengenalan dan sedikit ilmu teknologi pemakanan yang telah diaplikasikan oleh pihak kilang dalam jangka masa tiga hingga lima bulan. Selepas itu, mereka dikerahkan untuk menghasilkan kertas-kertas kerja mengenainya.
    “ Arghhh !! “ Pen sudah tercampak entah ke mana. Rambut yang sedia kusut-masai diramasnya. Firdaus mengeluh berat. Terus dia mendongak saat Qaneef menguak pintu pejabatnya.
     “ Encik Firdaus, Puan Yanti suruh encik call dia through office line. Now. “
     “ Okay. You may go. Thanks. “ Terjongket kening Firdaus apabila mendapati Qaneef berpatah balik dan menghadapnya.
     “ Why? Is there anything wrong? “ Firdaus sudah bersedia untuk mendengar dengan lebih teliti. Namun, Qaneef tersenyum sambil berdiri tegak dengan memegang erat fail-fail di tangan.
     “ Tak ada apa-apa. Cuma saya nak tanya, kalau Encik Firdaus nak saya buat coffee or any drinks that you would like, I’m offer to make it. Iyalah, muka you nampak lucu bila serabut macam tu. “ Qaneef tergelak kecil. Penampilan ketuanya memang menggelikan hati. Dengan rambut yang sudah serabai, tali leher yang dilucutkan dan keadaan meja kerja Firdaus yang berselerak membuatkan keadaan lelaki itu kelihatan kasihan. Tidak terurus.
     “ Pandailah you ni. I’m just fine with it. I’ll bear with it. Tapi, rupa I teruk sangat ke? “
     “ Yes, definitely Encik Firdaus! “
     “ It’s okay. Kalau I nak minum, I pergi buat sendiri dekat pantri. You may continue your work. Thanks by the way.. “ Senyuman mesra dihadiahkan kepada Qaneef yang mula beredar dari situ. Pintu tertutup rapat. Firdaus sempat mengeluh lagi. Ish, ish, tak habis-habis dengan mengeluhnya! Macam mana nak berkat kerja kalau macam ni? Bersemangat sikit, Fir! Kau nak cari rezeki juga, kan?
     Telefon pejabat di angkat gagangnya. Nombor yang telah dihafal siap-siap untuk keperluan kerja didail. Firdaus sabar menanti talian dijawab. Tidak lama kemudian, suara seorang wanita yang amat dikenalinya kedengaran di corong telefon. Mesra sahaja suara itu menjawab panggilannya.
     “ Hah, Fir! Ingatkan dah lupa nombor ofis akak. Call juga budak ni. “
     “ Sorrylah, akak! Fir serabut otak tadi. Putus fius kejap. Kerja tak habis-habis. “ Terkekeh-kekeh tawa Yanti di corong telefon. Firdaus pula hanya mampu tersenyum sendirian.
     “ Alahai, baby boy! Akak pun nak tambah kerja Fir ni. Baru HQ inform tadi. As usual, hari ni ada interview untuk contract workers. “
     “ Alah, akak! Berapa orang pula yang masuk kerja? Ramai ke? “
     “ Seorang aja, Firdaus oii! “
     “ Seorang aja?! Takkan seorang pun HQ tak boleh nak handle? Fir juga ke? “ tanya Firdaus separuh berharap. Dia menggigit bibir bawahnya menanti balasan Yanti di hujung talian.
     “ No, you must interview this contract worker after lunch time. Full stop!
     “ Iya, iyalah. Saya yang menurut perintah! “ Sayu saja suaranya. Firdaus tidak punya kuasa untuk menolak arahan pihak atasan. Nak atau tidak, dia perlu melaksanakannya.
     “ Great! All the best. “ Talian dimatikan. Serta-merta gagang telefon diletakkan kembali ke tempat asal. Firdaus mencapai fail-fail yang berselerakan lalu disusun dengan teratur di sudut meja kerjanya. Pen-pen yang berterabur disimpan ke dalam laci. Helaian kertas-kertas kerja dikemaskan dan disimpan di rak.
     Jam tangan ditelek sekilas. Berkira-kira untuk berlalu dan menikmati makan tengah harinya. Setelah segenap ruang pejabatnya diteliti, Firdaus tersenyum puas dan kaki mula melangkah.

     “ Kenapa awak nak bekerja di sini? “
     “ Sementara menunggu keputusan SPM saya keluar, saya nak mencari pengalaman bekerja. Bukan tu aja, saya juga nak cari duit poket. “ Tenang Hannah menjawab meski di jiwanya bergelodak seribu satu perasaan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia berdebar saat itu.  Tangannya yang berada di bawah meja diramas-ramas bagi mengurangkan rasa gementar di dada.
     “ Awak boleh buat kerja apa-apa aja? “ tanya Firdaus dengan riak seriusnya. Dia menentang pandangan pekerja kontrak baru di kilang, tempat dia bekerja. Seketika penampilan gadis itu menarik perhatiannya. Ringkas dengan selendang berwarna biru tua yang melilit kepala dan dikenakan kemeja warna sedondon tanpa sebarang corak bersama-sama seluar slack berwarna hitam pekat.
     Wajah gadis itu juga sederhana di matanya. Berkulit hitam manis dengan mata yang galak dan senyuman yang menawan menjadi faktor tarikan. Firdaus berdehem-dehem apabila merasakan mata-mata memandangnya pelik. Mungkin dia terlalu leka meneliti setiap inci susuk si gadis sehingga terlupa tujuan situasi sebenar.
     “ Are sure you will adapt with the environment? Awak akan bekerja di tempat pemprosesan, bukannya di ofis. “                  
     “ Insyaallah, saya boleh, “ balas Hannah dengan riak yang dikawal. Dia masih dalam keadaan gemuruh. Melihat Firdaus mengangguk-anggukkan  kepala, lega sedikit hatinya.
     Firdaus bangkit dan menuju di muka pintu bilik mesyuarat bagi mendapatkan Qaneef. Begitu juga Hannah yang turut bangun dan membuntuti Firdaus. Suasana sepi diselang-seli dengan perbualan antara Firdaus dan Qaneef. Hannah pula sempat menyandarkan tubuhnya ke dinding bilik mesyuarat sementara menanti perbualan tersebut selesai. Dengan selamba, Firdaus turut bersandar ke dinding bersebelahan dengan Hannah. Bahu mereka berdua bersentuhan. Hannah tersentak tetapi Firdaus seperti tidak menyedari keadaan tersebut. Pantas Hannah menjarakkan sedikit tubuhnya daripada terlalu dekat dengan tubuh Firdaus.
     Hannah sempat mengerling ke arah kad pekerja yang tergantung elok di leher lelaki yang menemu-bualnya tadi. Tertera nama FIRDAUS pada bahagian atas kad. Tahulah dia kini lelaki itu bernama Firdaus dan merupakan ketua bahagian pentadbiran di kilang pembuatan makanan ini. Bukan calang-calang orang.
     “ Okay. Awak ikut Qaneef untuk ambil contract uniform. Dan awak boleh mula bekerja as a packer. “ Firdaus berlalu seraya menyerahkan kembali borang permohonan kerja kepada Qaneef. Borang tersebut bertukar tangan. Firdaus dan Hannah berbalas pandang tanpa riak sebelum lelaki itu beredar.

     Masa terus berlalu. Walaupun Hannah sukar menyesuaikan diri dengan suasana bekerja pada mulanya, dia mula selesa melakukan tugasnya dengan bantuan rakan sekerja. Salah satu cabaran bagi Hannah di tempat kerja ialah dia dikelilingi pekerja-pekerja berbangsa asing. Di bahagian pembungkusan, hanya dia pekerja wanita warganegara Malaysia. Selebihnya pekerja-pekerja lelaki yang terdiri dari negara Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia. Seminggu dia bekerja, Hannah sudah pandai berhubung dengan rakan sekerjanya yang berlainan bangsa itu.
     “ Anna,  you not go to rest? You not to eat? “ tanya Rash yang berasal dari Nepal. Untuk berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, Rash masih tidak mahir dan dalam proses mempelajarinya. Rash mampu bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi itupun bahasa yang ringkas sahaja. Kadang-kadang, sukar juga memahami komunikasi Inggeris Rash memandangkan tatabahasanya yang agak teruk. Hannah tersenyum nipis. Dia masih meneruskan kerjanya menyusun kerusi-kerusi.
     “ No, I’m not hungry. I’m already take a breakfast this morning. “
     “ Anna, that’s breakfast. Not lunchy..
     Hannah ketawa terbahak-bahak. Mendengarkan perkataan yang disebut Rash yang berlainan bunyinya, dia berasa geli hati. Rash tidak tahu-menahu mengapa Hannah ketawa, hanya membalasnya dengan senyuman malu. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembuskan perlahan. Hannah tersenyum meleret.
     “ It’s okay, Rash. I’m fine with it. I’m fulled.
     Rash tersenyum lagi sambil menganggukkan kepalanya. Dia berjalan keluar meninggalkan Hannah bersendirian di tempat pembungkusan itu. Lampu ditutup atas arahan Hannah sendiri.
 
     Kepalanya dikalihkan ke kanan dan ke kiri semula. Hannah cuba menyelesakan kedudukan kepalanya yang dilentokkan ke atas meja kerja. Seketika dia terlena kembali sambil berbantalkan lengan. Dia tidur tanpa berkutik walau seinci. Penat barangkali dengan kerja-kerjanya seharian. Namun, ada seseorang yang sedang merenungnya tajam tanpa disedari. Seseorang itu mula mendekati Hannah yang sedang nyenyak dan mengambil tempat di hadapan si gadis.
     “ Huarghh!! “ Mulutnya ternganga luas. Hannah menguap panjang. Dia hanya terjaga saat lampu dinyalakan dan suasana menjadi terang-benderang.
     Apabila Hannah melihat wajah Ganesh yang terjengul di hadapannya, dia terjerit kecil. Terkejut dengan kehadiran rakan sekerjanya itu. Hannah tersenyum hambar. Dia mula berasa tidak selesa apabila ditenung sebegitu oleh Ganesh.
     “ Hey, Ganesh! Apa you buat dekat sini? You.. tidur juga ke tadi? “ Tergagap-gagap Hannah mengutarakan soalan. Dia memandang sekeliling mencari kelibat rakan sekerjanya yang lain. Namun, hampa. Tiada seorang pun yang kelihatan. Hanya dia dan Ganesh. Jam di dinding sempat dikerling. Baru 12.32 tengah hari. Lambat lagi nak start kerja! Habis rehat pun pukul 1.15 petang. Aih, siapa pula gatal pasang lampu ni! Kacau betul! Hannah terpandang wajah Ganesh yang tegang.
     Gulp!
     Takkanlah Ganesh yang buka lampu? Tapi, mestilah dia kan? Dia aja yang ada dekat sini? Takkan aku berjalan dalam tidur dan buka lampu? Logik sikitlah, mak cik oi! Tak pernah dalam sejarah hidup kau, yang kau tu mengigau sampai tahap berjalan bagai. Ish, semak otak aku! Dahlah aku mengantuk lagi ni, bentak Hannah dalam hati.
     “ Ganesh, boleh tak you padam itu lampu. Terang sangat. I nak tidur kejap, “ pinta Hannah tanpa memikirkan padah apabila mereka berduaan dengan status bukan muhrim di tempat yang gelap. Kerana mengantuk punya pasal, Hannah tidak lagi mampu berfikir dengan akal yang waras. Apa yang dia tahu, dia ingin tidur!
     “ Huarghh!!! “ Sekali lagi Hannah menguap dengan mulut yang seluas-luasnya. Matanya juga bergenang angkara menguap panjang. Dia membetulkan sedikit kedudukan tudung yang mulai senget, lantas kepala dilentokkan kembali ke atas meja kerja.
     “ You.. beauty.. Banyak cantik. Saya suka sama you.. “ bisik Ganesh perlahan. Antara dengar dan tidak, Hannah tidak menghiraukannya. Dia terus memejamkan mata dan terus lena.
     Ganesh resah di tempat duduknya. Dengkuran halus Hannah benar-benar mengghairahkannya. Wajah tenang Hannah yang sedang lena membuatkan emosinya sukar dikawal. Sejak hari pertama kehadiran Hannah di situ, dia berasa dihargai. Hannah sering ketawa dan tersenyum. Hannah rajin melayan kerenahnya dan rakan-rakan. Tidak seperti pekerja-pekerja warganegara yang lain yang sentiasa mencari salah mereka sebagai pekerja asing. Mereka selalu ditengking dan dimaki jika didapati melakukan kesalahan walaupun hal yang kecil.
     Tidak bagi Hannah. Hannah menghormatinya dan rakan-rakan yang selayaknya pekerja berbangsa asing peroleh sebagai manusia. Gadis belasan tahun itu sentiasa jujur dalam percakapannya tetapi tetap menitikberatkan perasaan orang lain. Berada di sisi Hannah, dia berasa tenang. Lenyap terus rasa rindu yang bertamu kepada si isteri di tanah air. Isteri yang tidak pernah dia sentuh dan cintai kerana terus berhijrah ke Malaysia sejurus majlis perkahwinan mereka berlangsung. Bertentang mata dengan isteri pun dia tidak berkesempatan. Hanya sekeping foto milik isteri dititipkan oleh pihak keluarga untuk dirinya di perantauan.
     Wajah polos Hannah ditenung lagi. Ganesh teringin sangat ingin menyentuh wajah cantik itu. Tanpa disedari, dia mula mendekati Hannah. Kepala Hannah yang dilitupi sehelai selendang diusap-usap lembut. Dia meneliti setiap inci wajah Hannah untuk sekian kalinya. Saat dia melihat bibir mungil Hannah, Ganesh tiba-tiba bernafsu serakah. Dia mendekatkan wajahnya dengan wajah Hannah untuk mengucup bibir gadis itu tetapi dia terkejut apabila suasana sekeliling menjadi terang-benderang.
     Kelibat beberapa orang rakan sekerjanya yang sama bangsa membuatkan Ganesh tidak betah duduk berdekatan dengan Hannah. Tergesa-gesa dia bangkit dan meluru ke mesin yang terletak di suatu sudut, jauh daripada Hannah. Dia tidak mahu rakan-rakannya yang lain mengesyaki kelakuannya tadi. Dia mampu menarik nafas lega akhirnya apabila semua sudah mula kembali bekerja. Begitu juga Hannah. Gadis itu terjaga dan bergegas  ke posisi yang sepatutnya bagi menyambung kerja yang tertangguh.

     Buat pertama kalinya, Hannah menjejakkan kakinya di kantin kilang. Kantin yang dibina khas untuk pekerja-pekerja. Ataupun dengan lebih tepat, kantin yang bersaiz sederhana luas itu dikhaskan untuk pekerja-pekerja ofis dan pihak atasan. Pekerja-pekerja di bahagian buruh disediakan pantri kecil yang kurang kemudahannya berdekatan tempat kerja. Oleh sebab itu jugalah, Hannah enggan menapak ke kantin. Dia merasakan pihak kilang mendikriminasikan taraf para pekerjanya. Sungguh tak adil! Semua pekerja mempunyai hak untuk selesa dengan kemudahan yang tersedia. Dan semua berhak menggunakannya.
     Hannah beratur di barisan panjang untuk membeli makanan memandangkan perutnya sudah berkeroncong semacam. Mudah untuk orang lain mengenali dirinya yang dikenakan dengan pakaian serba biru atau contract uniform yang menjelaskan bahawa dia merupakan pekerja kontrak. Tiada hak-hak yang istimewa. Buktinya, dua orang gadis muda yang berusia lingkungan 20an menjeling-jeling ke arahnya. Melihatkan mulut dua orang gadis itu yang terherot-berot seperti mencebiknya, Hannah menunduk dan menekur ke lantai.
     Oleh sebab memikirkan nasib perutnya yang minta diisi, Hannah kuatkan semangat. Pandangan sinis orang sekelilingnya tidak diendahkan. Sesaat kemudian, dua orang gadis yang diyakini pekerja ofis di kilang membuat bising tiba-tiba. Mereka berbisik sesama sendiri. Riuh semacam ekoran kehadiran seseorang. Hannah mengangkat wajah untuk melihat gerangan yang membuatkan gadis-gadis muda berubah menjadi miang. Encik Firdaus! Hannah menelan air liur.
     Ya Allah, janganlah dia nampak aku! Jauhkanlah pandangannya daripada bertentang dengan pandanganku. Ya Allah, tolong hamba-Mu yang lemah ini!
     “ Tak pernah-pernah saya nampak pekerja kontrak beli makanan di kantin. Biasanya mereka bawa bekal dari rumah. Awak terlupa bawa bekal? “ Terasa sinis kata-kata Firdaus di pendengarannya. Niat nak mengelak tetapi tengok-tengok, dah ada di sebelah. Nak lari macam mana dah?
     “ Err, saya memang tak bawa bekalan makanan sejak azali. Tapi hari ni, tiba-tiba perut saya meragam pula. Tu yang terpaksa merangkak ke kantin untuk beli nasi. Kalau ikutkan hati, saya memang tak ralat nak kunjung ke kantin ni. Dahlah jauh dari tempat kerja saya, mahal pula tu harga makanannya! Siapalah yang larat beli setiap hari, habis pokai. Lainlah orang yang poketnya sentiasa penuh. “
     Firdaus merenungnya tajam. Hannah buat muka toya. Dua orang wanita yang memandangnya jelek tadi sudah tercengang dengan keberaniannya. Tanpa menghiraukan dengusan Firdaus kerana menahan amarah, Hannah terus berlalu setelah selesai membeli makanan tengah harinya.

     “ Huarghh!! “ Mata yang sudah berair dek menguap dipejam rapat. Tidak dia dapat menahan kantuk yang amat. Kepala yang mulai terasa berat disandarkan ke bangku berdekatan mesin pengesahan kad pekerja-pekerja. Hannah bermonolog sendirian.
     Aihh, awal lagi ni! Masuk kerja pukul 8 pagi tapi sekarang ni baru pukul 6.35 pagi. Kenapalah nasib aku ‘baik’ sangat? Nak tak nak, kenalah berkorban sikit. Pak lang kan kerja juga. Nanti dia pula yang lambat kalau tak hantar aku sebelum Subuh. Nasib juga ada surau dekat kilang ni. Bolehlah tumpang solat tapi.. arghh! Apa aku nak buat ni? Dahlah sunyi, orang ramai tak datang lagi. Ada ke orang datang kerja awal-awal macam ni?
     Bunyi derapan kaki seseorang yang menghampirinya serta-merta membuatkan Hannah tersentak. Mulutnya tertutup rapat dan tidak lagi mengomel seperti tadi. Hilang terus omelannya. Dia sabar menanti kehadiran seseorang itu. Apabila figura tegap itu semakin mendekatinya, dapat dia melihat dengan jelas seorang lelaki yang berbaju kemeja hitam pekat yang dipadankan dengan seluar slack yang berwarna sedondon. Ya Allah, handsomenya! Hannah memuji dalam diam dengan penampilan kemas si jejaka tanpa mengesan gerangannya. Namun, saat matanya meneliti wajah si empunya, dia tercengang. Encik Firdaus!
     Firdaus berjalan selamba mendekati mesin pengesan kad pekerja tanpa menyedari kewujudan seseorang berdekatan kawasan itu. Seseorang yang terlopong dan khusyuk merenungnya. Pegangan beg bimbit dan beberapa buah fail diperkemas. Selesai berurusan dengan mesin tersebut, Firdaus menunduk untuk mengambil sebuah fail yang terjatuh dari pegangannya. Apabila wajahnya didongakkan, dia terkejut melihat Hannah yang berada di sebuah bangku berhadapan dengannya. Mata mereka bertembung. Sepi seketika.
     “ Kenapa awal sangat awak datang kerja ni? “ tanya Firdaus sarkastik. Wajah Hannah tidak dilihatnya memandangkan dia juga sedang mengawal riak wajahnya. Tidak mahu dianggap terlalu terkejut dengan kehadiran si gadis di situ. Mestilah nak control macho!
     “ Ooo.. err.. tak ada. Maksud saya, pak cik saya terpaksa hantar saya awal. Tempat kerja dia jauh. Kalau tak, dia pula yang lambat nanti. “
     “ Ermm.. okaylah kalau macam tu. Dah punch card ke belum? Punch card sekarang. Nanti terlupa punch, susah pula. “ Firdaus sempat mengerling sekilas seraut wajah Hannah yang ayu bertudung bawal berwarna turquoise. Pelik juga dia tatkala Hannah tidak jemu merenungnya sedari tadi. Mata gadis itu tidak lepas daripada memandang ke wajahnya. Dia pula yang berasa segan tiba-tiba.
     “ Saya dah punch card.. “
     Hannah melihat Firdaus mengangguk-anggukkan kepala sebelum melangkah pergi meninggalkannya. Dia terus merenung ke arah lelaki itu yang semakin jauh beredar menuju ke pejabat. Saat kelibat Firdaus hilang dari pandangan, Hannah menyentuh lembut dadanya. Dia merasakan degupan jantungnya yang laju yang sekali gus menyukarkannya untuk bernafas. Debaran di hati menyebabkan dia beremosi. Kembali terkenangkan pemergian arwah papa dan arwah mama.
     Wajah kacak Firdaus bermain-main di fikirannya. Lelaki itu benar-benar merupakan ciptaan Tuhan yang indah. Sudahlah tinggi lampai, Firdaus juga bertubuh tegap dan berkulit putih kemerah-merahan. Melihat Firdaus mengenakan baju kemeja berwarna hitam pekat, aura kacak lelaki itu terus menyerlah dan mencuri sekeping hati milik Hannah.
     Papa.. mama.. Akak rasa, akak dah jatuh cinta, getus Hannah perlahan. Air mata dibiarkan mengalir.

     “ Encik Firdaus, I’ve got a call from Supervisor Fatimah just now. She told me that one of our contract worker caught in fighting with our permanent worker. She wanted you to go there as soon as possible. “
     “ What? Fighting? What they are arguing for? “ Fail-fail diletak tepi. Telefon bimbit dikocek seluar diseluk. Nombor seseorang didail sebelum dilekapkan alat komunikasi itu ditelinganya. Firdaus mula bergegas ke muka pintu dan mendekati Qaneef.
     “ Sorry, Encik Firdaus. I don’t have any idea either.

     Pintu lokar dibuka sedikit. Botol air mineral dicapai sebelum penutupnya turut dibuka. Hannah membasahkan tekak yang kering. Perut yang sudah berkeroncong meminta untuk diisi tidak dipedulikan. Aroma daripada bekalan makanan yang dibawa pekerja-pekerja lain menaikkan seleranya. Tetapi, ditabahkan juga hatinya untuk menahan lapar. Duit yang sedia ada disimpan elok-elok di dalam tabung. Khas untuk adik-adik. Biarlah dia berlapar sekalipun, janji bukan adik-adiknya yang kelaparan. Hannah tersenyum pahit lalu dicapainya pula sebuah novel untuk pembacaannya pada waktu rehat tengah hari.
     Apabila seorang wanita berusia lingkungan 40-an membuka lokar bersebelahan dengan lokarnya, Hannah memaniskan muka sebagai tanda hormat. Malangnya, wanita itu atau dikenali sebagai Kak Kiah menjelingnya tajam. Hannah terkedu. Dia perasan dengan layanan pekerja-pekerja senior di kilang yang dingin terhadapnya sejak hari pertama dia bekerja. Untuk sebab apa mereka melayannya sebegitu, dia sendiri buntu. Tiada jawapan. Sedangkan dia mempercayai bahawa segolongan besar daripada mereka sepatutnya merupakan rakan-rakan arwah papa dan arwah mama. Mustahil mereka tidak mengenali ibu bapanya.
     Rokiah mendekati beberapa orang rakannya yang lain. Masing-masing sedang gelojoh menyuapkan nasi ke mulut. Laparnya bukan kepalang. Mengalahkan orang yang tidak makan seminggu! Sambil mengoyak balutan roti berkrim di tangan, Rokiah sempat mengutuk dan bergosip.
     “ Aku tak tahulah budak-budak zaman sekarang ni. Belum habis belajar lagi, dah menggatal nak bekerja. Tak sedar diri ke yang diri tu tak layak bekerja. Umur separuh jagung, ada hati nak menyara keluarga. Kononnyalah! “ ujar Rokiah dengan senyuman sinisnya.
     “ Entahlah. Budak-budak mentahlah katakan, Kiah oi! Nak buat macam mana kalau dia orang dah tak ada hati nak sambung belajar, “ sampuk seorang rakan Rokiah dengan mulut yang masih penuh dengan nasi.
     “ Nak sambung belajar macam mana kalau otak tu memang bodoh? Tak ada maknanya pusat-pusat pengajian dekat Malaysia ni nak ambil budak-budak tak pandai macam ni. Alamatnya, kerja ajalah! Dah otak bodoh, nak buat apa lagi, “ sahut seorang lagi yang berada di situ.
     Hannah tersentak. Terhenti pembacaannya. Dia mengangkat wajah memandang ke arah kelompok pekerja-pekerja senior yang seperti sedang menyindirnya. Pedih kata-kata mereka menusuk ke kalbu. Tetapi kalau diamati, hanya dia merupakan pekerja muda dan berumur belasan tahun. Lebih tepat, budak lepasan SPM. Tiada lagi pekerja yang sama usia dengannya. Semua berumur dalam lingkungan 20an hingga 40an. Paling muda pun, Kak Suraya yang berumur 28 tahun. Siapa lagi yang mereka maksudkan jikalau bukan dirinya?
     Dan apabila mata Hannah bertembung dengan mata milik Rokiah, wanita berusia dan sebaya arwah mama itu tersenyum mengejek. Hannah hampir mengalirkan air mata tetapi sempat ditahan. Kesabaran dipupuk terlebih dahulu. Dia menanti kata-kata dan luahan ketidakpuasan Rokiah kepadanya.
     “ Eleh, samalah dengan mak dia yang dah mati tu! Habis aja SPM, terus bekerja. Tak ada dah nak sambung belajar bagai. Apa yang dia tahu, dia bekerja dan bodek bos. Dia pandai-pandailah goda mana-mana lelaki kaya untuk dijadikan suami. Alang-alang dah dapat boleh tumpang senang! “ Dekahan ketawa Rokiah mengiringi lelehan air mata Hannah yang membasahi wajah gadis muda itu. Hannah sudah bangkit mendekati mereka.
     “ Tapi kan, macam manalah Abang Arman tu boleh terpikat dengan si Aisyah yang tolol tu? Bukannya lawa pun betina tu, kaki bodek! “ sambung Rokiah dengan hilaian tawa.
     Pang!
     Tangannya menggeletar hebat. Dadanya berombak dan nafasnya tidak teratur. Air mata sudah mengalir lebat. Masih dia terasa saat telapak tangannya menampar pipi salah seorang pekerja senior yang biadap bernama Rokiah. Dia mencerlungkan matanya memandang tajam ke arah wanita berusia itu. Lenyap terus rasa hormat dan kesabaran yang cuba dipupuk tadi. Dia tiba-tiba hilang pertimbangan dengan tuduhan yang tidak berasas mengenai arwah ibu bapanya yang dilemparkan Rokiah.
     Pada masa yang sama, Firdaus dan Qaneef tiba di muka pintu pantri dan menyaksikan adegan Hannah menampar Rokiah. Firdaus menolak kasar tubuh Hannah dan mendapatkan Rokiah yang terpempan sambil memegang pipinya yang terasa pijar dek tamparan Hannah. Dia tidak lagi mempedulikan nasib Hannah yang terjelepuk di lantai kerana tolakannya. Suasana pantri menjadi tegang.
     “ Hannah, kenapa awak tampar Kak Kiah? Apa salah dia? Kenapa awak tak reti nak hormat orang lebih tua daripada awak? “ jerkah Firdaus yang naik berang. Dia sendiri terkejut menyaksikan Hannah tegar memperlakukan Rokiah sebegitu. Tidak sepatutnya gadis remaja seperti Hannan berkelakuan biadap dan tidak sopan dengan menjatuhkan  maruah orang lain yang lebih berusia.
     “ Encik Firdaus.. saya.. saya minta maaf.. “
     “ Orang yang sepatutnya awak minta kemaafan ialah Kak Kiah. Bukannya saya! “
     “ Tapi, saya cuma.. saya.. “ Teresak-esak Hannah yang menekur di lantai. Firdaus terlebih dahulu menyampuk sebelum dia berpeluang membela diri.
     “ Cuma apa? Jangan nak gunakan alasan mak bapa awak dah meninggal, tiada siapa ajar awak adab sopan dengan orang lain. Faham?! “
     Hannah terkedu. Dia mengangkat wajah mencari wajah Firdaus yang bengis. Air matanya mengalir laju dengan renungan tajam lelaki itu. Esakannya semakin kuat apabila tiada sesiapa pun di situ membelanya. Selepas Firdaus dan Qaneef berlalu,  seorang demi seorang pekerja beredar meninggalkan dirinya. Hanya seseorang yang masih berada di pantri bersama-samanya. Kak Mas.
     “ Maafkan, akak. Akak.. akak tak berani nak.. “
     “ Tak apa, kak. Saya faham. “ Genggaman tangan Kak Mas ditangannya berbalas. Hannah tersenyum pahit.
     “ Tapi, percayalah. Arwah ibu Hannah bukan macam tu orangnya. Arwah seorang yang sangat baik dan lemah-lembut. Dari dulu, masa arwah masih hidup, Kiah selalu iri hati dengan arwah. Semua yang arwah buat, semua salah di mata dia. Sehingga ke hari ni, nampaknya Kiah masih berdendam dan dengki dengan arwah. Buktinya, Hannah jadi mangsa.. “
     “ Kenapa? Apa yang arwah mama dah buat? Mama rampas papa daripada Kak Kiah ke? “ tanya Hannah dengan sendunya yang masih kedengaran. Mastura mengesat perlahan air mata anak arwah rakan baiknya itu.
     “ Tak ada istilah siapa merampas siapa. Arwah Arman memang ditakdirkan untuk arwah Aisyah. Kalau Hannah nak tahu, papa Hannah tu sebenarnya budak praktikal aja dekat sini dulu. Tapi, dia tekad untuk terus bekerja di sini lepas habis belajar sebab mama Hannah. Akak ingat lagi waktu pertemuan pertama Arman dengan Aisyah. Tak berkelip langsung mata Arman tengok si Aisyah. Cinta pandang pertama rasanya! Tiga bulan Arman menjalani praktikal, tempat yang dia selalu pergi, mesti tempat Aisyah bekerja. Datang kerja, waktu rehat dan balik kerja, mesti muka Arman terjengul menunggu Aisyah. Pernah juga dulu kecoh satu kilang sebab gara-gara Arman meluahkan rasa cintanya kepada Aisyah dalam tulisan Jawi di dinding ofis. Akaklah orang yang tolong terjemahkan tulisan tu kepada mama Hannah memandangkan arwah tak reti baca tulisan Jawi.
     Sejak tu, mereka berdua sering kali dilihat berkepit sana sini sampailah Kiah tu mula berasa cemburu. Cemburu tak bertempat. Walaupun macam-macam dugaan dan fitnah yang dilemparkan kepada Aisyah dan Arman, cinta mereka tetap berkekalan hingga ke jinjang pelamin. Dan insyaallah, cinta mereka utuh hingga ke jannah Allah. Akak doakan roh mereka dicucuri rahmat-Nya.
     Hannah, bersabarlah ya. Tuhan tu Maha Adil. Ada balasannya nanti untuk orang-orang yang berhati busuk. Akak yakin Hannah kuat orangnya. “
     Tubuh Mastura dipeluknya erat. Dia menangis teresak-esak di bahu wanita itu. Hiba dan terharunya dia dengan kisah cinta arwah papa dan mama yang diceritakan tadi. Dia amat mengagumi kekentalan hati pasangan itu mengharungi onar hidup. Sempat dia memanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi di dalam hati.
     Di sebalik dinding, Rokiah terkesan dengan kisah hidup arwah Aisyah dan arwah Arman. Baru dia menyedari kini bahawa jahatnya dia kerana sanggup memperlakukan Aisyah dan Arman sebegitu kejam pada saat pasangan itu masih hidup di dunia. Dia terasa air matanya mengalir di pipi. Menyesali kekhilafan silam yang mengheret dirinya ke lembah hina. Terus berdendam dengan orang yang telah tiada.

     “ Encik Firdaus, can I say something to you.. for a second? “ Qaneef menggigit bibir.
     “ We.. talk? “
     “ Yes. Can I?
     Melihatkan anggukkan kepala Firdaus, Qaneef menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan untuk meluahkan pendapat sekali gus memberikan nasihat kepada ketuanya berkenaan peristiwa yang berlaku semalam antara Hannah dan Rokiah. Dia pasti ketuanya itu bersikap kurang adil dalam menyelesaikan kes tersebut. Oleh itu, kesilapan Firdaus harus ditegur demi kebaikan semua pihak.
     “ Terlebih dahulu, saya nak minta maaf. Pasal semalam. Maksud saya, Encik Firdaus dah bersikap kurang adil terhadap Hannah especially. Ya, saya tahu yang orang muda perlu hormat kepada orang yang lebih tua. But, I bet that she must had her own reasons why she behaved like that last night. And you chose to not hear her excuses. Erm.. what do you think? It’s not fair, right? For her?
     Firdaus terdiam. Peristiwa semalam terlayar kembali di ingatannya.

     Pintu bilik bahagian proses pembungkusan dipandang kaku. Di dalam hati, dia sudah berkira-kira untuk melangkah masuk tetapi rasa bersalah yang bersarang atas ketelanjurannya membantutkan niat. Nafas ditarik dan dihembus untuk beberapa kali. Saat tombol pintu dipegang, rasa gemuruh menyerangnya. Dan terus dia melatah tatkala ditegur dari arah belakang oleh seseorang.
     “ Encik Firdaus? “
     Firdaus menoleh. Terkelu lidahnya menatap wajah Hannah. Terlalu terkejut dengan kehadiran gadis muda itu. Hannah berada di hadapannya kini!
     “ Encik Firdaus tak nak masuk? “ tanya Hannah dengan muka pelik.
     “ Err.. urm.. saya.. saya nak masuklah ni! Awak tu, curi tulang eh? “ Firdaus menyerkap jarang. Sekadar mengelak daripada pengetahuan Hannah bahawa dia benar-benar berasa terkejut tadi. Dia berdehem-dehem.
     “ Mana ada saya curi tulang! Saya pergi tandaslah. Nak tut.. tut.. “
     “ Hah, tut.. tut.. ? Awak buat apa? “
     “ Alah, yang tut.. tutlah.. alah.. yang.. “
     “ Apa alah, alah? Cakap ajalah! “
     “ Kencing! Saya pergi kencing tadi. “
     Terbeliak mata Firdaus mendengarkan perkataan yang disebut Hannah. Gadis itu sudah menunduk akibat renungan maut daripada Firdaus.
     “ Ish, ada ke benda alah tu yang disebutnya! “
     “ Dah Encik Firdaus tanya, saya jawablah.. “
     “ Tengok! Pandai menjawab awak ya? Menjawab, menjawab lagi. “
     “ Encik Firdaus ni, kan! Tu pun salah. Habis tu, takkanlah saya.. “ Kata-kata Hannah dipintas oleh Firdaus. Lelaki itu menolak tubuhnya hingga terdorong masuk ke bilik, tempat kerjanya.
     “ Awak ni banyak mulutlah! Dah, masuk cepat, “ arah Firdaus tegas. Terselit senyuman di hujung bibir.
     Hannah kembali ke posisinya dan meneruskan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap kerja. Peket-peket diambil dengan cermat dan berat bahan ditimbang sebelum tangannya laju menyusun produk tersebut di dalam sebuah bekas. Dia terlalu khusyuk sehingga tidak mempedulikan rakan-rakan sekerjanya mahupun Firdaus. Leka dengan tugas, dia tidak menyedari bahawa sepasang mata sedang mengamati dirinya.
     Kerusi ditarik dan punggung dilabuhkan. Fail yang berat sehingga menyebabkan tangannya menjadi lenguh diletakkan di atas meja kerja yang berdekatan. Firdaus terus-menerus merenung Hannah dari jauh. Kecekapan si gadis bekerja menarik perhatiannya. Terlupa terus dia akan tujuan sebenar kehadirannya ke situ. Firdaus tersenyum sendiri melihat Hannah. Namun, hatinya tiba-tiba dilanda rasa bimbang apabila terpandangkan seorang pekerja berbangsa asing yang juga merenung ke arah Hannah. Renungan yang tajam dan menggerunkan.
     Firdaus cuba memastikan keadaan dan situasi yang kurang menyenangkan itu. Tidak semena-mena dia bersyak-wasangka terhadap Ganesh, nama yang diketahui berdasarkan tanda nama yang terdapat di poket contract uniform milik pekerja lelaki berbangsa asing tersebut. Dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang pelik mengenai Ganesh dan semestinya membabitkanHannah. Melalui pemerhatiannya, perwatakan aneh dan renungan tajam Ganesh menunjukkan seperti lelaki itu memasang niat untuk memudaratkan Hannah. Baru sahaja Firdaus melangkah untuk berhadapan dengan Ganesh, Qaneef terlebih dahulu menyahut namanya di muka pintu.
     “ Encik Firdaus, urgent! “
     Wajah Hannah dipandang sekilas sebelum dia berlalu mendapatkan Qaneef. Masih sempat dia berdoa agar gadis muda itu dalam keadaan yang selamat dan prasangkanya terhadap Ganesh adalah suatu kesilapan.

     “ Kau ni memang tak ada otak! Tak sedar diri. Sebiji macam mak kau yang dah mati tu. Asyik kerjanya tahu menggoda bos-bos aja! “ Rokiah melenting dengan suaranya yang bernada tinggi. Tudung bawal yang meliputi kepala Hannah ditarik-tarik kasar.
     Meluap-luap amarahnya apabila terbaca sedikit isi luahan hati Hannah di dalam diari gadis muda itu. Terkejut bukan kepalang dia mengetahui Hannah menyukai Firdaus dalam diam-diam. Rokiah mencebik. Jelek dengan perangai buruk anak perempuan musuhnya dahulu. Hurm, anak-beranak kaki goda. Padan sangatlah tu!
     “ Astaghfirullahalazim, Kak Kiah! Apa yang akak cuba cakapkan ni? Apa lagi yang akak tak puas hati dengan saya? Siapa pula yang goda bos ni? Saya tak faham. “ Air mata sudah bergenang di tubir mata. Hanya menunggu saat untuk mengalir. Hannah memandang sayu wajah Rokiah.
     “ Tak payah nak berdrama dekat sini! Macam aku tak tahu yang kau ada hati dengan budak Firdaus tu, kan? Hurm, tulah perangai buruk kau yang sama macam mak kau! “
     Hannah tersentak. Jantungnya bagai berhenti berdegup. Saat nama Firdaus dilafazkan oleh Rokiah, dia sudah terdiam seribu bahasa. Rahsianya menyukai Firdaus yang telah diketahui oleh wanita itu juga membuatkan seluruh tubuhnya menggigil tanpa sebab. Dia menangis apabila Rokiah mencampakkan diarinya yang telah dibaca kepadanya. Helaian-helaian muka surat diari yang telah dikoyak dengan sengaja dikutip satu persatu. Hannah teresak-esak.
     “ Bodoh! “ maki Rokiah sambil melangkah mahu beredar. Dibiarkan Hannah menunduk mengutip helaian muka surat diari yang dikoyakkannya. Tetapi, dia terkejut mendengarkan jerkahan daripada Hannah. Mati langkahnya.
     “ Siapa bodoh? Saya ke atau akak? Kenapa? Nak mengamuk dengan saya? Tak puas lagi nak hina saya? Hinalah! Maki ke, caci ke. Saya tak kisah. Tapi, jangan sesekali libatkan arwah mama dan papa. Saya tak suka! Dan saya peliklah kenapa akak cakap saya ni bodoh. Salah ke untuk saya sukakan orang lain? Perasaan tu datang sendiri. Tak pernah saya terniat nak goda siapa-siapa.
      Saya berterus-teranglah dengan akak. Ya, saya memang sukakan Encik Firdaus! Suka sangat-sangat. Salah ke? Sekurang-kurangnya perasaan ni jujur lahir dari hati saya. Bukannya macam akak yang selalu iri hati dengan orang lain. Selalu cari kesalahan orang lain sampai buta nak lihat kesilapan sendiri. Terus berdendam. Hati busuk! “ Dengan lelehan air mata, Hannah meluahkan segala isi hatinya yang terbuku selama ini. Dia melampiaskan amarahnya yang terpendam terhadap kata-kata hinaan dan cacian Rokiah. Hilang rasa hormatnya kepada wanita itu apabila emosi mengawal akal rasionalnya. Luka di hati seperti terubat sedikit walau kesannya masih berdarah jika ditoreh.
     Sesaat kemudian, Hannah mendongak mencari seraut empunya suara garau yang menuturkan kata-kata sinis kepadanya. Air mata semakin lebat apabila hatinya dilukakan lagi dengan pengakuan lelaki itu. Wajah ditunduk kerana enggan berhadapan dengan lelaki yang telah menghancurkan hatinya.
     “ Saya tak kisah sama ada awak suka saya atau tak. Kerja tetap kerja. Saya majikan dan awak pekerja. Dan untuk pengetahuan awak, saya seorang yang profesional. Saya takkan sesekali campur-adukkan antara kerja dan hal peribadi. Saya harap awak faham prinsip hidup saya. Saya tak nak ada lagi kes awak dan Puan Rokiah bergaduh. Kalau tak, saya terpaksa ambil tindakan keras. Faham? “
     Firdaus berdiri tegak antara Hannah dan Rokiah. Kedua-dua pekerjanya kelihatan terdiam dan tidak saling bertegang urat seperti tadi. Masing-masing menunduk wajah dan menekur ke lantai. Hanya esakan Hannah yang sekali-sekala kedengaran.
     “ Puan Rokiah boleh sambung kerja, “ arah Firdaus perlahan tetapi bernada tegas. Pandangannya mengiringi langkah Rokiah yang mula beredar. Setelah kelibat Rokiah tiada, dia mula menghadap Hannah kembali.
     “ Saya tak fahamlah dengan awak! Susah sangat ke untuk awak beri hormat kepada Puan Rokiah? Mana adab sopan awak? Apa yang awak tak puas hati dengan dia? Ke awak masih tak puas hati dengan saya sebab menyebelahi dia? Saya dah minta maaf, dah kira cukup bagus tau! Apa lagi yang awak nak? “
     “ Saya nak Encik Firdaus memahami saya! Tu dah cukup. “ Hannah menentang pandangan Firdaus.
     “ Memahami awak? Siapa awak untuk saya memahami awak? “
     “ Sebab saya pekerja kepada encik. “
     “ Saya tak pernah ada pekerja macam awak. Awaklah pekerja paling menyusahkan. Saya malas nak ambil tahu pasal awak. “
     “ Apa? “
     “ Saya bagi amaran terakhir kepada awak! Jangan buat kecoh lagi. Kalau kerja, buat cara kerja. “ Langkah mula diatur. Firdaus memandang sekilas ke arah Hannah sebelum meninggalkan gadis itu yang kembali tersendu-sendu.

     “ Where are you going? All the time I come to find you but you were not there. I’m calling you but didn’t answer me. “ Fail-fail di tangan diletakkan di atas meja Firdaus. Qaneef mulai berasa risau melihat wajah kusut ketuanya. Dah tak serupa muka orang! Macam muka orang hilang akal pun ada.
     “ I’m so sorry. Kenapa? Ada apa-apa? “ Dengan mata yang kuyu, Firdaus mengagahi dirinya untuk menjawab.
     “ Oh, nothing! I’m just worry about you. You look so horrible and.. pathetic.. “ Tergeliat jugalah lidah Qaneef untuk menuturkan kata-kata yang agak kurang sopan terhadap ketuanya. Tetapi, itulah kenyataan. Firdaus kelihatan sungguh kasihan dengan wajah yang sememeh.
     “ Have a seat.. “
     “ Huh? Encik Firdaus, I didn’t mean it! Please forgive me.. “
     “ Just.. seat, Qaneef. “ Muka Firdaus beriak serius. Qaneef pula sudah takut-takut dengan ketuanya. Namun, dia tetap akur akan arahan lelaki itu.
     “ Qaneef, you rasa I ni kejam ke? I mean, macam mana sikap I dengan pekerja-pekerja? “
     “ Eh, tak adalah! Encik baik aja dengan semua orang. Kenapa ni? Ada apa-apa berlaku ke? “
     “ Saya.. err, saya.. Pasal Hannah.. “ Tergagap-gagap Firdaus meluahkan yang terbuku di hati. Jelas dia tidak mampu menanggung beban perasaan seorang diri. Dia memerlukan seseorang untuk memberikan pendapat untuk menenangkan jiwanya yang bergolak. Semuanya tentang gadis itu. Segalanya tentang Hannah.
     Sepanjang riwayatnya, Firdaus tidak pernah merasakan perasaan yang melanda dirinya saat ini. Lebih-lebih lagi dengan mana-mana wanita yang pernah muncul dan wujud di dalam hidupnya. Semua yang dikenali hanya dianggap sebagai sahabat dan tidak pernah lebih tarafnya daripada itu. Tetapi kehadiran Hannah membuatkan hidupnya menjadi sukar. Setiap kata dan lakunya terhadap Hannah seperti dikawal agar tiada yang bakal mengguriskan hati si gadis. Dia mula belajar untuk menitikberatkan perasaan orang lain sejak dia mengenali Hannah. Tiba-tiba dia menjadi seorang yang prihatin terhadap soal hati.
     “ Lah, ni pasal Hannah ke? I ingatkan apa tadi. Apa pula kaitan diri encik kejam dengan diri Hannah? “ Qaneef mengecilkan matanya yang sedikit terselindung dengan kaca mata yang dipakai.
     “ Saya.. Arghh, tak tahulah! Saya pun tak faham kenapa budak tu susah sangat nak hormat orang lain. “
     “ Encik Firdaus, tak semestinya apa yang kita lihat atau kita dengar adalah betul. Kadang-kadang, disebabkan kita terlalu cepat buat kesimpulan hingga kita terlupa untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak. Itu yang boleh berlaku kes salah faham. Sebelum kita tuduh yang bukan-bukan, baik kita selidik dulu. Takut yang benar kita sisihkan dan sebaliknya. “ Terawang-awang tangan Qaneef menjelaskan apa yang difahaminya. Bersungguh-sungguh dia memberikan khidmat ‘kaunseling’ secara percuma kepada Firdaus.
     Dia tersenyum akhirnya melihat Firdaus yang terangguk-angguk mengiyakan kata-katanya. Lelaki itu kembali tersenyum dan mula berbincang dengannya soal yang berkaitan kerja. Hilang terus suasana suram tadi. Dan tiada lagi perihal Hannah disebut.

     “ Hah, kak! Kenapa akak nak jumpa Hannah ni? Ada hal penting, eh? “ Tersenyum Hannah apabila  terpandang kelibat Qaneef yang sedang menunggunya di sudut koridor. Wanita muda itu turut membalas senyumannya. Mereka berpeluk dan saling bersalaman. Terus diunjukkan bungkusan plastik kepada Hannah.
     “ Nah, bagi makanan ni kepada Encik Firdaus! “ Terlopong Hannah dengan tingkah pelik Qaneef yang terkocoh-kocoh berlalu setelah bungkusan makanan diserahkan kepadanya. Berlari anak Qaneef meninggalkan Hannah yang terpinga-pinga. Hannah masih tercegat di posisinya walaupun kelibat Qaneef sudah  menghilang dari pandangan.
     Ya Allah, apa yang aku perlu buat ni? Kena ke aku bagi makanan ni kepada ‘malaun’ tu? Dahlah bergaduh bagai nak rak. Ke aku pass makanan ni kepada siapa-siapa, suruh hantarkan dekat dia? Ish, aku buang ajalah makanan ni!
     Matanya meliar-liar mencari tong sampah yang berdekatan. Bersedia untuk membuang bungkusan plastik yang berisi sebekas polistirena. Saat penutup bekas tong sampah diangkat, seseorang menegur dari arah belakangnya. Hannah kaku di posisinya, lantas plastik makanan di dalam pegangan disorokkan ke belakang. Tidak dapat dilihat oleh sesiapa.
     “ Hannah, itu Encik Firdaus panggil you laa.. “ ujar Rash dengan sengihannya yang meleret. Dia senang hati ingin menyampaikan arahan Qaneef kepada Hannah. Laju saja kakinya melangkah mendapatkan gadis yang dikenalinya itu. Dia amat menyenangi sikap Hannah yang ceria dan baik hati. Jadi, dia sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk membantu orang yang telah berbaik dengannya. Tidaklah seperti pekerja warganegara yang lain yang hanya tahu memandang rendah dirinya, golongan orang yang berbangsa asing.
     “ Alah, yeke? Okaylah, thanks ya.. “ balas Hannah malas sambil kakinya melangkah lemah ke bilik pejabat Firdaus. Mulutnya terkumat-kamit mengomel sendirian. Rash hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan gelagat Hannah sebelum dia pun beredar dari situ.
     Jari-jemari digenggam beberapa kali. Hatinya berbelah-bahagi untuk mengetuk pintu bilik pejabat Firdaus. Hannah masih setia tercegat mengumpul kekuatan. Seketika dia mengeluh dan bertalu-talu pintu diketuk. Suara milik Firdaus dari dalam mendebarkannya. Pintu dikuak perlahan lalu dia melangkah masuk.
     “ Awak nak apa lagi? Bergaduh dengan siapa pula kali ni? “ tanya Firdaus sarkastik. Terus menyerang Hannah yang terjeda.
     “ Ni.. tadi.. err.. makanan encik. Saya pergi dulu. “ Segera bungkusan plastik di tangan diletakkan di penjuru meja kerja Firdaus. Dapat dia melihat lelaki itu yang menjengahkan kepala sedikit ke bungkusan yang diterima.
     Ketika dia ingin berlalu, bungkusan makanan tadi dicampak oleh Firdaus ke dalam bekas sampah mini yang bersebelahan meja kerja lelaki itu. Langkahnya tetap diatur walaupun dia makan hati dengan tindakan Firdaus seperti yang tidak sudi menerima apa-apa daripadanya. Air mata pun mengalir seraya dia berjalan jauh dari situ.

     Firdaus menggeliat. Sehari suntuk dia menghabiskan waktunya di pejabat amat memenatkan. Tubuhnya kini benar-benar keletihan. Kerja-kerja yang sentiasa menuntut dirinya bersekang mata dipandang sepi. Dia tersandar lemah di kerusi. Kepala diurut-urut bagi meredakan rasa sakit di bahagian itu. Suhu pendingin hawa segera direndahkan.
     Dia bangkit lalu berjalan menuju ke jendela pejabat yang dihiasi dengan tirai. Saat dia mengelak tirai, kelibat Hannah yang melintasi pejabatnya menuju ke bahagian kilang menarik perhatian. Sekilas jam di pergelangan tangan ditelek. Jam menunjukkan tepat pukul 10.30 malam. Berkerut-kerut dahinya memikirkan kehadiran gadis itu di kilang pada waktu selewat begitu. Tanpa berfikir panjang, Firdaus bergegas keluar daripada pejabat dan cuba mengejar langkah Hannah.
     “ Hannah! “ laungnya yang termengah-mengah. Lega rasanya apabila gadis itu berhenti daripada menjauhinya. Firdaus mendekati Hannah yang terkedu.
     “ Kenapa tak balik lagi? Dah pukul berapa ni? “
     “ Encik Firdaus, salah ke kalau saya balik lewat? Saya minta maaf. Saya ada kerja. “ Hannah berpaling ingin berlalu tetapi terkaku tatkala lengannya dipaut kemas oleh Firdaus. Dia meronta-ronta supaya Firdaus melepaskannya, namun sebaliknya yang terjadi. Lagi erat pegangan lelaki itu. Matanya dicerlungkan sebagai tanda amaran. Bibir bawah diketap menahan geram.
     “ Bila saya tanya, jawablah! Apa yang susah sangat nak jawab? Awak pergi balik sekarang! “ Firdaus hilang kawalan. Tidak semena-mena dia menjadi berang dengan respon Hannah. Wajahnya yang putih pucat bertukar kemerah-merahan kerana menahan amarah.
     “ Saya kerja over timelah hari ni! Saya balik pukul 12 malam nanti. Lepaskanlah! Encik Firdaus ni kenapa? “
     “ Siapa lagi yang kerja over time? “ Suaranya mulai mengendur. Wajah Hannah direnungnya tajam. Namun, dia menelan air liur kesat apabila melihat air mata mengalir di pipi gadis muda itu. Pandangan terus dihalakan ke arah lain. Tidak mahu bertentangan mata dengan Hannah. Firdaus membisukan diri.
     “ Apa sebenarnya masalah Encik Firdaus? Penting ke dengan siapa saya bekerja pun? Saya hanya pekerja, encik pula majikan saya. Saya sedar kenyataan tu. Encik tak puas hati dengan saya kan? “
     “ What are you talking about? Stop nonsense. I’m just asking the question and you need answer me..
     “ Iyalah, yang Encik Firdaus sibuk sangat pasal saya, kenapa? Saya ada buat silap ke? Tak kan? “
     “ Saya cuma risaukan awak! Salah ke? “
     Hannah sudah terpempan. Serta-merta tangisnya terhenti. Terkejut dengan kata-kata Firdaus, dia memandang lelaki itu dengan perasaan yang bercampur-baur. Begitu juga dengan Firdaus. Dia tidak menyangka bahawa kata-kata itu yang bakal diungkapkannya. Rasa bimbang terhadap Hannah melebihi dari segala-galanya sehingga dia meluahkan isi hati yang ingin dipendam. Suatu rasa yang mula bertapak di hati dengan kehadiran Hannah di dalam hidupnya.
     “ Ehem, saya.. saya dengan Ganesh dan.. “ Kata-kata Hannah dipintas oleh Firdaus. Lelaki itu kelihatan amat bimbang dengan kedutan yang melatari di dahi.
     “ Apa? Ganesh? Ah, tak payah kerja over time! Pergi balik sekarang. Call siapa-siapa untuk datang ambil awak.. “
     “ Eh, asal pula? Tak ada! Saya dah janji nak kerja over time hari ni. Okaylah, saya pergi dulu! “ Terlerai jua pautan Firdaus di lengannya. Dia segera melarikan diri dan menjauhi lelaki itu. Jeritan Firdaus yang memanggilnya dibiarkan tidak bersahut. Dia menonong masuk terus ke dalam bangunan tempatnya bekerja. Keluhan dilepaskan setelah dia pasti kelibat Firdaus tidak kelihatan.

     “ Rash, let me switch off the lights. You may go. I’ll check around to make it sure, “ ujar Hannah dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Rasa selesa berkawan dengan pekerja berbangsa asing itu menyebabkan tiada jurang antara mereka dalam persahabatan yang terjalin. Hati budi Rash membuatkan Hannah menghormati lelaki yang merupakan salah seorang rakan sekerjanya itu.
     “ Oh, okay if you say so. “ Rash hanya akur. Senyuman Hannah dibalasnya.
     “ But, do you see Ganesh? Where’s he? “ Matanya meliar memandang sekeliling mencari kelibat Ganesh. Tetapi, hampa apabila tempat kerja mereka sudah lengang dan menjadi sepi. Ramai pekerja pulang pada petang tadi. Hanya mereka bertiga yang diberikan tanggungjawab untuk mengawal mesin yang beroperasi hingga lewat malam.
     “ I don’t know. I think he just got here and disappear. Maybe he’s already home without our knowing.
     “ Oh, really? “ Perasaan pelik mulai bertamu di hati. Hannah tersenyum hambar apabila Rash meminta izinnya untuk pulang terlebih dahulu. Tentang Ganesh dibiarkan tanpa mengetahui sebab lelaki itu menghilangkan diri.
     Kawasan tempat kerja di bahagian pembungkusan yang luas kelihatan seram dengan suasana yang sunyi dan dingin. Satu persatu suis lampu ditutup. Hannah mengagahi dirinya untuk meninjau ke seluruh tempat untuk memastikan tiada sebarang perkakas elektrik yang terpasang. Meremang bulu romanya apabila suasana menjadi gelap. Dan dia terjerit kecil saat bahunya dipegang lembut oleh seseorang, lantas dia menoleh. Lega sedikit rasanya melihat kehadiran Ganesh di situ.
     “ Ya Allah, Ganesh! Apa yang you buat dekat sini? Tak balik lagi? “ tanya Hannah tercungap-cungap. Dadanya yang berentak laju kerana terlalu terkejut tadi diusap-usap perlahan. Wajahnya diangkat untuk memandang Ganesh yang hanya berdiam. Dia terus mengerutkan dahi hairan dengan keadaan lelaki itu yang berpeluh.
     “ You okay? Tak sihat ke? “
     “ Saya suka sama you.. “ luah Ganesh perlahan dan mendayu. Dia mula melangkah mendekati Hannah yang tercengang.
     Tersentak dengan pengakuan berani Ganesh itu, Hannah bertindak membuka langkah seribu dan beredar dari situ. Saat dia gagal memulas tombol pintu keluar dari tempat kerja, seluruh tubuhnya menggigil ketakutan. Sedaya-upaya dia mencuba membuka pintu yang dipercayai telah terkunci dari luar tetapi usahanya sia-sia. Dia menjerit sekuat-kuatnya hingga bagai hendak terkeluar anak tekak apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Ganesh.
     Air mata terhambur deras ketika dia merasakan tubuhnya diheret ke suatu sudut yang gelap. Sudah puas dia meronta-ronta minta agar dilepaskan. Namun, Ganesh sama sekali tidak mengendahkan dengan rayuannya. Dia juga berusaha menghalang tindakan rakus lelaki itu yang cuba melucutkan pakaiannya. Tetapi, kudratnya menjadi lemah apabila Ganesh menamparnya berkali-kali. Terasa dunia berputar. Pandangannya menjadi berpinar-pinar. Dia menangis semahu-mahunya. Hanya doa yang dipanjatkan dengan linangan air mata.
     Bukk!
     Suatu bunyian kuat menampar gegendang telinganya. Terus tubuh Ganesh yang menghempap dirinya lenyap. Tiada lagi kucupan ghairah Ganesh yang meliar di sekitar lehernya tadi. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka melihat keadaan sekelilingnya yang gelap. Sekali-sekala kedengaran desahan nafas dan bunyi tumbukan yang saling berbalas. Hannah teresak-esak tatkala melihat figura yang amat dikenalinya sedang mendekati dirinya. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaannya dan betapa malu dirinya apabila terpaksa merelakan Firdaus melihat keadaanya yang tanpa seurat benang pun di tubuh.
     Firdaus menanggalkan kot hitamnya lalu dikenakan ke tubuh Hannah bagi menutupi aurat gadis itu yang terdedah. Dia turut mengalirkan air matanya apabila tangisan si gadis semakin kuat. Pantas tangannya menyeluk telefon bimbit di kocek dan nombor Qaneef didail. Tubuh Hannah dipeluk kejap bagi menenangkan si gadis. Tudung bawal yang dipercayai milik Hannah yang tercampak di suatu sudut diambil. Segera dia mengenakan tudung tersebut ke kepala Hannah menutupi rambut gadis muda itu yang terurai.
     Dengan berhati-hati, tubuh Hannah dicempungnya dan dibawa keluar dari tempat gelap itu dengan bantuan Qaneef yang baru tiba. Terlopong Qaneef melihatkan keadaan mereka berdua. Wanita itu melakukan tugasnya tanpa banyak soal. Diletakkan tubuh Hannah di atas katil di bilik sakit yang terdapat di kilang. Sejurus itu, dia berlalu dan menunggu di bangku di luar bilik. Ditinggalkan Qaneef dan Hannah. Memberi ruang privasi.
     Beberapa minit kemudian, terkuak pintu bilik dan terjengul wajah Qaneef yang dilanda kerisauan. Qaneef melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Firdaus. Lelaki itu mengangkat wajah memandang pembantu peribadinya.
     “ How’s she? “
     “ What’s actually just happened? Who’s did this to her? “
     Firdaus meraup wajahnya. Keluhan berat dilepaskan. Tidak dapat menahan sebak, dia mengalirkan air matanya di hadapan Qaneef. Tersendu-sendu dia menceritakan hal yang terjadi sebentar tadi. Kejadian yang hampir meragut maruah Hannah.
     “ Encik Firdaus, Hannah okay. Dia tertidur. Mungkin terkejut dengan apa yang dah berlaku. Pergilah jenguk dia sekejap. Jangan risau, saya ada di sini. Saya tunggu di luar. “ Qaneef tersenyum. Baru kini dia mempercayai telahannya selama ini. Benarlah bahawa ketuanya itu menyukai Hannah. Bukan setakat itu, dia juga yakin bahawa Firdaus terlalu menyayangi Hannah. Dan kenyataan yang lebih mengejutkan, Firdaus telah jatuh cinta kepada Hannah. Pertama kalinya dia melihat Firdaus mengalirkan air mata kerana orang lain. Jelas kebimbangan di seraut wajah itu terhadap keadaan Hannah.
     Firdaus bangkit dan menuju ke bilik sakit. Perlahan-lahan dia mendekati Hannah yang terbaring lemah di atas katil. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi plastik yang terletak berdekatan dengan Hannah. Wajah gadis muda itu yang pucat diperhati asyik. Dia dapat melihat bibir Hannah yang pecah dan pipi gadis itu yang lebam dan mula membiru. Air mata Firdaus meleleh untuk sekian kalinya.
     “ Maafkan saya. Ini semua salah saya! Kalaulah saya halang awak dan selamatkan awak lebih awal, awak takkan cedera sebegini teruk. Maafkan saya. “

     “ Kak Qaneef! “ laung Hannah sambil terkocoh-kocoh mendapatkan Qaneef yang mula menjauh. Dia tersenyum meleret apabila wanita itu berhenti melangkah dan memalingkan muka ke arahnya. Qaneef juga tersenyum kecil.
     “ Ya Allah, kenapa kelam-kabut sangat ni? Ada apa hal nak jumpa akak? “ Diberikan kesempatan kepada Hannah untuk mengaturkan kembali nafas yang tercungap-cungap. Kasihan dia akan gadis itu yang termengah-mengah ekoran mengejarnya tadi.
     “ Nah, ada hadiah untuk akak! Tapi, hadiah tu taklah mahal. Hadiah yang saya mampu beri.. “ ujar Hannah perlahan. Wajahnya ditundukkan ketika sebuah bungkusan hadiah bertukar tangan. Malu pula rasanya apabila dia hanya mampu beri hadiah yang tidak seberapa kepada orang atasan. Takut juga kalau-kalau niat murninya tidak diterima. Tetapi wajahnya didongakkan memandang pelik ke arah Qaneef yang mentertawakannya.
     “ Ish, ada ke cakap macam tu! Kalau dah namanya hadiah, takkanlah akak nak minta yang lebih-lebih pula. Chopp! Ni kenapa tiba-tiba bagi akak hadiah? Birthday akak lambat lagi la, sayang oi! Encik Firdaus tu yang birthdaynya esok. Patutnya dia yang dapat hadiah. By the way, thanks a lot for this gift. Just a burdensome.
     Air muka Hannah berubah kelat. Dia terasa ingin menangis. Apa yang disampaikan oleh Qaneef menyentap jiwanya. Hannah tidak betah berada di situ. Dia ingin berlalu tetapi dihalang oleh Qaneef. Wanita itu terlebih dahulu memaut lengannya sebaik hairan dengan tingkahnya yang aneh. Dengan lelehan air mata, Hannah membalas pandangan Qaneef.
     “ Hannah, kenapa ni? Beritahu akak. Kenapa Hannah menangis? Apa yang dah berlaku? Hannah, beritahu akak! Jangan buat akak risau. “ Qaneef menarik Hannah ke suatu tempat yang lebih terselindung. Jauh dari pandangan orang ramai. Tubuh Hannah digoncang-goncangnya tatkala si gadis hanya mendiamkan diri dengan air mata yang mengalir lebat.
     “ Akak, esok hari terakhir Hannah bekerja dekat sini. Hannah.. birthday Encik Firdaus.. “
     Kaki terasa lemah berdiri di bumi yang nyata. Fikirannya buntu. Air mata yang dihamburkan semakin lebat. Pandangannya kabur melihat Qaneef yang masih setia berada di sisinya. Dia teresak-esak setiap kali mengingatkan Firdaus. Hatinya pedih dan terluka apabila melibatkan Firdaus. Hannah terduduk di lantai simen. Qaneef melutut sambil menghadapnya dan sentiasa memujuknya.
     “ Akak, saya.. saya sukakan Encik Firdaus. Saya sukakan dia sangat-sangat. Saya.. “
     “ Akak dah lama tahu. Akak dah tahu yang Hannah sukakan Encik Firdaus. Tak perlu beritahu pun, akak tahu perasaan Hannah kepada Encik Firdaus. Sebab akak pun seorang perempuan. Akak tahu pandangan Hannah kepada Encik Firdaus berlainan. Akak juga maklum perasaan Encik Firdaus kepada Hannah.. “ Lenguh kakinya melutut, Qaneef juga melabuhkan punggung bersebelahan Hannah di atas simen yang sejuk dan keras.
     “ Hah? Apa maksud akak? Hannah.. “
     “ Hannah, dengar cakap akak betul-betul. Encik Firdaus juga sukakan Hannah. Dia.. terlalu sayangkan Hannah. “
     “ Hah? “

     Sebuah bungkusan hadiah yang dibalut kemas terletak elok di atas meja. Sekali-sekala tumpuannya terganggu dek bungkusan tersebut. Anak matanya selalu terarah memandang hadiah yang diberikan Hannah sebentar tadi. Kerja yang sepatutnya diselesaikan tergendala. Hatinya berkecamuk kini. Fikirannya terganggu. Berita Hannah berhenti bekerja membuatkan hatinya berasa sakit. Sakit yang amat. Firdaus mengeluh.
     Dia tersandar lemah ke kerusi. Tentang Hannah selalu menjadikan hari-harinya serba tidak kena. Sehinggalah ke saat ini, perasaannya terhadap Hannah tidak pernah berubah. Semakin lama dia ingin membuang perasaan itu, semakin sayang dia kepada gadis itu. Mungkin ramai yang tidak mempercayai tetapi hakikatnya dia tidak pernah berpengalaman bercinta. Tidak pernah dia menyayangi kaum wanita sebegini rupa. Sebelum ini, wanita-wanita yang berada disekelilingnya hanya dianggap sebagai kawan. Tidak lebih daripada itu.
     Firdaus bangkit dan berjalan menuju ke tepi jendela. Dapat dia melihat suasana luar pejabatnya yang mendung sebagai petanda hujan bakal membasahi bumi. Masih berdiri di tepi jendela sambil termenung jauh, kehadiran Qaneef di situ tidak disedari. Firdaus hanya tersedar sebaik dia ditegur oleh pembantu peribadinya. Dia berpaling memandang Qaneef.
     “ Encik Firdaus, Hannah.. “
     “ I tahu. Dia datang tadi. “ Terlebih dahulu kata-kata Qaneef dipintasnya.
     “ So.. you wouldn’t go after her.. ? “ Jelas Qaneef terkejut dengan tindakan Firdaus yang hanya berdiam diri walaupun mengetahui Hannah sudah berhenti kerja. Luahan hati Hannah semalam membuatkannya berasa sebak. Tegarnya Firdaus memperlakukan Hannah sebegini.
     “ How could I? I don’t have any rights to not let her go.
     “ Encik Firdaus! “
     “ What? Salah ke I lepaskan dia? Masa depannya di luar sana. Dia terlalu muda untuk tahu perasaan I.. “ ujar Firdaus lemah. Air mata lelakinya mengalir. Dia mengepal penumbuk menahan gelodak perasaan. Di hadapan Qaneef, dia telah mengalirkan air mata tanpa segan silu. Semuanya kerana Hannah. Hanya tentang Hannah.
     Qaneef yang terpempan melihatkan keadaan Firdaus turut bergenang air mata. Serba sedikit dia terkena tempias kesedihan yang ditanggung lelaki itu. Firdaus yang dikenalinya tidak mudah lemah kerana sesuatu masalah. Tidak pernah dia melihat air mata Firdaus meleleh sepanjang dia berkhidmat. Dia yakin bahawa Firdaus merupakan seorang lelaki yang tabah dalam menghadapi apa jua halangan. Tetapi apabila melibatkan soal hati dan Hannah, lelaki itu benar-benar tersungkur. Tiada lagi ketenangan lelaki itu menyelesaikan dugaan yang mendatang. Hannah punca Firdaus lemas dalam lautan rasa.
     “ Biarlah dia pergi. Hidupnya masih panjang. Dia bakal berjumpa bermacam-macam orang nanti. Dan dari situ, dia akan lupakan I. I mengaku yang I tewas dalam rasa sayang I kepada dia. I tak pernah sangka yang I akan jatuh cinta. I tak menyangkakan bahawa cinta I kepadanya membuatkan I rasa sakit. Hati I rasa sakit, Qaneef. Sakit sangat.
     Walaupun I ingin dia berada di sisi I, I terpaksa lepaskan dia. Dia akan menyesal kalau bersama-sama I, so before I made her more suffer I let her go. I yakin dia akan berjaya dan menjadi wanita yang sempurna. I yakin yang Hannah akan hidup bahagia dengan orang lain. “
     Hujan lebat di luar pejabat menarik perhatiannya. Firdaus kembali termenung di tepi jendela dengan lelehan air mata. Tidak dipedulikan Qaneef yang masih berada di situ. Titisan air hujan di cermin tingkap membuatkan hatinya bertambah sayu. Dilekapkan telapak tangan di cermin tingkap. Dingin. Dipejamkan kedua belah matanya kejap. Menelan rasa perit yang bertamu.
     Bukk!
     Refleks Firdaus berpaling mencari arah bunyi kuat itu. Terbeliak matanya memandang Hannah yang terjelepuk di lantai. Kelihatan gadis itu comot dengan pakaian yang basah kuyup. Begitu juga Qaneef yang terlopong. Namun, sesaat kemudian pembantu peribadinya itu meminta izin untuk beredar. Meninggalkannya berduaan dengan Hannah. Tidak pula dia membantu Hannah yang sedaya-upaya untuk bangkit. Dia masih terpempan.
     Usai dia mampu berdiri untuk berhadapan dengan Firdaus, Hannah melangkah beberapa tapak mendekati lelaki itu. Dia menangis semahu-mahunya dengan menggenggam tangannya yang menggeletar. Bibirnya terketar-ketar melawan tangis yang hebat. Dia merenung Firdaus dengan mata yang penuh bergenang dengan air mata.
     “ Saya sukakan Encik Firdaus! Saya tak kisah kalau encik nak tuduh saya perempuan yang tak reti malu. Saya juga tak kisah kalau encik nak anggap saya sebagai perempuan tak ada harga diri. Tapi sekurang-kurangnya, saya .. saya dah luahkan perasaan sebenar saya kepada encik. Jujur saya katakan, saya bukan setakat suka kepada encik. Saya sayang encik. Saya cintakan .. encik.. “ Setitik air mata menitis di pipi, namun tidak pula Hannah mengesatnya. Terus-menerus matanya menjamah wajah Firdaus.
     Semakin lebat butir mutiara jernih yang mengalir di tubir mata Hannah dengan senyuman mengejek Firdaus. Sakit, perit dan pedih. Itu yang dirasakannya apabila lelaki itu seolah-olah mempersendakan perasaannya yang tulus. Cuba dia mengusir kata-kata nista Firdaus tetapi ternyata dia tidak mampu. Semakin dia ingin bersama-sama Firdaus, semakin lelaki itu menolaknya jauh.
     “ Buat apa awak datang sini? Kalau awak nak pergi, tak perlu berpatah balik. Tak perlu nak mengemis di sini. Baguslah kalau awak sedar yang awak memang perempuan yang tiada harga diri. Bagi saya, awak bukanlah siapa-siapa. Maaf sebab saya tiada perasaan langsung kepada awak. Awak bukan perempuan idaman saya. Sedarlah, awak tu budak-budak lagi! Jangan nak mengarut dengan soal hati.
     Sebelum awak lafaz pasal suka, sayang dan cinta, awak pasti awak faham apa yang dimaksudkan dengan semua tu? Kalau tak, jangan pernah terfikirkan benda remeh macam tu lagi. Saya benci! Semua tentang awak, saya tak suka. Kewujudan awak membuatkan hidup saya semakin sukar. Awak beban bagi saya. Terus-terang saya cakap, tak pernah terdetik di hati saya walaupun sekali untuk menyukai awak. Saya tak pernah terfikir untuk menyayangi perempuan macam awak. Dan saya.. saya pasti.. saya takkan jatuh cinta kepada awak. Buang perasaan awak yang sia-sia tu jauh-jauh.. “
     Tubuh dikalihkan daripada berhadapan dengan Hannah. Firdaus kini menghadap jendela tanpa mengendahkan Hannah yang terpempan dengan kata-katanya. Dia melarikan anak matanya untuk tidak bertentangan dengan Hannah. Bunyi derapan langkah Hannah yang semakin menjauh membuatkan hatinya berasa sakit yang amat. Setelah kelibat Hannah menghilang, Firdaus terduduk lemah di tepi jendela. Air mata dihamburkan menangisi pemergian Hannah, cinta pertamanya dari dakapannya.

6 tahun kemudian.
     “ Woi, Hannah! Cepatlah sikit. Lembablah kau ni! “ teriak Qisya dari jauh. Langkah Hannah yang perlahan mengundang amarahnya. Bukan beriya-iya Hannah mengajaknya berjoging di Taman Jaya memandangkan hanya taman tasik itu yang berdekatan dengan rumah sewa mereka menginap. Tetapi, gadis itu pula yang buat kerenah. Hannah bukannya berjoging, buat catwalk adalah! Apabila ditegur, rakan serumahnya itu hanya membuat muka malah mengendahkannya. Siapa yang tidak sakit hati, kan?
     Belum sempat Qisya ingin melontarkan suaranya dengan not yang lebih tinggi, telefon bimbitnya berdering tiba-tiba. Menandakan ada pesanan yang masuk. Saat matanya melihat ke skrin telefon bimbit, dia mengukir senyuman mendapati nama Hannah yang tertera. Gadis itu menghantarnya pesanan.
     Qisya, kau balik dululah! Aku nak merayau jap. Tiba-tiba, rasa tak sedap hati.
     Berkerut sudah dahi Qisya menghadam pesanan yang dikirim Hannah kepadanya. Dari kejauhan, jelas wajah Hannah yang kebingungan dan berbaur kecewa. Tempoh dua tahun mengenali Hannah cukup untuk dia mengetahui sejarah hidup yang pernah dilalui oleh gadis tersebut. Sejak awal perkenalan lagi, sukar benar untuk melihat Hannah tersenyum. Hannah hanya berlagak selamba dengan riak yang suram. Seraut wajah itu jelas terpampang rasa derita yang ditanggung.
     Pernah juga Qisya terkejut dengan kelakuan Hannah yang meracau-racau dalam lena. Bibir Hannah tanpa disedari menyebut nama seseorang yang mungkin telah melakar lautan luka untuk diri si gadis. Firdaus. Hanya nama itu yang sering meniti di bibir mungil Hannah. Kadang-kala, Qisya dan beberapa orang rakan serumah mereka mengeluh dengan sikap pendiam Hannah. Sukar untuk mereka bergaul dengan Hannah dan seperti Hannah juga enggan mewujudkan sebuah ikatan persahabatan antara mereka. Namun, Qisya mula memahami keperibadian Hannah yang sebenar. Diri Hannah bukanlah seperti yang ditunjukkan tetapi berselindung disebalik topeng sandiwara menjadi pilihan.
     Sebak mula menyelebungi dada yang sesak. Dengan jelas, Qisya melihat Hannah menukar haluan. Hannah menyeberang jalan dan berjalan menjauhi tempat dia berdiri tegak kini. Tanpa mampu berbuat apa-apa, dia akur dengan permintaan Hannah dalam keterpaksaan. Kerisauannya mendorong dia untuk membalas pesanan Hannah.
     Hannah, jaga diri baik-baik tau! Jangan lupa jalan balik. Dan jangan balik lewat.
     Sesaat kemudian, pesanannya dibalas kembali.
     Ye, aku tau. Thanks.

     Jam di pergelangan tangan dikerling. Bagai baru tersedar, Hannah bangkit dan mula melangkah beredar dari taman tasik itu setelah waktu merangkak ke senja. Terkejut juga apabila menyedari sudah dua jam dia menghabiskan masa dengan hanya termenung panjang sambil menikmati suasana tasik yang tenang. Dada langit yang memancarkan sinar mentari yang terbenam mengiringi langkah Hannah menuju ke stesen komuter. Dia perlu pulang ke rumah dengan kadar segera agar Qisya tidak risau akan dirinya. Sudah terlalu banyak kali rasanya dia menyusahkan Qisya. Dia tidak lagi mahu memberikan beban kepada rakannya itu.
     Usai berdiri di hadapan mesin pembelian tiket, Hannah menyeluk kocek untuk mengambil wang kertas. Stesen yang dituju dikenal pasti sebelum wang kertas di tangan diunjukkan ke dalam lubang kecil pada mesin tersebut. Namun, dia berasa pelik tatkala wang kertas miliknya tidak diterima. Beberapa kali cubaan dia mula hampa kerana semuanya gagal. Keluhan halus dilepaskan.
     Melihat si gadis mengeluh, Firdaus yang berada di mesin sebelah tersenyum lucu. Matanya masih ditalakan ke seraut milik gadis yang buntu dengan mesin pembelian tiket kerana kelalaian sendiri. Sedari kehadiran gadis itu, hatinya mula dipagut suatu rasa. Dia yang juga ingin membeli tiket terhenti lantaran kewujudan gadis tersebut di situ. Tidak ralat membiarkan gadis yang tidak diketahui namanya kebingungan sendirian, Firdaus menegur empunya badan.
     “ Err .. cik! Mesin tu hanya untuk kegunaan kad aja. Kalau nak guna duit, guna mesin yang saya tengah guna ni. “ Senyuman ikhlas dihadiahkan. Jujur niatnya hanya untuk membantu. Tangannya juga diunjukkan ke papan tanda atas mesin pembelian tiket yang membuktikan penggunaan kad sahaja.
     “ Oh, yeke? Err .. saya tadi .. “ Mata Hannah terbeliak. Tidak percaya dengan siapa dia berhadapan kini. Wajah lelaki itu! Terus lidahnya kelu memandang Firdaus yang sentiasa dirinduinya sejak enam tahun lalu, kini sedang berdiri di hadapannya. Bagaikan mimpi! Dia tercegat tanpa sebarang kata walau sepatah. Baki kekuatan yang ada ditagih menghadapi kisah silam yang kembali terlayar.
     Firdaus juga bagai terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan gadis bertudung hitam itu. Mata si gadis yang mula digenangi air mata setelah mereka bersua muka dan bertentang mata menimbulkan seribu satu persoalan di benaknya. Dia mendekati gadis itu yang menekurkan wajah bagi mengelak daripada mereka bertembung mata.
     “ Cik, kenapa ni? Saya minta maaf kalau saya buat silap. Niat saya hanya nak bantu cik aja. Tak terniat langsung nak mempersendakan cik atau .. “ Kata-kata Firdaus pantas dipintas oleh Hannah yang mendongakkan wajah dengan linangan air mata.
     “ Encik Firdaus .. Encik tak ingat .. saya ke? “ tanya Hannah dengan sendu. Mata-mata yang memandang di sekitar tempat mereka berdua berada tidak dipedulikan. Apa yang lebih mustahak, dia menagih sebuah jawapan daripada Firdaus. Selama enam tahun dia gila bayang kerana lelaki itu. Hidupnya tunggang-langgang tanpa kehadiran Firdaus. Selama itu jugalah dia memendam rasa.
     Terlopong sudah dia apabila gadis yang tidak pernah dia kenali mengetahui namanya. Firdaus cuba mengingati wajah gadis itu kalau-kalau ternyata memang gadis itu kenalannya. Tetapi, dia tidak dapat mengecam si gadis. Semakin dia cuba mengingati semakin kepalanya berdenyut-denyut. Sambil jari-jemarinya menyentuh kepala yang terasa sakit, dia merenung wajah si gadis tanpa jemu.
     “ Macam mana .. cik tahu nama saya? “ Firdaus kebingungan.
     Hannah sudah teresak-esak di hadapan Firdaus. Seluruh tubuhnya menggigil menahan kepedihan yang menjalar di segenap dadanya. Sungguh! Dia terlalu terkejut dengan kenyataan lelaki itu yang tidak mengenalinya. Selepas 6 tahun, Firdaus sudah melupakannya? Mustahil! Apa yang telah berlaku terhadap Firdaus?  Adakah Firdaus mengalami tamparan hebat sepanjang ketiadaannya? Atau lelaki itu telah berkeputusan untuk melupakan tentang dirinya?
     Melihat Firdaus yang pelik dengan dirinya, Hannah semakin berasa hiba. Sungguhkah Firdaus tidak mengenalinya? Ya Allah, apa yang telah berlaku kepada lelaki itu? Lupa ingatankah dia? Juraian air mata di pipi di kesat kejap sebelum dia kembali bersuara. Hannah menghembuskan nafasnya perlahan-lahan. Menenangkan hati yang lara.
     “ Saya minta maaf. Saya tersilap orang. Saya pergi dulu, “ ujar Hannah seraya berlalu. Langkahnya semakin laju meninggalkan Firdaus yang masih berdiri tercegat. Dia kembali mengalirkan air mata apabila yakin kelibatnya menjauh daripada sisi Firdaus.

     “ Akak minta maaf, Hannah. Akak tak sepatutnya rahsiakan tentang Encik Firdaus daripada pengetahuan Hannah. Apa yang berlaku terhadap Encik Firdaus, semuanya ketentuan-Nya. Puan Marisah yang arahkan akak untuk rahsiakan hal kemalangan pada hari Hannah berhenti kerja dulu. Dan sebelum Encik Firdaus mengalami kemalangan tersebut, dia cuba cari dan dapatkan Hannah. Tapi Hannah dah pergi. Encik Firdaus kena rempuh dengan sebuah kereta atas kelalaian dirinya. Bukan salah Hannah! “
     Bahu Hannah yang terenjut-enjut menangis disentuh lembut. Qaneef turut bersedih atas setiap perkara yang menimpa kepada bekas majikannya dan Hannah. Bagaikan suatu keajaiban, Firdaus dan Hannah ditemukan kembali walaupun enam tahun telah berlalu. Hannah tetap mencintai Firdaus seadanya dengan keadaan lelaki itu yang tidak mengingati tentang dirinya.
     Kepalanya yang dilitupi sehelai selendang terasa berpinar-pinar kerana terlalu lama menangis digeleng-gelengkan perlahan. Air mata masih mengalir laju. Tangan Hannah meraih tangan Qaneef disebelahnya. Sambil meluahkan perasaan yang terpendam buat sekian lamanya, Hannah menagih sebuah penjelasan daripada wanita yang berhadapan dengannya kini.
     “ Akak, saya menyesal dengan tindakan saya dulu. Saya tak pernah cuba memahami perasaan Encik Firdaus. Saya terlalu pentingkan diri sendiri dan akibatnya Encik Firdaus yang menjadi mangsa keadaan. Saya mohon kepada akak, bantulah saya! Saya ingin kembali ke pangkuan Encik Firdaus. Saya nak dia ingat balik tentang saya. Cukuplah tempoh enam tahun saya memendam rasa. Saya tak mampu lagi nak tanggung seorang diri. Saya.. saya cintakan Encik Firdaus .. “ ujar Hannah tersedu-sedan.
     Qaneef menjadi serba-salah. Segala tindakannya selama ini atas kehendak dan menurut perintah Puan Marisah kelihatan salah dan tidak sepatutnya dilakukan. Dia telah pun memisahkan dua hati yang saling mencintai tanpa disedari. Oleh kerana tindakannya jugalah dia telah membuat orang lain menderita. Kesalnya dia tidak terungkap oleh kata-kata.
     Tergamak dia melukakan Encik Firdaus yang tidak pernah berbuat salah kepadanya, malah bekas majikannya itu selalu melayaninya dengan baik sekali. Walaupun dia sedia maklum akan perasaan Encik Firdaus kepada Hannah, masih dia mengotorkan tangannya bersubahat dengan Puan Marisah menyembunyikan perihal lelaki itu daripada pengetahuan Hannah. Sepatutnya Qaneef membantu Encik Firdaus memulihkan semula ingatan dan kembali mencari cintanya.
     “ Tapi Hannah, akak .. “
     “ Kenapa, kak? Kenapa Puan Marisah nak sembunyikan tentang Encik Firdaus daripada saya? Apa salah saya? Saya tak pernah berniat untuk memusnahkan hidup Encik Firdaus. Saya .. “
     “ Hannah! Puan Marisah dah ada calon isteri untuk Encik Firdaus. Bila khabar angin tentang Hannah dan Encik Firdaus tersebar di kilang dulu, puan dah merancang pun untuk pisahkan kau orang berdua. Puan ada calon yang lebih sesuai dan setaraf dengan mereka. Memang salah akak sebab bersubahat dengan puan tapi akak buat semua ni juga untuk selamatkan Hannah. Akak tak nak puan apa-apakan Hannah nanti. “
     “ Kak, takkan apa-apa yang berlaku pada saya! Saya takkan tinggalkan Encik Firdaus lagi. Saya rela tempuh apa jua halangan untuk bersama-sama dengan Encik Firdaus. Macam mana saya cintakan Encik Firdaus, saya percaya dia pun cintakan saya. Keputusan saya muktamad! “ tekad Hannah sambil dia mula bangkit ingin berlalu. Tas tangan dicapai sebelum dia berpaling kepada Qaneef yang terduduk kaku. Sisa-sisa air matanya dikesat sebentar dengan sehelai tisu. Hannah tersenyum nipis.
     “ Terima kasih, kak. Akak dah banyak berjasa kepada saya. Saya faham akan niat baik akak. Saya tak salahkan akak. Tapi, janganlah halang saya untuk cari cinta saya. Seikhlas hati saya menyayangi dia. Percayalah, kalau sudah tersurat Encik Firdaus jodoh saya, kami tetap bersatu. Saya minta diri dulu. “
     Salam yang diberi oleh Hannah dijawab perlahan oleh Qaneef. Dari jauh, dia melihat si gadis yang telah menginjak dewasa dan semakin berfikiran matang itu berlalu pergi. Apabila kelibat Hannah sudah lenyap, Qaneef juga bangkit dan menuju kembali ke pejabatnya. Hatinya terasa lapang dan lega. Kisah cinta bekas majikannya sudah hampir tiba ke penghujung. Kata-kata Hannah yang begitu tekad untuk meraih cinta Firdaus benar-benar membuatkan rasa kesalnya berkurangan. Terukir senyuman bahagia di bibirnya.
     “ Apa yang Encik Firdaus inginkan selama ni sudah tercapai. Hannah telah menjadi wanita yang sempurna dan selayaknya berdamping dengan encik .. “

     Di tempat dan stesen yang sama, Hannah sabar menanti kehadiran seseorang. Seseorang yang telah mencuri hatinya pada enam tahun yang lalu hinggalah saat ini. Lelaki pertama yang berjaya mendapat tempat di ruang hatinya. Sumber inspirasi dan punca dia berazam untuk menjadi seorang wanita yang sempurna agar dia mendapat kelayakan untuk berada di samping sang jejaka.
     Kepalanya tertoleh ke kanan dan kiri beberapa kali. Melilau matanya mencari kelibat Firdaus. Meski dia mula berasa hampa dan ingin mengalah, ditabahkan juga hatinya untuk menunggu si dia. Dua jam yang telah berlalu sungguh menyesakkan jiwa. Wajahnya menekur ke lantai saat air mata serasa ingin mengalir kerana sebak. Mengalir juga air matanya membasahi pipi, namun esakannya terhenti tatkala dia melihat seseorang berdiri tegak di hadapannya.
     Hannah perlahan-lahan mendongakkan kepala memandang si gerangan. Betapa dia terharu dan gembira apabila seraut wajah Firdaus menyapa pandangannya. Spontan Hannah meraung di ruang menunggu stesen komuter itu. Orang ramai yang memandang pelik sama sekali tidak dihiraukan. Hanya Firdaus yang menjadi tumpuannya kini. Dalam pandangannya yang samar-samar kerana mata yang digenangi air mata, Hannah terpegun dengan tindakan Firdaus yang selamba melutut di hadapannya.
     Lebih mengejutkan tatkala lelaki itu mengeluarkan suatu bekas baldu berwarna merah dari kocek lalu diunjukkan kepadanya. Hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya dia ketika ini. Hannah membalas renungan Firdaus yang tidak lepas dari wajahnya sejak dari tadi. Berkerut keningnya memohon penjelasan daripada si dia. Firdaus yang memahami lantas bersuara.
     “ Maafkan saya, Hannah. Saya mengambil masa yang lama untuk mengingati awak kembali. Dan saya telah berjaya mengumpul semua kenangan dan memori tentang awak. Saya juga takkan pernah mengalah untuk mencari cinta awak. Kini, saya berharap awak sudi terima cinta saya.
     Nurul Hannah binti Zulkeffli, sudikah awak menjadi yang halal untuk saya? Yang sentiasa berada di sisi saya dan terima cinta saya? “
     Hannah menghamburkan air mata gembiranya. Tanpa berfikir panjang, dia pantas menganggukkan kepalanya bersetuju dan menerima lamaran Firdaus. Bekas baldu berwarna merah kini telah bertukar tangan. Penutup bekas tersebut dibuka dan sebentuk cincin bertatahkan berlian singgah di mata. Terharunya dia dengan lamaran mengejut Firdaus dan hadiah yang diberikan oleh lelaki itu. Cincin berlian pemberian Firdaus disarungkan ke jari manisnya.
     Untuk seketika Hannah terbuai dalam dunianya sendiri sebelum darahnya menyerbu ke muka melihat orang ramai yang mengelilingi mereka berdua dan menjadi penonton ‘drama pendek’ yang berlangsung sebentar tadi. Firdaus di sisi sudah menunduk malu dengan tepukan gemuruh orang ramai di tempat awam tersebut.
     “ Sayang, jom kita pergi dari sini. Malulah orang tengok, “ bisik Firdaus dengan wajah yang sudah berona kemerah-merahan. Comel sangat! Dengan kelebihan lelaki itu yang berkulit putih melepak, senang benar wajahnya bertukar warna. Dah macam buah strawberi dah muka mamat ni!
     “ Chop! Sebelum tu, macam mana pula dengan Puan Marisah? Terima ke puan dengan saya ni? “ tanya Hannah dengan suara yang bergetar. Dadanya bagai nak pecah tatkala direnung oleh Firdaus.
     “ Pasal ibu, jangan risau. Nanti saya uruskan. Saya yakin ibu boleh terima pilihan saya. Terima awak. “
     “ Betul ke? Saya tak ada apa-apa. “
     “ Siapa cakap awak tak ada apa-apa? Awak ada saya dan cinta saya. Saya takkan lepaskan awak lagi. Dan saya takkan benarkan awak tinggalkan saya lagi. Dah, jom! “
     “ Eh, kejap! Macam mana Encik Firdaus boleh ingat saya balik? Cuba cerita! “
     “ Ya Allah, tu nanti-nantilah saya cerita! Jomlah, dah tebal muka saya dekat sini.. “
     “ Macam pelik aja Encik Firdaus boleh pulih ingatan dalam waktu yang singkat .. “
     “ Nurul Hannah Zulkeffli! Dah habis cakap? “ Berkelip-kelip mata Hannah dengan pertanyaan Firdaus yang kedengaran sungguh sarkastik. Terus terkelu lidahnya untuk berkata-kata seperti tadi. Lelaki itu menghampirinya dan wajah mereka benar-benar dekat.
     “ Sayang, saya hanya akan sayang dan cinta awak seorang. Sebab tu, saya akan sentiasa mengingati awak walau saya akan lupa ingatan. Saya cintakan awak, Hannah. Ada apa-apa soalan lagi? “
     Hannah menggeleng-gelengkan kepala.
     “ Okay, great! If there’s nothing else, shall we sayang? “
     Kepala dianggukkan perlahan. Malu pula dengan senyuman nakal yang terbit di bibir Firdaus. Mereka berdua mula berlalu dan bersama-sama menempuh hari depan dengan bekalan cinta mereka. Pencarian cinta sudah sampai ke titik noktah. Hanya usaha, doa dan tawakal yang mengiringi perjuangan mereka untuk kekal bersatu. Hannah dan Firdaus tersenyum bahagia sambil berjalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta.

TAMAT