Thursday, June 19, 2014

BUKAN SALAHKU

Bukan salahku.
2009.
     Sudah sebulan berlalu sejak dia dikhabarkan dengan berita penyatuan dua jiwa insan yang amat dia kenali dan sayangi. Namun, keadaannya tetap sama, malah hatinya semakin parah dalam meniti hari-hari tibanya detik dua mempelai tersebut bakal disatukan. Apa yang termampu, hanyalah mengalirkan air mata yang tidak henti-henti membasahi pipinya yang semakin cengkung ekoran tidak berselera makan akhir-akhir ini. Sesiapa pun yang melihat dirinya tika ini, pasti menganggap dirinya tidak ubah seperti mayat hidup yang terlantar di kamar sepi di suatu sudut rumah pangsapuri lima tingkat milik keluarganya.
     Air mata mengalir lagi melalui lekuk pipi. Entah untuk berapa kalinya butir-butir mutiara jernih itu membasahi wajah demi menggambarkan betapa perit dan deritanya rasa yang ditanggung kini. Farah tidak betah lagi berkeadaan sebegitu rupa. Pantas dia mengesat air mata yang berhamburan yang tiada penghujungnya dengan belakang telapak tangan. Dia segera menegakkan tubuhnya dan duduk bersila di lantai sambil bersandar pada dinding rumah. Matanya melorot jatuh pada cebisan-cebisan kertas yang berselerakan di hadapannya.
     Masih segar di ingatan Farah, saat dirinya disampaikan khabar gembira majlis perkahwinan antara Khairi dan Zeera. Bermati-matian dia mengingatkan bahawa berita itu hanyalah ura-ura yang dilampiaskan kepadanya demi merosakkan hubungan persahabatan antaranya dengan dua insan tersebut tetapi akhirnya dia jatuh terjelepuk di muka pintu rumah tatkala kiriman kad kahwin tiba. Bercucuran air mata sehinggakan matanya benar-benar sebam dan tidak mampu menitis lagi. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakit dan hancur sekeping hati wanita miliknya yang sememangnya rapuh ketika dimaklumkan lelaki yang dia sukai sejak zaman sekolah kini bakal menjadi suami sahabat karibnya sendiri.
     Ya Allah, sesungguhnya hanya Engkau yang mengetahui apa yang terbaik untukku dan orang-orang sekelilingku. Jikalau memang sudah tersurat Khairi bukan jodohku tetapi sebaliknya dia milik sahabat karibku, Engkau rahmatilah dan limpahkanlah mereka kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Ya Rabb, aku seorang hamba-Mu yang teramat lemah. Aku kini tidak berdaya untuk menempuh kenyataan yang Engkau bentangkan untukku kerana hatiku .. hatiku .. teramatlah sakit. Perit yang amat. Pedihnya hatiku hanya Engkau yang mengetahui. Justeru itu, Engkau simbahilah diriku dengan sekelumit iman agar aku tetap berdiri teguh dan menghadapi segala dugaan-Mu dengan penuh tabah. Amin.. amin.. amin.. Ya Rabbal Alamin.
     Farah memeluk lututnya yang secara tiba-tiba menggeletar kuat. Dadanya sungguh terasa berombak saat ini. Apabila terkenangkan meriahnya majlis perkahwinan Khairi dan Zeera, hatinya terus terasa sakit dan pedih bagai dihiris sembilu. Sekiranya dia mampu merawat luka separah ini, sudah lama dia mengubatinya.
Tutt.. tutt..
     Lamunannya terhenti. Farah menoleh ke arah meja tidur berdekatannya kejap. Hanya pandangan kosong yang mampu dilontarkan pada telefon bimbit berjenama Nokia yang sudah lunyai itu. Bergetar alat komunikasi tersebut menandakan ada mesej yang masuk ke dalam peti simpanan. Dia menahan nafas untuk seketika. Dia tidak mahu menerima apa-apa pun lagi berita atau khabar angin yang bisa menjadi racun untuk menghancurkan hatinya. Cukuplah dengan sakit yang sedia ada.
     Tutt.. tutt..
     Telefon bimbitnya bergetar lagi. Ini menandakan sudah dua mesej yang dihantar. Tanpa berlengah, perlahan-lahan tangan Farah mencapai telefon bimbitnya. Segera peti simpanan dibuka untuk membaca mesej yang diterima masuk.
     From : Emir
     To : Farah
     Farah, kau okay? Asal kau tak jawab call aku? Banyak kali tau aku call kau. Jawablah. Aku risaukan kaulah. Please, don’t do this to me.
     Setelah mesej pertama selesai dibaca, lekas Farah beralih membuka mesej kedua yang diterima. Setiap bait mesej tersebut dihadam perlahan-lahan. Bagai tak berfungsi otaknya tika ini. Lembabnya menjadi-jadi! Penangan melalak tak tentu pasallah ni. Terus otak tak boleh input maklumat.
     From : Emir
     To : Farah
     Takkan mesej aku pun kau tak nak reply? Farah, kau sakit ke? Aku minta maaf. Aku rasa bersalah sangat! Semua orang tengah risaukan kau.. including Khairi..
     Saat nama Khairi meniti dibibirnya, sekali lagi dia merembeskan air matanya. Habis seluruh wajahnya basah dek air mata yang seperti enggan berhenti mengalir. Farah terus-terusan menangis. Hatinya betul-betul kritikal. Hatinya terlalu mudah rapuh hanya kerana lelaki itu.
     Perlahan-lahan Farah membaringkan tubuhnya di lantai yang dingin membeku setelah seluruh fizikal dan mentalnya kepenatan melawan keperitan yang tak tertanggung. Tersedu-sedan dia melafazkan zikir dan selawat atas junjungan kekasih Allah SWT yang nan satu. Bahunya terenjut-enjut menahan esak. Matanya dipejam rapat-rapat kerana tidak ralat menderita keseorangan. Terlayar wajah Khairi dan Zeera yang bahagia bersanding di atas sebuah pelamin yang indah. Farah yang menjadi watak sampingan hanya melihat dari jauh. Dia kini benar-benar tenggelam dalam mimpi ciptaannya. Akhirnya, dia terlena sambil kelopak matanya tidak pernah kering dengan air mata.

     “ Hello, Farah! Kau free tak hari ni? Aku ingatkan nak ajak kau keluar kejap. Ada hal sikit “ Terasa dingin pelawaan Khairi di halwa pendengarannya. Memang. Terlalu dingin!
     Kalau betul dia tak ikhlas ajak aku keluar, buat apa susah payah dia ajak aku? Tak cukup lagi ke berita yang dia bawa untuk aku? Apa lagi niat dia? Apa motif dia?
     Tindakan Farah mendiamkan diri telah mengundang amarah Khairi di hujung talian. Kedengaran jelas dengusan kasar lelaki itu. Jelas ternyata lelaki itu terpaksa melakukannya. Mengajak dirinya keluar.
     “ Farah, aku tengah cakap dengan kau ni. Janganlah mengelamun! Dari sekolah lagi, perangai kau tak pernah berubah. Orang tanya, jawablah! “ Tak semena-mena Khairi meninggikan suaranya kepada Farah. Tiada rasa bersalah langsung yang terbit untuk si gadis. Hanya rasa geram yang menguasai kini. Peninglah! Perlu sangat ke pendapat si Farah yang blur tak habis-habis ni kepada Zeera?! Setakat nak pilih gaun pengantin, apalah sangat! Pendapat bakal suami lagi relevan kut!
     Farah tersentak. Segera dia menyusun kata membalas pertanyaan Khairi.
     “ Urmm .. Insyaallah, waktu lunch nanti aku free. By the way, kau nak ajak aku ke mana? “
     “ Okay, set! Tak payah banyak tanya. Pukul 12.30 nanti, aku pick up kau. “
     Tidak sempat untuk Farah memberi kata putus, Khairi terlebih dahulu menamatkan panggilan. Betul-betul tak bermorallah mamat tu! Terlebih ajar! Orang tak habis cakap lagi, dia dah tutup?! Arghhh!!
     Kau pun sama, Khairi. Perangai kau tak ubah-ubah sejak sekolah lagi. Aku dah masak benar dengan perangai kau! Huh, cakap orang! Dia pun dua kali lima aja!

     Kakinya diatur perlahan menuju ke pintu butik kahwin yang dijanjikan. Terpampang tanda ‘Butik Zeera’ dihadapan lot kedai yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah yang terkenal di bandaraya Kuala Lumpur itu. Apabila saat tangannya ingin menolak pintu butik, matanya tertala kepada dua figura yang amat dikenalinya. Sungguh romantik tingkah pasangan pengantin yang bakal disatukan itu seperti suami isteri layaknya.
     Farah dapat melihat dengan jelas tatkala Khairi memeluk mesra pinggang Zeera dari arah belakang ketika gadis itu sedang leka memilih gaun-gaun pengantin yang bergantungan. Zeera pula membalas pelukan tersebut dengan menyandarkan kepalanya ke dada bidang milik bakal suaminya. Mereka terlalu asyik dibuai gelombang cinta sehingga tidak menyedari kehadirannya di situ.
     Air mata ditahan tabah supaya tidak meleleh dihadapan pasangan bahagia itu. Farah tetap selamba mengatur langkah mendekati mereka berdua. Rasa sakit, sedih, kecewa, pedih dan bahagia bercampur menjadi satu dan menjalar ke seluruh tubuhnya. Namun, dia masih punyai fikiran yang waras untuk tidak merosakkan kebahagiaan rakan karibnya sendiri. Dia lebih sanggup terseksa begini daripada menanggung perit kehilangan seorang rakan karib yang setia berada di sisi kala dirinya susah dan senang.
     “ Ehem.. ehem.. Dah lenguh gila rasanya kaki aku ni tercongok dekat sini dari tadi .” Farah menyapa dengan mesra. Serentak dengan itu, terus longgar pelukan pasangan kekasih dihadapannya ini. Senyuman sentiasa mekar dibibirnya. Sedikit sebanyak dia berasa bersyukur kerana orang-orang yang dia sayangi telah menemui kebahagiaan yang pastinya diimpikan setiap manusia di muka bumi ini. Sentiasa mencintai dan dicintai. Alangkah bahagianya jikalau dia juga berpeluang merasai kemanisan bercinta sesama manusia selagi tidak mengatasi cinta kepada yang Esa.
     “ Ops, Farah! Sorry, kita orang .. tak sedar kau dah sampai . Eh, come here! Tolong aku pilih baju. “
     “ Mana nak sedar kalau dah bercintan-cintun tengah-tengah hari buta macam ni! “ tempelak Farah dengan nada bergurau. Dia tergelak kecil melihat pipi Zeera yang sudah bertukar merah menyala dek menahan malu. Iyalah, kulit dia putih melepak! Sekali kena kantoi, siaplah pipi montok dia tu nak bertukar warna menjadi merah bak buah saga! Haha. Best juga dapat kenakan minah seorang ni!
     Dari suatu sudut, Khairi yang sedang duduk di atas sofa empuk yang tersedia di butik milik kekasihnya memerhati tingkah dua orang gadis yang sedang leka berbual sesama sendiri. Zeera, kekasihnya dan Farah. Kedua-duanya dia kenali sejak zaman sekolah menengah lagi. Dia terlebih dahulu mengenali Farah ketika dia sekelas dengan gadis itu selama empat tahun dari tingkatan dua hinggalah ke tingkatan lima. Dia sudah terlalu mengenali diri gadis itu. Kelebihan dan kelemahan gadis yang bernama Nur Farah Hani binti Muhd. Hakimi berada dalam genggaman. Bila-bila masa sahaja dia mampu membuatkan gadis tersebut merana.
     Khairi ketawa kecil tanpa mengizinkan tingkahnya itu disedari dua orang gadis yang berada dihadapan matanya ini. Berasa lucu pula mengenangkan bagaimana hatinya boleh terpaut kepada Farah. Dia sendiri tidak percaya bahawa dirinya pernah tergila-gilakan Farah pada suatu ketika dahulu. Dia malah sanggup dimalukan dihadapan rakan-rakannya apabila Farah menolak ‘lamaran’nya menjadi kekasihnya pada zaman sekolah dulu.
     Rasa sukanya tidak berhenti di situ. Dia melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian Farah dan sentiasa berharap Farah terbuka hati untuk menerimanya lebih daripada seorang kawan biasa. Masih kekal di ingatannya apabila dia begitu tekad menjadikan Farah sebagai miliknya.

2004.
     “ Farah, aku.. aku.. “ Tergagap-gagap Khairi dibuatnya setiap kali dia berhadapan dengan gadis pujaan. Dia sudah berazam untuk meluahkan apa yang terbuku dihati. Dia ingin memberitahu Farah segala-galanya tentang apa yang dia rasa.
     Suasana kantin sekolah ketika itu sudah lenggang memandangkan waktu rehat sudah habis. Dia sahaja yang menahan Farah daripada masuk ke kelas kerana dia perlu menyatakan sesuatu. Beberapa orang pengawas yang bertugas menjaga kantin sudah terpandang-pandang ke arah mereka berdua yang bagi mereka kelihatan mencurigakan. Masing-masing kelihatan resah tidak menentu. Lebih-lebih lagi si pelajar lelaki!
     “ Khairi, apa benda yang kau nak cakap ni? Cakaplah cepat! Lepas ni, aku ada kelas Add Math. Mampus aku kalau lambat! “ Farah memandang tajam ke arah Khairi yang tampak pelik daripada kebiasaannya. Lelaki itu dilihatnya sentiasa mengetap bibir dan tidak henti-henti meramas kedua-dua belah tangannya. Macam takut pun ada! Macam menggelabah pun ada! Ish, apa masalah Khairi ni? Awat mamat ni resah semacam? Macamlah dia nak kena hukuman gantung!
     Kegelisahan Khairi semakin jelas tampak apabila peluh dingin mulai merinik di dahi luas miliknya. Bukannya apa, dia takut kalau-kalau apa yang dirancang tidak menjadi. Aish, naya aja!
Pwett! Pweeett..
     Siulan yang nyaring daripada kawan-kawannya yang menyorok di sebalik dinding kantin sudah cukup menandakan sudah tibanya waktu yang begitu mendebarkan. Percaya atau tidak, dia kini ingin ‘melamar’ Farah atau dengan erti kata lain dia berhajat memetik sekuntum bunga yang mekar mewangi di sebuah taman syahdu. Tempoh hampir empat tahun mengenali Farah sudah cukup membuktikan si gadis mampu menyenangi hati lelakinya.
     Tidak dapat dia menafikan bahawa Farah yang menjadi sumber inspirasi dan semangatnya untuk belajar dengan lebih gigih dan seterusnya merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang jurugambar yang berkredibiliti dan penuh karisma. Kurang perhatian dan lokek dengan kasih sayang daripada insan yang bergelar ibu bapa mendesak hati remajanya untuk menyayangi Farah lebih daripada seorang kawan. Baginya, Farah lebih menghargai kewujudannya berbanding ibu bapanya sendiri. Farah merupakan seorang yang setia berada di sisinya tika dia dilanda musibah. Kata-kata semangat yang ditiupkan oleh si gadis sungguh mendamaikan hati yang bergelora dan memberontak. Farah jugalah yang membimbingnya untuk terus menyimpan rasa hormat dan secebis sayang untuk kedua ibu bapanya yang hanya tahu menyapanya di meja makan ketika bersarapan. Pulangnya suami isteri itu pula hinggalah lewat malam saat dirinya sudah lena dibuai mimpi.
     Dari jauh, Khairi dapat lihat dengan jelas Louq mengenyitkan matanya ke arahnya memberikan isyarat penuh untuk meneruskan rancangan yang telah disusun rapi sejak dua minggu yang lalu. Ohohoo! Confirm kau orang tak dapat bayangkan yang kita orang, sekumpulan pelajar SMK Tanah Besar yang memang popular dengan kes masalah disiplin di sekolah yang berjela-jela mampu menyediakan persediaan begitu sistematik demi memikat hati seorang pelajar perempuan. Mahu kita orang tak mengamuk sakan bila Khairi meluahkan niatnya! Hello! Sejahat-jahat kita orang pun, tangan kita orang bersih auww daripada skandal-skandal dengan minah-minah sekolah. Bagi kita orang, perempuan ni melecehkan! Sikit-sikit menangis, sikit-sikit merajuk. Malaslah nak layan!
     “ Khairi! Cepatlah cakap! Kalau aku tahu kau bisu macam ni, lebih baik aku balik kelas dulu.. “
     “ Aku sukakan kau! Farah, aku sukakan kau! Aku sayangkan kau .. “ Terjengil mata Farah melihat Khairi yang sudahpun melutut dihadapannya. Tiba-tiba, kedengaran alunan muzik yang gemersik daripada gitar yang dipetik oleh Louq. Emir, Rashdan dan Zaimi sibuk membawa keluar ‘cenderahati’ daripada tempat persembunyian mereka. Kini, teddy bear, kek coklat dan sejambak bunga ros merah terhidang dihadapan matanya. Farah terlopong.
     “ Khairi, apa yang.. cuba.. kau buat ni? “
     “ Aku nak kau jadi lebih dari seorang kawan untuk aku. Aku tak ada siapa-siapa kecuali .. “
     Farah segera memintas kata-kata Khairi. Dia hilang sabar.
     “ Apa? Kau tak ada siapa-siapa? Kau sedar tak apa yang kau cuba cakap ni? Habis tu, siapa mak bapak kau dekat rumah tu? Untuk siapa dia orang berpenat lelah, kerja siang malam? Semua tu untuk kau, Khairi! Kau patut bersyukur sebab kau masih ada mak bapak yang sihat walafiat. Khairi, aku minta maaf. Aku.. aku tak mampu. Aku tak boleh. Kalau kau boleh tunggu aku .. “
     Kini, Khairi pula yang memotong kata-kata yang tidak sempat untuk Farah habiskan. Terguris hati rapuh si gadis kerana lelaki yang turut dia sukainya itu tidak sudi mendengar kata-katanya lagi.
     “ Tak payah nak bagi aku alasan! Kalau betul kau tak suka aku, cakap tak suka! Tak payah berdolak-dalih. Aku sedar siapa aku, Farah! Aku tak handsome, aku tak pandai macam budak lain. Apa yang aku ada hanyalah kekayaan mak bapak aku. Aku ingatkan kau berbeza dengan kebanyakan budak perempuan kelas kita, tapi .. rupanya kau sama aja dengan dia orang. Tak pernah ikhlas terima aku sebagai kawan ..“
     Langkah Khairi yang meninggalkannya terkulat-kulat keseorangan hanya dipandang sepi. Dia melihat lelaki itu mengajak rakan-rakannya lain untuk beredar dari situ. Sejurus kelibat mereka hilang daripada pandangan, air mata Farah mengalir setitik demi setitik sebelum menjadi lebih lebat.
     “ Aku minta maaf, Khairi.  Aku pun sukakan kau. “

     “ Wey, cepatlah Zeera oii! Kau ni, pilih baju aja pun. Takkan lama sangat? “ Farah mulai berasa rimas. Hampir satu jam dihabiskan semata-mata untuk menemani Zeera memilih gaun pengantin rakannya itu. Dia masih dapat melihat rakannya membelek-belek sehelai gaun pengantin yang berwarna putih krim lembut. Hah, dah berkenanlah kut!
     “ Eh, okaylah gaun tu! Kau nak macam mana lagi? “, sampuk Farah acuh tak acuh. Kakinya pun sudah terasa sengal-sengal kerana berdiri lama. Dia berasa teramat gelisah kini. Jam tangan ditelek sekilas dan semakin gelisah jadinya dia. Mana taknya, waktu lunch lagi beberapa minit aja lagi nak habis. Perutnya pun tidak berkesempatan diisi dengan makanan sejak pagi tadi. Arghh, Zeera! Kau memang member yang amatlah baik! Kau yang kahwin, aku pula yang menjadi mangsa. Apalah nasib!
     Semua itu Farah hanya mampu pendamkan di hati. Bosan pula berlama-lama di dalam butik minah songeh ni. Dia ke hulu ke hilir meninjau suasana butik yang dihias indah dan bergemerlapan disimbah dengan cahaya lampu. Alunan muzik yang romantik turut memainkan peranan. Baru sahaja dia melihat suasana sekeliling yang begitu indah, anak matanya tertala pada sesusuk tubuh sasa milik Khairi. Terus dia tersentap. Saat ini, Khairi juga membalas pandangannya. Lelaki itu jelas merenung tajam ke arahnya.
     “ Hah, Farah! Baru aku teringat. Khairi ada cakap, dia nak kau jadi pengapit kita orang nanti. Boleh? “ Berseri-seri wajah Zeera menuturkan kata-katanya. Wajah polos milik Farah direnung lembut menanti persetujuan rakan karibnya.
     Farah yang mendengar permintaan Zeera terus terdiam. Dia terpempan sebenarnya! Baru aja dia berancang untuk mereka cerita untuk tidak menghadirkan diri ke majlis perkahwinan Khairi dan Zeera. Hatinya memang tidak sudi untuk menyaksikan detik-detik manis pasangan tersebut. Dia takut kalau-kalau dia menjadi penyebab majlis bermakna itu huru-hara. Biarlah diri dan hati terluka parah, asalkan dia tidak menghancurkan kebahagiaan kawan karib sendiri. Dia tidak sekejam itu.
     “ Apa? “
     “ Alah, bolehlah Farah! Bukan selalu pun aku minta tolong kau. Kali ni aja! Khairi beriya sangat nak kau jadi pengapit kita orang. Kau orang kan dah kenal lama sebelum Khairi kenal aku lagi, so apa salahnya kan? Boleh eh? Eh? Please, Farah .. “, rayu Zeera sambil memegang erat tangan Farah.
     Kalau bab-bab merayu ni, bagilah kepada Zeera! Pandai betul minah kacukan Belanda ni memujuk orang. Dah start dah dengan muka toya dia. Dengan matanya yang sengaja dibulatkan dan muncung yang panjang sedepa ala-ala comel gitu! Farah jelas tampak tergugat. Dia mengecilkan anak matanya memandang seraut wajah putih bersih Zeera. Okaylah, okaylah! Aku surrender!
     “ Okay, okay! Aku jadi pengapit kau orang! “ Tangannya diangkat tinggi menandakan dia mengaku kalah. Kalah dengan pujukan manja Zeera. Tetapi, dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu betapa dia terseksa menerima pelawaan yang bakal membunuh dirinya sendiri itu.
     Terletus tawa kecil Zeera. Ternyata rakan karibnya tidak berubah dengan sifat mudah beralahnya. Dia terlalu berasa gembira dengan persetujuan Farah. Dia teruja dengan majlis persandingannya nanti bersama-sama Khairi dan pengapit mereka nanti ialah rakan karibnya sendiri, Farah. Wah, alangkah bahagianya dia dikelilingi orang-orang yang disayangi pada hari yang paling bermakna dan bersejarah untuknya!
     “ Oi, mak cik! Aku balik dululah. Encik Kamarul missed call banyak kali ni. Ada hal kut. Aku pergi, eh? “
     Telefon bimbit ditenung sekilas. Tertera nama Encik Kamarul di skrin telefon menunjukkan terdapat tiga panggilan yang tidak berjawab daripada majikannya. Farah mendongak kembali memandang Zeera. Hatinya tiba-tiba berasa pedih tatkala melihat Khairi yang bertindak merapati Zeera sambil merangkul mesra pinggang gadis itu. Apa yang perlu dia lakukan adalah dengan berlagak tenang dan menunjukkan riak selamba bagi menutup perasaannya yang bergolak.
     “ Sayang, I pergi dulu. I nak hantar Farah ke office dia kejap. Okay? You tunggu aja dekat sini. Nanti kita keluar, pergi makan, “ tutur Khairi lembut dan perlahan seolah-olah berbisik tetapi masih mampu didengari Farah.
     “ Ya Allah, a’ahlah! I’m so sorry, Farah! Aku tak sedar pukul berapa. Habis tu, kau dah lunch ke belum? “
     “ Hurmm, kalau baru sekarang kau nak tanya aku dah lunch belum, baik tak payah! Bertuah punya member! “
     “ Ala, wey! Sorry gila-gila kut! Aku leka sangat pilih baju! Okay, okay, what if Khairi yang bawa kau pergi makan kejap. Boleh, sayang? “
     Kata-kata Zeera cukup membuatkan Khairi dan Farah terpempan. Kedua-duanya kelihatan terlopong apabila disuruh keluar makan bersama-sama. Dah ting tong ke apa otak Zeera ni?! Ada ke dia suruh kita orang makan bersama-sama? Ish, mahulah! Simpang 44 malaikat. Dahlah kita orang tak sebulu sejak tamat tingkatan lima. Bercakap pun macam kekok aja. Tak naklah!
     Belum sempat Farah membantah, Khairi terlebih dahulu menolak sekeras-kerasnya cadangan Zeera.
     “ Sayang, I bukan tak nak tapi you macam mana? Tak payahlah! Budak ni dah besar panjang dah. Pandai-pandailah dia cari makan sendiri. I hantar dia balik office aja. Muktamad! Dah, jom Farah! “ Khairi ingin lekas berlalu dari situ.
     “ But, sayang, you tak kesiankan Farah ke? Dia dari pagi tadi tak makan tau! “
     Terhenti langkah Khairi seketika mendengarkan kata-kata Zeera sebelum dia meluru ke arah kereta Honda Civic berwarna putih miliknya. Zeera yang melihat sikap tidak endah kekasihnya hanya menggelengkan kepala. Tak faham dengan angin Khairi yang kerap berubah apabila berkait dengan Farah. Berkira sungguh!
     “ Eh, eh, tak apa! Kau jangan risau sangat boleh tak, Zeera? Kau tu yang kena jaga diri, jaga makan. Silap, silap, tak dapat kau naik pelamin kang! “ ujar Farah sambil menampar kuat lengan Zeera. Geram pula dia dengan minah seorang ni! Dia sendiri tidak rela keluar makan bersama-sama Khairi. Dia berharap sangat Zeera tidak berkeras dengan permintaannya tadi. Peliklah, Zeera! Serius kut! Orang lain punyalah sibuk simpan ataupun siap sorok lagi teman lelaki mereka sebab takut kena kebas. Lain pula dengan minah Zeera ni, dia yang sibuk-sibuk lepaskan teman lelakinya dengan perempuan lain. Kalaulah Khairi jenis lelaki yang tak setia, alamatnya dah lama Zeera ni ditinggalkan!
     “ Farah, betul ke ni? Tak sakit ke perut kau, tak makan? Tapi kalau kau dah berkeras tak nak, tak apalah. “
     “ Wey, aku rasa bersalahlah sebab susahkan kau dan Khairi. Aku boleh aja balik naik teksi kut! Tak payahlah suruh Khairi hantar aku. “
     “ Tak payah rasa bersalah sangatlah, Farah oi! Dah Khairi yang offer nak ambil dan hantar kau balik office. Tak apalah! Lainlah kalau aku yang paksa dia. Kalau kau nak tahu, dialah orang yang beriya-iya sangat nak kau involve dalam majlis kita orang nanti. Aku faham, kau kan kawan yang paling rapat dengan dia. “
     Hatinya bergetar hebat. Kenyataan yang tidak disangkakan. Farah tetap tersenyum walaupun terlalu tawar dan hambar.
     “ Apa-apa pun, Zeera, kau kena ingat yang Khairi tu bakal suami kau. Jangan biarkan dia senang-senang aja keluar dengan perempuan lain termasuk aku. Nanti orang tu juga yang melalak sebab future husband dia kena rampas. Tak ke naya namanya? “
      Farah ketawa terbahak-bahak. Geli pula hatinya apabila dia masih berangan-angan ingin memiliki Khairi. Namun, tawanya terhenti serta-merta dengan reaksi spontan Zeera.
     “ Siapa? Kau ke perempuan tu? Oh, okaylah! Bolehlah kita bermadu! Aku tak kisah, lagi aku suka! “
     “ Hoi, Zeera! Kau ni nyanyuk eh? Dahlah, biul otak aku layan kau. Khairi pun dah hon kereta tu, aku blah dululah. Thanks, Zeera! “ Pipi Zeera dikucup kejap. Farah berlari anak ke arah kereta Khairi dan memboloskan dirinya ke dalam kereta tersebut. Sempat dia melambai-lambaikan tangannya kepada Zeera yang masih setia tercegat di muka pintu butik.
     Sejurus kereta Khairi lenyap dari pandangan, terukir senyuman indah dibibir Zeera. Mungkin benar kenyataan bahawa cinta itu buta. Dia bahagia melihat Khairi dan Farah bersama-sama. Sepatutnya dia mencemburui pasangan sahabat itu memandangkan Khairi merupakan bakal suaminya tidak lama lagi. Tetapi, dia masih boleh berlagak biasa, malah memberi ruang kepada mereka untuk berdua-duaan. Dia tidaklah sebodoh yang orang lain sangkakan. Dia pasti bahawa Khairi menyimpan suatu rahsia yang dipendamkan daripada pengetahuannya. Walaupun kedua-duanya nampak dingin  sesama sendiri, tetapi hatinya kuat mengatakan bahawa ada rasa sayang yang mendalam antara mereka berdua. Rasa kasih yang wujud itu, enggan dia lenyapkan antara mereka. Biarlah secebis kasih itu terus memekar kerana dia terlalu mencintai Khairi kerana sesungguhnya kebahagiaan lelaki itu adalah kebahagiaannya.

     Keluhan berat dilepaskan. Serentak itu, Khairi mendengus kasar. Segera mata Farah beralih daripada suasana sesak jalan raya di kota metropolitan kepada wajah Khairi yang kelihatan bosan kerana perlu berdua-duaan dengannya di dalam kereta untuk tempoh yang lebih panjang.
     “ Jangan pandang aku! Aku  tak suka. Aku benci. “ Selamba riak muka Khairi melafazkan kata-kata yang cukup meluluhkan hati wanita milik Farah. Sama ada lelaki itu rimas dengan kesesakan lalu lintas ataupun marah akan dirinya, Farah tidak tahu. Terus dia mengalihkan pandangannya dan dijatuhkan ke atas jalan raya yang dibanjiri dengan lautan kenderaan. Telinganya bingit dengan bunyi hon kereta milik Khairi yang nyaring.
     “ Bodoh! “
     Jiwanya tersentap! Farah terus naik angin tatkala Khairi tergamak menyebut perkataan yang tidak wajar diperkatakan walaupun dalam keadaan marah. Tak waras! Sebab jam pun, sampai nak maki-hamun bagai!
     “ Siapa yang bodoh? Kereta-kereta ni, hah? Ataupun aku? “
     “ Kau diam! Kau tak tahu apa-apa. “
     “ Okay, fine! Even aku tak tahu apa yang kau melalut, kau boleh beritahu aku kan apa masalah kau? Takkanlah disebabkan .. “
     “ Aku bodoh. Aku yang bodoh! Puas hati kau? “
     Farah menelan air liurnya yang terasa tersekat di kerongkong. Ini bukan pertama kali Khairi meninggikan suara kepadanya. Sudah banyak kali. Sikap Khairi mulai berubah tiga ratus enam puluh darjah sejak peristiwa dia menolak ‘lamaran’ lelaki itu pada zaman sekolah dahulu. Sehingga kini, lelaki itu tetap dingin dan berkasar dengannya. Kalau bercakap tak pernah yang menyenangkan. Telinganya pun sudah lali dengan sindiran pedas si empunya diri. Tetapi menipulah kalau dia mengatakan yang dia tidak terluka diperlakukan sebegitu.
     Dia manusia biasa. Punyai hati dan perasaan. Dia bukan manusia yang berhati robot. Kekerapan terluka dek kata-kata kesat dan tingkah laku yang mengecewakan daripada Khairi membuatkan dia menjadi lali untuk terus disakiti. Tak puas lagikah lelaki itu menyakitinya? Sampai bila?
     Tangannya menggigil secara tiba-tiba. Dadanya mulai berombak perlahan. Bahunya bergetar menahan esak. Farah menggengam kuat tangannya yang kesejukan. Air mata sedaya upaya ditahan daripada mengalir. Dia harus kuat! Dia tidak boleh menunjukkan dia lemah dihadapan Khairi. Dia seorang yang kuat!
     “ Aku tahu kau marahkan aku. Aku tahu kau bencikan aku. Tapi, tak cukup ke tempoh lima tahun kau dingin dengan aku? Lepas habis aja SPM, kau terus tak contact aku. Kau terus elakkan diri daripada aku. Kau tak teringat langsung untuk jenguk aku. Aku.. aku yang terhegeh-hegeh cari kau.. “
     Bahunya kini terenjut-enjut kerana menangis. Pandangannya kabur dengan air mata yang mengalir deras. Wajahnya kembali basah dengan butiran jernih untuk kesekian kalinya. Beg tangan di atas ribaannya diramas kuat demi mendapatkan sekelumit kekuatan mengawal perasaan sebak yang melanda. Farah menarik nafas dalam-dalam untuk memberhentikan dirinya daripada terus menitiskan air mata.
     Kriukk.. kriuukk..
     Tangis Farah henti serta-merta. Tangannya yang tadi meramas beg mula beralih mengusap lembut perutnya yang sakit minta diisi. Dia segera membuang pandang ke luar tingkap kereta. Sakit perutnya tidak diendahkan. Dia malu sendiri apabila perutnya berbunyi menandakan dia benar-benar lapar. Ya Allah, malunya! Aku nak letak muka dekat mana ni? Mesti dia dengar bunyi perut aku? Betul ke? Aaahh, malunya! Cepatlah sampai ke office. Lambatnya masa berjalan!
     Apabila benar-benar yakin Farah tidak melihat ke arahnya, Khairi menalakan matanya kepada gadis itu. Untuk seketika, senyuman menghiasi bibirnya yang kerap melafazkan kata-kata yang melukakan hati gadis yang dia minati sejak dibangku sekolah sehinggalah.. kini..
     Tahu pun malu! Tadi punyalah merengek mengalahkan anak buah aku. Kalau lapar, cakap jelah lapar. Ni nak jual mahal lagi! Zeera dah bagi green light, kira okay sangatlah.
     Khairi kembali menumpukan perhatiannya terhadap pemanduan. Dia cekap memusingkan stereng kereta dan menuju ke sebuah lorong yang lari daripada kesesakan lalu lintas yang tak akan pernah reda. Dia dapat melihat Farah menunjukkan muka cemberut melalui ekor matanya kerana tidak melalui jalan menuju ke pejabat gadis tersebut. Sampai di suatu simpang, keretanya diparkirkan sebentar di pinggir jalan. Dia terus meluru keluar dari perut kereta tanpa mengendahkan si gadis. Beberapa minit kemudian, dia kembali memboloskan dirinya ke dalam kereta sambil menjinjing sebuah beg plastik. Beg plastik itu terus dicampakkan kepada Farah tanpa menghiraukan reaksi terkejut gadis itu. Enjin kereta dihidupkan kembali dan kereta dipandu keluar melalui jalan besar.
     “ Apa ni? “ tanya Farah lurus. Terkejut apabila ribanya dihempap dengan suatu beg plastik yang mempunyai isi di dalamnya.
     “ Boleh tak sebelum kau tanya, kau tengok dulu apa ada dalamnya? Tak habis-habis dengan perangai lembab kau ni! “
     “ Apa kau cakap? Aku? Aku lembab? Woi, cermin diri kau tu dulu! Kalau aku lembab, kau tu panas baran. Singa jantan pun kalah dengan kau. Hal kecil pun kau boleh nak mengamuk bagai nak rak. Ish, pleaselah! “
     “ Baik kau tutup mulut kau sebelum aku campak kau keluar dari kereta ni.. “
     Farah menjeling geram ke arah Khairi yang kelihatan fokus terhadap pemanduannya. Setelah lelaki itu memberikan amaran keras, dia terus mendiamkan diri. Malas nak layan angin tsunami Khairi. Lagi dilayan, lagi sakit hatinya nanti. Lebih-lebih lagi, lelaki itu sedang memandu. Tak naklah dia mendera emosi dan mental pemandu di atas jalan raya. Silap hari bulan, dua-dua dah innalillahi wainaillahi rajiunn kang.. Err, minta simpang!
     Beg plastik yang dicampakkan oleh Khairi tadi dicapai dan dilihat isi di dalamnya. Terdapat dua bungkus plastik roti berkrim vanilla dan dua tin Milo. Baru kini dia dapat menghadam niat baik Khairi yang membelikannya makanan selepas peristiwa perutnya yang berkeroncong kuat. Tanpa membuang masa, tangannya lantas membuka bungkusan plastik yang membalut roti dan rakus memakannya. Dalam diam, dia sungguh terharu akan keprihatinan Khairi terhadap dirinya.
     “ Kalau lapar, cakap lapar. Kau bukannya boleh makan lambat! Ada gastrik! Sakit teruk nanti menyusahkan orang aja .. “
     Dia masih mampu tersenyum dengan amarah yang dilemparkan oleh Khairi kepadanya. Jauh di sudut hati, dia terlalu yakin bahawa lelaki itu risau akan kesihatan dirinya. Sejak zaman sekolah lagi, Khairi sudah mengetahui tentang penyakitnya yang menjadi teruk apabila tidak makan mengikut waktu. Sejak dahulu juga, lelaki itu selalu memarahinya kerana tidak mengambil berat tentang pemakanan. Selain ahli-ahli keluarga, hanya Khairi yang mengetahui satu hal ini. Zeera pun tidak mengetahui masalah kesihatan yang dihadapinya meskipun gadis itu merupakan salah seorang rakan yang paling rapat dengannya.
     Farah membisu. Begitu juga dengan Khairi. Hanya bunyi deruan pendingin hawa yang menampar telinga masing-masing memandangkan radio tidak dipasang. Suasana di dalam kereta amat sepi seperti sepinya hati mereka berdua kala ini. Kedua-duanya asyik melayan perasaan. Memori silam disingkap kembali mengenangkan kenangan yang pernah tercipta antara mereka yang menerbitkan bibit-bibit kasih dalam hati masing-masing.

2004.
     Taman Sains Exora. Punggungnya dilabuhkan ke sebuah bangku batu yang tersedia di taman sains yang indah itu yang direka khas oleh pihak sekolah. Pemandangan yang indah yang menggamit perasaannya yang sentiasa bergolak ini tidak jemu menjadi santapan mata walau beribu kalipun. Bunga-bungaan yang memekar, mewarnai setiap sudut taman, pepohon yang merimbun memberikan teduhan, anak-anak ikan yang berenang bebas di dalam kolam rekaan dan setiap kali bayu berdesir lembut menyapa suasana membuatkan sesiapa yang melihat terpesona. Apatah lagi taman tersebut sentiasa dijaga rapi bagi memastikan setiap tanaman tumbuh dengan sihat dan hidupan di dalam kolam tidak mati.
     Farah menguis-nguis tanah dengan hujung kakinya yang berkasut sekolah. Habis kotor kasut sekolahnya yang putih dipalit dengan warna tanah yang kecoklatan. Sekali-sekala kepalanya didongakkan memandang ke langit yang membiru. Kelihatan berkepul-kepul awan putih menghiasi dada langit sekali gus melengkapi suasana indah ciptaan Ilahi.
     Jam tangan ditelek lama. Jarum jam yang bergerak perlahan pada setiap saat itu dipandang dengan rasa yang penuh kecurigaan. Benarkah waktu yang ditunjukkan oleh jarum ini? Dia sudah menunggu kedatangan orang itu sejak pukul satu petang lagi. Tetapi, jam sudahpun menunjukkan hampir pukul tiga petang. Mana dia ni? Janji lepas balik sekolah tapi batang hidung tak nampak-nampak juga. Khairi, mana kau?
     Masa terus berlalu. Perasaan tidak senang mula menebak dirinya. Solat zuhur pun belum dilaksanakannya. Hamba jenis apa dia ini? Sepatutnya tanggungjawab yang wajib itu perlu diutamakan dahulu. Namun, dia hanya manusia biasa yang selalu terleka dengan hal-hal duniawi. Terlalu mengikut kata hati yang sudah dicemari dengan godaan syaitan laknatullah. Dia rela menjadi bodoh dan ditundukkan dengan tuntutan perasaan yang melalaikannya daripada perintah Tuhan.
     Dia tidak betah menunggu lagi. Hatinya benar-benar terluka kini. Dia tidak mahu dilukai. Dia tidak merelakannya. Khairi memang mahu menghancurkan sekeping hatinya. Lelaki itu mula berjinak-jinak untuk mendendaminya sedangkan tidak pernah mencuba untuk memahaminya. Adilkah itu? Apa yang diharapkan oleh lelaki itu jikalau dia menerima ‘lamaran’nya? Bagaimanakah perjalanan perhubungan yang dikatakan indah kononnya yang dijalinkan oleh pasangan yang masih bersekolah? Bukankah sepatutnya zaman sekolah merupakan tempoh yang perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menuntut ilmu sebagai bekalan pada masa depan? Bukannya masa yang sesuai untuk beradu kasih. Tiada salahnya kalau menaruh perasaan terhadap seseorang ketika masih bersekolah tetapi rasa suka itu hanyalah rasa suka. Rasa yang terbit itu masih rapuh untuk disemai semasa usia baru setengah jagung.
     Menitis air mata Farah di pipinya. Hanya dengan cara ini dia dapat meluahkan yang terbuku di hati. Baginya, Khairi ibarat penawar dan juga racun. Senyuman dan sikap penyayang Khairi yang pernah ditunjukkan kepadanya mampu mengubati luka yang tercipta. Tetapi, lelaki itu juga boleh menjadi racun dalam sekelip mata yang mematahkan hati di dalam jasadnya. Tidak tergambar rasa kasihnya kepada lelaki itu.
     Farah bangkit dan menggapai beg sekolahnya. Saat dia berpaling ingin beredar dari situ, matanya terpandangkan susuk seseorang yang amat dia kenali. Seseorang yang dia nantikan kedatangannya. Seseorang yang dia.. rindui. Khairi sedang berdiri betul-betul berhadapan dengannya. Mata galah lelaki itu mencerlung memandangnya. Tiada senyuman yang menghiasi wajah itu. Lelaki itu menunjukkan wajah bengisnya dengan melemparkan pandangan benci kepadanya.
     Bergenang air mata. Farah tidak sanggup menghadapi Khairi. Dia ingin berlalu tetapi langkahnya mati dengan kata-kata lelaki itu.
     “ Asal kau nangis? Hati kau sakit? “ Khairi menghempaskan beg sekolahnya ke tanah. Tanda dia ingin berbicara dengan Farah. Dia memprotes apabila Farah ingin berlalu begitu sahaja tanpa menghamburkan amarah terlebih dahulu kepadanya. Iyalah kan, siapa yang tak marah, geram bila kena tunggu lama? Dia tak sangka budak perempuan dihadapannya ini lebih bodoh berbanding dirinya. Sanggup dia tunggu aku? Bodoh!  Dah tahu aku bencikan kau, kau tetap nak percayakan aku?
     Remuk-redam hatinya kala ini. Dia berperang dengan dirinya sendiri. Kalau ikutkan hati, mahu dibomkannya Khairi! Biar berkecai jasad lelaki itu, baru puas hatinya. Betul ke puas? Bukan kau nanti lagi merana ke? Kehilangan orang yang kau sayang separuh mati!
     “ Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku? Kalau iya pun aku banyak salah dengan kau, aku minta maaf sangat-sangat! Kenapa kau seksa aku macam ni? Hati aku sakit, Khairi! “
     “ Sakit hati kau aja yang kau kisah, sakit hati aku? Ada kau ambil peduli? Tak pernah dan takkan kau peduli, Farah! Kau pentingkan diri sendiri. Kau tolak perasaan aku dan kau malukan aku depan geng aku! Kau ambil keputusan untuk tinggalkan aku. “
     “ Khairi, kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni? Kau sedar tak yang kita ni masih bersekolah dan kita ada tanggungjawab yang lebih berat daripada benda ni.. “
     “ Benda ni? Kau cakap perasaan suka aku kepada kau, ‘benda ni’? Even aku ada mak bapak, duit dan harta yang melimpah-ruah, aku terlalu dahagakan kasih sayang. Aku nak ada orang yang ambil berat dan kisah pasal aku. Tanya aku sama aku dah makan atau belum, aku sihat atau tak. Mungkin kau rasa semua benda tu remeh, tapi tak untuk aku! Aku nak menyayangi dan disayangi.. “
     “ Aku faham perasaan kau. Aku faham sangat-sangat. Tapi, kau faham ke dengan masalah aku pula? Ayah aku dah meninggal dunia sejak aku kecil lagi. Mak aku, ibu tunggal yang dah berhenti kerja sebab sakit. Aku merupakan anak sulung dan aku punyai tanggungjawab untuk sara keluarga aku. Aku perlu belajar sungguh-sungguh dan dapat kerja yang gaji besar supaya aku mampu memenuhi keperluan kami sekeluarga. Aku takut, aku takut aku leka bila aku terima kau.. “
     “ Susah senang kita hadapi sama-sama! Takkan aku biarkan kau.. “
     “ Tak! Tak, Khairi! Kau takkan faham. Kau ada tanggungjawab yang memerlukan komitmen yang tinggi. Kau satu-satunya anak yang mak bapak kau ada. Aku tak sekejam nak rampas anak dia orang. Kau perlu bahagiakan mak bapak kau dulu. Aku minta maaf. Bukan masanya lagi untuk kita couple.. Aku.. “
     “ Cukup, aku dah faham maksud kau! Kau takkan terima aku. “ Beg sekolahnya yang dicampak tadi diambil kembali. Dia berjalan mendekati Farah yang berlinangan dengan air mata. Sebab air mata itulah, Khairi tidak sanggup meneruskan semua ini. Sebab air mata itu jugalah, dia ingin menamatkan agendanya untuk menyakiti hati Farah.
     “ Kau hipokrit, Farah! Kau sukakan aku tapi kau tak mengaku. Aku yakin, kau pun mesti teringin nak couple dengan aku tapi kau malu. Kau malu sebab aku tak handsome. Kau malu sebab aku bodoh. Kau juga malu dengan kawan-kawan kau sebab aku tak layak untuk kau! Kau menipu diri sendiri dan tak nak couple sebab kononnya budak-budak yang couple tergolong orang-orang yang tak ada masa depan dan akan buat maksiat. Sedangkan dalam hati kau, kau memang nak couple dengan aku, kan? “
     Dada terasa sesak. Oksigen bagaikan tidak dapat mengisi ruang jantungnya dan tubuhnya mulai menggeletar. Matanya hanya ditalakan kepada langkah perlahan Khairi yang diatur untuk beredar dari situ. Air mata bergenang di kelopak mata dan hanya menunggu masa untuk dihamburkan.
     Sampai begitu sekali Khairi menuduh dirinya. Tegarnya hati lelaki itu membuat andaian yang sangat kejam seperti dirinya tidak punyai harga diri. Lelaki itu terus beranggapan buruk terhadap dirinya tanpa meminta penjelasan terlebih dahulu. Tergamaknya lelaki itu mempersendakan perasaannya yang benar-benar ikhlas dari sudut hati. Tidakkah dia tahu perasaan sebenarnya terhadap lelaki itu? Tidak jelas lagikah keihklasannya dalam menjalinkan ikatan persahabatan selama ini?
     Aku tidak boleh mendiamkan kenyataan sebenar. Khairi harus mengetahuinya!
     “ Khairi, aku sukakan kau! “ jerit Farah sekuat-kuatnya. Dia tidak tahan lagi memendam rasa.
     Khairi berhenti melangkah, namun hanya buat seketika. Dia kemudiannya meneruskan langkah kakinya meninggalkan Farah keseorangan. Membiarkan gadis itu  menangis tersedu-sedan. Tidak dia mengendahkan air mata yang membuak-buak daripada sepasang mata gadis itu.

     Lagu ‘Tetap Menantimu’ dendangan artis baru popular pada masa kini, Nomad mengisi segenap ruang sunyi rumah kondominiumnya. Meski lagu tersebut sering kali diputarkan oleh juruhebah di corong radio atas permintaan dan undian ramai pendengar Malaysia, rentak muzik itu tidak pernah dia jemu. Bait-bait lirik lagu itu mengandungi maksud tersirat yang menusuk terus ke hatinya. Halwa pendengarannya juga menerima senang akan melodi ciptaan manusia itu.
     Kaca televisyen serta-merta menjadi gelap sejurus Khairi menutup suisnya melalui alat kawalan jauh. Entah mengapa akhir-akhir ini, semua rancangan yang dipaparkan di siaran-siaran televisyen tidak menarik perhatiaannya. Tiada satu pun rancangan realiti, drama, dan hiburan yang berpotensi menghilangkan rasa lelah dan stress yang dialaminya. Alat kawalan jauh dicampak selamba ke lantai yang beralaskan karpet lembut. Bunyi radio dikuatkan.
     Khairi menghempaskan seluruh tubuhnya ke atas katil di dalam biliknya. Katil yang empuk membuatkan seluruh sendi-sendi badan yang sengal berasa selesa yang amat. Siling bilik yang kosong hanya ditenung. Wajah-wajah Farah dan Zeera silih berganti menjadi wayang di layar ingatan. Kedua-duanya tersenyum mesra ke arahnya. Dia lantas meletakkan lengan sasanya ke atas dahi luasnya. Pening pula kepalanya!
     Bagi Khairi, Farah dan Zeera merupakan sahabat yang ikhlas menerima dia seadanya. Dua orang wanita itu amat penting dalam hidupnya. Apabila salah seorangnya lenyap daripada pandangannya, pasti dia menjadi hilang arah dan rasa tidak menentu. Namun, hatinya semakin dilanda keresahan dan keraguan yang maha hebat apabila semakin dekat detik dia bakal disatukan dengan Zeera. Detik yang menyaksikan dia menjadi suami yang sah kepada Zeera. Detik yang membuktikan Zeera menjadi wanita yang halal baginya. Pada ketika itu juga cukup menjadi bukti bahawa ucapan akad yang dilafazkan olehnya nanti merupakan simbol cintanya kepada Zeera. Chopp! Simbol.. cinta..?
     Macam mana wujudnya perkataan ‘simbol cinta’ jikalau dia masih dalam dilema. Dia buntu. Bagaimana dia boleh meragui hati sendiri? Mengapa sukar buat dirinya ingin mengetahui siapa yang benar-benar yang mendapat tempat di hati lelakinya? Arghh, sudah! Sesak pula rasa dada aku. Entahlah, soal hati dan perasaan memang melecehkan. Dia paling lemah bab-bab macam nilah! Sejak ditolak ‘lamaran’nya dulu, dia menjadi fobia. Cukuplah dia berasa sakit. Serik oh!
Tokk! Tokk!
     Berdentum kuat bunyi ketukan pintu utama kondominium milik Khairi. Bertalu-talu tetamu yang tidak diundang itu mengetuk pintu tersebut. Khairi yang hampir terlelap terus membuka matanya seluas-luasnya. Terkejut yang amat dengan bunyi kuat itu. Jantungnya pun seperti hendak terkeluar dari jasadnya. Dengan langkah yang longlai, digagahkan juga dirinya menuju ke pintu utama walaupun dia masih dalam keadaan yang mamai. Spontan dia mendengus kasar.
     Pintu dikuak perlahan. Berapi terus dia jadinya apabila terjengul wajah tak bersalah Emir di muka pintu. Segugus kunci yang digunakan untuk membuka pintu utama tadi dicampak kasar ke atas meja makan untuk menunjukkan dia protes. Dia terus menonong masuk ke dalam kamarnya kembali tanpa menghiraukan muka kelat Emir. Tubuhnya dibaringkan ke katil empuk yang dibelinya pada awal berpindah ke kondominium yang didiaminya kini.
     “ Kau ni tak rasa bersalah ke? Atau kau memang tak berhati perut? “ ujar Emir yang selamba menceroboh masuk ke kamar Khairi. Dia berdiri di hujung katil tempat Khairi sedang terbaring dengan selesa. Suhu bilik yang sejuk disebabkan khidmat pendingin hawa barangkali melenakan lagi beradu Khairi. Dia percaya rakannya itu pasti berasa penat dengan kerja-kerja di studio.
     “ Apa yang kau merapu ni? Balik-balik aja terus berangin ni, kenapa? “ Khairi masih dalam posisinya dan baring dengan selesa di atas katil.
     “ Tak payah nak buat bodoh dengan aku. Kau masih tak bangang untuk tak faham apa yang aku cakapkan ni. Sampai bila kau nak teruskan dendam kau? Sampai Farah mati, baru kau puas? “
     “ Woi, kau ni kenapa?! Pantang aku kalau orang cakap pasal mati! Apasal kau cakap macam tu? “ Menyala-nyala api amarah di mata Khairi. Bingkas lelaki itu bangkit daripada pembaringannya. Dia kini duduk di birai katil. Matanya tidak lepas memandang tajam ke arah Emir yang berdiri tegak di hujung katil.
     “ Eii, aku tak tahulah nak cakap macam mana lagi dah dekat kau ni! Nak kata kau bahlul, SPM kau lagi terror daripada aku. Kau ni kan memang bengap, eh? Cukup, cukuplah tu kau seksa Farah. Hal lepas kita lupakan. Aku baru lepas balik dari office Farah tadi. Aku hantar surat syarikat. “
     “ Habis tu, apa kena mengena dengan aku kes kau hantar surat ke office dia? “
     “ Khairi SAYANG, aku terserempak dengan dia. Menangis dekat tangga kecemasan. Tak perlu aku cakaplah siapa yang buat dia nangis, kan? “ Helmet diletakkan elok di lantai bersebelahan kakinya. Emir menyilangkan tangan sambil tubuh penatnya disandarkan ke dinding bilik tidur Khairi yang bercat kelabu.
     Khairi menundukkan wajahnya. Beberapa helai rambutnya yang jatuh di dahi diraup ke belakang. Tangan kekarnya mengurut-urut perlahan dahi yang terasa sakit. Berdenyut-denyut semacam. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia cuba mengingatkan kembali kata-kata yang dia lemparkan kepada Farah siang tadi di dalam keretanya. Dia akui yang dia bersikap keterlaluan dengan gadis itu sejak lima tahun yang lalu.
     Selepas sahaja mereka tamat menduduki peperiksaan SPM, Khairi bertindak menjauhkan diri daripada bertemu mahupun bertanyakan khabar tentang Farah. Dia tekad untuk putuskan hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak mereka di tingkatan dua lagi. Berita dan hal berkaitan Farah tidak dia ambil peduli. Hatinya terus-menerus menghakis rasa kasihnya terhadap gadis itu. Dendam mula merajai hatinya mengganti kasih sayang yang disulamkannya untuk gadis pujaan.
     Bukan salahnya jikalau Farah terluka dengan dendam yang bersatu dengan perasaan bencinya sehinggakan dia sanggup melupakan kewujudan gadis itu sepenuhnya. Selayaknya gadis tersebut dilayan sebegitu bagi memberikan suatu pengajaran yang berguna supaya lebih prihatin terhadap perasaan orang lain. Farah harus menerima rasa terluka itu sebagaimana dia pernah merasainya ketika dia ditolak mentah-mentah. Bukankah hidup ini karma?
     “ Kau ni okay tak? Muka kau pucat. “ Suasana bilik yang suram dan sepi bergema seketika dengan suara Emir menanyakan keadaannya. Khairi mendongakkan kepala memandang tepat ke arah Emir.
     “ Aku.. aku confuse. Semakin dekat tarikh nikah aku dengan Zeera, hati aku semakin sakit. Yang Farah tu pun satu,  akhir-akhir ni dia selalu tunjukkan muka depan aku.. “
     “ Bro, walaupun aku tak sepandai kau tapi aku tahu tau perangai kau. Aku dah masak gila dengan perangai gila kau! Farah takkan muncul dan jumpa kau kalau bukan tu kehendak kau. Macamlah aku tak tahu yang kau suruh Zeera panggil Farah datang ke butik tengah hari tadi. Kau juga yang plan nakkan Farah jadi pengapit kau orang. Daripada hal-hal hantaran, katering sampailah pengurusan majlis akad nikah, kau babitkan Farah sekali. Kau heret Farah untuk uruskan majlis persandingan kau. Tentukan mak andam, tempat akad nikah dan baju pengantin, semuanya Farah yang buat. Huh, tanya pendapat konon! Pendapat apa kalau semua dia yang buat. Dia bukan wedding planner untuk sibukkan diri dalam majlis kau orang. “
     “ Tapi, Farah terlalu baik untuk berkira dengan kau orang. Setakat uruskan majlis perkahwinan, apalah sangat. Tukan dah macam kerja dia dan dia memang profesional bab-bab ni. Tapi, kau kena ingat. Dia tetap manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Kau sendiri tahu yang dia masih sukakan kau walaupun dah macam-macam benda buruk kau buat dekat dia. Kau sengaja seksa perasaan dia dengan babitkan dia dalam pengurusan majlis kahwin kau orang. Kau nak tengok dia merana dengan kemesraan yang sengaja ditunjukkan. Kononnya, kau nak buktikan kepada dia yang kau mampu bahagia tanpa dia. Tapi, sebaliknya kau masih tak mampu lupakan dia dan kau masih cintakan dia.. “
     “ Mengarut! Semua tu mengarut! Tak masuk akal! Aku tak pernah cintakan dia! “, nafi Khairi bersungguh-sungguh. Senyuman sindir yang dihadiahkan Emir untuknya membuatkan dadanya berombak memberontak. Lenyap terus sakit kepalanya. Dia bingkas bangun dan berlalu menuju ke balkoni. Pintu kaca yang memisahkan balkoni dengan biliknya ditolak kasar. Jelas menunjukkan dirinya sedang dikuasai amarah dan rasa geram yang tidak terbendung. Sejurus pintu tersebut ditolak, bayu malam berasak-asak masuk ke dalam ruang bilik.
     Angin malam yang dingin menyapa wajah Khairi tidak mampu menyejukkan hatinya yang sedang membara. Dia mengelamun jauh ke dalam suasana malam yang kelam. Apabila kepalanya didongakkan ke langit, tiada kerlipan bintang yang sudi menghiasi lautan hitam yang membalut bumi.
     “ Puas aku nasihatkan kau, Khairi! Zeera bukan patung untuk kau permainkan perasaan dia. Dia wanita yang miliki hati yang perlu kau jaga. Begitu juga Farah. Jangan kerana kau nak sakitkan Farah, kau gunakan Zeera. Dua-dua tu kawan kita tau. Sebagai kawan, aku nak selamatkan dia orang terutamanya kau. Tindakan kau ni boleh melukakan banyak hati. Ramai yang akan tercedera nanti. Percayalah cakap aku. “
     “ Keputusan aku muktamad! Aku akan tetap kahwin dengan Zeera. Pasal Farah, aku tak nak ambil tahu. Kalau dia terluka sekalipun, she deserves for it. Aku takkan berganjak daripada keputusan aku. Kau boleh keluar.“
     Khairi masuk kembali ke dalam biliknya dan menghempaskan tubuhnya. Sakit kepala semakin menjadi-jadi. Pandangannya juga berpinar-pinar. Suara Emir yang membebel mengalahkan nenek kebayan semakin perlahan. Matanya terus kabur dan dia tidak mampu melihat suasana sekelilingnya dengan jelas. Akhirnya, dia terdiam kaku apabila pandangan menjadi gelap gelita.

2009.
     Banyak kenderaan yang masuk ke perkarangan masjid memandangkan sebuah majlis yang bermakna bakal berlangsung tidak lama lagi. Kereta-kereta diparkir dengan elok di ruang yang disediakan. Ramai yang hadir dengan persalinan yang indah dan senyuman manis yang tidak lekang di bibir masing-masing. Suasana menjadi gamat dengan bualan sanak-saudara, gurauan senda sesama keluarga mertua dan gelak tawa anak-anak kecil. Semuanya diselebungi dengan rasa bahagia kerana meraikan hari bahagia penyatuan dua jiwa.
     Dalam suasana yang riuh-rendah itu, Farah bertindak memencilkan diri di suatu sudut ruang di dalam masjid. Dia duduk bersimpuh disebalik sebuah tiang besar yang menghalang pandangannya daripada terus ditalakan ke arah Khairi yang sedang duduk bersila berhadapan dengan tok kadi. Zeera yang anggun dalam persalinan indah berwarna putih bersih dilihatnya sedang tersenyum mesra sambil bermain mata dengan Khairi. Apa kurangnya dengan lelaki itu yang kacak dan segak di matanya dengan persalinan yang sedondon dengan bakal permaisuri hatinya.
     Mikrofon yang dipasangkan di hadapan pengantin lelaki dan tok kadi bergema sejurus suis alat pembesar suara itu dihidupkan. Spontan suasana yang gamat dan bising tadi mulai menjadi senyap. Semuanya memberikan perhatian kepada majlis yang sedang berlangsung. Farah yang berselindung di belakang tiang tersentak. Detik-detik yang menyesakkan sudah tiba. Tangannya menggeletar menahan debaran di jiwa.
     Dia ingin saja berlari jauh-jauh dan meninggalkan majlis yang akan menghancurkan hatinya. Tidak mahu dia dengar lafaz suci yang akan membuktikan Khairi dan Zeera sebagai pasangan suami isteri yang sah. Sah di sisi agama. Mampukah dirinya yang lemah ini menghadapi dugaan seberat ini? Bagaimana dia ingin berhadapan dengan mereka nanti?
     “ Aku terima nikahnya Nur Zeera binti Ahmad dengan mas kahwin RM80 ringgit tunai .. “
     “ Sah? Sah? “, tanya tok kadi kepada wali dan dua orang saksi disampingnya. Semua tersenyum gembira dan mengangguk-anggukkan kepala masing-masing. Cukup menunjukkan mereka mengiyakan soalan yang diutarakan tok kadi sebentar tadi. Terus tok kadi menadah tangan diikuti orang ramai yang menyaksikan upacara akad nikah yang berlangsung.
     Doa dibacakan dengan penuh khusyuk bagi mensyukuri nikmat dan kurniaan Ilahi kerana merahmati majlis akad nikah daripada ditimpa bencana. Usai doa panjat kesyukuran diaminkan, tibalah saat pasangan pengantin melakukan upacara batal air sembahyang.
     Khairi mendekati Zeera yang duduk bersimpuh dan dikelilingi ibu mertuanya dan sanak-saudara. Seukir senyuman dihadiahkan kepada isteri yang tercinta. Bibirnya lantas dilekapkan ke dahi licin milik wanita itu. Zeera dan Khairi berbalas senyuman. Hanya air mata yang dapat menggambarkan perasaan terharu dan sayunya setelah bergelar isteri kepada Khairi. Tangan kekar lelaki itu dicapainya sebelum dikucup dengan penuh kasih.

     Farah ingin melarikan diri dari situ. Dia tidak sanggup lagi menyaksikan semua ini. Hatinya berkecai saat melihat kebahagiaan yang digapai oleh Khairi dan Zeera. Akad yang dilafazkan oleh Khairi menyentap hatinya. Kucupan lelaki itu kepada Zeera membunuh dirinya. Senyuman manis Zeera membuatkan jantungnya berhenti berdegup. Kejamnya mereka menyeksa dirinya sebegini. Menunjukkan betapa bahagianya mereka bagaikan dunia ini hanya milik mereka berdua. Tidakkah mereka sedar akan kewujudannya di sebalik dunia itu?
     Dia berlari anak keluar dari masjid yang di bina indah yang menjadi saksi Khairi dan Zeera diikat dalam sebuah perkahwinan suci itu. Sedaya-upaya dia beredar dari tempat itu tanpa disedari sesiapa pun. Dia tidak mahu air matanya yang membuak-buak mengalir dilihat orang lain. Kesedihannya, kekecewaannya dan kesakitannya biarlah dia menanggungnya seorang diri. Dia telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak memisahkan cantuman dua jiwa yang saling mencintai, malah akan mendoakan kebahagiaan abadi untuk mereka.
     Saat kakinya sedang terkial-kial untuk disarungkan dengan kasut bertumit tinggi, tingkahnya itu terhenti tatkala disapa oleh suatu suara garau. Berderau darahnya mendengarkan seorang lelaki menegurnya. Terus tubuhnya menggigil apabila lengannya dipaut oleh lelaki itu. Kepala didongakkan untuk melihat wajah si empunya suara.
     “ Kau nak pergi mana? Larikan diri? Asal? Kau ingat dengan larikan diri, kau boleh lupakan Khairi? Tak, Farah! “, jerkah Emir dengan wajahnya yang kemerah-merahan. Menahan rasa amarah barangkali!
     “ Lepaskan aku, Emir! Kau tak tahu apa-apa. Kau tak boleh buat aku macam ni. “ Farah merayu minta dilepaskan. Ketakutan mula menyelebungi dirinya kala ini. Dia takut jikalau Emir menghuru-harakan keadaan sehingga menganggu majlis yang masih berlangsung meriah di dalam masjid. Dia takut kalau-kalau perilakunya diketahui Khairi dan Zeera. Apa pula tanggapan dua orang sahabatnya itu nanti dengan perangainya yang keanak-anakkan, menangis teresak-esak seperti kanak-kanak yang hilang akan gulanya? Tidak matang dan dilihat sebagai seorang yang merosakkan hari bahagia pasangan yang baru melangkah ke alam rumah tangga.
     Lengannya ditarik kasar agar terlepas daripada cengkaman Emir, namun apakan dayanya melawan kudrat seorang kaum Adam. Dirasakan pautan Emir di lengannya semakin kemas. Lelaki itu benar-benar tidak mahu melepaskannya kali ini. Air matanya mengalir tanpa henti dan tudungnya juga menjadi senget ekoran bergelut dengan Emir.
     “ Kau tak boleh macam ni, Farah! Sampai bila kau nak menderita? Sampai bila kau nak pendam perasaan kau? Kau jangan jadi bengap sangat boleh tak?! “
     “ Khairi dah tahu aku suka dia! “ Bergema gegendang telinga Emir dengan pengakuan berani Farah. Emir terdiam. Dahinya berkerut seribu untuk menghadam kata-kata yang dilafazkan oleh gadis itu sebentar tadi. Dia menggeleng-gelengkan kepala tanda dia tidak percaya dengan kenyataan yang terbentang di hadapannya.
     Apa? Khairi dah tahu? Habis tu, asal mamat tu tetap kahwin dengan Zeera? Apa yang dia cuba buat ni? Gila ke apa?!
     “ Tak mungkin.. “
     “ Tak mungkin? Semua ni dah jelas, Emir! Khairi dan Zeera dah selamat diijabkabulkan. Dia orang dah jadi suami isteri yang sah. Kawan kita dah bahagia.. “
     “ Asal Khairi buat kau macam ni? Habis tu, kau macam mana? “
     “ Aku.. ? Aku macam ni ajalah. Aku nak buat apa lagi, kan? So, kau boleh lepaskan aku sekarang! “ Pinta Farah dengan suara yang sengaja dikeraskan. Dengan Emir, dia tidak boleh berlemah-lembut. Lelaki ini terkenal dengan sifat beraninya yang melampau dan berada di tahap gaban. Mahu nanti dia buat kerja gila, tak ke tempah maut namanya tu? Sebelum sesuatu luar biasa yang difikirkan oleh Emir, baik larikan diri dulu.
     Kasihannya dia melihat Farah. Kedua-dua belah mata sahabatnya itu sudah bengkak dan jelas tampak sembam kerana menangis terlalu lama. Wajah si gadis turut pucat lesi bagai tidak berdarah dan kelihatan amat lesu tanpa secalit mekap. Baru kini dia sedari, tubuh lincah Farah pada suatu ketika dulu juga semakin susut kini. Wanita ini memang sedang berduka.
     Mata Emir mula bergenang dengan air mata melihat keadaan Farah yang tidak terurus. Perubahan drastik terhadap fizikal Farah jelas menunjukkan gadis ini terlalu menderita dan terluka parah dengan perkahwinan sahabat mereka sendiri. Dia cukup yakin Farah menangis semalaman.
     “ Emir, lepaslah! Nanti orang nampaklah. Tolong aku! Jangan buat aku macam ni. Aku dah penat. Aku tak nak tengok semua ni. Tolong lepaskan aku! Aku tak nak Khairi dan Zeera nampak aku macam ni. Tolong.. “
     “ Biarlah!  Biar dia orang tengok kau macam ni! Sepatutnya dia orang jaga hati dan perasaan kau. Kau tak boleh berkorban untuk dia orang je. Aku tak nak tengok kau merana macam ni, Farah.. “
     Sekarang Emir pula yang merayu kepada Farah agar tidak terus-menerus melukai dirinya. Baginya, Khairi dan Zeera harus mengetahui isi hati Farah dan tidak mementingkan diri dengan mengendahkan perasaan kawannya ini. Dia tidak mahu mereka berdua lepas tangan akan luka yang dipalitkan ke hati Farah. Kelukaan Farah merupakan tanggungjawab orang yang telah bertindak kejam melukai gadis itu. Dia takkan sekali-kali membiarkan Farah terluka keseorangan!
     “ Kau ni gila ke, hah?! Khairi dan Zeera tak boleh tahu keadaan aku! Kalaupun dia orang tahu, lepas tu apa? Sanggup ke kau tengok dia orang bercerai-berai disebabkan aku? Siapa yang akan dipersalahkan nanti? Aku! Aku yang akan menjadi penyebab mereka berpisah. Aku tak sekejam tu, Emir! Aku takkan runtuhkan masjid yang baru di bina. Sebelum ramai yang akan terluka, baik kau lepaskan aku. Biar hati aku sakit tapi bukan dia orang.. “, ujar Farah tersedu-sedan. Matanya dihalakan ke arah Khairi dan Zeera yang sedang bergurau-senda sesama sendiri. Begitu juga Emir, dia menalakan pandangannya ke arah ‘pemandangan’ yang sedang disaksikan oleh gadis itu tanpa berkutik. Hanya air mata gadis itu yang terus mengalir dan membasahi wajah mulus itu.
     Pinggang ramping Zeera dilihat sedang dirangkul mesra oleh Khairi, manakala wanita yang anggun mengenakan sepersalinan pengantin itu melentokkan kepalanya di bahu sasa sang suami. Sebuah senyuman bahagia terukir di bibir masing-masing. Orang ramai yang mengelilingi mempelai berebut-rebut ingin merakam gambar detik-detik manis itu untuk dijadikan sebagai kenangan. Gelak tawa sentiasa kedengaran memeriahkan majlis.
     Emir menyaksikan situasi itu dari jauh dengan seribu rasa bebal. Jikalau hatinya juga berasa sakit, apatah lagi sekeping hati wanita Farah. Kesedihan yang amat kerana terpaksa melihat orang yang dicintai disatukan dengan sahabat karib sendiri. Sedang dia leka dengan suasana yang riuh-rendah di hadapannya, lengan Farah yang berada dalam pautannya terlepas. Dia tersentak. Dia melihat gadis itu berlari jauh meninggalkannya dengan berkaki ayam sambil sepasang kasut tumit tinggi dijinjing kemas.
     Dia terduduk di muka pintu masuk masjid setelah bayang-bayang Farah lenyap dari pandangannya. Hatinya terasa sakit yang amat. Penderitaan yang ditanggung oleh Farah membuatkan air mata lelakinya menitis kerana terharu dengan pengorbanan si gadis. Pengorbanan yang terlalu besar. Alangkah bertuahnya dia jikalau dia juga dicintai sebegitu rupa. Dan betapa bodohnya Khairi kerana melepaskan perempuan sebaik Farah. Oleh sebab tidak ralat lagi menyaksikan kebahagiaan Khairi dan Zeera, dia juga mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Daripada hatinya terus sakit, ada baiknya jikalau dia berlalu dahulu.

2011.
Dua tahun kemudian.
     “ Emir, kau dah dapat cari nombor phone baru Farah? “, tanya Zeera kepada Emir pada suatu petang. Hatinya berdegup-degup menanti jawapan yang bakal keluar daripada mulut kawannya itu. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu berasa gelisah tidak mengira waktu. Mimpi-mimpi malamnya juga selalu dibayangi dengan wajah kawan karibnya yang sudah lama tidak bersua. Dan semenjak dia hamil ini juga dia terlalu merindui Farah. Dia pasti akan menangis apabila mengenangkan gadis itu.
     Emir dilihatnya sedang menghirup perlahan kopi panas yang berasap-asap. Dengan penuh kesabaran, dia menanti lelaki di hadapannya ini menjawab soalannya. Emir merenung ke anak matanya sebelum mengukir senyuman yang penuh rahsia. Dia memang masak dengan sifat Emir yang pandai menyimpan rahsia. Macamlah dia tidak tahu selama dua tahun Farah menghilang pun, lelaki itu merahsiakan di mana Farah berada. Dia pasti lelaki itu tahu keadaan Farah sekarang. Apa yang gadis itu buat sekarang. Semuanya tapi dia tetap mendiamkan prasangkanya itu. Biarlah. Mungkin Farah punyai alasan yang kukuh untuk mengelakkan diri daripadanya dan suami.
     “ Dah. Dah dapat pun. Nah, dalam kad tu, ada phone number dan alamat company yang dia tengah kerja sekarang. So, what are you gonna do? You wanna meet her? “ Kopi yang masih panas ditiup-tiup Emir dengan harapan kepanasan air tersebut akan berkurangan. Dari tadi dia sukar untuk minum kopi itu kerana terlalu panas. Melecur lidahnya kerana menghirup air yang sebegini panas.
     “ Aku nak jumpa dia. Aku terlalu rindukan dia. Dan aku mesti jumpa dia.. sebelum terlambat.. “ Bersinar-sinar mata Zeera melihat nombor telefon yang dipercayai milik kepada Farah yang tertera di atas sekeping kad yang diberikan oleh Emir. Segunung harapan dan impian mula dicipta agar dia berpeluang berjumpa dengan sahabat karibnya. Dia teringin sangat bertentang mata dan memeluk tubuh gadis itu. Aku rindu sangat dengan kau, Farah!
     Zeera tersenyum sendiri. Perutnya yang sedikit membuncit disentuh lembut. Terletus tawanya tatkala anak yang berada dalam kandungannya menendang lembut perutnya seperti anaknya itu juga meraikan dan gembira untuk bertemu dengan Farah. Tanpa dia sedari, dirinya ditenung pelik oleh Emir. Mahu tak pelik, mak bunting ketawa seorang-seorang. Dahlah dekat kantin hospital ni ramai orang. Banyak mata yang memandang ke arah mereka. Ish, Zeera ni!
     “ Woi, mak bunting! Kau ni dah kenapa? Ketawa seorang-seorang? Kalau nak meroyan sekalipun, tak payahlah dekat sini. Ramai orang tengok kut! “
     “ Haha. Tahu pun malu! Aku ingatkan muka kau memang dah lut dengan bab malu-malu ni. Apa cerita dengan nurse yang kau tackle semalam? Jadi?”
     “ Hah, nurse? Oh, Azizah tu! Hurmm, tak dapat. Orang lain dah cop dulu. Kau pun satu, saja nak kenakan aku dengan tunang orang, kan? Kejam gila! “
     “ Lah, tunang orang ke? Mana aku tahu! Wey, serius kut aku tak tipu. Aku tak tahu pun Ziza tu dah berpunya. By the way, dah, dahlah tu dengan perangai buaya kau. Kalau macam nilah, sampai ke tua kau membujang! Tahu? “
     “ Hello, Puan Zeera! Cakap tu elok-elok sikit. Kau tu tengah pregnant. Tak baik mengutuk orang. Ish,ish. Teruk! Kau yang kahwin muda, nak salahkan orang. Kita baru 24 tahun, okay! Tak tua mana pun. “
     “ Eleh, apa-apa ajalah! Malas nak layan kau. Aku chow dululah. Ada appointment dengan pesakit kejap lagi. Thanks for this, ya! “
     Baru beberapa tapak Zeera melangkah, suara Emir menyinggah di halwa pendengarannya. Lelaki itu menjerit namanya supaya berhenti. Dia pantas menoleh ke arah Emir yang masih sedang duduk di meja kantin di hospital tempat dia bekerja sekarang.
     “ Doktor, dah berapa bulan doktor mengandung? “ Emir melontarkan soalan sambil mengenakan kaca mata hitamnya. Menunjukkan dia juga ingin bersiap-siap untuk beredar dari situ.
     Spontan tangan Zeera mengusap perutnya yang semakin hari semakin membesar. Dia tersenyum manis. Tercuit hatinya dengan perangai Emir yang banyak kerenah. Haish, macam-macam lah budak seorang ni tau! Patutlah tak ada yang sangkut-sangkut. Ramai perempuan angkat bendera putih awal-awal lagi sebab perangai dia. Kalau kahwin nanti pun, bini dia kenalah banyak-banyak bersabar sebab kena layan angin loyar buruk dia yang tak menentu.
     “ Nak masuk 4 bulan! “
     “ Oh, okay okay. Lagi satu, nanti kau sponsor baju pengantin untuk aku eh? “
     “ Iyalah, pak cik! Cari calon dulu. Hah, ada soalan lagi? “ Zeera hanya mampu tersenyum lebar dan berlalu apabila Emir menggeleng-gelengkan kepala. Terus langkah dipercepatkan ke destinasi yang dituju.
     Emir masih duduk di situ. Dia termenung jauh setelah kelibat Zeera sudah menghilang dari pandangan. Rasa bersalah menebak di jiwanya. Dia berasa bersalah sangat kepada Farah kerana memberikan nombor telefon baru yang digunakan oleh gadis itu. Janjinya bersama-sama Farah untuk merahsiakan kewujudannya daripada Khairi mahupun Zeera telah dimungkirinya. Dia benar-benar terpaksa melakukannya. Ini yang mampu dia lakukan untuk mengembalikan diri Farah yang lama.
     Farah kini tidak lagi seorang gadis yang lincah dan sentiasa tersenyum. Gadis itu kelihatan lebih suka menyendiri dan semakin sukar didekati. Dulunya dekahan ketawa Farah selalu kedengaran apabila dia bersama-sama gadis itu tetapi tidak lagi kini. Farah menjadi seorang perahsia dan amat memendam segala yang dia rasa. Wajahnya suram dan bibirnya sering terkatup rapat. Enggan berbicara dengan sesiapa. Hanya apabila didesak, baru gadis itu membuka mulut dengan keterpaksaan yang jelas terpancar di wajahnya.
     Harapan Emir agar pertemuan kembali antara Farah dan Zeera setelah tempoh dua tahun berlalu mampu mengembalikan sinar kebahagiaan dalam kehidupan Farah semula. Dia sentiasa berdoa supaya ada secebis peluang untuk Farah meneruskan kehidupannya dengan rasa bahagia yang berbunga-bunga di hati. Kepercayaannya bahawa Farah selayaknya hidup bahagia, saling mencintai dan dicintai tetap utuh. Dia begitu yakin bahawa Allah SWT itu telah mengatur jalan hidup Farah sebaik-baiknya. Pasti setiap yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Penderitaan sahabatnya yang bernama Farah itu pasti berakhir tidak lama lagi.
     Keluhan berat dilepaskan. Bagai bebanan batu yang berat menghempap dirinya, Emir masih risau akan keadaan dan hidup rakan-rakannya terutama sekali, Farah. Dia risau jikalau apa yang diharapkan daripada sebuah pertemuan semula sahabat yang telah lama tidak bersua yang dirancangnya tidak membuahkan hasil. Dia masih ingat waktu ketika dia dimaklumkan oleh Pak Aswad dan Mak Maira, kedua orang tua Farah bahawa anak sulungnya itu selalu meracau-racau semasa tidur. Kadang-kala, anak perempuan mereka menangis tersedu-sedan walaupun sedang tidur pada malam dinihari. Selama masa dua tahun selepas peristiwa dia berjumpa dengan Farah di masjid, Mak Maira memberitahunya bahawa sejak itulah gadis itu berubah sedikit demi sedikit.
     Dengan air mata yang meleleh di pipi cengkung milik si ibu tua, Mak Maira meluahkan kesedihannya melihat keadaan Farah yang semakin parah kerana tidak mampu hidup dengan tenang. Dia selalu sukar melelapkan matanya apabila kedengaran esakan Farah dari bilik tidur anak perempuannya yang terletak tidak juah dengan bilik tidurnya dan suami. Tangis Farah yang mendayu membuatkan dirinya dan suami bergegas masuk ke bilik tidur anak perempuan mereka. Setelah dibisikkan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW ke telinega Farah, barulah gadis itu dapat tidur dengan lena. Tidak berkutik lagi.
     Emir berjalan menuju ke tempat di mana dia memarkirkan keretanya. Langkah diatur sambil dia memandang terpesona dengan pemandangan saat sang mentari terbenam di ufuk barat. Langit yang kebiru-biruan bercampur warna jingga pekat si matahari. Dia tersenyum lucu. Tidak menyangka begitu cepat masa berlalu sedangkan dia bertemu dengan Zeera pada waktu petang, namun kini hari sudah merangkak ke senja. Sejurus itu, enjin kereta Perdana berwarna hitam gelap miliknya dihidupkan. Keretanya terus meluncur laju meninggalkan kawasan hospital menuju ke kediamannya.

     Pintu kamar utama yang menjadi tempat beradunya bersama-sama suami dikuak perlahan. Di atas katil kelihatan beberapa helai pakaian kotor milik Khairi. Bunyi air pancut yang kuat dari bilik air cukup menunjukkan kepada Zeera bahawa si suami sedang mandi. Dia duduk di birai katil dan terdiam kaku untuk seketika. Beberapa saat berlalu, tangannya perlahan-lahan mengambil sebuah album kecil yang disorokkannya di bawah katil bersaiz King yang dibelinya dengan Khairi di awal perkahwinan.
     Album kecil tersebut yang merupakan barang kepunyaan Khairi diseludupnya tanpa kebenaran lelaki itu. Zeera menjumpainya secara tidak sengaja ketika sedang mengemaskan bilik tidur mereka. Setelah melihat isi kandungan album mini itu, dia pantas mengambilnya dan menyimpan di tempat persembunyian yang selamat. Sampai saat ini, suaminya tidak menyedari kehilangan barang tersebut. Syukurlah.
     Setelah pasti yang Khairi akan lama lagi berada di dalam bilik air, Zeera menyelak helaian isi kandungan album. Daripada helaian pertama lagi, jantungnya pun sudah berdetak laju melihat wajah Farah yang sedang tersenyum bahagia. Helaian yang seterusnya diselak lagi. Terpampang foto Farah yang sedang tidur di atas meja di dalam kelas mereka dahulu pada zaman sekolah. Muka surat terus diselak dan diselak. Semuanya foto Farah. Wajah Farah menghiasi setiap foto dengan senyuman yang sentiasa memekar di bibir mungil si gadis. Dia mula mencemburi wajah mulus itu yang kelihatan sungguh bahagia. Sehinggalah ke muka surat yang terakhir, hatinya sakit melihat foto suaminya yang sedang asyik memandang ke arah Farah yang ketika itu sedang tekun menelaah buku pelajaran.
     Dan saat pandangannya jatuh pada beberapa baris ayat yang bertulis tangan di kulit belakang album, dadanya terasa sesak yang menyukarkannya bernafas. Bibirnya diketap kuat untuk mengelakkan tangisnya kedengaran. Zeera menggenggam kuat hujung bajunya setelah mengenal pasti tulisan yang terukir di kulit album tersebut. Dia amat pasti tulisan tangan itu milik Khairi.
     Senyumannya membuatkanku angau sepanjang waktu. Wajahnya, perilakunya dan suaranya yang gemersik bisa mendebarkan hati ini. Berhadapan dengan dirinya cukup membuatkanku bahagia. Aku menyedari yang aku sudah jatuh cinta. Aku terlalu mengasihinya. Selamanya aku mencintaimu, Farah.
                                                                                                                                                       KHAIRI AQYLL
     Album mini dalam pegangannya ditutup rapat dan disimpan semula di tempat persembunyian yang dia rasakan selamat. Dia bingkas bangun dan bergegas keluar dari bilik tidur. Air matanya sudah berhenti mengalir meskipun luka di hati masih tak dirawat. Dia menuju ke beranda rumah kondominium yang dia dan suami menetap kini.
     Udara malam dihirupnya perlahan. Tanpa dipinta, Zeera menangis lagi. Hatinya berasa terlalu sakit tatkala memikirkan betapa kejam dirinya memperlakukan Farah sebegitu rupa. Tegarnya dia menghancurkan sekeping hati milik seorang sahabat karib dengan memiliki lelaki yang  gadis itu cintai sejak zaman sekolah. Dia telah melakar luka yang dalam di hati rakannya. Rakan yang sentiasa berada di sisi kala senang mahupun susah. Dia memang kejam! Tak berhati perut!
     Aku minta maaf, Farah! Aku tak tahu yang kau dan Khairi saling mencintai. Maafkan aku!, bentak hati Zeera.
     “ Zeera, you dah makan? “ Sisa air mata yang membasahi pipinya cepat-cepat dikesat tatkala Khairi menyapanya. Dia menoleh ke arah wajah suami yang sentiasa dia cintai. Setiap detik, setiap saat.
     Senyuman dilemparkan kepada Khairi. Zeera meluru masuk ke ruang tamu dan berlagak selamba tiada apa-apa yang berlaku walaupun hatinya terusik hebat hanya kerana sebuah album.

     “ Ina, asal kau buat aku macam ni?! Apa salah aku sampai suami aku pun kau kacau? Kau sedar tak yang kau tu dah bersuami? Tak reti malu ke nak rampas suami orang? Mana maruah kau? Macam mana pula dengan suami kau? “, jerit Zeera sekuat hati. Bergema seluruh kedai serbaneka di mana Ina bekerja dengan suara lantangnya. Pandangan sinis yang dilemparkan ramai pelanggan di situ tidak dipedulikan sama sekali. Sakit hatinya lebih diberikan tumpuan berbanding anggapan orang lain. Apa pun tanggapan mereka, dia tidak mahu tahu. Asalkan rasa sakit yang dia rasakan kini dapat dirawat.
     Geramnya bukan kepalang apabila mengetahui perangai sebenar sepupunya seorang ini. Dia diberitahu Khairi bahawa Ina sering melawatnya di studio. Memandangkan suaminya itu bekerja sebagai jurugambar dan lebih-lebih lagi kerja yang semakin bertimbun-timbun menyebabkan Khairi sukar bergerak bebas. Namun, Ina selalu mendesak Khairi keluar makan bersama-sama. Demi menjaga hati dan hubungan baik sesama saudara, Khairi tiada pilihan melainkan menuruti kehendak Ina yang dia rasakan remeh dan agak keterlaluan. Akhirnya, Khairi bertekad menyatakan ketidakselesaannya dengan sikap Ina yang melampau.
     Mencerlung mata sepet Ina memandang kakak saudaranya. Dia memandang wanita itu dengan penuh jengkel, lebih-lebih lagi dengan perut yang membonyot. Terus perasaan yang sarat dengan kebencian dan meluat terhadap Zeera menyelinap masuk ke jiwanya. Tidak dinafikan, Zeera memiliki sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Dengan memegang kerjaya sebagai seorang doktor pakar puan di sebuah hospital swasta, dia melihat wanita itu mampu hidup dengan senang-lenang dan sentiasa dilimpahi kemewahan duniawi. Wang bukan masalah bagi Zeera. Dompet wanita itu  dilihatnya berkepuk-kepuk dengan wang kertas. Tambahan lagi, Zeera bertuah kerana berkahwin dengan Khairi yang merupakan seorang lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki idamannya.
     “ Hei, akak! Tak payah nak berlagak samseng pula dekat sini! A’ah, aku memang goda Abang Khairi. So, what? Akak tak teringin nak bermadu? “
     “ Kau tak ada hak cakap pasal madu dengan aku. Kau tak layak! Meski aku ditakdirkan bermadu kelak, kau bukan perempuan yang akan kahwin dengan suami aku. Azam yang dah tiga tahun jadi suami kau tu pun kau tak boleh nak setia, macam mana pula dengan suami aku nanti? Oh, kau bukan tandingannya! “
     “ Suka hatilah kau nak cakap apa, kak! Aku tetap akan rampas Abang Khairi. Jangan jadi angkuh sangat. “
     “ Cermin diri kau sikit sebelum kau nak buat macam tu. Suami aku takkan pernah tertarik dengan perempuan tak bermaruah macam kau, Ina! “
     “ Aku harap sangat hidup kau merana, kak! Aku harap sangat suatu hari nanti, akak akan kehilangan semuanya yang akak miliki dan sayangi.. “

     Sudah bertan-tan sumpah seranah dilemparkan kepada Emir yang membocorkan rahsia. Meski bibir Farah terkatup rapat, hatinya tetap membebel keseorangan dengan tindakan drastik Emir memberikan nombor telefon barunya kepada Zeera. Sedang dia berjalan-jalan di kawasan di dalam hospital, kakinya segera diatur menuju ke tangga kecemasan. Menurut Zeera, wanita itu ingin berjumpanya di tempat tersebut.
     Kalaulah dia mengikut kata hati, tidak mahu dia bersua muka dengan Zeera. Luka yang terpalit dahulu masih belum sembuh. Dia takut jikalau dia berasa sakit lagi. Terlalu cukup penderitaan yang ditanggung, dia tidak ingin disakiti dan menyakiti sesiapa. Biarlah Zeera bahagia dengan Khairi, dia tidak mahu menjadi penghalang. Tetapi, kenapa Zeera teringin benar bertemu dengannya walaupun dia sanggup memutuskan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin semata-mata ingin membawa diri yang kecewa. Tidakkah wanita itu berasa betapa dirinya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain? Tidak cukup jelaskah tindakannya melarikan diri menjadi penyebab banyak hati yang terusik?
     Tangisan Zeera di corong telefon tadi merayu-rayu memintanya hadir ke hospital dan berjumpa dengan wanita itu walaupun sekejap. Zeera memberitahunya bahawa dia mempunyai hal yang mustahak yang melibatkan antara hidup dan mati. Langsung bergetar hebat jantung Farah dengan kata-kata Zeera yang kedengaran amat pelik dan menakutkan. Meremang bulu romanya.
     Pintu yang menutup seluruh kawasan tangga kecemasan ditolak perlahan. Serentak dengan itu wajah Zeera yang tersenyum manis kepadanya singgah di matanya. Senyuman itu hanya dibalasnya dengan senyuman yang hambar. Dingin. Tiada perasaan. Farah mendekati Zeera yang sedang berdiri dan bersandar di pemegang tangga dengan hati-hati. Matanya terus melorot ke perut Zeera yang membuncit dengan penuh rasa yang tidak mampu diucapkan. Dah mengandung pun Zeera. Bahagianya hidupnya bersama-sama Khairi, sedangkan aku? Masih lagi begini. Terus menanti sesuatu yang tak pasti. Terus mencintai milik orang lain.
     “ Farah.. “ Tubuh Farah dipeluk erat. Zeera tidak dapat menahan lagi tangisnya. Dia menangis teresak-esak di bahu rakan karibnya yang sudah lama tidak bertemu. Rindunya kepada Farah bukan kepalang. Berkurun lama dia menyimpan rasa rindu ini keseorangan. Kerinduan yang dipendam tidak juga diluahkan kepada sang suami. Berdosanya dia kerana masih punyai syak wasangka terhadap Khairi sejak sebelum kahwin lagi sehinggalah dia mengandungkan anak sulung mereka.
     Farah membalas pelukan kemas Zeera. Dia turut merasakan kerinduan dan kesedihan si gadis. Mustahil kalau dia menyatakan bahawa dia tidak merindui rakan karibnya yang sudah tidak bertemu dua tahun. Terlalu sakit menanggung rasa rindu. Tidak terbendung rasa perit apabila terpaksa pergi dan menjauhkan diri demi kebahagiaan orang lain. Nampaknya tidak sia-sia dia berkorban dan merana sendirian. Zeera pun sedang hamil dan wanita itu kelihatan sungguh sihat.
     “ Kau jahat tau!  Sanggup kau tinggalkan aku? Kau pergi aja senyap-senyap. Kau banyak dosa dengan aku, tau! “
     “ Janganlah cakap macam tu! Aku baiklah! Tapi, aku nak minta maaf dengan kau Zeera.. “
     “ Tak! Tak! Aku yang nak minta maaf dengan kau. Aku minta maaf dengan kau sebab aku rampas Khairi daripada kau. Serius, aku tak tahu! Aku tak tahu kau dan Khairi saling mncintai. Aku bersalah, Farah! “
     “ Zeera, apa yang kau cakap ni?! Kau dah gila ke? Kau sedar tak yang kau cakap ni pasal suami kau? Apa kena-mengena dia dengan aku? “
     “ Aku dah tahu semuanya, Farah! Tak payah berdalih lagi! Aku tahu perasan kau. Aku tahu kau ada hati dengan Khairi. Khairi pun sama. Dia sayangkan kau dari dulu sampai sekarang. Dia selalu mimpikan kau. Dia selalu buat apa yang kau suka buat. Dan kalau kau nak tahu, anak kami ni nanti pun dia nak namakan dengan nama Farah. “ Zeera mengusap lembut perutnya. Dia merasakan anaknya turut memahami perasaannya ketika ini.
     Dia tersentap. Jantungnya bagaikan berhenti berdegup. Dia terasa seperti ingin rebah kala itu. Dia terlalu tidak menyangka apa yang dikatakan Zeera. Farah merenung wajah muram Zeera yang sudah dihujani dengan air mata berlelehan di tubir mata.
     Tangan Farah diraih Zeera sebelum wanita itu menggenggamnya erat. Zeera masih dalam esak tangisnya yang seperti tidak berkesudahan. Farah pula hanya terdiam membisu walaupun air matanya tetap mengalir lebat. Farah dapat merasakan tangan Zeera yang menggenggam tangannya berpeluh dingin dan menggigil. Wajah Zeera juga berubah pucat tidak seperti mula-mula tadi dia bertemu dengan wanita itu.
     “ Farah, kau kena janji dengan aku. Kau kena janji yang kau akan terus mencintai Khairi. Cintakan Khairi seadanya. Dia seorang romantik, tau! Tapi kadang-kadang, kau kena tahan jugalah dengan baran dia tu. Kau .. “ Tangannya direntap kasar daripada pegangan kemas Zeera. Kelihatan wanita itu tersentak dengan tindakannya.
     “ Zeera, kau memang dah gila! Aku tak nak dengar lagi kau cakap macam ni. Kau isteri Khairi yang sah. Kau tak boleh senang-senang aja serahkan Khairi kepada mana-mana perempuan termasuk aku! Khairi manusia, Zeera. Dia bukan barang yang boleh kita main pass-pass. Percayalah, Khairi pilih kau untuk jadi peneman hidup dia sebab dia cintakan kau.. “
     “ Kau tak faham, Farah. Disebabkan dia suami akulah, aku tahu isi hati dia. Ya, memang dia sayangkan aku! Tapi dia tak cintakan aku. Tak pernah walaupun sekali. Dia hanya cintakan kau seorang. Sakit hati aku bila aku seorang aja yang cintakan dia. Dan lagi sakit hati ni bila kena tengok dia merana. Dia tak bahagia dengan aku.. “
     Farah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh Zeera. Tidak mahu menerima kenyataan yang  membuka kembali lembaran luka lama. Dia tidak mahu ada kaitan lagi dengan kehidupan rumah tangga Zeera dan Khairi. Dia tidak mahu menjadi penghalang kebahagiaan dua jiwa yang telah disatukan dengan ikatan yang sah dan suci. Tidak tertanggung rasanya jikalau dia tegar meruntuhkan sebuah masjid. Lebih-lebih lagi, pasangan suami isteri itu bakal menimang anak sulung mereka tidak lama lagi. Dia tidak sekejam itu untuk memutuskan kasih sayang ibu bapa yang sepatutnya dicurahkan kepada seorang anak yang akan berpeluang lahir ke dunia.

     Di celahan pintu tangga kecemasan yang terkuak sedikit, Ina mengintai tingkah laku dua orang perempuan. Keadaan tersebut lebih menarik perhatiannya apabila kedengaran esakan dan pergaduhan kecil antara kedua-dua orang perempuan itu. Seorang merupakan kakak saudaranya, Zeera dan seorang lagi tidak dia kenali. Saat perihal Khairi diperkatakan, amarah Ina meluap-luap. Dia tidak menyangka Zeera dengan bodohnya ingin menyerahkan Khairi kepada perempuan yang dipanggil Farah itu.
     Hatinya berasa sakit dengan tindakan Zeera yang mahu melepaskan suami sendiri begitu sahaja. Sudahlah sakit ditampar oleh wanita itu masih tidak hilang, ditambah lagi dengan tindakan gila Zeera! Tidak tertahan rasanya pedih hati ini. Nafasnya tidak teratur dengan perasaan geram yang semakin membuak-buak.
     Sampai ke satu tahap, Ina tidak mampu bertahan lagi. Dia tidak dapat bersabar lagi dengan ‘drama’ yang sedang dilakonkan oleh dua orang wanita yang punyai kaitan dengan Khairi. Dia perlu menegakkan kebenaran. Khairi miliknya! Dia terlalu mencintai Khairi sehinggakan dia berasa tidak mampu hidup tanpa lelaki itu.
     “ Hoi, betina! Asal kau bodoh sangat sampai sanggup nak serahkan Khairi kepada minah ni? Khairi tu suami kau, bahlul! “, jerit Ina lantang yang menyerang Zeera secara tiba-tiba. Zeera dan Farah sangat terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu. Mereka masih tersentak dengan tindakan Ina yang menolak kuat bahu Zeera sehinggakan wanita mengandung itu hampir jatuh tersungkur di tangga. Nyaris Zeera masih sempat berpaut kuat pada pemegang tangga.
     Melihatkan keadaan Zeera yang terkial-kial memegang pemegang tangga, Farah lantas menarik lengan wanita itu supaya tidak jatuh. Matanya dialihkan kembali kepada seorang wanita yang dirasakan lebih muda daripada usianya dan Zeera. Wanita itu dilihatnya seperti orang yang tidak waras kerana berang dengan Zeera. Kata-kata yang dilemparkan wanita itu juga berusulkan tentang yang dibualkan olehnya bersama-sama Zeera. Pastinya wanita itu sudah mencuri dengar perbualannya bersama-sama Zeera sejak awal tadi. Tapi, siapa pula minah ni?
     “ Eh, Ina! Kau tak ada hak nak halang apa yang aku nak buat. Suka hati akulah kalau aku nak serahkan Khairi kepada kawan aku. Kau tu yang tak layak! Daripada kau menyemak dekat sini, baik kau blah sekarang! Aku benci tengok kau! “ Setelah dia benar-benar selamat berpaut pada pemegang tangga, Zeera menghamburkan rasa bencinya kepada Ina. Hatinya berasa sungguh sakit dengan kelantangan Ina yang hadir tiba-tiba dan menghalangnya mengembalikan kebahagiaan Khairi dan Farah. Dia dapat melihat dengan jelas wajah bulat milik Ina yang merah padam kerana marahkannya.
     “ Heh, perempuan! Aku adik saudara kau! Kau sedar tak? Dan kau tahu aku cintakan Khairi. Kenapa betina ni pula yang dapat Khairi? Khairi tu milik aku! “
     “ Pandai pula kau mengaku kau tu adik saudara aku. Selama ni, kau goda Khairi habis-habisan dan biarkan Azam dekat rumah, kau tak rasa bersalah ke? Kau tu yang tak sedar diri sebab abang saudara kau sendiri pun kau nak balun! Semua jantan kau nak goda, kan?! “
     Nafasnya tersekat-sekat di kerongkong. Matanya mencerlung tajam ke arah Zeera. Hati dan jiwanya benar-benar sakit dan terluka kini. Ina sudah bersedia untuk menyerang Zeera. Dia merasakan tidak puas jikalau pipi Zeera tidak makan dengan penamparnya. Dadanya juga meluap-luap dengan kepanasan amarah yang tidak terbendung. Kedengaran halus bisikan syaitan durjana yang menghasutnya supaya menghapuskan perempuan sial di telinganya.
     Ina memang mudah tewas dengan bisikan makhluk yang dilaknat Allah SWT itu. Dia mengiyakan bisikan itu walaupun insan yang ingin dia hapuskan merupakan kakak saudaranya sendiri. Lantas Ina meluru ke arah Zeera sebelum pipi wanita itu ditamparnya kuat. Telinganya sendiri juga berdesing dengan bunyi yang terhasil daripada tindakannya menampar Zeera. Tidak puas dengan itu, Ina menarik kuat rambut Zeera yang panjang mengurai sehinggakan kepala wanita itu terdongak menghadapnya. Esakan sayu Zeera tidak dia endahkan. Dia seperti telah dirasuk dan kewarasan akalnya sudah hilang. Betina ni harus diajar! Untuk menghormati aku sebagaimana yang layak aku terima. Dahlah kau rampas Khairi daripada aku, sekarang pula kau nak serahkan Khairi kepada betina lain? Oh, no way! Selamanya Khairi milik aku!
     Farah sedaya-upaya menghalang tindakan perempuan yang dikenalinya dengan panggilan Ina itu. Tidak tertahan rasanya apabila melihat Zeera yang sedang sarat mengandung diperlakukan kasar sebegitu. Dia menangis tatkala Zeera juga menitiskan air mata. Apabila usahanya sia-sia, Farah cuba menarik kuat tudung yang meliputi kepala Ina. Serta-merta tudung itu terlerai dan menampakkan kepala Ina yang botak. Tersentak dengan tindakan Farah yang membuka rahsia yang selama ini dia pendamkan, Ina melepaskan Zeera yang ketika itu bergelut di lengannya dan menolak wanita hamil itu jatuh ke bawah tangga tanpa ada rasa perikemanusiaan.
     “ Argghhh !! “, jerit Zeera kuat sebelum terkulai di lantai simen yang dingin. Cecair merah pekat mulai mengalir di bawah kepala dan bahagian bawah tubuhnya. Perutnya sempat diusap-usap lembut. Bibirnya yang juga berlumuran dengan darah tidak menjadi penghalang untuk dia berzikir dan menyebut nama Pencipta yang Maha Esa walaupun tersekat-sekat. Dia menangis semahu-mahunya.
     Ina menerpa pula ke arah Farah yang telah menarik tudungnya. Dia menolak kasar tubuh Farah ke dinding dengan rasa penuh kebencian. Pipi Farah juga menjadi mangsa tamparan mautnya sehingga bibir wanita itu pecah dan mengalirkan darah. Melihatkan keadaan itu, terletus tawa Ina. Dia benar-benar gila kini kerana sanggup menghentak pula kepala Farah ke dinding.
     Tatkala matanya memandang keadaan Zeera yang berlumuran darah di lantai selepas jatuh ditolak Ina, dia menjadi tidak tentu hala. Dia mengamuk dan meronta-ronta minta dilepaskan. Hatinya sedih yang amat apabila mendengar esak tangis Zeera yang sayu. Tidak dapat dia menggambarkan perasaannya kini melihat rakan karibnya yang sedang sarat mengandung terbaring lemah dengan darah yang banyak mengalir. Dia menguatkan semangat dan mengumpulkan seluruh tenaganya untuk melawan Ina. Cekak leher baju Ina dicengkamnya kuat sebelum wanita itu pula yang tersandar di dinding.
     “ Hahaa, tengok kawan kau, betina! Dia menangis.. Ehh , dia berdarah laa.. Hahaa.. “ Tanpa berfikir panjang, Farah terus menghentak pula kepala botak Ina ke dinding. Letusan tawa Ina membuatkan dia lupa diri dan lesap seluruh kesabarannya. Imannya sudah tiada dan dia benar-benar hilang sabar. Tindakannya terhenti tatkala darah merah mengalir di dahi Ina. Dia bagaikan tersedar daripada rasukan syaitan. Tangannya menggigil melepaskan cekak leher baju Ina perlahan-lahan. Ina hanya duduk tersungkur dengan hilaian tawanya yang tidak henti-henti. Farah menoleh dan melihat Zeera yang terbaring dan berlumuran darah. Kakinya bergegas mendapatkan wanita itu.
     “ Zeera.. Zeera.. Jangan tinggalkan aku, Zeera.. “ Kepala Zeera dipangkunya. Darah yang mengalir di bibir Zeera dikesat dengan hujung baju lengannya. Farah menangis tersedu-sedan. Sakit di kepalanya tidak dihiraukan.
     “ Farah, maafkan aku.. Aku bersalah kepada kau.. Aku dah rampas Khairi.. “
     “ Apa yang kau melalut ni?! Kau cedera.. Tolong!! Tolong!! “
     “ Farah.. janji dengan aku.. Kau kena hidup bahagia dengan Khairi. Dan cakap dengan Khairi .. Argh.. “ Zeera mengerang kesakitan. Kepalanya terasa berat. Matanya pula terasa pedih yang amat. Seluruh tubuhnya terasa bisa. Dia juga kesejukan hingga ke tulang hitam. Terus dia menggigil kesejukan dan tangannya dipaksa mengusap pipi Farah yang dibasahi dengan air mata bercampur darah yang mengalir daripada dahi milik rakan karibnya itu.
     Saat nafas Zeera tersekat-sekat, spontan Farah membisikkan dua kalimah syahadah di telinga Zeera dengan suaranya yang serak kerana menangis. Zeera juga bagai memahami dan mengikut setiap bait lafaz suci itu. Tangan Zeera yang mengusap lembut pipinya perlahan-lahan jatuh dan kaku tidak berkutik. Mata Zeera juga dipejam perlahan-lahan usai kalimah suci dilafaz oleh wanita itu. Dengusan nafas Zeera tidak kedengaran lagi. Dada Zeera yang berombak-ombak tadi juga kembali tenang.
     Esakan Farah semakin menjadi-jadi. Dia memeluk kemas tubuh kaku Zeera dan mengucup dahi rakan karibnya itu berkali-kali. Dia menangis sekuat-kuatnya sehingga bergema seluruh kawasan tangga kecemasan itu. Tidak lagi dia mengendahkan keadaan Ina yang tidak terurus dan berterusan ketawa besar bagaikan wanita itu sudah hilang kewarasannya. Dia hanya mampu menangis dan meratap pemergian Zeera buat selama-lamanya.

     Foto-foto perkahwinan yang dirakamnya ketika majlis meraikan pasangan-pasangan pengantin yang juga merupakan para pelanggannya berselerakan di atas meja kerja. Khairi tersandar lemah di kerusi berhadapan dengan meja kerja tersebut. Di suatu sudut meja kerja itu pula terdapat timbunan fail yang mengandungi foto-foto pelanggannya yang lain untuk majlis formal, sambutan hari lahir dan beberapa lagi jenis majlis. Tanpa dia sedari, masa terus berlalu dengan pantas. Di telefon bimbit Nokia Experia miliknya, berkumandang lembut nada dering lagu artis Barat yang berjudul Sorry Seems To be The Hardest Words. Telefon bimbit itu dicapai dan nota peringatan yang sengaja dikuncinya dalam alat komunikasi canggih itu dibaca sekilas.
     Sebuah senyuman terukir di bibir Khairi. Tidak dia menyangka sudah genap dua tahun ulangtahun perkahwinannya bersama-sama Zeera. Terbayang wajah mulus Zeera di layar ingatan dengan perut isterinya itu yang membonyot. Dia terdiam mengira-gira tahun dan masa. Barulah dia sedar yang kini sudah dua tahun juga Farah menghilangkan diri. Farah, gadis yang pernah dia cintai pada suatu masa dahulu. Perpisahan yang dititipkan oleh Farah masih berbekas lukanya di hati. Dia masih tidak dapat melupakan Farah yang pernah beraja di hati. Saat pintu pejabatnya diketuk bertalu-talu dari luar, lenyap terus lamunannya.
     “ Encik Khairi, ada panggilan daripada pihak hospital .. “, ujar Dianne dengan termengah-mengah. Peluh dingin jelas membasahi dahi pembantu peribadinya itu. Wajah Dianne yang penuh dengan tanda kerisauan membuatkan hati Khairi berhenti berdetak.

     “ Saya mewakili pihak hospital ingin memohon maaf atas apa yang telah terjadi ke atas isteri dan anak encik. Kami dah usaha yang termampu tapi Allah SWT lebih menyayangi mereka berdua. Maaf, Puan Zeera dan anak encik tidak dapat diselamatkan.. Bersabarlah encik. Pasti ada hikmah atas semua ini. Kami meminta kerjasama encik dalam menjalani prosedur yang ditetapkan oleh pihak hospital bagi menguruskan jenazah arwah.. “
     Terpempan dengan kata-kata seorang doktor perempuan berbangsa Melayu selaku doktor yang bertugas merawat Zeera dan anaknya, Khairi terduduk di kerusi plastik di ruang menunggu di hadapan bilik kecemasan. Air mata lelakinya sudahpun menitis sejak di dalam kereta ketika dia bergegas menuju ke hospital lagi. Berita yang disampaikan oleh pihak hospital tentang keadaan isteri tercinta dan anaknya yang bakal melihat dunia menyentap jiwanya. Dia masih tidak mempercayai hakikat yang terbentang di hadapan matanya kini. Dunia bagaikan kelam dengan dugaan yang ditimpakan Tuhan ke atas dirinya.
     Masih terngiang-ngiang gelak tawa Zeera di cuping telinganya setiap kali dia bergurau dengan si isteri. Masih dia ingat waktu Zeera tersenyum bahagia menyampaikan berita gembira bahawa isterinya itu hamil anak sulung mereka. Dia masih ingat dengan jelas kata-kata Zeera yang sentiasa menenangkan, wajah wanita itu yang sering tersenyum malu-malu dengannya dan setiap tingkah si isteri yang asyik menyerikan rumah tangga mereka sehingga bertahan selama dua tahun.
     Sepanjang tempoh perkahwinan, dia dan Zeera tidak pernah bertelingkar dan bertikam lidah. Jikalau barannya menjadi-jadi, Zeera merupakan orang yang akan mengalah dan berusaha mendamaikan keadaan tegang antara kami berdua. Zeera tidak pernah bersangka buruk terhadapnya. Mungkin di awal perkahwinan dia masih tidak mampu mencintai Zeera dengan sepenuh hati tetapi mengapa wanita itu pergi saat cintanya mula berputik untuk sang isteri? Mengapa dia tidak punyai peluang untuk mencintai seorang isteri yang amat mencintainya? Kenapa zuriat kami juga tidak berpeluang hidup di atas muka bumi ini?
     Khairi membiarkan air mata yang berlelehan di pipi. Dia ingin menangis sepuas-puasnya. Pandangan orang yang lalu-lalang tidak dia hiraukan. Matanya setia dihalakan ke pintu bilik kecemasan yang menempatkan jasad arwah Zeera. Dia menggenggam tangannya kuat untuk mengumpul segala sisa-sisa kekuatan yang masih ada dalam dirinya. Pantas dia bangkit dan mengatur langkah ke bilik kecemasan. Ketika pintu bilik kecemasan dikuaknya perlahan, semakin jelas sepasang matanya yang sebam melihat sekujur tubuh kaku yang amat dia kenali. Walau hati mengatakan dia tidak kuat menghadapi semua ini, langkahnya tetap diatur mendekati tubuh kaku itu. Sehinggalah tangan sasanya menyelak kain putih yang menutupi wajah milik jasad kaku itu, dia menangis lagi. Air matanya semakin lebat menuruni lekuk pipi melihat wajah putih pucat Zeera dengan mata yang terkatup rapat.
     “ Zeera, abang minta maaf sayang.. Abang cintakan Zeera. Abang terlalu sayangkan Zeera dan anak kita. Abang tak mampu.. abang tak boleh hidup tanpa Zeera. Tolong, Zeera! Jangan tinggalkan abang. Abang takut.. “ Khairi merayu-rayu meskipun dia mengetahui bahawa pemergian Zeera adalah untuk selama-lamanya. Sempat dia mengusap lembut wajah tenang yang tidak berkutik itu. Dia menatap lama wajah yang akan dia ingat sampai bila-bila itu. Dahi dingin Zeera dikucup lama sebelum dia menutup kembali wajah wanita itu dengan kain putih. Tidak dapat menahan kesedihan, Khairi akhirnya rebah juga dan terduduk di sisi katil yang menempatkan jasad Zeera yang kaku. Dia menangis dan meraung. Dadanya ditumbuk kuat seperti tindakan itu mampu menghilangkan kesedihan yang terpalit. Kesedihan kerana kehilangan orang yang dicintai.

     Air mata masih berlinangan di pipi Farah sedari tadi. Air mata ini tidak pernah berhenti daripada menitis  sejak jasad kaku arwah Zeera yang terbaring di lantai simen tangga kecemasan diangkat bawa oleh beberapa orang jururawat lelaki setelah dia menjerit meminta tolong. Kakinya bagaikan terpaku di hadapan pintu bilik kecemasan dan setia menyaksikan Khairi melepaskan kesedihannya  di sisi katil arwah Zeera melalui celahan pintu yang terkuak. Dia berasa bersalah dan sengsara melihatkan kesedihan Khairi yang meratap dengan pemergian si isteri yang tercinta.
     Dia menangis mengenangkan peristiwa pahit yang dia lalui bersama-sama arwah Zeera. Terlayar di ruang mata tatkala tubuh Zeera ditolak kasar oleh Ina sehingga wanita yang sarat mengandung itu jatuh terguling-guling di tangga dan terlentang di lantai simen dengan lumuran darah merah. Esakan Zeera yang sedang mengerang kesakitan begitu menghiris perasaannya. Rasa bersalah yang menggunung membuatkan dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku terhadap rakan baiknya. Dia berasa marah dengan diri sendiri kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan nyawa Zeera. Dia masih ingat saat apabila Ina yang meracau-racau diberikan suntikan penenang oleh doktor dan dibawa pergi dengan bantuan beberapa orang jururawat yang bertugas sejurus jasad arwah Zeera turut dibawa pergi. Tinggal dia keseorangan di tempat kejadian yang melakar sejarah hitam dalam hidupnya. Bergema tangisannya di seluruh genap penjuru kawasan tangga kecemasan.
     Farah hanya tersedar apabila dia mendapati dirinya sudah terbaring di atas katil hospital. Kepalanya juga sudah berbalut kemas. Dia melihat keadaan sekeliling yang sunyi tanpa kehadiran sesiapa. Hatinya terus terdetik untuk keluar daripada bilik wadnya. Tudungnya yang tersidai elok di kerusi bersebelahan katil hospital dicapai dan disarungkan menutupi seluruh kepalanya. Dia berjalan perlahan-lahan di koridor hospital tanpa arah tujuan sehinggalah dia terpanggil untuk menjenguk sebuah bilik kecemasan. Esak tangis yang garau menunjukkan seorang lelaki empunya suara menarik perhatiannya. Dan tatkala matanya singgah ke sesusuk tubuh sasa yang dia kenali, terus dia kaku di posisinya. Dia turut menangis melihatkan Khairi yang menangis teresak-esak.
     Raungan Farah di luar bilik kecemasan menampar halwa pendengaran Khairi. Dia terus berhenti menangis apabila dia mendengar esakan kuat seorang perempuan. Tanpa berfikir panjang, dia mendapatkan wanita itu. Dan saat wanita itu menolehkan wajah memandang ke arahnya, dia terus naik angin. Dia merasakan dadanya berombak-ombak menahan amarah. Tangannya dikepal seperti ingin menumbuk wajah itu.
     “ Kau buat apa dekat sini? “, tanya Khairi dingin. Wajah Farah tidak dia pandang. Hatinya cedera apabila wanita itu muncul kembali. Kehadiran wanita itu memaparkan kembali luka-luka lama. Dan kini luka itu kembali berdarah.
     Dia menarik nafas dalam-dalam. Sekelumit kesabaran ditagih ketika waktu-waktu genting sebegini. Tidak dinafikan panas barannya boleh menjadi-jadi apabila tiada sesiapa berada di sampingnya yang menjadi penenang buatnya. Dia masih ingat ketika arwah Zeera yang sabar dan setia menemaninya dan menasihatinya supaya mengawal barannya yang mungkin membawa keburukan untuk orang sekelilingnya. Arwah Zeera yang merupakan wanita yang mengusap-usap dadanya ketika dia marah. Tindakan arwah Zeera itulah yang mendorongnya untuk berusaha mengawal barannya yang berada di tahap kritikal.
     “ Puas hati kau? Hei, perempuan! Aku tanya kau ni! Puas ke hati kau lepas bunuh bini aku?! “ Lantang Khairi melemparkan tuduhan terhadap Farah. Mungkin dulu ada secebis sayang dan kasihnya untuk Farah tetapi tidak lagi kini. Dia terlalu bencikan wanita itu. Dia merintih kerana nyawa arwah Zeera yang tergadai dan bukan nyawa Farah. Rasa benci yang bercampur dengan kesakitan lama memutikkan bunga-bunga dendam di hati Khairi untuk Farah.
     Dia juga mengetahui daripada Emir bahawa arwah Zeera bersama-sama Farah di hujung hayatnya. Apa lagi motif perempuan tak sedar diri tu kalau bukan ada niat nak bunuh arwah Zeera? Kenapa perempuan tak guna tu muncul secara tiba-tiba lepas dua tahun menghilangkan diri? Kalau tidak punyai apa-apa niat jahat?
     Farah mendongak memandang wajah Khairi yang dipalingkan daripada berhadapan dengannya. Terkejut sungguh dia dengan tuduhan yang dilemparkan. Dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu tegar menuduhnya membunuh rakan karibnya sendiri. Sakit dan pedihnya apabila terpaksa menelan pahit tuduhan melulu daripada Khairi. Sebegitu rupa Khairi menganggap dirinya kejam. Sebanyak inikah harga luka yang dia palitkan di hati Khairi kerana pernah menolak cinta lelaki itu sewaktu ketika dahulu?
     “ Khairi, aku tak sekejam tu untuk bunuh Zeera! Aku masih waras untuk tak buat perkara terkutuk tu! “ Farah mencuba untuk membuka mata Khairi supaya dapat menerima kenyataan sebenar. Dia juga cuba untuk mempertahankan diri daripada dituduh sebegitu. Tidak pernah terdetik pun di hatinya untuk menyakiti Zeera apatah lagi membunuh wanita itu. Dia lebih rela menyakiti dirinya sendiri.
     “ Heh, kau dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah! Hipokrit tak habis-habis! Aku menyampah tengok kau berlakon baik depan aku. Dan kau dengar sini, perempuan! Aku bencikan kau sampai bila-bila. Aku akan tuntut hutang atas kematian arwah Zeera! Aku akan balas dendam!  “

     Bingkai gambar perkahwinannya bersama-sama arwah Zeera ditatap sekilas. Dilekapkan gambar arwah Zeera yang menunduk dan mengucup tangannya selepas selamat diijabkabulkan ke dadanya. Keadaan ruang bilik utama yang menjadi tempat beradunya bersama-sama arwah isteri terasa kosong dan sunyi bagai tidak berpenghuni. Ketiadaan arwah Zeera di bilik itu menyebabkan suasana sekeliling kelam dan suram. Tiada lagi gelak tawa Zeera yang sentiasa menggembirakannya. Tiada lagi gurau-senda antaranya dan Zeera yang meriuhkan keadaan.
     Plastik bungkusan rokok yang baru dibelinya dikoyak dengan rakus. Pantas pemetik api dicapai dan dihalakan di hujung rokok. Rokok tersebut dihisapnya perlahan sebelum dia terbatuk-batuk. Terasa pedih di kerongkong dengan asap yang dihisapnya untuk cubaan kali pertama. Walau sesak nafasnya dengan asap yang membawa maut itu, Khairi tetap memaksa dirinya menghisap rokok. Dia melakukannya untuk berkali-kali sehinggalah dia mulai dapat membiasakan diri.
     Khairi menghisap rokok perlahan-lahan dan menghembuskan asap melalui rongga hidung dan mulutnya. Dia terhenti untuk seketika supaya dia mampu membendung kesedihan yang bertapak di hati. Dia tewas tatkala air matanya mengalir lagi dengan pemergian arwah Zeera. Masih segar di ingatannya apabila arwah Zeera melarang dengan sekeras-kerasnya dia daripada merokok.
     “ Abang, jangan mengada nak hisap rokok tau! Tak elok untuk kesihatan. Nanti abang sakit, Zeera yang susah. “ Khairi yang sedang duduk di kerusi berdekatan dengan sinki dipandang sekilas. Zeera tersenyum meleret apabila melihat wajah suaminya yang muram. Dia kembali mengalihkan perhatiannya pada lauk gulai yang sedang dimasaknya di atas dapur. Sudu teh digunakannya untuk mengambil sedikit kuah gulai di dalam periuk dan dia berlalu ke arah Khairi. Disuanya sudu teh itu kepada Khairi untuk merasa masakannya.
     Dia sabar menunggu respons dan reaksi daripada Khairi atas kemajuan masakannya. Namun, hampa apabila dahi Khairi berkerut-kerut merasa kuah gulai hasil air tangannya. Zeera menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik juga kalau rasa gulai itu lain macam kerana dia sudah mengikut resepi yang dinyatakan di internet dengan betul. Takkan boleh lain macam pula rasanya kan? Garam ke tak cukup? Dia menggeleng-gelengkan kepala. Takkanlah garam? Tadi punyalah banyak dia letak garam. Aik, banyak mana pula garam kena letak ni?
     “ Abang, teruk sangat ke rasanya? Abang rasa apa yang tak cukup? Garam ke? Tapi kalau garam macam tak kut sebab tadi Zeera dah letak banyak garam. Nanti kalau letak lagi tak ke masin jadinya? Abang rasa-rasa tahu tak kenapa rasa gulai ni lain macam? Serius, Zeera dah ikut betul-betul resepi yang Zeera search dekat Google tadi.. “
     Zeera bergegas ke ruang tamu untuk mengambil telefon bimbitnya bagi menunjukkan bukti kepada Khairi bahawa dia telah mengikut resepi yang tertera dengan betul. Khairi yang masih duduk di dapur hanya tergelak dengan gelagat isterinya yang gelabah tak tentu pasal. Bukannya dia sengaja ingin mengenakan Zeera tetapi isterinya itu yang tiba-tiba menjadi seperti cacing kepanasan dan membuat spekulasi sendiri tanpa mendengar dahulu komennya tentang masakan gulai yang dirasanya. Gulai yang dimasak oleh Zeera bukan sahaja tidak punyai rasa lain macam tetapi rasanya memang sedap. Perangai nakalnya yang mendorong dirinya untuk terus mengenakan Zeera.
     Dia berasa sungguh bahagia hidup bersama-sama Zeera. Zeera tekad memilih untuk berusaha memikat hatinya walaupun mengetahui dia tidak mencintai wanita itu sepenuhnya. Keputusan untuk berkahwin dahulu pun Zeera yang memutuskannya tanpa kehendak Khairi sendiri. Khairi hanya bersetuju apabila Zeera menyatakan dengan tegas bahawa lelaki itu akan jatuh cinta kepadanya selepas berkahwin nanti. Bercinta hanya setelah mempunyai ikatan yang sah, lagi manis dan bermakna, ujar Zeera dengan bersungguh-sungguh.
     Siling bilik yang terbina tinggi di kamar beradunya di tenung dalam-dalam. Dia mengeluh saat rasa pening di kepalanya semakin mencengkam. Mata dipejam rapat-rapat dengan harapan dia mampu terlena meskipun buat seketika.
     “ Khairi! “ Namanya dilaung kuat dari arah luar bilik tidur. Suara garau yang amat dikenalinya. Emir.
     “ Kau bangun sekarang, Khairi! Aku ada hal dengan kau “, pinta Emir sedikit mendesak lelaki yang terbaring lemah di atas katil untuk bangkit daripada pembaringannya. Meluap-luap dadanya apabila tiada sebarang respons diberikan oleh lelaki itu. Khairi hanya mendengus kasar sambil meletakkan selamba lengan sasanya di atas dahi. Dia memandang tajam ke arah Emir yang turut membalas pandangan mautnya.
     Dahlah pakai serbu aja bilik aku! Boleh pula mamat seorang ni main sergah dan mengamuk tak tentu pasal? Perangai tak pernah berubah sejak dulu lagi. Terbiasa dengan angin serbu dialah tu! Asyik nak menyerbu orang aja. Alahai, malasnya nak layan!
     “ Kau nak cakap apa dengan aku? Penting sangat ke? Hal apa yang musatahak sangat sampai kau mengamuk bagai dengan aku ni? Cakaplah apa yang kau nak cakap. But when it comes about Farah, I have no time for it. I’m so sorry.. “
     “ Kenapa kau tergamak buat Farah macam tu? Khairi, dia tak bunuh Zeera! Sudah terbukti Farah memang tak bersalah. Kau sendiri dah tengok rakaman CCTV. Zeera kena serang dengan cousin dia sendiri. Moreover, Farah who was trying to save Zeera at that time. Can’t you see it? “
     “ Untuk pengetahuan kau, Encik Syed Emir Syed Syah, Farah dari dulu lagi memang nak bunuh Zeera! Memang aku bodoh sebab tak nampak niat buruk perempuan murahan tu awal-awal lagi! “ Tubuh Khairi diterkam Emir semasa lelaki itu masih di perbaringannya. Wajah lelaki itu juga ditumbuk. Mereka bergelut seketika dan berlawan antara satu sama lain sehingga masing-masing berhenti kerana kepenatan. Cadar katil telahpun mempunyai kesan darah yang mengalir di celah bibir Khairi. Nasib Emir tidak mengalami sebarang luka, namun kedua-dua belah pipinya lebam dan mula membiru.
     Kedengaran desahan nafas dua sahabat yang masih kepenatan setelah berlakunya adegan tumbuk-menumbuk antara kedua-duanya. Masing-masing membisu dan membiarkan bunyi putaran bilah-bilah kipas di siling mengisi kesunyian di ruang luas kamar Khairi.
     “ Dalam dunia ni, bukan kau seorang aja yang sakit, terluka. Mungkin ini dugaan untuk kau. Dan aku faham sangat perasaan kehilangan orang yang kita sayang. Tapi, takkan kau nak berterusan macam ni? Sampai bila? Ada baiknya kalau kau doakan kesejahteraan arwah Zeera daripada terus bersedih. Arwah pun mesti tak suka. Kita yang hidup ni kena teruskan kehidupan.
     Untuk pengetahuan kau juga, ada orang lain yang lebih terluka daripada kau. Dari dulu sampailah sekarang, dia sentiasa menangis. Aku selalu tengok air matanya menitis setiap kali melibatkan diri kau. Masa sekolah menengah, bila kita dah start kerja, waktu majlis akad nikah kau dan Zeera, hinggalah insiden yang meragut nyawa arwah Zeera.. Air matanya tak pernah berhenti mengalir. Tanya hati kau, Khairi. Sampai bila kau nak biarkan dia terluka? Sampai bila kau nak menidakkan perasaan kau kepada dia? Kalau kau merana, dia lagi menderita.
     Semua yang berlaku ni pasti ada hikmahnya. Semua ni bukan salah dia. Tak perlu menipu diri sendiri. Kau kenal hati budi dia. Farah takkan tergamak nak bunuh arwah Zeera.. “
     Tubuhnya disandarkan ke dinding sambil duduk bersila di atas lantai berlapikkan karpet buatan dari negara Afghanistan yang dibelinya bersama-sama Farah pada suatu ketika dahulu untuk dijadikan hadiah perkahwinan Khairi dan Zeera. Tanpa pengetahuan Khairi, karpet import itu juga merupakan pilihan Farah. Kebetulan cita rasa Khairi dan Farah adalah sama. Setelah berminggu-minggu otaknya diperah bagi memikirkan hadiah untuk majlis rakannya itu, Farah menghulurkan bantuan dan memberikan cadangan yang agak bernas. Walaupun jarang sekali kebiasaan orang memberikan segulung karpet yang boleh tahan beratnya sebagai hadiah perkahwinan, namun dia tetap berasa gembira kerana secara tidak langsung hadiahnya juga melibatkan Farah.
     Emir meraba-raba pipinya yang terasa semakin membengkak dek penangan tumbukan daripada Khairi. Rakannya itu kelihatan memandangnya dengan perasaan kasihan. Tapi apakan daya, dia sendiri yang menempah maut. Dia yang memulakan pergelutan dengan Khairi. Dia tetap berdegil ingin menumbuk Khairi walaupun dia sedia maklum rakannya itu merupakan jaguh taekwondo sejak di sekolah lagi. Akhirnya, dia juga yang tewas teruk sehingga kedua-dua belah pipinya menjadi sasaran. Tapi, pelik juga sebab Khairi yang berdarah teruk! Dia tak pula, hanya lebam-lebam aja. Ooo, kira penangannya boleh tahan hebat, ya tak?
     “ Khairi, kita semua adalah manusia biasa. Tak pernah lepas daripada membuat kesilapan. Kau, aku, arwah Zeera dan Farah, semuanya pernah buat silap. Apa yang boleh kita buat sekarang ni, kita doakan kesejahteraan arwah Zeera dan Farah Dayyan, anak kau.. “ ujar Emir yang duduk berhadapan dengan Khairi.
     Kepalanya ditundukkan memandang ke bawah. Tak sanggup untuk merenung terus ke anak mata Emir. Hatinya benar-benar terusik saat nama arwah isteri dan anaknya meniti di bibir lelaki itu. Khairi pasrah. Tersedar dari kesedihan yang tiada penghujung. Sakit yang dirasakan bagi menerima kenyataan yang terbentang di hadapan matanya. Pedih hingga ke hulu hati kerana kehilangan dua orang insan yang amat dia kasihi. Dia juga menyedari bahawa tiada yang mampu melawan ketentuan Ilahi. Air mata yang bergenang mulai mengalir perlahan menangisi pemergian arwah Zeera dan Farah Dayyan..

     Setelah dua hari dia tidak hadir ke tempat kerja, Farah mengagahkan diri untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pembantu peribadi di sebuah syarikat di ibu kota. Hampir tiga tahun dia berkhidmat di Muhammad Holdings sejurus dia tamat menjalani latihan praktikal di syarikat hartanah itu. Majikannya, Encik Danieyll Lee merupakan seorang ketua yang tegas tetapi tetap mengekalkan sifat penyayangnya kepada para pekerja. Disebabkan itu jugalah, dia masih bertahan dalam memegang jawatan pembantu peribadi lelaki korporat tersebut, malah dia berasa amat bertuah dengan pekerjaannya.
     Namun, dia berasa agak gementar dan takut untuk masuk ke ofisnya memandangkan dia bercuti tanpa notis. Tanpa dia maklumkan sebab dia mengambil cuti untuk dua hari yang lalu. Dia benar-benar terlupa untuk memaklumkan kepada Encik Danieyl Lee tentang ketidakhadirannya ke pejabat. Tubuhnya yang tidak sihat dan perasaannya yang kacau-bilau menghalangnya melakukan sebarang pekerjaan. Dua hari jugalah dia hanya terlantar di atas katil. Demam panas membuatkan dirinya keletihan dan tidur sepanjang hari. Sebarang panggilan atau mesej yang masuk di telefon bimbitnya tidak diendahkan. Kepalanya terlalu sakit sebagaimana lebih sakitnya hati dan perasaannya dengan pemergian arwah Zeera dan anak yang dikandung oleh wanita itu.
     Rasa bersalah menyelebungi diri Farah. Air matanya tidak pernah berhenti mengalir setiap kali mengingatkan pertemuan terakhirnya dengan arwah Zeera. Dia berasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan rakan baiknya itu. Dia tidak mampu melindungi orang yang dia sayang. Insiden yang berlaku semuanya berpunca daripadanya. Seratus peratus dia menyalahkan dirinya. Tidak termampu dia memaafkan dirinya yang telah merampas kebahagiaan orang lain. Apabila Khairi menuduhnya membunuh arwah Zeera, hanya Tuhan yang tahu betapa hancur luluh hatinya.
     “ Aku tak nak tengok muka kau lagi! Kau yang bunuh Zeera! Kau memang berhati binatang. Aku menyesal kenal dengan kau! Kau yang patut mati! “
     Air mata yang menitis segera diseka perlahan. Farah mengatur langkah memasuki ruang ofisnya yang luas. Kelihatan kehadirannya di situ menarik perhatian beberapa orang rakan sekerjanya yang terhenti daripada melakukan kerja mereka. Masing-masing saling berpandangan. Ada sebahagiannya yang memandangnya dengan sebuah pandangan yang sinis. Sedaya-upaya dia menghadiahkan senyuman kepada mereka, namun dia sendiri dapat merasakan senyumannya dingin. Senyuman yang tidak ikhlas dan terlalu hambar. Saat matanya bersatu dengan mata Qalisya, rakan rapatnya di ofis, wanita muda itu bangkit dan mendekatinya.
     “ Farah, kau okay ke tak ni? Aku risau tau dua hari kau hilangkan diri. Kenapa aku mesej, aku call, kau tak angkat? Kau tak sihat, eh? “, tanya Qalisya dengan nada yang penuh prihatin. Spontan dia melekapkan belakang tapak tangannya ke dahi Farah. Dia teringin tahu akan suhu badan Farah. Terus berkerut dahinya merasakan suhu tubuh rakannya itu. Farah segera mengalihkan perlahan tangan Qalisya daripada terus melekap di dahinya.
     “ Eh, panasnya! Kau demam panas ni! Dah pergi klinik, check dengan doktor? Kenapa dengan kau ni, Farah? Mata kau sembam, bengkak teruk. Kalau apa-apa beritahu aku.. “
     “ Aku okaylah, Qal. Sakit sikit aja ni. Aku dah makan ubat pun. Kejap lagi eloklah tu. Aku nak tanya kau, ada Encik Danieyll cakap apa-apa tentang aku? “
     Mendung terus wajah Qalisya dengan soalan yang dilontarkan oleh Farah. Pantas tangan Farah digenggamnya memberikan secebis semangat kepada wanita itu dengan berita yang bakal dia sampaikan. Dia tahu Farah seorang wanita yang kuat untuk menghadapi semua ini. Dia juga yakin bahawa Farah sama sekali tidak bersalah dan terlibat dalam kes pembunuhan yang dicanang-canangkan oleh salah seorang pemegang syer terbesar di Muhammad Holdings, Tan Sri Ahmad Hayykal.
     Pada dua hari yang lalu, semasa ketiadaan Farah di ofis, dia masih ingat akan tindak-tanduk Tan Sri Ahmad Hayykal yang gelisah tidak tentu arah. Lelaki yang berpangkat tinggi di Muhammad Holdings itu tidak pernah berkelakuan pelik sebegitu. Dia kelihatan berjalan mundar-mandir di sekitar kawasan ofis sementara menanti kepulangan Encik Danieyll Lee daripada mesyuarat dengan pelanggan di luar. Setibanya Encik Danieyll Lee di ofis, terus Tan Sri Ahmad Hayykal mendapatkan lelaki itu.
     “ Danieyll, we have such a huge problem! One of our company’s staffs was involved in murdered case. I just met the person who make a report police about our staff. And what makes me pleasantly surprised is the murder was your personal assistant, Cik Farah Abdullah. “
     “ Do you realized what are you talking about? Farah is my personal assistant. She wouldn’t do that such a fool thing! “
     “ Trust me. I takkan buat kerja gila nak tuduh PA you bunuh orang sesuka hati. I tahu mana yang boleh menjatuhkan imej syarikat. Takkanlah I sanggup buat semua ni? Apa yang I dapat? Kalau you masih tak percaya, you boleh rujuk kepada pihak polis. I just worried about our company’s reputations.. “
     Qalisya merenung ke anak mata Farah. Dia dapat merasakan yang rakan sepejabatnya itu mempunyai masalah. Namun, dia menghormati wanita itu jikalau enggan berkongsi masalah dengannya. Masak benar dengan sikap Farah yang suka memendam rasa. Segala sakit, duka dan gembira selalu disorokkan jauh di sudut hati, tidak mahu diketahui sesiapa.
     “ Aku tahu kau tabah orangnya. Dan aku yakin sangat kau takkan tergamak buat benda tu. Pagi tadi sebelum kau datang, Encik Danieyll cakap dengan aku yang dia nak jumpa kau di bilik dia.. “
     Hanya anggukkan kepala diberikan sebelum langkah diatur menuju ke bilik Encik Danieyll Lee. Farah menarik nafas dalam-dalam sebelum tombol pintu dipulas. Pintu terkuak. Seluruh tubuhnya terasa seram sejuk sejurus terpandangkan susuk tubuh majikannya yang seperti sedang menanti kehadirannya sedari tadi. Dia meluru masuk dan mendekati meja kerja majikannya.
     “ How are you, Farah? Are you sick? Why don’t you leave me any notice.. “
     “ Saya minta maaf, Encik Danieyll. Saya tahu ni salah saya. Saya kurang sihat, “ sampuk Farah. Entah mengapa hatinya berdebar-debar. Dia tidak mampu menahan gelodak di jiwanya.
     “ Saya pun minta maaf, Farah. I’m so sorry for what I’m gonna telling you. You’re.. fired. “
     Terlepas fail-fail milik Muhammad Holdings daripada pegangan Farah. Hatinya tersentap. Dia benar-benar tidak menyangka hal ini yang akan terjadi kepadanya. Dia merasakan masa depannya mulai saat ini mulai kabur dan gelap. Bersusah payah dia menghabiskan pengajian dan menamatkan latihan praktikalnya di syarikat ini, namun tidak hampir tiga tahun dia berkhidmat, dia telahpun dipecat. Dibuang kerja. Air mata mulai bergenang tetapi butir-butir jernih terus mengalir tanpa sempat dia menahan. Dia sebak, hiba dan kecewa.
     “ Encik Danieyll, apa salah saya? Kesalahan apa yang saya telah lakukan sampai saya kena pecat? Encik Danieyll tak berpuas hati dengan kerja saya ke? Kalau ada perkara yang saya buat silap dalam kerja-kerja saya sebelum ni, saya sanggup buat balik. Saya akan berusaha untuk perform dengan hasil kerja yang lebih berkualiti. Saya.. “
     “ Selama dua hari ni, apa yang telah berlaku kepada awak, Cik Farah Abdullah? Apa kaitan pula dengan khabar angin tentang kes pembunuhan terhadap seorang doktor di tangga kecemasan? Apa yang awak nak jelaskan kepada saya? “
     “ Encik Danieyll, saya tak bersalah.. “ nafi Farah sambil menangis teresak-esak. Lututnya terasa lemah dan tidak mampu lagi menampung berat tubuhnya sehingga dia bertindak untuk melutut. Dia menangis semahu-mahunya.
     “ Saya tak bersalah. Memang saya berada di tempat kejadian tapi saya tak tergamak bunuh kawan saya sendiri. Arwah Zeera meninggal dunia depan mata saya, Encik Danieyll. Saya rasa bersalah sangat sebab tak dapat selamatkan arwah. Saya juga dikenakan tuduhan membunuh tapi saya dibebaskan pihak polis. Rakaman CCTV menjadi bukti kukuh yang menyatakan saya tidak membunuh arwah Zeera. Dalam dua hari ni, saya merana, Encik Danieyll.. Saya terlalu sayangkan arwah. Bukan arwah yang sepatutnya mati tapi saya.. “
     “ Enough, Farah ! Mengucap! Jangan bercakap seperti orang yang tiada iman. Kita orang Islam. Ini ketentuan-Nya. Awak kena terima dengan hati terbuka.. “
     Terenjut-enjut bahu Farah menangisi nasibnya. Dia terlalu sedih dan tidak berdaya menanggung kesakitan yang menjalar di hatinya. Dia terus menghamburkan air matanya tanpa mengendahkan kewujudan majikannya di situ. Biarlah apa yang Encik Danieyll katakan tentangnya. Dia tidak peduli! Jikalau dengan air mata lukanya terubat, biarlah dia menangis selama-lamanya.

2012
Setahun kemudian..
     Sudah 9 bulan tempoh dia bekerja sebagai pembantu di Aleeya’s Boutique. Butik pakaian pengantin milik Puan Aleeya ini merupakan salah sebuah butik yang mendapat sambutan di sekitar Port Dickson. Walaupun lot kedai Aleeya’s Boutique terletak di kawasan yang agak terpencil, butik ini tetap dikunjungi ramai pelanggan dari seluruh negeri. Sebahagian besar pelanggan tetap Aleeya’s Boutique adalah datang dari kota metropolitan, Kuala Lumpur. Percaya tak? Macam di kota elit tu, tak ada butik yang menyediakan pakaian pengantin kan? Yang dia orang susah payah datang ke Port Dickson, semata-mata nak pakaian pengantin, buat apa? Di KL, lebih banyak butik-butik pengantin yang boom sana, boom sini, ya tak?
     Selain daripada menjadi pembantu jualan di butik, dia juga melayan pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke butik, menjahit manik-manik di pakaian dan menghantar pakaian pengantin bagi pelanggan yang membuat pesanan. Semakin hari semakin dia menjadi mahir dalam selok-belok perniagaan pakaian pengantin. Ilmu dan pengalaman yang ditimba dijadikan bekalan untuknya melakar masa depan yang lebih cerah. Berkhidmat di sebuah syarikat hartanah, Farah tidak betah mengendalikan perniagaan butik milik majikannya. Sedikit sebanyak dia berkemampuan dan mempunyai kemahiran dalam pengurusan hal-hal perniagaan yang dijalankan. Puan Aleeya tidak ketinggalan menyokongnya untuk terus berjaya. Dia diberikan tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang dia bekerja di butik.
     “ Farah, pukul 6 petang nanti, awak tolong saya hantarkan gaun pengantin dan baju Melayu di atas meja tu, eh? Awak kena balik awal ke hari ni? “
     Puan Aleeya memandang ke arah Farah yang khusyuk menjahit manik-manik kecil di pergelangan baju pengantin. Gadis itu mendongak membalas pandangannya. Senyuman terus terukir mekar di bibirnya tatkala satu-satunya pekerja di butiknya mengangguk-anggukkan kepala bersetuju melaksanakan tugas yang diberikan.
     “ Okay, set! Di Hotel Hilton, level 16 dan nombor bilik 576. Nama pengantin lelaki, Encik Azman. Dan dialah yang akan tunggu awak dekat sana. Bagi aja baju tu kepada dia. Semua bayaran sudah dibuat. “
     “ Oh, okay! “
     “ Hah, saya nak ingatkan kepada awak supaya bertolak lebih awal. Takut lambat nanti marah pula pelanggan kita tu. Sebab hari tu dia ada cakap dengan saya yang dia kena rush meeting dengan client. “
     Farah menganggukkan kepalanya lagi. Tanda dia memahami dan akur arahan majikannya itu. Setelah bayangan Puan Aleeya hilang dari pandangan, dia menyambung kembali kerjanya yang terbantut tadi. Jam di pergelangan tangannya dipandang sekilas. Pukul 3.24 petang. Dia sudah berkira-kira untuk bertolak tepat pada pukul 5 petang. Kerja diteruskan sehingga dia leka bahawa masa berjalan dengan pantas.

     “ Khairi, kau tunggu dekat sini? Boleh? “ Azman menyeluk telefon bimbitnya di kocek seluar. Tubuh sasanya disandarkan kepada dinding bilik hotel yang sedang dia menginap sambil tangan masih ligat menaip sesuatu di telefon bimbitnya. Wajah keruh Khairi dipandang sekilas sebelum perhatiannya ditumpukan kembali ke telefon bimbit.
     “ Huish, teruknya muka kau! Takkanlah aku minta tolong sikit pun nak berkira. Kau just tunggu dekat bilik ni sampai ada orang butik hantar baju pengantin aku dan Meiyra. Boleh? “ tanya Azman lagi menanti jawapan Khairi. Sedari tadi lelaki itu hanya membuat muka tak puas hati. Dia sedar reaksi rakannya itu menunjukkan empunya badan tidak rela dan enggan berlama-lama di bilik hotel. Tadi, lelaki itu juga terpaksa datang ke bilik hotelnya kerana dia yang mendesak. Kononnya tak syok sebab tak ada geng. Seorang aja di dalam bilik. Naklah juga teman lepak. Kalau ikutkan hati, dia tidak sampai hati ingin meninggalkan rakannya itu tetapi keadaannya benar-benar terdesak. Dia perlu menghadiri mesyuarat di luar dengan pelanggan. Nak tak nak, terpaksalah!
     “ Kau ni kan, memanglah.. Tadi punyalah paksa aku datang. Kononnya nak lepaklah, bosan duduk seorang-seorang. Last-last, aku juga yang kena tinggal. Dahlah aku on the way balik dari kerja. Dengan berpeluhnya, badan melekit, tak mandi.. “ Akhirnya Khairi membuka mulut. Menghamburkan segala ketidakpuasan di hatinya. Ish, benci tau!
     “ Alah, relakslah! Bukannya selalu aku minta tolong kau. Kali ni aja aku perlukan bantuan kau. Majlis aku esok. Macam mana majlis nak berlangsung kalau baju tak ada? Kejap lagilah tu budak butik tu sampai bawa baju. Kau tunggu aja dekat sini. Aku janji, esok aku bagi kau tempat di meja VVIP punya! “ ujar Azman sambil ketawa mengekek-ngekek. Nasib dia dapat mengelak daripada tubuhnya menjadi mangsa balingan bantal oleh Khairi. Terletus juga tawa kasar rakannya itu. Pelik kan? Nak pula dia main-main bantal dengan aku? Khairi, khairi. Kau memang kena kahwin lagilah. Takut pula aku tengok dia solo macam ni. Haha, jahatnya aku!
     “ Woi, kutuk akulah tu! Siap kau balik nanti! Dah berambus.. “ Halau Khairi. Azman hanya ketawa lalu mula menyarungkan kasut di muka pintu bilik hotel.
     “ Iyalah, aku nak blah la ni! Lagi satu, nanti budak butik tu datang, tak payah bayar apa-apa tau. Semua bayaran dah settle. Nak ambil baju aja. Thanks, Khairi. Chow! “
Klak.
     Pintu bilik hotel tertutup rapat. Suasana kembali sepi. Hanya bunyi deruan angin daripada alat pendingin hawa sahaja yang kedengaran. Sambil dia terlentang di atas katil empuk yang disediakan pihak hotel, matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Terus dia bangkit dari pembaringannya saat matanya tertala pada sehelai tuala yang tersidai di ampaian di suatu sudut bilik. Lipatan tuala yang kemas menunjukkan seperti tuala itu tidak berusik dan masih tidak digunakan.
     Bau baju yang dipakainya lantas dihidu. Berkerut seribu dahinya apabila deria baunya menghidu sesuatu bau yang tidak enak dan masam. Seharian dia bekerja di studio, tubuhnya memang banyak mengeluarkan peluh. Lebih-lebih lagi, dia terpaksa berlemas di dalam kereta kerana meredah kesesakan lalu lintas. Sudahlah cuaca boleh tahan panasnya. Pendingin hawa di dalam keretanya juga tidak mampu menghilangkan rasa bahang terik matahari.
     Khairi berjalan menuju ke ampaian dan mengambil tuala yang tersidai. Baju kemeja dan seluar slack ditanggalkan daripada tubuhnya. Sekilas dia meneliti tubuh sasanya di cermin. Tersenyum bangga kerana susuk badan yang berketak-ketak menjadi idamannya membuahkan hasil atas usaha kerasnya membina badan. Tak rugilah dia berulang-alik dari kediamannya ke gimnasium. Tanpa berlengah, dia terus menghilangkan diri di sebalik pintu bilik air.

     Termengah-mengah dia berlari anak sambil melilau mencari nombor bilik seperti yang dinyatakan dalam sehelai kertas yang sedang dipegangnya. Beberapa minit kemudian, dia mampu menarik nafas lega tatkala bilik yang dicari telah dijumpai. Lantas loceng ditekan, namun tiada balasan.
     Farah memberikan masa kepada tuan punya bilik untuk membuka pintu. Setelah masa berlalu, dia tidak betah lagi untuk terus menunggu. Rasa risau, takut dan geram bercampur menjadi satu lalu menjentik hatinya. Dia memandang ke kiri, ke kanan dan ke kiri kembali. Kelihatan tiada sesiapa yang lalu-lalang di situ. Untuk meminta tolong, nanti kecoh pula. Baik dia selesaikan sendiri masalahnya. Dia mengutuk di dalam hati kerana tidak tertera nombor telefon pelanggan di kertas yang menjadi bahan rujukannya ke sini. Dia tekad untuk memulas tombol pintu bilik pelanggan butik.
     Pintu bilik terkuak memandangkan pintu tersebut tidak berkunci. Dia memboloskan diri menjengah suasana bilik sambil mencari seseorang. Saat itu jugalah, pintu bilik air terkuak dan terjengul seseorang yang membuatkan jantungnya berhenti berdegup. Orang tu tak berbaju, hanya bertuala!
     Terlepas baju-baju pengantin dari pegangannya. Hatinya tersentap. Apabila dia mula mengecam wajah seseorang yang berdiri di hadapannya kini, dia bergegas ingin melarikan diri. Baju-baju pengantin yang jatuh ke lantai lekas dipungut. Namun, tubuhnya terdorong masuk semula ke bilik hotel yang menjadi tempat penginapan pelanggannya sebelum sempat dia mengorak langkah seribu. Terus pintu bilik yang terkuak tadi tertutup rapat dan dikunci dari dalam. Tubuhnya yang mula menggigil segera ditolak ke dinding. Wajah lelaki itu direnung dalam-dalam bagi menyedarkan dirinya bahawa semua ini bukanlah sekadar mimpi.
     Farah meronta-ronta minta dilepaskan. Luka lama berdarah kembali tatkala dia bertemu dengan Khairi. Sebuah pertemuan yang tidak disangka-sangka. Dengan keadaan Khairi yang tidak sempurna dan tidak berbaju membuatkan dirinya berasa lemas dalam pautan kemas lelaki itu. Semakin Khairi mendekatinya, jantungnya bagaikan ingin terlompat keluar dari jasad. Nafasnya mula tidak teratur.
     “ Kau buat apa dekat sini? “ Khairi memaut lengan Farah kejap setiap kali gadis itu meronta-ronta. Wajahnya didekatkan pada wajah Farah.
     “ Lepaskan aku! Kau ingat aku buat apa? Aku nak hantar baju kahwin kaulah. Lepaslah.. “ balas Farah sambil tidak putus-putus berusaha meloloskan diri dari pautan kemas Khairi. Namun, apakan daya kudratnya berbanding kudrat seorang lelaki sasa seperti Khairi. Dia menggelabah dan gelisah apabila matanya nakal mencuri pandang ke arah tubuh Khairi yang berotot-otot. Dia meronta lagi tetapi tetap tidak berkesan. Dia masih tersandar di dinding dan lemas dalam pautan lelaki itu.
     “ Mulai hari ni, saat ni dan detik ni, kau tak boleh lepaskan diri daripada aku. Noktah! “ Baju-baju pengantin di lantai dipungut oleh Khairi lalu dicampakkannya ke atas katil. Lengan Farah yang masih dalam pautannya ditarik kasar sehingga tubuh gadis itu terdorong masuk ke dalam ruang bilik air. Tanpa sempat gadis itu berbuat apa-apa, pintu bilik air dikunci dari luar. Dia bertindak mengurung Farah di dalam bilik air untuk seketika.
     “ Woi, Khairi! Bukalah pintu ni! Kau nak buat apa dengan aku, hah? “ Pintu bilik air diketuk bertalu-talu.
     “ Suka hati akulah nak buat apa-apa pun. Kau duduk diam-diam dalam tu! “ arah Khairi sambil dia tergopoh-gapah menyarungkan kembali pakaiannya. Laci meja digeledah sehinggalah dia menjumpai barang yang dikehendakinya. Botol minyak wangi milik Azman segera dicapai. Dengan selamba, dia menyemburkan cecair wangian itu di pakaiannya. Setelah berpuas hati, dia menyisir pula rambutnya. Wajah ditelek-telek di cermin tanpa dia mengendahkan bunyi ketukan pintu bilik air yang bingit. Apabila bunyi ketukan itu terhenti, tingkahnya juga berhenti. Dia langsung memandang ke arah muka pintu bilik air yang tertutup rapat.
     “ Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa selalu seksa perasaan aku? Hati aku sakit, Khairi. Aku tak nak jumpa kau lagi. Sebab aku tahu, yang kau bencikan aku dengan pemergian arwah. Aku tak kisah kalau kau nak tuduh aku bunuh arwah tapi aku nak kau lepaskan aku. Aku tak nak ada kaitan pun dengan kau.. “ Di sebalik pintu, Farah meluahkan rasa yang terbuku di hati. Dia menangis teresak-esak. Wajah Khairi mengenangkannya kepada arwah Zeera. Rasa sedih tidak mampu dibendung. Dia memukul perlahan dadanya kerana rasa sakit dan pedih menjalar di segenap tubuhnya. Air mata dibiarkannya terus mengalir.
Klak!
     Kunci pintu bilik air dibuka. Khairi menguak perlahan pintu itu dan melihat sebahagian pakaian yang dikenakan di tubuh Farah sudah basah kerana gadis itu duduk terjelepuk sambil tersandar lemah di dinding bilik air. Dengan jelas dia dapat melihat wajah Farah yang basah dengan air mata. Dan gadis itu terus-terusan mengalirkan air mata. Pantas pintu tersebut disendal dengan sesuatu objek, dia menuju ke arah Farah lalu selamba mencempung tubuh gadis itu. Rontaan si gadis tidak dipedulikan, malah pautannya diperkemas. Tubuh Farah diletakkan di atas katil sambil tuala yang telah digunakannya tadi dicampakkan kepada gadis itu.
     “ Aku merayu kepada kau, tolong lepaskan aku! Aku nak balik. “
     Farah bergegas lari ke arah pintu utama bilik hotel. Namun, tubuhnya terus dihadang dengan tubuh sasa Khairi. Terbantut sudah pergerakannya. Tubuh lelaki itu yang bidang cukup untuk menghalangnya daripada melarikan diri. Dia merenung tajam ke arah Khairi. Tidak berpuas hati dengan perbuatan yang dirasakan kurang waras. Gila ke apa mamat ni? Nak main-main sorok aku di dalam bilik ni?
     “ Kau nak apa, Khairi?! Aku nak balik. Baju-baju pengantin aku dah bawa, so kerja aku dah selesai. Tepilah, aku nak keluar! “ Sedaya-upaya dia menolak tubuh besar Khairi. Setelah beberapa cubaannya gagal, Farah menyerah kalah. Dia jatuh terduduk. Menangis lagi. Entah mengapa air matanya menjadi terlalu murah apabila berhadapan dengan Khairi. Dia juga mudah sangat terusik hati setiap kali melibatkan lelaki itu. Seperti dia terlalu alergi dan mempunyai alah dengan seorang manusia ini. Hanya dia!
     “ La, asal menangis lagi? Bukan aku buat apa-apa pun. Cengeng betul! “ keluh Khairi sinis. Terlalu sinis sehingga menusuk ke kalbu. Farah memalingkan wajahnya daripada pandangan Khairi. Hatinya sakit! Lelaki itu tak pernah faham akan apa yang dia rasakan. Tiba-tiba rasa geram menerpa.
     “ Banyaklah kau tak buat apa-apa?! Tadi tu yang kau cengkam lengan aku. Tu apa? Tahu tak perkara tu berdosa? Batal air sembahyang aku! “
     “ Huh, macamlah kau ada wuduk tadi. “
     “ Tak payah nak melalut lagi. Aku nak blah! Mana boleh berdua kalau bukan muhrim. Nanti kena tangkap basah. “
     “ Biarlah kena tangkap basah. Kena tangkap kering pun, aku tak kisah! “
     Terlopong sudah dia dibuatnya. Bingung dengan setiap kata-kata Khairi. Lelaki itu seolah-olah tidak berasa janggal seperti yang dialaminya kini. Perasaan apabila bertemu kembali dengan seseorang yang telah melakar lembaran derita dalam episod hidup. Seseorang yang tidak akan pernah terdetik di hati untuk bertemu kembali. Apatah lagi ingin ‘bermesra’ seperti ini.
     Dia memandang seraut wajah Khairi yang tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa lelaki itu dilanda rasa bersalah mahupun bimbang. Reaksi lelaki itu terlalu tenang baginya. Bukankah Khairi membencinya? Kerana dia pernah dituduh lelaki itu membunuh arwah Zeera? Tidakkah lelaki itu terluka dengan peristiwa silam saat lamarannya ditolak mentah-mentah? Mengingatkan kenangan pahit itu, jiwanya merana. Bermula dengan detik hitam itu jugalah hubungan persahabatannya bersama-sama Khairi berakhir. Hubungannya dengan arwah Zeera dan Emir turut menjadi renggang. Betapa bodohnya dia kerana pernah menggadaikan sebuah ikatan persahabatan yang suci ekoran ingin merawat luka di hati.
     Aku terlalu pentingkan diri sendiri! Aku hanya memikirkan perasaan sendiri tanpa menyedari perasaan orang lain yang telah aku lukai. Hati sahabatku sendiri, Zeera. Pasti wanita itu sedih dengan kehilangan dirinya selama dua tahun. Dan pastinya wanita itu tidak pernah jemu mencarinya dan menjejak kehilangannya. Tetapi, apa yang dia balas atas pengorbanan wanita itu? Tiada apa-apa, malah dia tidak mampu menyelamatkan nyawa wanita itu pada hari insiden. Kenapalah aku teruk sangat? Kenapa aku yang hidup? Ingin saja dia serahkan dan bertukar nyawa dengan Zeera. Namun, ketentuan telah tertulis. Dia hanyalah hamba Allah SWT yang lemah dan tidak mampu melawan ketentuan-Nya itu. Dia harus kuat menerima kenyataan dan reda dengan qada’ dan qadar. Benar kata-kata Encik Danieyll Lee dahulu, bahawa dia tidak sepatutnya berterusan murung dan bersedih, malah dia seharusnya mendoakan kesejahteraan roh arwah Zeera dan anak dalam kandungannya.
     “ Aku tak boleh maafkan kau.. “
     Tersentak lamunan Farah. Lesap terus wajah arwah Zeera yang terlayar di ingatannya sebentar tadi. Dia menoleh ke arah Khairi yang masih duduk di sebuah sofa mini yang terletak di suatu sudut di bilik hotel itu. Kata-kata lelaki itu membuatkan hatinya berkocak hebat. Sungguh lelaki itu tidak dapat melupakan peristiwa yang telah meragut nyawa arwah Zeera. Cintanya lelaki itu kepada isterinya. Air mata yang bergenang di tubir mata terus mengalir tanpa disekat. Memang mungkin dia cengeng! Tapi hatinya  benar-benar perit. Hanya dengan air mata dia mampu menunjukkan betapa sedihnya dia.
     Khairi bangun dan menuju ke pintu utama bilik hotel yang dia dan lelaki itu berada kini. Pintu tersebut dibuka seluas-luasnya. Dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu juga mengangkat sebuah meja tidur yang bersaiz kecil dan meletakkannya di hadapan pintu bilik sebagai penyendal. Barulah dia menyedari tujuan lelaki itu yang mahu pintu itu sentiasa terbuka.
     “ Tak rasa pelik ke kau buka pintu tapi aircond terpasang? Membazir tahu tak? “
     “ Kau boleh diam tak? Kau sendiri cakap kita tak boleh berdua di dalam bilik ni, so aku bukalah pintu. Biar semua orang boleh tengok apa yang kita buat. Itu yang kau nak kan? “
     “ Kalau susah sangat, kau lepaskan aku. Biar aku pergi dari sini. Aku pun tak tahan dengan kau. Habis cerita! “ balas Farah dengan rasa sebal yang menggunung. Baru sahaja dia bangkit dan ingin berlalu, tanggannya digenggam erat oleh Khairi.
     “ Duduk! “ arah Khairi tegas. Cepat-cepat Farah menarik tangannya sebelum menghenyakkan kembali punggungnya di birai katil. Dia menyilangkan tangannya.
     “ Aku tak sukalah kau pegang tangan aku sesuka hati! Bukan muhrim. Berdosa! Kan kita dah belajar dengan ustazah dulu? Itu pun tak faham. “
     “ Wey, aku pun tak inginlah saja-saja sentuh kau! Lagipun, kau beritahu aku, lelaki mana yang pernah sentuh kau selain aku? Aku seorang aja, kan? “
     Farah terdiam. Seingatnya kata-kata Khairi ada benarnya. Hanya lelaki itu yang pernah menyentuhnya. Dahinya berkerut tidak faham. So, what? Even hanya dia aja lelaki yang pernah sentuh aku, tetap berdosa sebab lelaki tu bukan ada apa-apa ikatan sah dengannya. Hukum tidak menghalalkan cara!
     “ Kau ni memang .. “ kata-kata Farah terhenti serentak dengan bunyi derapan kaki seseorang. Dia dan Khairi lantas melihat tetamu yang tidak diundang itu. Masing-masing terdiam, terhenti perang mulut sebentar tadi. Farah menjadi kalut serta-merta manakala Khairi di sisi hanya mengeluh perlahan. Rasa malu mula menebak di hati Farah tatkala Azman menghadiahkan sebuah senyuman kepadanya. Senyuman yang tersirat makna yang mendalam.
     “ Ehem.. ehem. Pantang betul aku tinggalkan kau kejap, Khairi. Ada aja yang tersangkut. Bagus betul idea kau sendal pintu bilik hotel dengan laci kecil tu. Tak pernah dibuat orang. Mesti penginap hotel yang lalu-lalang depan bilik aku ni kata kau gila. Dahlah aircond terpasang. Mana nak sejuk bilik kalau macam ni. Membazir pula tu. “ Selamba Azman melangkah masuk ke dalam bilik hotelnya. Seperti tiada apa-apa yang berlaku lagaknya. Mustahil dia tidak merasakan suasana yang pelik sedang berlaku. Dia tahu benar! Dia juga kenal benar dengan fiil Khairi. Nasib badanlah dapat member yang alergi dengan perempuan ni!
     “ Kau yang bayar bilik ni. Aku tak rugi apa-apa. “
     “ Apa-apa ajalah, Khairi oii! Hah, cik! Thanks susah-payah hantarkan baju-baju pengantin ni ya.. “ ramah Azman sambil mengalihkan perhatiannya kepada Farah yang berwajah cemberut. Sedari tadi gadis itu kelihatan gelisah dan resah. Dia dapat melihat wajah gadis itu yang muram dengan kedua-dua belah matanya yang sembam semacam.
     “ Err, encik. Sama-sama. Baju-baju saya dah hantar, jadi saya balik dulu kalau tak ada apa-apa lagi. Boleh? “ Farah mencapai beg sandang yang tercampak di lantai atas tindakan drastik Khairi tadi. Sebuah hadiah hambar diberikan. Dia berdoa agar lelaki yang dikenalpasti sebagai pelanggannya yang sebenar itu tidak membuat perangai. Tidak meroyan seperti Khairi.
     “ Oh, sure! Dah lama ke dekat sini? Sepatutnya you dah boleh balik lepas hantar baju-baju ni. Yang you layan kerenah mamat ni kenapa? “ Terletus tawa Azman. Geli hati dengan kata-katanya sendiri. keizinan diberikan kepada gadis yang merangkap sebagai pekerja butik yang susah-payah menghantar baju-baju pengantin pesanannya.
     Dia hanya mampu tersenyum dengan tingkah pelik gadis tersebut yang terus mengorak langkah seribu tanpa berpaling lagi. Bagai takutkan sesuatu. Saat matanya singgah ke arah wajah Khairi, baru kini dia menyedari perkara apa yang menakutkan pekerja butik tadi dengan hanya melihat riak wajah rakannya. Hanya gelengan kepala yang menyusuli langkah Khairi yang turut ingin beredar dari situ.

     “ Khairi, mari duduk sini sayang. Dah lama anak mama ni tak balik rumah mama, ya. Asyik tidur dekat rumah lama aja. Senyap tak dengar khabar berita pun. “ Senyuman mekar di bibir Puan  Raniey tatkala Khairi mendekatinya dan menyalaminya. Rindunya dia kepada anak lelakinya itu semakin hari semakin menggunung. Tidak tertahan rasanya rindu yang bertamu ini.
     Puas juga dia menelefon Khairi tetapi tidak pernah anaknya itu menjawab panggilannya walau sekali. Memahami dengan keadaan Khairi yang masih bersedih dengan pemergian arwah Zeera, Puan Raniey hanya memendam rasa. Dia tidak mahu anaknya bersusah hati dengan kerenahnya. Kadang-kala, sekeping hati seorang ibu yang dimiliki mendesak dirinya juga untuk mengintai keadaan anaknya daripada jauh. Kereta Myvi dipandunya menuju ke rumah Khairi dan arwah Zeera. Lega sedikit rasanya apabila dia dapat melihat dengan matanya sendiri bahawa anaknya menjalani rutin harian seperti kebiasaan.
     “ Ma sihat? Sorry, ma. Khairi bukan tak nak balik, tapi kerja berlambak dekat studio. Banyak kerja pending. Iyalah, Khairi kan banyak ambil cuti time arwah Zeera.. “
     “ Khairi, yang pergi tetap pergi. Anak mama tak boleh jadi macam ni tau. Jangan selalu bersedih. Tak baik. Kita yang masih hidup ni kena teruskan kehidupan. Daripada kita bersedih, ada baiknya kalau kita iringkan doa kesejahteraan untuk roh arwah Zeera. Semoga roh arwah dicucuri-Nya. Betul tak? “ tanya Puan Raniey sambil mengusap lembut kepala Khairi.
     Kepalanya ditundukkan menekur ke lantai. Tidak berkutik. Hanya mendiamkan diri. Kata-kata ibunya benar-benar menyentuh hatinya. Segala yang diperkata terlalu benar. Dia sepatutnya menerima kenyataan bahawa kehilangan arwah Zeera dan anaknya adalah realiti. Khairi berterusan melayan menungannya. Dia hanya tersedar apabila bahunya disentuh Puan Raniey.
     “ Ya, ma. Khairi tahu semua tu. Tapi, Khairi perlukan masa untuk tenangkan diri. Khairi dah kehilangan orang-orang yang Khairi sayang. Isteri dan anak Khairi, ma. Khairi terlalu sayangkan mereka berdua. Tak sangka begitu cepat mereka tinggalkan Khairi. Khairi.. Khairi.. “ Ada getaran di suara Khairi setiap kali perihal arwah Zeera dan anaknya diperkatakan. Hiba, sedih dan kecewa. Semua rasa bersatu dan amat menyesakkan dada. Dia tiada punya tempat mengadu. Setiap malam dinihari dia berteleku di tikar sembahyang, memohon ketenangan daripada Pencipta agar kesedihan yang membelenggu hatinya pulih. Namun, semakin hari semakin perasaan sedih itu mencengkam jiwanya. Kenangan bersama-sama arwah Zeera menghantuinya. Bayangan wajah isterinya sentiasa bermain di minda.
     “ Khairi, anak mama. Kita kena percaya dengan rancangan Allah SWT. Yakinkan diri bahwa setiap yang Dia tentukan untuk kita adalah yang terbaik. Dugaan yang Allah SWT berikan adalah mengikut kemampuan kita. Maknanya, anak mama ni mampu dan cukup kuat untuk menghadapi apa yang telah berlaku. Arwah Zeera dan Farah Dayyan pergi meninggalkan kita sebab Tuhan lebih menyayangi mereka. Bukan salah kita. Macam apa yang mama cakap tadi, kita sama-sama doakan kesejahteraan roh mereka di sana agar segalanya dipermudahkan.
     Mama susah hati tengok anak mama seorang ni asyik muram aja. Tapi Khairi, mama nak tahu sama ada hati Khairi dah tertutup untuk kehadiran orang baru ke? “
     “ Apa yang mama cuba cakapkan ni? Khairi tak faham.. “
     “ Khairi, mama rasa ada baiknya kalau Khairi cari pengganti arwah Zeera. “ Khairi menarik kasar tangannya daripada genggaman Puan Raniey. Dia tersentak dengan kata-kata wanita itu. Pengganti arwah?
     “ Tak, mama! Tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempat arwah. Khairi hanya cintakan arwah seorang. Hanya arwah! “ Langkahnya diatur laju untuk mendaki anak-anak tangga menuju ke tingkat atas tetapi dia terhenti tiba-tiba. Wajah Puan Raniey direnung untuk mendapatkan kepastian daripada wanita itu. Terdiam buat seketika.
     “ Khairi, mama minta maaf! Mama tersilap cakap. Bukan pengganti arwah Zeera. Mama tahu tak ada mana-mana perempuan pun yang dapat menggantikan arwah. Maksud mama, seseorang yang boleh mengambil alih tugas arwah. Mama nak makan minum anak mama terjaga. Tak adalah mama risau kalau ada orang lain yang akan jaga dan lindungi anak mama. Sekurang-kurangnya, ada seseorang yang menjaga Khairi bila Khairi sakit. Sentiasa bersama-sama ketika susah atau senang. Nanti kalau mama dah tiada, siapa nak teman Khairi? Khairi kena faham yang kita tak ada saudara mara yang lain. Keluarga kita hanya tinggal kita berdua. Mama risaukan Khairi.. “
     Dia cuba mendekati Khairi. Tangan anak lelakinya dicapai dan digenggam kejap sebelum dia perlahan-lahan melepaskan pegangannya. Air mata mengalir perlahan di pipi cengkuk tuanya. Dia memalingkan tubuhnya untuk beredar dari situ tetapi tangannya pula pantas dicapai oleh Khairi. Puan Raniey menoleh mencari seraut wajah anak lelakinya yang kini menginjak usia 25 tahun. Sejuk hatinya apabila Khairi mengucup tangannya yang berkedut seribu. Lama.
     “ Maafkan Khairi, mama. Khairi berdosa dengan mama. Khairi terlalu pentingkan diri sendiri sehingga Khairi abaikan mama. Khairi janji! Khairi akan jaga mama, sayangkan mama. Khairi akan ikut segala cakap mama.. “
     Kedengaran esakan tangis Puan Raniey di segenap ruang tamu rumah teres dua tingkat yang sunyi sepi. Hanya dihuni olehnya dan Khairi. Jikalau dahulu, rumah inilah yang menjadi saksi akan kebahagiaannya sekeluarga saat arwah suaminya masih ada bersama-sama. Namun apabila suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung dan anak tunggalnya mendirikan rumah tangga, rumah itu sudah hilang serinya. Tidak lagi semeriah dulu. Yang sentiasa dimeriahkan dengan  gelak tawa arwah suami dan anak lelakinya. Terlalu sebak mengenangkan kenangan manis dahulu menyebabkan air matanya mengalir tanpa dipinta. Dan tatkala tanganya dikucup oleh Khairi, dia menangis teresak-esak meluahkan kesedihan yang sudah lama terpendam. Memuntahkan segala kesakitan menanggung rindu keseorangan.

     Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap kerja yang sedang dilakukan. Berhati-hati dia memasukkan benang berwarna keemasan ke dalam lubang kecil di hujung sebatang jarum. Setelah berjaya memasukkan benang tadi, tangannya mula laju menjahit manik-manik yang berkilauan dan berbagai bentuk di bahagian dada baju pengantin. Kerja-kerja menjahitnya berjalan lancar memandangkan tiada sesiapa yang menganggu. Terlalu fokus dengan kerja tersebut, Farah tidak menyedari kehadiran seseorang. Seseorang yang asyik merenungnya sedari tadi.
     Apabila gadis itu mula mengemas barang-barang jahitan ke dalam bekas tersedia, Khairi pun mula melangkah masuk ke dalam Aleeya’s Boutique. Dia terus meluru ke arah Farah yang sedang terbongkok-bongkok mengutip manik-manik yang berteraburan di atas lantai disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan. Belum sempat Farah habis mengutip manik-manik tersebut, lengan gadis itu menjadi sasarannya. Dia memaut erat lengan Farah dan mengheret gadis itu keluar dari butik pengantin. Kedengaran keluhan terbit di bibir Farah.
     “ Woi, Khairi! Kau ni dah kenapa? Sakitlah! Kau ingat aku ni apa? Barang yang kau boleh main tarik-tarik? Aku tengah kerja, kan? Hormatlah sikit. “
     “ Kahwin dengan aku! “
     Farah ketawa sinis. Tercuit hatinya dengan lawak antarabangsa yang dibuat oleh Khairi tengah-tengah hari buta ini. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Memandang rendah terhadap keupayaan lelaki itu dalam membuat lawak. Tak lawak langsung! Dahlah main tarik-tarik dengannya. Tup,tup.. terus ajak kahwin. Gila ke apa mamat ni? Hilang akal agaknya!
     “ Kau buat lawak apa ni, Khairi? Dahlah, daripada aku melayan kau lebih baik aku pergi sambung kerja. Bye! Bye! “
     “ Ni bukan permintaan tapi arahan! Kau kena kahwin dengan aku! Walau apa pun yang terjadi. Faham? Next week, aku hantar masuk meminang. Pastikan kau terima pinangan aku. “  Tercabar dengan tawa sindiran Farah, Khairi bertindak drastik dengan mencengkam lengan dan menarik gadis itu ke dalam pelukannya.
     Pang!!
     “ Kurang ajar! Kau tak berhak peluk aku sesuka hati kau. Lebih-lebih lagi depan khalayak ramai. “
     Suara Farah nyaring menampar halwa pendengaran Khairi. Orang ramai yang berkunjung ke butik mahupun yang hanya lalu-lalang di kawasan itu hanya memandang pelik ke arah mereka berdua. Tidak ketinggalan yang berbisik sesama sendiri dan tersenyum sinis dengan ‘drama’ yang sedang dilayarkan kepada mereka. Suasana menjadi hening seketika sebelum tenggelam dalam kedinginan si pelakon layar.
     Khairi terpempan dengan tamparan kuat daripada Farah, manakala si gadis pula terkejut dengan tindakannya sendiri yang tergamak menjatuhkan maruah lelaki itu di hadapan orang ramai. Dia benar-benar tidak menyangka dengan apa yang telah berlaku. Pelukan Khairi mendesaknya untuk mempertahankan maruahnya tanpa menyedari ringan sahaja tangannya menampar pipi lelaki itu.
     Air mata menitis membasahi wajahnya. Tanpa berlengah lagi, Farah berlalu meninggalkan Khairi dan meluru masuk ke dalam butik. Puan Aleeya yang turut menjadi saksi atas kejadian yang berlaku terus mendekati pekerjanya. Bahu Farah diusap-usap perlahan menenangkan gadis itu. Semakin dipujuk, semakin lebat pula air mata Farah yang mengalir. Dia menyembunyikan dirinya di dalam bilik persalinan sambil melayan perasaan. Kedengaran esakannya dari luar bilik persalinan yang mempunyai ruang kecil itu.
     “ Farah, jangan macam ni. Saya risau tau dengan keadaan awak. Farah keluarlah. Saya nak cakap dengan awak ni.. “ pujuk Puan Aleeya yang ternyata berhasil apabila Farah membuka pintu bilik persalinan yang menjadi tempat persembunyian gadis itu. Farah menjengulkan wajah sebelum kembali menundukkan kepalanya. Malu mempamerkan wajahnya yang pasti kelihatan hodoh dengan air mata yang tidak berhenti berjuraian sejak tadi. Ekor matanya tetap meliar mencari kelibat Khairi di luar butik. Sempat dia menarik nafas lega ketika mendapati lelaki itu telah beredar.
     “ Saya tak tahu apa yang telah berlaku antara awak dengan lelaki tadi. Tapi kalau awak ada masalah dalam perhubungan, awak kena kuat. Awak kena menghadapinya. Bukan dengan cara macam ni. Awak tak boleh berterusan bersedih. Menangis tak menyelesaikan masalah. Berbincang baik-baik dengan kekasih awak tu. Tengok dari air mukanya, saya pasti dia seorang lelaki yang baik. Mungkin dia tak reti nak sampaikan perasaan dia.. “
     Panjang lebar nasihat yang dituturkan oleh Puan Aleeya kepada Farah. Tangan si gadis digenggam memberikan sekelumit kekuatan yang termampu. Dia tersenyum tatkala melihat pekerjanya itu terkebil-kebil dengan kata-katanya tadi. Namun, dia memahami keadaan tersebut kerana sesungguhnya dia pun tidak percaya yang dirinya boleh menuturkan kata-kata sebegitu. Layak seperti seorang kaunselor cinta! Dah boleh tukar profesion ni. Daripada seorang usahawan wanita yang memiliki butik pengantin menjadi seorang kaunselor berjaya yang petah berkata-kata.
     “ Macam nilah, Farah. Saya bagi awak cuti untuk hari ni dan esok. Awak tenangkan diri. Rehat cukup-cukup. Lagipun, customer tak ramai lately. I’ll be able handle everthing. Don’t worry about it. “
     Kepalanya diangguk-anggukkan mengiyakan kata-kata majikannya. Lagi pula badannya mula terasa sakit-sakit. Begitu juga dengan kepalanya yang terasa berat tiba-tiba. Dapat dia merasakan suhu badannya yang turut berubah. Menjadi panas tak semena-mena.
     Tanpa berlengah, Farah berlalu ke kaunter butik untuk mengambil barang-barangnya. Dia memeluk tubuh gempal Puan Aleeya dan mengucapkan terima kasih kepada wanita itu sebelum dia bersiap-siap untuk pulang ke rumah.

     “ Aaaahh!! “ jerit Farah kuat apabila terkejut dengan kewujudan sesusuk tubuh yang sedang berdiri tegak di hadapan pintu rumahnya. Terbeliak matanya memandang kehadiran Khairi yang tidak disangka-sangkakan itu. Langkahnya juga terhenti melihatkan riak tenang di seraut wajah lelaki itu. Hanya hatinya yang bergetar hebat dengan renungan tajam yang ditujukan kepadanya.
     “ Kau buat apa dekat sini? Ke tepi, aku nak masuk ke dalam rumah.. “ Farah bersuara apabila Khairi membisu seribu bahasa dan masih tercegat di hadapan pintu rumahnya. Dia memberanikan diri untuk menolak tubuh bidang lelaki itu untuk beralih sedikit kerana menghalang laluannya untuk masuk ke dalam rumah. Tetapi, hampa. Lelaki itu masih enggan berganjak dari posisi tadi. Masih tidak beralah, terus berdiri tegak dan membatukan diri. Hanya renungan tajam yang mampu menusuk ke kalbu dihadiahkan kepadanya. Alahai, Khairi! Bab-bab pandang, renung macam nilah, aku kalah. Berdebar tahu tak kau pandang aku macam tu!
     “ Khairi, tolonglah! Aku penat. Kau nak apa sebenarnya ni? “
     “ Aku nak kahwin dengan kau. Dan kau wajib kahwin dengan aku. Walau apa-apa pun yang terjadi. “
     Gulp!
     Air liur yang ditelan terasa kesat benar di kerongkongnya. Serta-merta jantungnya berhenti berdegup. Terpempan dengan kata-kata Khairi yang berjaya membuatkan dirinya terasa di awang-awangan. Namun, rasa indah itu hanya untuk sementara sebelum rasa sebak dan hiba mengetuk pintu hatinya. Dia teringatkan arwah Zeera. Wajah arwah bermain-main di ruang mata.
     Dengan darah yang berlumuran darah di merata-rata tempat, Farah masih dapat ingat dengan jelas detik-detik arwah Zeera bergelut dengan maut sejurus jatuh bergolek dari tangga tingkat atas. Tubuhnya yang dihimpit oleh tubuh genit Ina yang turut ingin mencederakannya membuatkan pergerakannya terbatas. Dia tidak sempat menyelamatkan nyawa rakan karibnya bersama-sama anak yang sedang dikandung oleh wanita itu. Semuanya sudah terlambat semasa dia berjaya melepaskan diri daripada Ina yang menjerit terlolong bagai orang yang kehilangan iman. Di atas ribanya, arwah Zeera menghembuskan nafas terakhir dan telah meninggalkan dunia untuk selama-lamanya. Lebih menyesakkan dadanya apabila doktor memaklumkan bahawa anak yang dikandung oleh arwah Zeera juga tidak berjaya diselamatkan dan pulang dengan selamat ke rahmatullah.
     Berlelehan air matanya tatkala detik-detik hitam yang telah meragut nyawa orang yang disayanginya terlayar di ruang mata. Sehingga kini peristiwa itu sentiasa menghantui dirinya. Kehilangan arwah Zeera dan Farah Dayyan membawa seribu sesalan dalam dirinya. Rasa bersalah tidak pernah hilang walau sesaat, malah menggunung dan menyesakkan dada.
     Farah mengangkat wajah dan memandang Khairi. Dia merenung tepat ke arah anak mata Khairi demi mendapatkan kepastian dan mencari sejauh mana keihklasan lelaki itu mahu memperisterikannya. Renungan tajam Khairi yang merimaskan tadi mulai lenyap dan berganti dengan pandangan redup daripada lelaki itu. Dan apabila keputusan telah dibuat dan dia ingin menyatakannya kepada Khairi, dia terdengar samar-samar suara seiras dengan..
     Dia pasti itu suara arwah Zeera! Matanya melilau memandang sekelilingnya. Tiada sesiapa di situ kecuali hanya dirinya dan Khairi. Dia memandang Khairi sekilas dengan riak wajah terkejut. Hatinya benar-benar yakin bahawa suara tadi itu merupakan milik rakan karibnya yang telah menghembuskan nafas..
     “ Terima lamaran Khairi, Farah. Dia cinta kau. Cinta pertama dan selamanya.. “
     Sayup-sayup kedengaran suara arwah Zeera di hujung telinganya yang berselindung dengan sehelai selendang yang dililit di kepala. Bisikan arwah Zeera itu cukup membuatkan bulu romanya meremang dan tubuhnya menggigil kesejukan. Tangannya menggeletar saat dia cuba memegang hujung baju yang sedang dipakai oleh Khairi demi mendapatkan kekuatan daripada lelaki itu.
     Khairi perasan dengan perubahan mendadak yang ditunjukkan oleh Farah. Perasaan bimbang menerpa dirinya apabila melihatkan wajah gadis itu yang pucat lesi bagai tidak berdarah jikalau ditoreh sekalipun. Walaupun tersentak dengan tindakan Farah yang menggenggam kuat hujung bajunya, dia hanya membiarkannya apabila dia dapat merasakan gadis itu menggeletar tiba-tiba. Seperti orang yang berada dalam ketakutan yang melampau. Dan tatkala esakan si gadis mula kedengaran di sisinya dan mengisi kesunyian antara mereka berdua, dia terkaku seketika tatkala tubuh si gadis terjelepuk di lantai simen di koridor kawasan rumah pangsapuri itu.
     Dia cuba menampar lembut pipi Farah yang mula tidak sedarkan diri. Apabila dia tidak menerima sebarang tindak balas, tubuh gadis itu terus dicempungnya erat. Anak-anak tangga rumah pangsapuri yang didiami oleh Farah, dituruninya dengan berhati-hati sambil tabah menampung beban yang sedang dipikulnya. Dia berlari anak menuju ke keretanya yang terparkir berdekatan dengan kawasan perumahan. Tubuh Farah terus dibaringkan di tempat duduk di bahagian belakang kereta Vios miliknya.
     Ada juga dia melakukan perkara yang sama dengan menampar pipi Farah bagi menyedarkan si gadis tetapi tidak berhasil. Farah masih tidak sedarkan diri dengan mata yang terpejam rapat. Tidak berkutik. Telefon bimbit di kocek seluar segera diseluk sebelum Khairi mendail nombor seseorang bagi meminta pertolongan.
     “ Hello, mama.. “

     “ Macam mana boleh jadi macam ni, Khairi? Apa yang Khairi dah buat dengan anak orang ni. Kenapa dia boleh pengsan? Khairi berkasar dengan dia,eh? Khairi, mama risaulah. Jomlah kita bawa dia pergi klinik ke, hospital ke.. ? “ Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh Puan Raniey kepada anak tunggalnya. Sambil tangannya mengusap-usap dahi gadis yang masih tidak sedarkan diri itu, matanya dikalihkan kepada Khairi yang sedang duduk di atas sebuah sofa yang bertentangan dengan sofa tempat di mana gadis yang dikenali sebagai Farah dibaringkan. Terkejut dengan panggilan mengejut daripada Khairi yang memohon bantuannya kerana ingin membawa pulang si gadis ke rumah, dia terus bersetuju dan mengizinkannya.
     Kepala Farah diusap-usap lembut. Sekali-sekala belakang telapak tangannya dilekapkan di dahi si gadis untuk merasa suhu tubuh. Dia jelas dapat merasakan haba panas daripada tubuh Farah. Dahinya pula yang berkerut-kerut apabila melihat peluh sudah merenik di sekitar dahi gadis itu. Matanya  kembali ditalakan kepada Khairi yang masih mendiamkan diri. Hanya sepasang mata anak lelakinya itu yang merenung tajam ke arah Farah.
     “ Khairi, tolong jelaskan kepada mama. Apa yang dah berlaku? Siapa budak perempuan ni? Macam mana Khairi boleh kenal dengan dia? “ Masih tidak berputus asa mengajukan soalan. Puan Raniey teringin benar mencungkil rahsia hati si anak. Dia memohon diberikan penjelasan tentang perkara yang sedang berlaku. Siapa gadis ini? Apakah kaitan gadis ini dengan anaknya? Apa yang telah berlaku sehingga si gadis pengsan dan tidak sedarkan diri? Mengapa anaknya kelihatan begitu prihatin terhadap keadaan gadis misteri ini?
     “ Perempuan ni.. kawan Khairi. Macam yang Khairi yang cakap tadi, nama dia Farah. khairi dah lama kenal dia. Sejak sekolah menengah lagi. Habis SPM, kita orang buat haluan masing-masing. Tak lama kemudian, kita orang berjumpa balik. Dan masa tu, Khairi dan arwah Zeera dah engaged and we’ll getting married. Kalau mama nak tahu, dialah salah seorang yang berada di tempat kejadian semasa arwah dibunuh. Dia yang menjadi saksi bahawa Ina yang bersalah kerana menolak arwah hingga jatuh.
     Sumpah! Khairi tak buat apa-apa pun dengan dia. Khairi tak tahu sebab apa dia boleh pengsan tiba-tiba. Tapi sebelum tu, Khairi ada paksa dia.. “
     “ Khairi paksa Farah buat apa? Cakap dengan mama. “
     “ Khairi suruh dia kahwin dengan Khairi. Khairi buat semua ni bukan untuk mencari pengganti arwah Zeera tapi hanya untuk jaga mama dan Khairi. Macam mama cakap hari tu. “
     Puan Raniey mengucap panjang. Dia mengurut-urut perlahan dadanya yang terasa sesak. Sampai begitu sekali anaknya bertindak semata-mata ingin memenuhi kehendaknya untuk melihat Khairi berkahwin buat kali kedua. Tegar Khairi memaksa seorang gadis berkahwin dengannya tanpa kerelaan dan bukan atas dasar cinta. Dia tidak pernah menyangka anaknya itu terlalu lurus bendul dalam hal-hal yang berkaitan soal hati dan perasaan.
     “ Mama tak pernah suruh Khairi paksa sesiapa untuk menjadi isteri Khairi. Tak terlintas di hati mama untuk menyuruh Khairi mencari pengganti arwah Zeera. Maksud mama, mama nak seseorang yang menyayangi diri Khairi seadanya dan berada di sisi Khairi selain mama. Mama takkan hidup lama, Khairi. Usia mama dah lanjut. Dan bila-bila masa aja, Tuhan tu boleh cabut nyawa mama.
     Mama tak nak Khairi keseorangan bila mama tiada nanti. Kalau Khairi dah kahwin, sekurang-kurangnya mama tahu ada orang yang akan bersama-sama dengan Khairi. Tapi apa yang Khairi buat ni salah, sayang. Farah tak bersalah. Khairi tak boleh buat Farah macam ni. Dia ada hak untuk membuat pilihan sendiri untuk masa depannya. “
     Tatkala Khairi ingin bersuara menyuarakan isi hatinya, Farah yang terbaring di sofa mula meracau-racau. Puan Raniey yang berada di sisi Farah terus menenangkan si gadis dengan membisikkan ayat-ayat suci al-Quran di telinga gadis itu. Setelah Farah kembali tenang, gadis itu mula menyedarkan diri.
     Suasana sekeliling yang asing baginya dilihat dengan mata yang tidak berkelip. Melihatkan perabot yang terdapat di situ, dia dapat mengagak dirinya berada di ruang tamu sebuah rumah. Begitu asyik menghayati suasana tenang di rumah tersebut, Farah tersentak apabila matanya singgah ke wajah Khairi yang sememangnya sedang merenungnya dengan pandangan tajam. Seorang wanita yang berusia di sisi juga membuatkan dirinya berasa tidak selesa.
     “ Farah okay? Kalau rasa tak sedap badan atau pening-pening lagi, mama boleh suruh Khairi bawa Farah pergi ke hospital. “
     Perasaan janggal dan tidak selesa yang dirasakannya sebentar tadi terus lenyap apabila wanita yang murah dengan senyuman di sisinya itu dengan ikhlas dan selamba membahasakan diri sebagai mama dengannya. Walaupun ini merupakan pertama kali dia bersua muka dengan Puan Raniey. Tenang seketika hati yang sedang lara dengan belaian mesra daripada seorang ibu. Farah mengangkat wajah dan memandang Puan Raniey.
     “ Urm.. puan, saya okay. Terima kasih sebab sudi jaga saya. Saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh pengsan. Saya dah banyak menyusahkan puan dan Khairi. Jadi, saya rasa saya nak minta diri dulu. Maaf. “ Farah tercari-cari beg galasnya yang ada bersama-samanya sebelum dia pengsan. Tetapi, barang itu tidak dijumpai. Terus matanya ditalakan ke arah Khairi. Dia pasti bahawa lelaki itu yang telah menyimpan beg galasnya.
     “ Tak payah nak mengada-ngada! Tidur dekat sini malam ni. Dah tahu badan masih lemah, still berdegil nak balik juga. Kalau kau pengsan lagi, siapa susah? Dekat rumah kau tu, mana ada orang. Ini arahan, bukan permintaan! “
     Terlopong Puan Raniey dengan tingkah Khairi yang tidak pernah dia ketahuinya sebelum ini. Tidak pernah dia melihat anaknya begitu tekad memberikan arahan yang pasti tidak boleh diingkari. Mata Farah pula sudah membulat dengan kata-kata Khairi. Tidak percaya dia bahawa lelaki itu boleh menunjukkan belang di hadapan orang lain. Teruk punya perangai! Asyik nak ikut angin dia aja! Fed up tahu tak? Sabar ajalah, wahai hati!
     “ Khairi, apa yang kau merepek ni? Aku dah sihatlah! Aku nak balik. “
     “ A’ah, pergilah balik! Dah malam-malam buta macam ni pun, kau masih nak balik? Baliklah! Tak bawa apa-apa, tak ada duit. Habis tu, nak balik naik apa? Jalan kaki? Bagus juga cadangan tu! Sebab aku selalu tengok orang Cina bersenam pada waktu malam. Kau pula buat marathon tengah-tengah malam. Sesuai sangat!
     Lagi satu, kau sedar tak yang kau ni perempuan? Kau nak buat apa kalau tiba-tiba jantan jalanan kacau kau? Masa tu, kau tak payah fikir macam mana nak selamatkan diri! Nak balik sangat? Baliklah! Berambus! “
     Tengkingan Khairi membuatkan hatinya terguris. Kata-kata yang dilemparkan kepadanya terus menyakiti jiwanya. Walaupun ada kebenarannya seperti yang dikatakan oleh lelaki itu, dia tetap berkeras untuk terluka. Luka parah! Bukan kali pertama dia telah ditengking oleh Khairi. Sudah banyak kali! Tetapi, entah mengapa hati ini sentiasa berduka dengan layanan kasar yang diberikan.
     Apa yang dia harapkan sebenarnya daripada Khairi? Layanan baik? Kasih sayang atau .. cinta? Iya, dia mengaku. Dia terlalu mengharapkan cinta tulus daripada lelaki itu. Dari dahulu lagi, dia sentiasa berharap agar wujud rasa kasih dan sayang di hati lelaki itu untuk dirinya. Namun, ternyata dia tewas kerana arwah Zeera yang menjadi insan yang berjaya menakluki hati Khairi. Sudah jelas mereka saling mencintai antara satu sama lain sehingga cinta yang disulam berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Akad juga telah dilafazkan oleh Khairi untuk memiliki arwah Zeera dengan sebuah ikatan perkahwinan yang sah di sisi syarie’. Yang menghalalkan hubungan dua orang insan yang sedang bercinta.
     Farah sebak, terluka. Dia malu kerana diperlakukan sebegitu oleh Khairi di hadapan Puan Raniey. Tidak lagi dia mempedulikan tanggapan orang lain terhadap dirinya, dia menitiskan air mata. Pilunya hati mengenangkan kelakuan buruk Khairi terhadap dirinya. Hanya kepadanya! Lelaki itu sentiasa panjang akal untuk menyakitinya, membuatkan dia merana. Selain daripada peristiwa semasa dia kehilangan kedua orang ibu bapanya, Khairi merupakan punca air matanya mengalir laju dan tidak henti-henti.
     “ Khairi, kenapa buat Farah macam ni? Khairi ingat dengan cara menengking orang boleh selesaikan masalah? Kenapa Khairi marah sangat dengan Farah? Oh, sebab Farah tak nak kahwin dengan Khairi? Kalau sebab tu, bagus sangatlah! Farah dah buat keputusan yang terbaik untuk dirinya. Sebelum kahwin pun dah meninggikan suara, lepas kahwin macam mana pula? Perempuan mana yang nak kahwin dengan lelaki yang berkasar dengan mereka? Tak ada, Khairi!
     Hari ni, mama dah nampak semua perangai buruk Khairi. Kalau macam ni, Khairi tak payah kahwin. Kahwin untuk buat anak orang merana, buat apa? Hah, Farah pun! Ada benarnya cakap Khairi tadi. Farah kan anak dara. Mana boleh balik seorang-seorang malam macam ni. Bahaya. Farah tidur rumah mama, eh? “
     Kemarahan yang dipendam sejak dia menjadi penonton setia ‘drama’ antara Khairi dan Farah telah dihamburkan, Puan Raniey berasa lega. Berpuas hati kerana mampu meleraikan pertelingkahan antara si gadis dengan anak lelakinya. Sakit pula matanya melihat layanan buruk yang diberikan Khairi kepada Farah. Dia seorang wanita, jadi dia mengetahui benar apa yang dirasakan oleh si gadis apabila diperlakukan sebegitu. Jikalau Farah tidak terluka, masakan air mata gadis itu berlelehan dan membasahi wajah mulusnya. Khairi sudah melampau!
     “ Mama tak payah nak menangkan sangat perempuan ni. Kalau dia nak balik, biarkan aja! Biar padan dengan muka dia yang kemek tu kalau jadi apa-apa nanti. “ Khairi bersuara kerana dia berasa tidak senang dengan keprihatinan si ibu terhadap Farah.
     “ Khairi diam! No need to provoke me. Eleh, cakap muka Farah kemek. Tapi dia yang bersusah-payah dukung Farah dari rumah Farah sampai rumah mama. Tu tandanya apa? Betul ke Khairi bencikan Farah? “  usik Puan Raniey dengan senyuman lebar.
     Geli hati melihat riak wajah Khairi yang berubah pucat tidak semena-mena apabila dia mengusik si anak. Puan Raniey tersenyum lagi. Dia dapat melihat Farah menundukkan wajah mungkin ditebak rasa malu barangkali. Tiada juga air mata lagi yang meleleh tetapi hanya sisa air mata yang menghiasi di wajah si gadis. Suasana menjadi dingin seketika. Tiada sesiapa yang bersuara. Khairi tidak pula bising dan menafikannya. Anak lelakinya kini terkelu.
     Puan Raniey mengalihkan perhatiannya kepada Farah di sisi. Sehelai selendang merah jambu di atas meja yang berdekatan dicapai lalu dipakaikannya ke kepala si gadis. Ternyata si gadis kebingungan dan tidak menyedari bahawa sedari tadi kepalanya tidak bertutup. Dengan erti kata lain aurat Farah terdedah kepada anak lelakinya.
     “ Maafkan mama ya, Farah. Mama terpaksa tanggalkan selendang Farah tadi. Kepala Farah panas sangat. Nasib baik tak melarat lepas lap dengan kain basah. Mama nak minta maaf sebab dedahkan aurat Farah depan Khairi.
     Farah jadi kan tidur rumah mama? Lagipun tak ada apa nak dirisaukan. Bukannya Khairi dengan Farah aja dalam rumah ni. Mama kan ada. Farah boleh tidur di bilik tetamu tetapi kalau  Farah nak tidur dengan mama pun boleh. Lagi seronok.. dan selamat. Tak adalah chance orang tu nak merangkak ke.. nak buat apa-apa ke.. “
     “ Mama, Khairi takkan buat benda tak senonoh tulah! “
     “ Mama tak cakap pun Khairi yang buat. Mama ada cakap siapa ke orang tu tadi? “
     “ Suka hatilah! Kalau layan mama, memang Khairi surrender. Nak tidur. Penat. “
     Terkekek-kekek Puan Raniey mengetawakan anaknya. Tidak pernah dia melihat Khairi serba tidak kena sebegitu. Dulu ketika bersama-sama arwah Zeera pun, tidak pula anaknya itu buat perangai. Tetapi apabila diri anaknya dikaitkan dengan Farah, hati ibunya kuat mengatakan bahawa si gadis mempunyai tempat istimewa di hati anak lelakinya. Jelas terpancar kerisauan di raut wajah Khairi ketika Farah pengsan dan tidak sedarkan diri. Walaupun kedengaran kasar dan agak keterlaluan dalam pertuturan Khairi, dia yakin anak muda itu bimbang akan keselamatan Farah apabila si gadis berkeras ingin pulang ke rumah.
     Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Mu , ya Allah. Puan Raniey sempat memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Kemudian tangannya memegang tangan Farah, menyuruh gadis itu bangkit.
     “ Jom, kita pergi tidur dekat bilik mama. Farah bersihkan diri dulu, solat Isyak. Lepas tu, kita tidur okay? Jangan ambil hati dengan angin Khairi tu. Dia memang macam tu. “
     “ Tapi, puan. Beg saya.. “
     “ Tak perasan ke tadi yang Khairi bawa beg Farah naik atas? “
     “ Perasan. Erm, maksudnya Khairi bawakan beg saya ke bilik puanlah? “
     “ Nampaknya, Farah takkan dapat beg Farah tu. Sebab Khairi dah bawa ke bilik dia. Khairi tak nak Farah balik ke rumah malam ni. Iyalah, kalau Farah dah dapat beg, kemungkinan besar Farah akan balik juga ke rumah malam ni. Tak sudi tidur rumah mama. “
     “ Err.. bukan tak sudi. Saya tak nak menyusahkan sesiapa. Terutamanya Khairi. Tapi, beg saya tu.. “
     “ Farah tak menyusahkan kita orang pun. Khairi pun macam lagi suka aja kalau Farah tidur di rumah ni. Pasal beg, jangan risau. Khairi takkan selongkar. Dia cuma simpan aja beg Farah tu dalam bilik dia. Pagi esok, Farah minta beg tu daripada dia. “
     Dia hanya mampu menganggukkan kepalanya dalam keterpaksaan. Kerisauan mula bertandang di hati. Takut kalau-kalau beg galasnya diselongkar oleh Khairi. Sudahlah banyak barang rahsia yang tidak boleh diketahui Khairi yang tersimpan di dalam beg tersebut. Dengan langkah longlai, dia membuntuti Puan Raniey ke bilik wanita itu untuk berehat. Dia berharap sangat lelaki itu tidak melakukan perkara terkutuk dengan menyelongkar barang privasinya.

     Laju dia menuruni anak-anak tangga untuk menuju ke tingkat bawah rumah teres milik Puan Raniey. Pintu bilik Khairi masih tertutup rapat walaupun tangannya pedih kerana mengetuknya bertalu-talu. Terus dia membuka pintu tersebut untuk menemui tuan empunya bilik. Ternganga mulutnya melihatkan suasana bilik yang luas dan tersusun rapi. Lebih mengejutkan apabila katil milik Khairi juga sudah berkemas. Dia menengok sekeliling mencari lelaki tetapi tiada.
     Khairi sudah meninggalkan bilik tidurnya. Dia memandang ke tangga tatkala telinganya menangkap bunyi derapan kaki. Benar! Kelibat Khairi menuruni tangga dan tergesa-gesa berjalan ke muka pintu. Dia yang sedia terkejut terus berlari anak. Kereta Vios berwarna hitam pekat milik Khairi sudahpun menderum laju meninggalkan perkarangan rumah apabila dia sampai di pintu utama rumah lelaki itu. Rasa macam nak menangis lagi! Puas dia mencari beg galasnya di bilik lelaki itu tapi tidak dijumpai. Pasti Khairi membawanya ke tempat kerja. Khairi!!

     “ Farah, nak pergi mana tu? Meh, sarapan dulu. Tengok Khairi pergi kerja buat apa? Tak lapar ke? “ tanya Puan Raniey dengan penuh keibuan. Wanita itu kelihatan sungguh menawan dalam pakaiannya yang berwarna hijau pucuk muda. Sungguh padan dan sesuai dengan warna kulitnya yang cerah. Seraut wajah Khairi yang tampan ternyata diwarisi daripada wajah ibunya yang cantik. Puan Raniey masih kelihatan anggun dan betapa wajahnya tidak dimamah oleh usia.
     Dia mengorak langkah lemah menuju ke suatu sudut yang mempunyai sebuah meja makan yang agak besar. Di atas meja tersebut, terhidang bihun goreng air tangan Puan Raniey yang berasap-asap kerana baru sahaja diangkat dari atas dapur. Beberapa jenis kuih juga menghiasi meja makan bersama-sama seteko air kopi pekat.
     “ Kenapa puan tak kejutkan saya? “ Setelah melabuhkan punggungnya, Farah meluahkan kegusarannya.
     “ La, yeke? Sebab bukan semalam Farah baru datang period ke? Buat apa bangun awal-awal pagi? Bukannya boleh solat. “
     “ Tak adalah. Kalau puan kejutkan saya, boleh saya tolong puan siapkan sarapan. Lagi satu, tak dapatlah si Khairi tu bawa lari beg saya. Apa yang precious sangat dengan beg buruk tu sampai dia bawa ke tempat kerja? “
     Berkerut dahi Farah apabila Puan Raniey tergamak mentertawakannya. Puan Raniey dilihatnya masih tidak berhenti ketawa sekembalinya wanita itu dari dapur untuk mengambil semangkuk air basuh tangan. Dia menggaru-garu kepalanya yang dilitup dengan sehelai selendang walaupun tidak berasa gatal.
     Ada ke dia buat lawak tadi? Bersungguh betul mak Khairi ni ketawakan aku? Tengok tu! Sampai memegang perut bagai sebab ketawa terlalu kuat. Boleh pula dia ketawakan aku sampai keluar air mata? Haish, ni dah melampau ni! Mak dengan anak, dua kali lima.
     “ Apa ni, puan? Ketawakan saya sampai macam tu sekali? “ Sudah panjang sedepa muncung Farah. Sedikit terasa dan tersentak dengan tingkah Puan Raniey yang tidak ubah seperti Khairi. Kenalah terima kenyataan. Mana kuah nak tumpah kalau tak ke nasi, kan?
     “ Oh, minta maaflah, Farah! Mama tak dapat tahan nak ketawa. Mama geli hati dengan kerenah kau orang berdua. Macam budak-budak! Tapi dah tua bangka dah. “ Sehelai tisu dicapai dan digunakan oleh Puan Raniey untuk mengelap air mata yang mulai bergenang di tubir mata. Menitiskan air mata sebab ketawa sakan tadi. Sampai tak ingat dunia. Teruk juga kan?
     “ Hah, ‘kau orang berdua’ tu siapa? “ Kening Farah kembali bersatu.
     “ Siapa lagi kalau bukan Farah dengan Khairi. Layan kerenah kau orang sebiji macam layan kerenah budak-budak kecil. Patutlah Khairi pagi tadi turun terkocoh-kocoh. Breakfast pun tak sempat. Rupa-rupanya main kejar-kejar dengan Farah. Seronok betul dia mama tengok. Senyum melebar sampai ke telinga.. “
     Suapannya terhenti. Dia merenung wajah Puan Raniey yang tersenyum mesra. Hatinya terusik lagi. Khairi tersenyum lebar? Betul ke? Sebab peristiwa pagi tadi? Melihatkan Puan Raniey yang masih petah bercerita tentang anak lelakinya, Farah mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan soalan-soalan yang menerjah benak hatinya. Membiarkan soalan-soalan itu tidak berjawab. Takut jawapan yang diterima nanti mengecewakannya.
     Aik, Farah! Jawapan apa yang kau harapkan? Jangan kata kau nak jawapan yang menunjukkan Khairi sudah jatuh suka dekat kau kembali? Sedarlah diri! Berpijak di bumi yang nyata. Khairi hanya cintakan arwah Zeera, isteri dia yang sah. Takkan semudah itu perasaannya boleh berubah? Jangan mengharapkan cinta daripada Khairi. Kau dah cukup merana dengan layanannya. Takkan kau nak lebih merana apabila cinta kau ditolak pula?
     “ Dah lama mama tunggu saat Khairi tersenyum macam tu. Sejak arwah Zeera tak ada, Khairi sentiasa muram. Dingin. Kadang-kadang, dia jadi seorang yang panas baran dan selalu berang. Adalah juga mama pergi studio sebab PA dia call mama dan cakap Khairi bertumbuk dengan pekerja dia sendiri. Teruk budak lelaki itu dibelasahnya. Tapi last-last, kes tu selesai lepas dia sendiri minta maaf dengan budak Azman tu. Tak hairanlah kalau dia orang boleh berbaik balik sebab mama tahu Azman memang pemaaf orangnya. Senang memaafkan orang lain. Lebih-lebih lagi, kalau orang tu ialah Khairi. Dah jadi kawan baik pun mama tengok dia orang tu. “
     “ Puan, Encik Azman tu baru kahwin kan? “
     “ A’ah, baru aja kahwin. Mama dan Khairi pergi majlis dia. Macam mana Farah boleh tahu? Farah kenal ke kawan Khairi? “
     Dah terjawab salah satu soalan yang bermain di fikirannya. Benarlah tekaannya! Encik Azman yang merupakan salah seorang pelanggan yang menyewa baju-baju pengantin di Aleeya’s Boutique. Encik Azman itu jugalah yang membuat pesanan untuk dihantar ke sebuah bilik hotel tempat dia menginap sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. Yang menemukannya kembali dengan Khairi. Sehinggalah pertemuannya dengan lelaki itu kini.
     “ Betul ke Farah hanya kawan Khairi? Rasanya, Farah tahu tak kenapa Khairi berperangai macam tu? “
     Gelengan kepala Farah mendorong Puan Raniey meneruskan kata-kata. Si gadis diam dan menumpukan perhatian kepada wanita yang merangkap ibu kepada Khairi.
     “ Cuba Farah fikir betul-betul. Kenapa Khairi sanggup berperangai kebudak-budakan dan bawa lari beg Farah? Dan kenapa Khairi perlu larikan beg Farah? Mama dah lama hidup. Asam garam hidup mama dah alami. Mama tahu taktik orang lelaki yang tak reti nak memikat. Dan mama tahu apa yang Khairi rasa. Perasaan yang tak mahu lepaskan sesuatu.
     Kalau Farah nak tahu, Khairi buat macam tu bersebab. Dia tak nak Farah tinggalkan rumah ni. Dia nak Farah sentiasa berada dekat dengan dirinya. Kalau Khairi serahkan beg Farah awal-awal, dah tak ada sebab untuk dia berjumpa dengan Farah, kan? Orang lelaki, Farah. Ego dia orang tinggi mengalahkan bangunan KLCC. Khairi salah seorang lelaki yang tak tahu nak luahkan perasaannya. Dia lebih selesa pendamkan. Sebab tu bila kehilangan arwah Zeera dan Farah Dayyan, Khairi memencilkan diri di biliknya. Dia lebih banyak diam dan bermuram. “
     Perihal arwah Zeera dan Farah Dayyan amat sensitif kepadanya. Dia mula berasa hiba dan sebak. Sampai dia mati, dia takkan pernah melupakan peristiwa hitam kehilangan mereka. Farah membiarkan Puan Raniey mengusap-usap belakang telapak tangannya. Wanita itu juga mendekatinya.
     “ Khairi memerlukan seseorang untuk setia berada di sisinya kala suka dan duka. Dia tak kuat, Farah. Mama takut Khairi tak mampu menghadapi hidupnya bila mama tak ada nanti. Walaupun baru semalam mama kenal Farah tapi mama yakin Farah ada sejarah dalam hidup Khairi. Dan mama dapat rasakan Farah dan Khairi saling menyayangi. Farah, mama ada permintaan. Mama nak meminang Farah untuk Khairi. Farah setuju? “
     Didongakkan wajahnya menghadap wajah keruh Puan Raniey. Lidahnya terkelu untuk menjawab pertanyaan wanita berusia itu. Hatinya bergolak dengan perasaan yang sukar ditafsirkan. Serta-merta bisikan daripada arwah Zeera yang didengarinya semalam terngiang-ngiang. Dia menggigil ketakutan.
     “ Terima lamaran Khairi, Farah. Dia cinta kau. Cinta pertama dan selamanya.. “
     Tanpa berfikir panjang, Farah menganggukkan sedikit kepalanya menerima pinangan Puan Raniey yang mewakili bagi pihak Khairi. Mengenangkan bisikan misteri itu hatinya gentar dan terus menerima Khairi. Puan Raniey di sisi sudahpun tersenyum sambil menitiskan air mata gembira. Dirinya? Menangis hiba kerana tidak menyangka dia membuat keputusan sebegitu. Dia merasakan dia telah mengkhianati arwah Zeera dengan bersetuju akan permintaan Puan Raniey itu. Tidak tertahan dengan sebak yang melanda di hati, Farah memeluk tubuh ibu Khairi dengan erat. Dia teresak-esak di bahu wanita itu.

     Kedua-dua belah tangannya dikibas-kibaskan seusai siap membasuh semua pinggan mangkuk di sinki. Segera tisu ditarik dan mengeringkan tangannya yang basah. Lebihan lauk-pauk yang dipesan melalui katering untuk menjamu tetamu-tetamu tadi disimpannya di dalam bekas sebelum diletakkan ke dalam peti ais. Dia berlalu ke ruang tamu.
     Televisyen yang terbuka dan menyiarkan rancangan realiti orang Barat tidak menarik perhatiannya. Farah melilau mencari kelibat penonton yang membuka siaran itu. Namun, dia tidak nampak sesiapa yang sedang duduk di sofa dan menonton saat ini. Suis lampu dan kipas juga dibiarkan terbuka, tidak bertutup walaupun tidak digunakan.
     Mana semua manusia ni? Aku seorang aja ke dekat dapur tadi? Tak perasan semua orang dah keluar rumah? Tapi, takkanlah mama dan Khairi boleh tinggalkan aku seorang-seorang kut? Ah, biarlah! Baik aku sambung kerja di dalam bilik. Ada faedahnya juga!
     Sebaik dia mahu melangkah naik ke tingkat atas, Farah terdengar desas-desus orang sedang berborak di luar rumah. Terdengar tawa manja mama dengan keletah Khairi. Dia melihat kemesraan si ibu dan anak yang sedang berbual-bual di pangkin. Siap main bertepuk tampar lagi!
     Tidak sempat dia mahu beredar, namanya sudah disahut oleh mama. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah mereka berdua. Dengan hati yang tidak rela, dia berjalan juga menghampiri mama dan Khairi. Terus dia melabuhkan punggung bersebelahan dengan Khairi, suaminya yang ‘tercinta’. Sentap hatinya saat matanya bersatu dengan Khairi yang memang popular dengan renungan mautnya.
     Tiba-tiba, dia berdebar-debar dan menjadi tidak keruan. Akad nikah yang dilafazkan oleh Khairi pagi tadi di sebuah masjid yang indah rekaannya, telah mengikat dia dan lelaki itu dalam suatu hubungan sah iaitu sebagai suami isteri. Hanya dengan sekali lafaz, dia dan Khairi memiliki satu perhubungan yang halal dan suci di sisi agama. Dia kini milik Khairi.
     “ Ala, ala.. Kasihan, Farah! Penat, eh? Mama dah cakap, biarkan aja pinggan mangkuk yang tak terbasuh tu. Esok pagi, kita boleh kemas sama-sama. Ni tak, nak buat juga. Mama minta maaf sangat tak dapat bantu. Kaki mama berdenyut-denyut. “
     “ Tak apa, ma. Kerja sikit aja tu. Farah boleh buat sendiri. Mama rehat aja. Nanti sakit, lagi susah. Kalau mama nak apa-apa, minta aja daripada Farah. Biar Farah buatkan. “
     Dia tersentak sedikit saat tangan Puan Raniey menyentuh lembut tangannya. Wanita itu gemar benar menggenggam tangannya sejak akhir-akhir ini. Seperti memahami perasaan dan hati seorang ibu, Farah membalas genggaman Puan Raniey. Belaian dan layanan mesra Puan Raniey kepadanya dan Khairi memang tidak berbelah-bagi. Wanita yang berusia dalam lingkungan 50an itu selalu memanjakan anaknya dan menantu barunya.
     Kadang-kadang, berdehem-dehem Khairi melihatkan ibunya memanjakan Farah. Namun, Farah amat memahami isi hati wanita itu. Puan Raniey hanya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang menantu. Hanya mereka berdua ahli keluarganya. Dengan siapa lagi dia ingin bermanja, bermesra kalau bukan dengan mereka? Nak kahwin lagi? Memang tak masuk dalam senarai la!
     “ Mama, tak payah nak manjakan sangat budak ni! Geli kut.. “ ujar Khairi sambil membuat mimik muka orang yang sedang kegelian. Hancur! Muka yang hensem terus jadi muka macam orang tak cukup akal.
     “ Tak payah nak geli sangat. Dah besar-besar panjang pun suruh mama teman tidur.. “
     Puan Raniey bertindak membocorkan rahsia besar yang dia simpan daripada pengetahuan orang lain. Khairi mendengus kasar dengan letusan tawa Farah dan ibunya. Dia duduk sambil memeluk kedua-dua lututnya. Menjauhi sedikit jaraknya daripada Farah. Malu kut!
     “ Farah, mama nak berterima kasih dengan Farah. Terima kasih sangat-sangat! Sebab sanggup terima Khairi seadanya. Walaupun Khairi ni agak baran, tapi hati dia baik. Mama percaya dan mama selalu doakan kebahagiaan kamu berdua. Dalam perkahwinan ni, tak sah kalau kita tak gaduh. Tapi, jangan biarkan salah faham tu berlarutan. Salah seorang kena mengalah. Jangan terlalu harapkan kesempurnaan daripada diri pasangan kalau diri kita tak sempurna.
     Khairi pun. Belajar hormat dan berlembut dengan Farah. Apa yang dah berlaku, kita serahkan aja kepada Allah SWT. Selalu doakan untuk arwah di sana. Insyaallah, berkat kepercayaan dan rasa hormat antara sesama pasangan, kebahagiaan hidup milik kita. Khairi dan Farah kena sama-sama kuat untuk menempuh cabaran di alam rumah tangga. Jangan mudah melatah, tau. “
     Wajah Puan Raniey kelihatan sungguh gembira dengan senyuman yang meleret di bibirnya. Dengan perlahan-lahan, tangan sasa Khairi dicapai dan diletakkan di atas tangan Farah. Dia tersenyum lagi. Bahagia hatinya dengan ikatan perkahwinan antara anak lelakinya dan si gadis manis dan baik budi pekertinya ini. Bagaikan impian dan hidupnya lengkap dengan kehadiran orang baru dalam hidup Khairi, dia tidak lagi berasa bimbang meninggalkan anaknya itu keseorangan kerana adanya Farah di sisi.
     Farah sudah tidak keruan. Jantungnya berdegup-degup dan seperti mahu melompat keluar daripada jasadnya. Haba panas daripada sentuhan tangan sasa dan kasar milik suaminya membuatkan dirinya gelisah. Begitu juga dengan Khairi yang kekok dengan situasi yang dihadapinya kini. Dia bersentuhan dengan Farah. Walaupun bukan untuk pertama kalinya dia bersentuhan dengan gadis itu tetapi sentuhan pada malam ini mempunyai kelainan. Sentuhan setelah dia dan Farah selamat diijabkabulkan. Sah menjadi suami isteri.
     “ Dah, dah... Khairi. Tak payah nak renung bini sampai macam tu sekali. Mama faham mesti Khairi dan Farah dah penat, kan? Dah, kamu berdua pergi tidur. Rehatkan diri. Esok ada tetamu lagi yang nak datang. Nak tengok menantu mama ni. “
     Dia hanya mampu tersenyum hambar. Tadi pun agak kekok dia melayani kaum kerabat Khairi, inikan pula kaum kerabat jauh suaminya esok. Apalah agaknya yang akan terjadi kan? Mati lamunan Farah apabila tangannya ditarik perlahan oleh Khairi. Mengajaknya bangkit. Hanya Tuhan aja yang tahu betapa panas dan bahang wajahnya kala ini. Dia teramatlah berasa malu. Pertama kalinya dia berasa malu dengan Khairi! Kalau tak, asyik bergaduh dan bercakaran mengalahkan anjing dan kucing. Tom dan Jerry pun kalah tau!
     Matanya sempat melirik Puan Raniey yang semakin jauh daripada jaraknya bersama-sama Khairi. Dia pula hanya mampu membuntuti Khairi memandangkan tangannya masih dalam genggaman lelaki itu. Masih tidak dilepaskan. Anak-anak tangga kami panjat perlahan-lahan. Lelaki itu membisu sambil terus menariknya untuk melangkah menuju ke bilik kami.
     Ya Allah, bilik kita orang? Bersama-sama? Tak nak! Takutlah. Apa aku nak buat ni, eh? Ish betul ke malam ni? Tak kut. Khairi mana nak. Dia pun sama macam aku. Tak kut. Tak kut. Tolong.. tolonglah..
     “ Kau sewel ke apa? Tergeleng-geleng, bercakap seorang-seorang. Ish, gila oo perempuan ni. “ ujar Khairi seraya melepaskan genggaman tangannya. Lelaki itu terus meluru ke arah katil empuk yang telah dihias indah dengan perhiasan antik sempena hari bermakna bagi mempelai. Namun, tidak baginya!
     “ Oh, aku cakap seorang-seorang ke tadi? Bukan aku cakap dalam hati ke? “ Tingkah Farah yang berbisik dengan dirinya sendiri mengundang tawa Khairi. Lelaki itu ketawa sepuas-puasnya sambil memegang perut. Berguling-guling di atas katil, manakala Farah masih berdiri kaku di pintu bilik yang sudah tertutup rapat.
     “ Memang sah! “
     “ Sah apa? “
     “ Sah kau sewel! Kau ni memang gila dari dulu lagi. Tak elok-elok penyakit kau ni kan? “
     Tawanya terletus kembali. Menggeleng-gelengkan kepala tanda dia tidak memahami akan perangai Farah. Tak habis-habis dengan biulnya! Khairi mengalihkan sedikit tubuhnya ke tepi katil dan memberi ruang kepada Farah. Tangannya melambai-lambai mengajak Farah duduk di sebelahnya.
     “ Kau nak apa, Khairi? Aku penatlah. Nak tidur. Kalau layan kau, sampai esok pagi aku tak dapat tidur. “
     “ Woi, mangkuk! Aku nak ajak kau tidurlah ni! Kau ingat aku nak buat apa? “
     “ Ish, tak apalah! Aku boleh tidur dekat sofa. “
     Bengang kerana pelawaannya ditolak oleh Farah, Khairi bertindak untuk menarik lengan isterinya sehingga wanita itu terduduk di birai katil. Apabila Farah ingin bangkit, lengan wanita itu ditariknya lagi. Dia turut bergerak dan duduk di birai katil bersebelahan dengan Farah.
     “ Kau dan aku akan tidur di atas katil ni. Aku janji yang aku takkan buat benda-benda tak senonoh. Aku akan hormati kau sebagai kawan aku. Terima kasih kerana sudi menjadi bini aku. Ni aja yang aku mampu buat untuk memenuhi hajat mama. Dan aku.. aku.. minta maaf. Aku sayangkan arwah Zeera. Aku tak boleh lupa saat arwah kena tolak melalui rakaman CCTV yang aku tengok. Kau sepatutnya.. kau sempat selamatkan dia tapi.. “
     “ Aku minta maaf, Khairi. Maafkan aku. Aku bersalah. Aku bersalah sebab tak dapat selamatkan arwah. Aku minta maaf.. “
     Sunyi. Sepi. Suasana bilik menjadi kelam apabila Khairi menutup suis lampu. Melalui cahaya yang mencuri-curi memasuki keadaan bilik yang gelap, Farah melihat samar-samar suaminya membaringkan tubuh dan membelakanginya. Terus tiada kata-kata terluah daripada lelaki itu. Senyap.
     Dia? Dia masih duduk di birai katil dengan linangan air mata. Dia tahu bahawa Khairi tidak akan memaafkan kesalahannya. Dia tahu lelaki itu tidak lagi menyukainya sebagaimana semasa mereka di zaman sekolah dahulu. Perasaan sudah mati sekian lamanya selepas dia menolak lamaran lelaki itu.
     Merasakan esakannya yang semakin kuat dan mungkin akan mengganggu tidur suaminya, Farah bergerak perlahan dan duduk memeluk lutut di atas lantai berbatukan marmar. Lantas mulutnya ditutup dengan hujung pergelangan bajunya supaya tangisannya tidak begitu ketara. Dia menangis mengenangkan kesalahannya kepada Khairi sehingga tidak sedar dia terlelap dan lena di situ.

     Ruang bilik yang luas dan bercat dengan warna kelabu pekat yang kini dihuninya bersama-sama Khairi kelihatan terang. Berlainan dengan keadaan bilik semalam yang kelam dan suram ketika waktu malam. Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui celahan tirai jendela sedikit sebanyak membantu penglihatannya. Dia melihat sekeliling bilik yang sunyi sepi. Tiada sebarang bunyi yang boleh menganggu jikalau dia benar-benar berhajat untuk menyambung beradu. Kadang-kala, tubuhnya juga menggigil kesejukan kerana disapa dengan hembusan angin pagi. Terus matanya tertala pada pintu beranda yang terbuka sedikit sekali gus mengizinkan udara segar dan berembun mencuri masuk ke dalam bilik.
     Saat Farah berkalih dan ingin meneruskan lenanya memandangkan dia sedang ‘bendera merah’ yang tidak memerlukan dirinya bangkit mengerjakan solat Subuh, dia tersentak dengan keadaan dirinya. Tubuhnya dikalihkan lagi. Benar! Tempat dia sedang baring kini terlalu empuk jika dibandingkan dengan keadaan keras lantai  yang menjadi tempat dia terlena semalam. Spontan dia bangkit daripada pembaringan dan melilau sekeliling. Dia berada di atas katil. Lebih mengejutkan, dia berada di atas katil Khairi!
     “ Hoi, perempuan! Cukup-cukuplah tidur tu. Tahulah dia tengah period. Tapi tak payahlah  mengada buat air liur basi pula. “
     Bingit bebelan Khairi yang tiba-tiba tersembul di muka pintu. Farah bingkas bangun dan turun dari katil milik lelaki itu. Masam mencuka wajah Khairi sebelum dia menghempas pintu bilik dan mendekatinya.
     “ Dah puas tidur, tuan puteri? “ Perli Khairi dengan mimik muka yang menggelikan hati sesiapa yang melihatnya. Termasuklah Farah sendiri. Terletus tawa halus gadis yang baru dinikahinya itu.
     “ Oh, sorry! Aku memang tak sedar. Lena sangat sebab dapat tidur atas katil ni. “ Tersenyum girang, Farah menampakkan sebaris deretan giginya yang putih bersih. Dia kembali ketawa berdekah-dekah apabila Khairi dilihatnya menggeleng-gelengkan kepala sambil berlalu meninggalkannya tanpa memarahinya. Lelaki itu jelas mengalah dengan kerenahnya. Surrender lah tu!

     Tirai labuh yang menutupi pintu gelongsor di ruang beranda di tariknya dan diikat kemas. Seluruh bilik diterangi dengan simbahan cahaya matahari pagi yang terik memancar seusai itu. Alat kawalan pendingin hawa dicapai dan punat tutup ditekan. Farah bernyanyi-nyanyi dengan hati yang lapang sambil tangannya ligat mengemas bilik tidurnya bersama-sama Khairi. Sedang dia asyik menyusun barangan Khairi di atas sebuah meja, pintu bilik dikuak dari luar. Terjengul wajah Puan Raniey dengan senyuman lebar.
     Puan Raniey melangkah masuk ke dalam bilik anak dan menantunya. Terus punggungnya dilabuhkan di birai katil. Matanya meliar ke sekeliling ruang bilik itu. Sedang dia asyik meneliti setiap inci ruang bilik, dia mendapati sesuatu yang mampu membuatkannya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Tanpa pengetahuan Farah, dia dengan jelas dapat melihat kesan tompokan darah di cadar katil yang masih tidak berganti.
     Tingkah aneh yang ditunjukkan Puan Raniey cukup membuatkan Farah berada dalam kebingungan. Terjungkit-jungkit keningnya meminta kepastian daripada mak mentuanya itu. Namun, hanya ketawa yang kedengaran dan meniti di bibir wanita separuh abad itu.
     “ Apa ni, mama? Ketawakan Farah tiba-tiba. Cuba cerita, kenapa? “
     “ Tak ada apa-apalah, Farah oi! Cepat tukar cadar ni sebelum Khairi naik atas. Dah kotor, “ ujar Puan Raniey dengan sisa ketawa yang masih kedengaran. Sejurus pandangannya dialihkan ke arah cadar, terasa darah terus menyerbu ke mukanya. Farah terkelu. Terkejut tatkala dia mengesan tompokan darah. Patutlah!
     Memang patut pun mama ketawakan aku. Tapi, mama fikir .. Ah, habislah! Mama mesti fikir yang bukan-bukan ni. Ish, aku dah pakai betul-betul kut tuala wanita tu. Macam mana boleh bocor pula ni. Alah, mama! Tolonglah jangan fikir yang bukan-bukan.

     Farah mengenakan butang-butang bajunya satu demi persatu. Usai membersihkan diri, dia tekad memakai pakaian di luar bilik air memandangkan tiada kelibat Khairi di dalam bilik. Jujur dia katakan, dia tidak selesa mengenakan pakaian di dalam bilik air. Leceh! Sebelum ini, tidak pernah dia lakukan. Cuma sejak sudah berkahwin dengan Khairi, dia buang tabiat sikit. Asyik nak menyorok di dalam bilik air aja!
     Lagu ‘Bahagiamu Deritaku’ nyanyian penyanyi tanah air, Hafiz yang berkumandang di corong radio membuatkannya leka dalam dunia sendiri. Tanpa dia menyedari, Khairi yang sudah lama memerhati gelagat isterinya hanya tersenyum kecil. Khairi mengatur langkah ke birai katil lalu melabuhkan punggungnya. Dia hanya mampu mengutuk di dalam hati apabila wanita yang dinikahinya itu masih tidak menyedari kehadirannya.
     “ Ehem.. ehem.. “
     Dia menoleh ke belakang dari arah datangnya bunyi tadi. Melihat gerangan yang sedang selamba duduk di birai katil, Farah terus mengundur ke belakang sehingga gerakannya terhenti dihadang sebuah almari besar. Matanya terbeliak. Terkezut!
     “ Kau ni, apasal? Nampak momok ke apa? “ jerkah Khairi tidak berpuas hati. Reaksi yang ditunjukkan Farah seperti tidak relevan dan tidak disangka-sangka. Aku baru tegur je kut. Takkan tu pun nak terkejut sampai macam tu sekali?
     “ Siapa yang bagi kau kebenaran masuk, hah? “
     “ Aku. Sebab aku tuan punya bilik. Dan suka hati mak bapak akulah kalau aku nak masuk pun. “
     “ Iyalah tapi tengoklah keadaan. Janganlah pakai main serbu aja! “
     “ Ya Allah! Aku buat apa? Lagipun, keadaan apa sekarang ni? “
     “ Aku tengah pakai bajulah tadi! “ Memerah muka Farah kerana termalu sendiri. Sensitif kut kalau bab-bab ni!
     “ Masalahnya, kau dah pakai baju kan? Tak bogel pun, elok aja! “
     “ Ish, kau ni memang tak makan saman tau! Tak reti malu ke? Dahlah, baik aku berambus. “
     “ Hei, hei.. “ Lengan Farah dipaut kemas oleh Khairi sebelum sempat wanita itu berlalu. Langkah Farah mati serta-merta setelah dihalang. Tindakan refleks daripada Khairi hanya dituruti. Pegangan suaminya direlakan tetapi tidak teringin pula dia memalingkan wajahnya kepada lelaki itu yang tercegat dibelakangnya. Dia masih berkecil hati dengan perangai Khairi. Kemudian, dia merasakan tangan kasar suaminya mula menjalar di sekitar pinggangnya dan bahunya juga terasa berat menampung dagu lelaki itu.
     “ Kau nak pergi mana? “ bisik Khairi syahdu di telinga Farah. Isterinya kelihatan tidak selesa apabila wanita itu menjauhkan diri daripadanya. Nyilu barangkali dengan hembusan nafasnya. Dia memeluk erat tubuh Farah seperti tidak mahu melepaskan wanita itu lagi.
     “ Khairi, kau nak apa ni .. ? “ Keluhan berat dilepaskan. Namun, dia kaku dalam pelukan kemas Khairi. Farah dapat merasakan debaran maha hebat yang melanda dirinya tatkala tubuhnya tiba-tiba dicempung oleh Khairi. Perlahan-lahan lelaki itu membaringkan tubuhnya di atas katil. Dia terdiam terus apabila bibirnya dikucup oleh Khairi. Lama. Sebuah kucupan yang hangat.
     Khairi menjarakkan sedikit wajahnya daripada wajah Farah. Anak mata isterinya ditenung dalam-dalam. Matanya benar-benar menjamah seraut wajah wanita yang sudah lama mendapat tempat di hatinya. Sejenak kemudian, dia kembali memagut bibir Farah dengan penuh ghairah. Habis seluruh wajah wanita itu dikucupnya apabila tiada tanda-tanda isterinya menolak setiap tingkah lakunya.
     Dan saat dia membisikkan sepotong ayat suci di telinga Farah, isterinya terus memejamkan mata. Lampu bilik dimalapkan.

     Deru nafas seseorang yang jelas kedengaran di telinganya benar-benar menguji kesabaran. Beberapa kali tubuhnya dikalihkan. Namun, bunyi yang menganggu lenanya itu tetap membingit. Farah membuka kelopak matanya perlahan-lahan sebelum dia mampu melihat wajah Khairi yang sedang nyenyak. Tidur lelaki itu juga tidak berkutik.
     Tiba-tiba, suatu perasaan menebak dirinya kala ini. Rasa sayang dan cinta yang telah hadir dari dulu untuk insan yang berada dihadapannya kini semakin menggebu-gebu. Sewaktu Khairi lena diulit mimpi, dia mencuri-curi merenung wajah suaminya. Mata yang galak beralis, bulu mata yang melentik, hidung yang mancung dan segaris bibir yang menawan. Semua itu cukup membuatkan dia terpesona dengan kurniaan Tuhan.
     Tetapi rasa bahagia yang mula menjengah berkecai apabila hatinya dipagut dengan rasa takut. Takut kehilangan Khairi. Dia berasa takut jikalau dia tidak setabah sekarang sekiranya Khairi pergi daripada sisinya. Dia terlalu sayangkan lelaki itu sehingga dia sanggup menderita. Hanya kerana suami yang telah melafazkan akad itu, dia tegar untuk tidak mengecap kebahagiaan.
     Farah mula tersedu-sedu. Air mata yang memang tidak dapat ditahan lagi sudah mengalir laju. Seluruh tubuhnya menggeletar dalam esakan yang semakin menjadi-jadi. Dan raungan Farah telah mengganggu beradu Khairi. Lelaki itu memisat-misat matanya yang pedih kerana menahan kantuk.
     “ Kau ni, kenapa? Sakit ke? “ tanya Khairi dengan suara yang serak. Dia sudahpun bangun dari pembaringannya dan duduk menghadap Farah yang masih terbaring sambil menangis. Berkerut seribu dahinya. Pelik dengan kelakuan isterinya, dia menggoncang perlahan bahu yang terenjut-enjut kerana menangis itu. Farah dibangunkan supaya wanita itu turut duduk berhadapan dengannya.
     “ Kenapa ni? Sakit? Asal nangis pagi-pagi buta macam ni? “ Sekali lagi Khairi melemparkan pertanyaan. Ingin mengetahui keadaan sebenar Farah. Tatkala tangis isterinya menjadi kuat, terus dia memeluk Farah erat.
     Pelukannya dileraikan setelah Farah mulai tenang. Matanya sudah menjadi segar dan merenung seraut wajah Farah dengan juraian air mata yang masih bersisa. Hilang sudah kantuknya yang dirasakan tadi. Segera dia mengusap pipi wanita itu daripada butit-butir jernih.
     “ Saya takut.. “ luah Farah.
     “ Kau takut apa? “
     “ Saya takut.. takut awak akan tinggalkan saya.. “
     “ Aku kan ada dengan kau sekarang.. “
     “ Itu sekarang. Maksud saya, masa akan datang. Saya takut awak akan tinggalkan saya. Saya tak nak kehilangan awak.. “
     “ Farah, aku berani janji yang aku takkan tinggalkan kau. Hanya takdir Allah aja yang boleh pisahkan aku daripada kau. “
     Air mata yang mula beransur berhenti tadi mengalir laju kembali. Semakin lebat pula air matanya sehingga dia sukar melihat riak wajah Khairi. Hatinya terusik dengan kata-kata yang dilafazkan lelaki itu. Entah mengapa dia menjadi terlalu beremosi pada ketika ini.
     “ Dahlah, janganlah nangis lagi! “ Khairi mengeluh sekejap sebelum tangannya kembali menarik tubuh Farah ke dalam pelukannya. Lama. Sampai lenguh jugalah tangannya memeluk Farah dan sehinggalah isterinya itu lena. Farah dibaringkan.
     Kini tiba giliran Khairi pula meneliti setiap inci wajah Farah. Nyenyak benar Farah tidur. Wajah Farah yang sebam direnung lama. Spontan bibirnya mengucup dahi wanita itu dengan penuh kasih. Hatinya pula dilanda keresahan.
     “ Aku minta maaf, Farah. Maafkan aku kalau aku tak dapat berada di sisi kau. Bukan kau seorang aja yang takut. Aku pun takut. Takut aku kena meninggalkan kau. Ketentuan dan rancangan Allah, kita tak tahu. Aku takut kau akan merana kalau aku ditakdirkan pergi sebelum kau.. “
     Setitik air mata lelakinya menitis di pipi. Perasaan risau dan takut yang membelenggu dirinya membuatkan dia lelah fizikal dan mental. Akhirnya, dia mengalah. Tubuhnya dibaringkan berhadapan dengan Farah. Dia terlena juga dalam keadaan dia mendakap Farah seperti tidak mahu berpisah dengan wanita yang sangat dicintainya itu.

     Suis pembakar roti ditutup setelah selesai digunakan. Disimpan kembali peralatan elektrik tersebut ke dalam kotak. Beberapa roti bakar terhidang di atas meja makan bersama-sama jem dan seteko air kopi panas. Apabila berpuas hati dengan hidangannya, dia kembali masuk ke dapur dan meluru ke sinki. Sedang dia leka membasuh pinggan dan cawan, dia melatah tatkala pinggangnya dirangkul mesra dari belakang.
     “ Oh, mak kau meletup! “
     Bergema ruang dapur dengan ketawa Khairi. Terus Farah menarik muka masam. Tangan yang menjalar di sekitar pinggangnya ditepis. Kerja-kerja yang tertangguh diteruskan. Malas nak melayan angin Khairi yang entah apa-apa. Pakai main peluk aja! Buatnya orang tengah basuh pisau. Macam mana? Tak ke naya nanti ada orang yang tercedera?
     “ Ala, relaks lah! Baru gurau sikit dah merajuk. Aku minta maaf, okay? “ Kedua-dua telapak tangannya dirapatkan dan selamba dia memohon ampun daripada Farah. Masih tiada respon yang ditunjukkan, terus Khairi melutut dihadapan isterinya. Farah terkedu.
     “ Apa awak buat ni? Bangunlah! “
     “ Selagi kau tak nak maafkan aku, aku akan berlutut macam ni sampai bila-bila. “ Suara Khairi seperti merintih. Bersungguh-sungguh dia memohon kemaafan si isteri tetapi hampa apabila Farah tergamak mentertawakannya. Dia menjeling tajam. Sakit pula hati aku!
     “ Awak ni buat lawak ke? Macamlah sanggup berlutut lama-lama macam tu. Okay lah, dah alang-alang awak berlutut, berlututlah lama-lama sikit eh? Saya ada kerja lagi di ruang tamu. Bye.. bye, sayang! Selamat berlutut! “
     Tercengang Khairi dengan tindakan Farah yang sanggup mengenakannya. Memang sakit hati pada mulanya tatkala terdengar ketawa Farah dari arah ruang tamu tetapi akhirnya dia tersenyum sendiri. Senang hati dengan gurauan spontannya bersama-sama Farah. Tidak pernah dia berasa bahagia sebegini. Dalam diam dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakannya kebahagiaan bahtera yang dilayarinya dengan Farah.
     Ketika keadaan dirinya masih berlutut di lantai dapur, senyumannya yang memekar tadi terus mati. Dia amat terkejut dan terkedu saat alunan bacaan suci Yasin menghentak gegendang telinganya. Dengan jelas dan sayup-sayup kedengaran suatu suara yang sedang membaca kalimah suci itu. Meremang bulu romanya. Tidak semena-mena angin dingin menyapa tengkuknya. Dia memandang sekeliling ruang dapur.
     Memang tingkap dapur terbuka tetapi tiada tanda-tanda angin sedang bertiup. Perasaan aneh dan pelik menerpa diri. Khairi menutup kedua-dua belah telinganya apabila alunan ayat suci yang didengarinya semakin kuat. Oleh sebab tidak tertahan dengan alunan Surah Yasin yang mengasak-asak halwa pendengarannya, Khairi menjerit sehingga mengejutkan Farah yang sedang khusuk menyapu sampah di ruang tamu.
     Terkocoh-kocoh Farah mendapatkan Khairi di dapur. Penyapu dan penyodok terus dicampak ke tepi tanpa mempedulikan penat lelahnya membersihkan ruang yang agak besar di dalam rumah. Habis sampah yang dikumpulkan berterabur ke merata-rata tempat. Apa yang yang menjadi keutamaannya kini adalah keadaan Khairi. Laju sahaja dia menapak menuju ke dapur.
     “ Awak, kenapa ni? Kenapa badan awak menggigil ni? Ya Allah, panasnya dahi awak! “ Farah menjadi kelam-kabut. Terkejut sungguh dia merasakan suhu badan Khairi yang panas tiba-tiba. Salah diakah?
     “ Macam mana awak boleh jadi macam ni? Sebab saya ke? Saya minta maaf sangat-sangat! Saya tak berniat pun nak buat awak macam tadi tu. Saya cuma nak tahu sedalam mana sayang awak kepada saya. Tu aja! Saya tak sangka awak boleh.. “
     Jari telunjuk Khairi mendarat di bibir Farah menyebabkan kata-kata wanita itu terhenti. Hanya juraian air mata Farah cukup menunjukkan isterinya itu benar-benar kesal. Dia tidak tahu bagaimana ingin menerangkan kejadian yang dialaminya tadi. Kejadian yang misteri dan menakutkannya. Dia bersyukur kerana kehadiran Farah di sisinya melenyapkan terus alunan bacaan Surah Yasin yang bergema. Bukan dia tidak suka akan alunan ayat-ayat suci tersebut tetapi hatinya berasa takut yang teramat.
     Farah menangis teresak-esak melihatkan keadaan Khairi yang tidak terurus. Wajah lelaki itu yang pucat lesi turut dibasahi dengan air mata. Dia berasa sungguh bersalah. Jikalau ini yang bakal berlaku, sudah lama dia mematikan niat untuk bergurau tadi. Tetapi, dia amat tidak menyangka ini yang berlaku!
     Tubuh Khairi yang hangat dipapahnya perlahan menuju ke sofa di ruang tamu. Suaminya membaringkan diri. Dan saat dia ingin berlalu ke tingkat atas untuk mengambil sehelai kain, lengannya digenggam kemas oleh Khairi.
     “ Nak pergi mana? “
     “ Saya nak naik atas kejap. Ambil kain nak buat jadi kain basahan. Badan awak panas sangat. Saya risau. “
     “ Jangan pergi. Jangan tinggalkan aku. Aku takut, “ rayu Khairi dengan nada yang sayu. Erat genggaman lelaki itu di lengannya. Terbantut niatnya untuk meninggalkan suaminya sebentar. Walau sekejap. Farah mendekati Khairi yang terbaring lemah di sofa.
     Dia melutut disebelah Khairi. Dan tanpa diduga, tangannya mengusap lembut pipi lelaki itu. Tingkahnya terhenti tatkala tangannya digenggam kejap oleh Khairi. Mata mereka bertentangan untuk seketika. Terasa masa berhenti. Masing-masing ingin menyelami isi hati pasangan.
     “ Farah, boleh janji dengan aku? “ Nafas ditarik dalam-dalam. Tidak semena-mena dadanya bagai dihempap dengan sebongkah batu yang berat. Terlalu sukar baginya untuk meluahkan apa yang tersirat di hatinya.
     “ Janji apa? “ tanya Farah dengan kerisauan yang tampak jelas di wajahnya. Bimbang kalau-kalau Khairi ingin berjanji yang bukan-bukan. Berkerut dahinya menahan tangis. Dia terlalu khuatir tentang keadaan suaminya kini. Wajah yang pucat, suara yang tersekat-sekat, badan yang membahang dan peluh-peluh yang setia merinik di dahi lelaki itu. Semuanya cukup membuatkan dirinya dilanda kebimbangan yang melampau. Tak pernah-pernah Khairi menjadi sebegini.
     “ Sebenarnya, aku nak cakap yang aku.. aku cintakan kau. Demi Allah, aku terlalu cintakan kau. Dari dulu lagi. Aku mengaku yang aku memang pergunakan arwah Zeera untuk menyakitkan kau tapi aku dah terima balasannya. Arwah Zeera dan anak kami pergi sebelum sempat aku menyayangi mereka. Aku ikhlas melafazkan akad. Ikhlas sepenuh hati menjadikan kau isteri aku dan halal buat aku. Tapi kalau apa-apa jadi kepada aku nanti, janji dengan aku yang kau akan tetap tabah. Jangan menangis macam ni lagi.. “
     Khairi mengusap air mata yang berlinangan di pipi Farah. Dia memegang tangan wanita itu dengan tujuan menyuntik semangat. Pembaringannya diselesakan dan sebelah lengannya diletakkan di atas dahi. Benar. Suhu badannya naik secara mendadak.
     Tidak tertahan sebak di dada. Rasa hiba mencederakan jiwanya. Kata-kata Khairi sungguh membawa maksud yang tersirat. Dia terluka dengan luahan lelaki itu. Bagaimana dengan dia pula? Tidakkah Khairi memahami perasaannya? Dia juga terlalu cintakan lelaki itu. Dia enggan dan tidak mahu sekali-kali berpisah dengan Khairi. Adakah lelaki itu memasang angan untuk meninggalkannya?
     “ Dan kalau kau nak tahu, aku yakin sangat.. “ Khairi memandang Farah dengan sebuah senyuman manis sambil tangannya merayap ke perut isterinya yang berlapik baju. Walaupun agak tersentak dengan tindakan spontan Khairi, Farah merelakan lelaki itu melakukannya. Tiada apa yang salah, Khairi memang suaminya yang sah di sisi agama. Namun, keningnya bertaut menagih penjelasan daripada sang suami.
     “ … yang anak kita ni akan menemani mamanya sentiasa, “ sambung Khairi. Terbeliak mata Farah.
     “ Apa yang awak cakap ni? Saya tak alami pun tanda-tanda hamil. Dan kita memang tak tahu pun sama ada saya betul-betul pregnant kan? “
     “ Aku tahu.. “
     “ Macam mana awak tahu? Sedangkan saya sendiri tak tahu? “
     “ Kau akan tahu juga suatu hari nanti. Insyaallah.. “

     “ Awak nak buat apa ni? “ Genggaman tangannya dengan tangan Khairi diperkemas. Dia melangkah dengan berhati-hati. Takut jikalau dia jatuh tersungkur. Sudahlah dipaksa menutup mata dengan sehelai kain hitam, Khairi menyuruhnya berjalan pula. Jadi, nak tak nak kenalah bertatih macam budak-budak tak cukup umur. Berjalan dalam keadaan mata yang tidak nampak. Malunya kalau terjelepuk!
     “ Alright, we’re here.. “
     Kain hitam yang menutupi matanya tadi sudahpun terlerai. Matanya sedikit menjadi kabur kerana dipejam agak lama. Dia memisat-misat matanya agar pandangannya menjadi jelas. Alangkah terperanjatnya dia apabila melihat kehadiran ramai tetamu yang berada di ruang tamu rumahnya. Farah terkedu. Dia mencari kelibat Khairi untuk mendapatkan penjelasan.
     Dari jarak yang agak jauh, dia dapat melihat Khairi yang sudah siap sedia dengan kamera di tangan. Hanya senyuman yang memekar di bibir lelaki itu. Beberapa saat kemudian, dia sekali lagi terkejut dengan nyanyian ‘Selamat Hari Lahir’ oleh semua yang hadir. Sebuah kek coklat yang tertulis ‘Happy Birthday, Sayangku’ di atasnya telah mengiyakan tekaannya bahawa majlis yang sedang berlangsung ini adalah hasil rancangan suaminya.
     Tepukan gemuruh memeriahkan suasana sambutan hari lahir Farah seusai wanita itu meniup lilin yang dinyalakan di atas kek. Tetamu-tetamu yang hadir mula memberikan perhatian mereka kepada Khairi yang selamba duduk di sebuah bangku sambil memegang gitar kesayangannya. Farah turut tersenyum kecil kerana mengagak bahawa ada kejutan lagi daripada lelaki itu untuknya. Langsung dia melabuhkan punggungnya di sofa yang berhadapan dengan bangku yang diduduki oleh Khairi.
     “ This night, I’ve prepared something special for my beloved wife. And before that, I would to wish happy birthday to my sayang. Thank you so much for her for accepting me as her husband. I’ll love her forever, until the day I die.. “
     Riak wajahnya berubah. Jantungnya berhenti berdegup. Farah menggenggam tangannya mencari kekuatan untuk menghadam kata-kata Khairi. Dia tetap berlagak biasa walaupun hatinya meronta-ronta. Meskipun jiwanya bergolak hebat.
     “ … And thanks a lot for all of you cause have come tonight and celebrate my wife’s birthday. And of that, here a song for Farah. Hope you enjoy it! “
     Melodi hasil petikan gitar membuatkan semua yang berada di situ terkesima. Alunan muzik yang indah menenangkan hati sesiapa yang mendengarnya. Sungguh terbuai dengan melodi yang dimainkan, Khairi khusyuk mempersembahkan lagu yang bertajuk ‘You’ ciptaan Nur Jannah Alia.
You were there to light to my day,
You were to guide me through,
From my days down and on,
I’ll never stop thinking of you,
How can I forget all that,
When you’re the one who make me smile,
You’ll always be a part of me,
How I wish you were still mine,
Never will forget the day,
How we’ve met and came this far,
We all know we got this feeling,
But somehow it has to end up here,
I know it’s me who say goodbye,
And that’s the hardest thing to do,
Cause you mean so much to me and guide the truth from me to you,
For all the things I’ve done and said,
For all the hurt I’ve cause you,
I hope you will forgive me baby,
Cause that wasn’t what I mean to do.
     Tamat sahaja persembahan Khairi, tetamu-tetamu bersorak riang dan keadaan menjadi riuh-rendah. Mereka bercakap sesama yang hadir memuji kemerduan suara Khairi yang tidak disangka-sangka. Sejurus itu, Khairi bangkit dan bergegas ke pintu belakang menuju ke gazebo. Farah yang dilihatnya masih termenung panjang dibiarkan duduk keseorangan di dalam rumah. Dia yakin bahawa wanita itu memahami maksud lirik lagu yang dinyanyikannya tadi.
     Keluhan berat dilepaskan. Jiwanya lara kala ini. Batinnya terseksa ketika ini. Namun, sekurang-kurangnya beban yang ditanggung selama ini akhirnya berkurangan. Sedikit sebanyak luahan hatinya mampu disampaikan melalui sebuah lagu. Dia lega. Syukur Alhamdulillah kerana dia masih berkesempatan berkongsi rasa bersama-sama isterinya.
     Tanpa Khairi sedari, Emir yang sudah lama tercegat dibelakangnya segera menyentuh lembut bahunya. Dia tersentak lalu segera dia menyapu air matanya yang mengalir di pipi. Mengenangkan nasib dan keadaan Farah jikalau dia tiada nanti sering menyebabkan air mata lelakinya menitis. Peritnya rasa apabila diri tidak lagi mampu melindungi orang tersayang.
     “ Hoi, Khairi! Awat hangpa dok kat luaq ni? Tak sejuk ka? “ Emir lawak bersahaja. Ingin menceriakan suasana sepi. Sudah lama rasanya tidak bersua dan bergurau dengan rakan sekolahnya ini.
     “ Eh, kau kenapa ni? Kau.. okay tak? “
     Bahu Khairi ditarik perlahan supaya sahabat lamanya itu berhadapan dengannya. Dia ingin melihat dengan jelas wajah lelaki itu. Saat dia terpandangkan sisa air mata pada wajah Khairi, dia dirundung kebimbangan. Aik, menangis? Biaq betul? Haih, apa pula masalah mamat ni?
     “ Aku okay. Asal kau cari aku? Farah tengah cari aku ke? “
     Emir menganggukkan kepalanya. Khairi hanya tersenyum hambar.
     “ Kalau ada masalah, kau boleh share dengan aku, “ pujuk Emir agar Khairi tidak keberatan berkongsi masalah dengannya. Setiap masalah, pasti ada jalan penyelesaian. Dia yakin bahawa dia mampu mengikhtiarkan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah Khairi.
     “ Betul, aku okay. Aku masuk dululah.. “ Khairi cuba mengelak.
     “ You’re not such a good liar, Khairi! Since we were in school, you never lied me. As a friend, I really glad if you share your problems with me. “
     “ Aku takut, Emir. Aku takut. “ Dia terus mematikan niatnya untuk berlalu pergi. Dia memang mudah kalah dengan pujuk rayu Emir. Sudah terbiasa berkongsi rahsia dan masalah dengan lelaki itu sejak zaman sekolah, Khairi kini juga sukar menolak tabiatnya. Dia terduduk di gazebo. Wajahnya diraup berkali-kali. Runsing dan risau. Entah sejak bila dia menjadi seorang yang beremosi, air matanya juga mudah jatuh.

     “ Ada perkara yang awak sembunyikan daripada saya ke? “ Pintu bilik ditutup rapat. Farah berjalan perlahan mendekati Khairi yang melabuhkan punggung di birai katil. Dia juga mengambil tempat bersebelahan dengan lelaki itu bagi membincangkan sesuatu.
     “ Maksud kau? “
     “ Lagu tadi. Awak ingat saya tak faham apa yang awak cuba sampaikan melalui lagu tu? Awak nak berpisah dengan saya. Saya tahu! Tapi kenapa awak nak ceraikan saya? Apa salah saya? “
     Khairi bingkas bangun dan berdiri menghadap Farah yang mula menangis teresak-esak. Hatinya tersentap dengan kata-kata isterinya. Berkerut terus dahinya. Dia mengepal penumbuk menahan gelodak yang menyeksa jiwa. Mungkin sudah tiba waktunya untuk pergi. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu berpisah walau sesaat pun dengan Farah. Selama-lamanya dia ingin bersama wanita itu.
     “ Apa yang kau merepek ni? “ tanya Khairi dengan suara yang dingin. Jelas terasa suasana yang menjadi tegang. Masing-masing tidak bersuara sehinggalah Khairi menguak pintu bilik dan ingin beredar.
     “ Awak nak pergi mana? “ Suaranya bergetar menahan sebak yang tidak tertanggung. Jantungnya berdegup laju melihat suaminya ingin berlalu meninggalkan dirinya.
     Tangisan Farah menghentikan langkah Khairi. Dia terus kaku lalu pandangannya dilemparkan kepada isteri tercinta. Betapa seksa jiwanya saat ini hanya Tuhan yang mengetahui. Tidak termampu baginya memberikan penjelasan kepada Farah supaya wanita itu memahami dirinya. Semuanya sudah tersurat dan ditakdirkan. Dia yakin dan percaya bahawa Allah telah merencanakan sesuatu yang terbaik untuk mereka berdua.
     “ Aku tak minta lebih. Aku cuma nak kau memahami aku. Aku perlukan masa. Dan percayalah yang aku akan sentiasa milik kau. Aku takkan tinggalkan kau melainkan Tuhan yang memisahkan kita. Aku yakin Dia telah rancangkan sesuatu. Dengan nama Allah, aku cintakan kau. Good night, sayang.. “ ujar Khairi seraya menarik perlahan pintu bilik dan hilang disebalik pintu tersebut.

     Cahaya bulan menerangi dada langit yang berselimutkan kegelapan malam. Sunyi dan sepi. Angin dinihari yang bertiup dan menyapa wajahnya sekali-sekala mampu membuatkannya menggigil kesejukan. Dia menyilangkan tangannya apabila terasa dingin bayu menggigit tubuhnya hingga ke tulang hitam. Suasana kelam yang aman dari sebarang bunyi yang menggugat ketenangan dihayati dengan sepenuh hati.
     Tiba-tiba, dadanya terasa sakit. Khairi menyentuh perlahan dadanya yang meragam. Dia memandang sebentar ke arah jendela kamarnya bersama-sama Farah. Bilik tersebut gelap. Lampu sudah ditutup. Sempat dia berdoa dalam hati agar isterinya lena diulit mimpi. Dan termimpikan segala kenangan manis bersama dengannya. Tidak sedar dia tersenyum, Khairi kembali menyambung termenungnya.
     Tidak pernah terlintas dihatinya untuk berpisah dengan Farah. Cukuplah dia sudah beberapa kali berjauhan dengan wanita itu. Tidak sanggup untuk menghadapi detik-detik memedihkan kehilangan Farah yang amat dicintainya. Tetapi, dia percaya akan takdir Tuhan yang Maha Kuasa. Tiada yang mampu menandingi kuasa-Nya. Diam-diam dia berjanji bahawa hanya ajal maut yang memisahkan dirinya daripada bersama-sama Farah.
     Sedang dia mengelamun, Khairi tersentak tatkala sayup-sayup kedengaran seseorang yang membaca surah Yasin. Pantas dia meninjau keadaan sekelilingnya. Namun, hampa apabila tiada sesiapa yang dilihatnya. Semakin lama semakin kuat bacaan ayat-ayat suci itu di gegendang telinganya. Bukan kali pertama dia mengalami keadaan misteri sebegini tetapi sudah untuk beberapa kali.
     Khairi terduduk sambil dia menyandarkan tubuhnya yang terasa longlai di dinding keras rumahnya. Dia tidak lagi mempedulikan kehadiran beberapa ekor nyamuk yang jahat menggigit lengannya memandangkan dia berada di luar rumah. Fikirannya melayang-layang entah ke mana. Matanya dipejam rapat-rapat bagi menghayati alunan bacaan surah Yasin yang sentiasa menggetarkan hati manusianya. Setitik demi setitik air mata lelakinya jatuh mengalir dan membasahi pipi.
     Dibiarkan sahaja butir-butir jernih itu menitis lebat seiring doa taubat yang dipanjatkannya kepada Ilahi. Bersungguh-sungguh dia memohon keampunan atas dosa-dosa dan kekhilafannya sepanjang riwayat hidupnya di atas muka bumi yang fana ini. Suka dan duka mahupun kebahagiaan dan keperitan yang telah dia tempuhi dikenangkan kembali. Wajah-wajah insan yang dia sayangi bermain-main di ruang mata. Wajah Puan Raniey, kaum-kerabat, Emir, sahabat-handai, arwah Zeera dan .. Farah.
     “ Aku minta ma.. af.. Farah .. Maafkan a.. ku .. sayang .. “ bisik Khairi keseorangan. Bahunya terenjut-enjut hebat melawan esakannya yang menjadi-jadi. Dadanya terasa terlalu perit. Sakit. Pedih.
     “ Aku rasa .. dah tiba masanya untuk aku kembali ke tempat asal aku. Aku sangat percaya dengan apa yang telah tertulis untuk kita. Maafkan aku, Farah. Aku selalu buat air mata kau menitis. Aku yang sentiasa melukakan hati kau. Aku minta maaf. Kalaulah aku boleh mengubati luka tu. Aku.. aku.. cintakan kau. Demi Allah, aku terlalu cintakan kau.. Maafkan aku. “

     “ Lah, dekat sini rupanya dia! Puas orang cari dia. Tengok-tengok, dia tengah basuh pinggan. Khusyuknya! “ Pinggang ramping Farah dicuit oleh Khairi sehingga wanita itu terjerit kecil kerana terkejut. Selepas itu, terus wanita itu kembali meneruskan kerja-kerja membersih dan mengendahkan kehadiran Khairi di sisi. Muka masam Farah jelas menunjukkan protes. Tergelak Khairi dengan mimik isterinya . Comel sangat !
     “ Janganlah merajuk. Pasal semalam, aku minta maaf tau! “
     Farah tidak peduli. Dia masih berkeras hati untuk meneruskan mogok terhadap lelaki itu. Pujuk rayu suaminya dibiarkan berlalu tanpa sedikit pun dia berganjak. Dia terus melaksanakan tugasnya. Tersentak dengan tindakan Khairi yang memeluknya erat, Farah berhenti daripada mencuci pinggan-pinggan kotor lebihan majlis sambutan hari lahirnya semalam. Pelukan Khairi dilepaskan. Mata lelaki itu ditenungnya tajam. Pandangan tidak puas hati dilemparkan.
     “ Awak ni tak nampak ke saya tengah mengemas? Apa yang awak nak .. “ Tubuhnya kaku serta-merta. Matanya terbeliak kerana terkejut. Dengan erti kata lain, dia terpempan. Kucupan hangat Khairi yang mendarat dibibirnya membuatkan dia membatalkan niat untuk memarahi lelaki itu.
     Geram melihat wajah comel Farah dengan mata wanita itu yang terkebil-kebil memandangnya, sekali lagi Khairi mengucup bibir isterinya. Lama. Dilepaskan bibirnya   daripada terus memagut bibir Farah setelah dia benar-benar berpuas hati. Dia tersenyum nakal. Tangannya mula merayap di sekitar pinggang Farah yang sudah tidak betah membisu.
     “ Khairi, awak nak buat apa ni? Gelilah! Orang tengah mengemas kan? “
     “ I love you.. “
     Ucapan syahdu yang dilafazkan oleh Khairi menusuk ke kalbu. Farah terdiam dan berdiri kaku. Wajah lelaki itu ditenung, meminta kepastian. Semakin kelu lidahnya saat tubuhnya dipeluk erat tanpa sebarang kata-kata antara mereka. Akhirnya dia membalas pelukan sang suami dengan penuh kasih.
     “ Ehem.. ehem.. “ Matanya yang terpejam dicelikkan perlahan-lahan apabila mendengar seseorang berdehem. Bagai baru tersedar dalam keadaannya yang masih mendakap tubuh sasa Khairi, Farah termalu sendiri. Lekas pelukannya dileraikan. Khairi pula dilihat memegang perut kerana bersungguh-sungguh mentertawakannya.Eii, geramnya.. Tumbuk kang!
     Farah menarik muka masam semasam buah lemon yang terdapat di pasaraya. Makan hati dengan gurauan bersahaja daripada Khairi. Dia mengucap kalimah suci berkali-kali dalam hati untuk meredakan kehibaan yang sedang memuncak. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini dia terlalu beremosional dan mudah berkecil hati dengan tingkah Khairi.

     Nasi goreng belacan yang telah siap dimasak segera dihidangkan di atas meja makan. Sebuah kotak berisi air perisa oren diambil lalu dituangkan ke dalam gelas. Sakit hati dengan Khairi masih tidak hilang. Dia bertindak membisu dan tidak menghiraukan Khairi yang tersengih-sengih sehingga mempamerkan barisan gigi putih lelaki itu.
     “ Yang awak ni tak habis-habis nak tersengih macam kambing tepi jalan tu, kenapa? Tak reti nak breakfast? Nanti lambat sampai ke studio. Siapa susah? “ Kalau boleh, ingin saja dia menambah  banyak-banyak serbuk cili dalam sindirannya kepada Khairi. Biar terasa pedas sikit!
     “ Hahaha .. “ Kedengaran suara garau milik Khairi mentertawakannya.
     “ Eh, awak ni dah kenapa? Sakit? Tergelak-gelak dari tadi .. “
     “ Mana ada apa-apa. Suka pula abang dengar bebelan sayang .. “
     Muncung Farah yang sudah panjang sedepa kembali mengecut. Terbantut terus rajuknya. Farah memandang Khairi tanpa sesaat pun berkelip. Kata-kata Khairi benar-benar membuatkannya terkesima. Terlepas sudu yang dipegangnya. Mulutnya pun terlopong luas dengan rela hati mempelawa nyamuk atau lalat masuk.
     Farah tidak mampu lagi menahan air mata yang bergenang. Dibiarkan butir-butir jernih itu mengalir. Dia terharu dan sebak saat Khairi menggelarkan diri dengan panggilan ‘abang’ dan memanggilnya ‘sayang’. Detik-detik manis seperti inilah yang dia impikan sejak Khairi melafaz akad. Dan tidak dia menyangka angan-angannya menjadi kenyataan.
     ‘ Syukur ya Allah, Kau telah memakbulkan doaku untuk membuka pintu hati suamiku untuk kembali mencintaiku. Ku panjatkan kesyukuran kepada-Mu, ya Rabb kerana Kau telah mengurniakan kebahagiaan yang tidak ternilai kepadaku. Kau sentiasalah merahmati rumahtangga kami dan panjangkanlah cinta kami hingga ke syurga-Mu ‘.
     Khairi mengesat air mata Farah yang mengalir lebat. Pipi Farah diusap-usap lembut dan penuh kasih. Dia kemudiannya melekapkan bibirnya ke dahi dan ubun-ubun Farah. Tangan Farah diraih dan digenggam erat. Mereka berpandangan untuk seketika sebelum tangan Farah dikucup oleh Khairi.
     “ Maafkan segala dosa-dosa abang. Maafkan abang kerna selalu menyakiti sayang. Abang bersyukur sangat sebab memperisterikan sayang tau. Abang bertuah punyai isteri macam sayang. Percayalah. Tiap kali abang cuba menjauhkan diri daripada sayang, sayang tetap berada di sisi abang. Kalau apa-apa jadi pada abang, sayang kena kuat, tabah. Abang takkan tinggalkan sayang. Abang akan sentiasa ada di hati sayang. Dengan nama Allah, abang terlalu cintakan sayang .. “
     Berjuraian air mata Farah mendengarkan luahan Khairi yang kedengaran terlalu sayu. Sebak dan hiba bersatu melihat wajah Khairi yang pucat. Dia meneliti setiap inci wajah Khairi bagai sudah lama dia tidak menatap wajah itu. Ingin dia melepaskan kerinduan yang mencengkam. Apabila Khairi memeluk bahunya, dia menangis semahu-mahunya. Dia tidak mahu kehilangan lelaki itu!
     Tersedar daripada tangisannya yang panjang, Farah terkebil-kebil memandang Khairi. Jam di dinding dilihat sekilas sebelum dia mengerutkan dahi.
     “ Ya Allah, abang! Dah pukul berapa ni? Tak lambat pergi kerja ke? “
     “ Alah, bukan sempat pun sampai kerja. Setengah jalan aja. “ Khairi selamba mencapai kunci kereta dan menyangkutkan kamera lensa miliknya ke leher.
     Farah terdiam untuk menghadam kata-kata Khairi sebentar tadi. Dahinya sudah berkerut seribu. Tatkala melihat Khairi yang sudah berdiri di muka pintu, dia hanya membiarkan persoalan yang berlegar-legar di fikirannya tidak berjawab. Terkocoh-kocoh dia mendapatkan Khairi. Tabiat kebiasaannya dilakukan iaitu menyalami Khairi.
     “ Apalah abang ni. Dahlah makan sikit, pergi kerja lambat pula tu. “
     “ Abang tak ada seleralah sayang.. “
     Khairi mencapai tangan Farah untuk ke sekian kalinya. Digenggamnya tangan Farah seperti enggan melepaskannya lagi. Dikucup tangan isteri tercinta berkali-kali. Kemudian dahi dan pipi Farah menjadi mangsa kucupan Khairi. Tergelak kecil Farah diperlakukan seperti kanak-kanak layaknya. Farah hanya tersenyum bahagia tatkala Khairi merenung anak matanya dengan suatu rasa yang sukar dimengertikan.
     “ Urmm .. okaylah .. Abang pergi dulu .. “ ujar Khairi dengan suaranya yang sedikit bergetar.
     “ Dah , dahlah tu. Balik rumah nanti, abang boleh sambung pegang tangan Farah. Okay? “
     Khairi terdiam sejenak.
     “ Abang takut tak dapat balik, sayang.. “ Pipi Farah diusap lembut.
     “ Hah? “
     Terpinga-pinga Farah apabila Khairi ketawa secara tiba-tiba. Dia berlawak ke tadi? Tak rasanya.
     “ Tak ada apa-apalah. Abang pergi dulu. Tapi sebelum tu, janji dengan abang yang sayang akan jadi seorang wanita yang gigih dan kuat walaupun tanpa abang disisi. Jaga diri .. dan baby kita elok-elok .. “ Khairi mengusap lembut perut Farah yang kempis. Farah yang jelas terkejut dengan tindakan Khairi mengucup perutnya hanya mampu terdiam. Terasa hangat kucupan kasih Khairi menjalar ke seluruh tubuhnya.
     Menelan air liur Farah dibuatnya tatkala tangan sasa Khairi terus menerus mengusap perutnya tanpa segan silu jikalau jiran tetangga ternampak adegan itu. Tidak tegar dia ingin menghalang Khairi daripada terus menerus membelainya. Dan akhirnya dia merelakan saja. Janji lelaki itu bahagia!
     “ Nanti bila baby kita dah lahir, dia mesti jaga sayang untuk abang. Dia juga mesti kuat macam mamanya. Maafkan abang ya, sayang. Maafkan abang. Dengan nama Allah, abang cintakan sayang. Abang pergi dulu! “ Terlerai juga genggaman kemas tangan mereka. Khairi mengatur langkah berat menuju ke kereta.
     “ Demi Allah, abang cintakan sayang sangat-sangat! “ Sebelum Khairi memboloskan diri ke dalam Honda Civic miliknya, sempat dia menjengahkan kepalanya dan menghadiahkan flying kiss kepada Farah. Mereka berbalas senyum.
     Farah masih berdiri tegak di perkarangan rumah walaupun kereta milik Khairi sudah hilang dari pandangan. Rasa sebak menerpa dirinya secara tiba-tiba. Dia juga berasa bimbang sepeninggalan Khairi. Dia hanya mampu memandang kosong ke arah jalan raya yang telah dilalui Khairi tadi.

     Stereng kereta digenggam kuat. Menahan sebak yang tidak tertanggung, air mata lelakinya mengalir lebat. Kenangan-kenangan yang tercipta bersama-sama Farah silih berganti terlayar di ruang mata. Sesekali tumpuannya terarah terhadap pemanduannya.
     Suasana jalan raya yang lengang memudahkannya untuk terus melayan perasaan. Kereta mewah Honda Civic yang dipandunya terhenti apabila lampu isyarat menunjukkan lampu merah. Dan saat lampu isyarat bertukar hijau, Khairi bertindak menekan pedal minyak sekuat hati tanpa menyedari sebuah kenderaan berat sedang menuju ke arahnya secara bertentangan.
     Tatkala jarak treler panjang yang bergerak laju dengan kereta Khairi sudah semakin hampir, Khairi cemas dan tidak mampu mengawal kenderaannya yang meluncur laju membelah jalan raya. Hanya kalimah syahadah yang membasahi bibir Khairi sebelum kereta miliknya bertembung dengan sebuah treler panjang. Akibat impak yang kuat, Honda Civic Khairi remuk teruk dan terseret sejauh untuk beberapa kilometer.
     Dalam keadaan kereta yang terbalik dan hancur, Khairi masih dapat melihat kehadiran orang ramai yang mulai mengerumuni kawasan kejadian. Serpihan kaca yang bertaburan menyakitkan tubuhnya. Dia mengerah segala kudratnya untuk melepaskan diri daripada terus tersepit dalam kenderaan yang telah kemik. Namun, kakinya yang patah menyukarkan terus pergerakannya. Darah pekat yang mengalir dari celahan kepalanya juga amat memedihkan sehingga dia tidak berdaya lagi.
     Khairi hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada yang Maha Esa apabila deria baunya menangkap bau minyak petrol yang tumpah. Pandangannya mulai kabur. Sakit yang ditanggung bagai tidak terasa lagi. Air matanya mengalir lesu mengenangkan orang-orang tersayang terutamanya .. Farah. Sekali lagi Khairi mengucap dua kalimah syahadah dengan suara yang tenggelam timbul.
     Oleh sebab terlalu terkejut dengan keadaan pemandu treler yang telah maut kerana tercampak di atas jalan raya, orang ramai seperti tidak mengendahkan keadaan seorang lagi mangsa yang tersepit dalam sebuah kenderaan yang juga terlibat dalam kemalangan itu.
     “ Bang, bukan ke dalam kereta hujung tu ada orang? “ tanya seorang remaja belasan tahun kepada beberapa orang awam yang sibuk mengangkat mayat pemandu treler ke tepi jalan raya.
     Seorang lelaki dalam lingkungan 20-an mengangkat wajah sambil mengelap peluh yang mulai merinik di dahi. Dia mengecilkan matanya untuk melihat kebenaran kata-kata remaja tadi memandangkan sebuah lagi kenderaan yang remuk dan dipercayai terlibat dalam kemalangan itu tercampak jauh. Betapa dia terkejut kerana tidak menyedarinya sejak tadi.
     “ Woi, apa kau orang tercegat lagi dekat sini? Jom ikut aku selamatkan lelaki tu! “
     Beberapa orang awam bergegas mendapatkan Khairi. Tetapi belum sempat mereka menghulurkan bantuan, kereta remuk itu meletup dan terbakar. Semua yang berada di situ terpempan dan tidak mampu melakukan apa-apa. Berkepul-kepul asap hitam di ruang udara ekoran letupan yang berlaku. Api marak terus menjilat kereta Honda Civic dan sekali gus telah mengorbankan seorang insan yang bernama Muhammad Khairi.

     “ Maaf, puan. Pihak kami tidak mampu berbuat apa-apa. Kereta milik Encik Muhammad Khairi meletup sejurus pihak kami tiba di tempat kejadian. Orang ramai juga tidak berkesempatan menghulurkan bantuan ekoran kejadian tumpahan minyak petrol yang menyebabkan kereta yang dipandu oleh si mangsa meletup. Arwah terperangkap dalam kenderaan tersebut kerana dipercayai tersepit dan keadaannya yang cedera parah. “
     Hanya Tuhan yang mengetahui betapa hatinya hancur dan remuk saat dimaklumkan pemergian Khairi kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Berderau darahnya apabila nama Khairi yang disebut sebagai salah seorang mangsa yang terkorban. Air mata merembes laju mengenangkan pemergian Khairi yang menyayat hati.
     Farah terhenyak di bangku plastik yang disediakan di ruang menunggu di sebuah hospital kerajaan. Sejak dimaklumkan berita sedih itu, hanya air mata yang menggambarkan betapa terseksa dirinya kerana kehilangan Khairi. Puan Raniey disisi tidak berputus asa meniupkan kata-kata semangat kepada Farah.
     “ Farah, jangan macam ni sayang. Allah lebih sayangkan arwah. Farah kena relakan pemergian arwah. Kalau tak, arwah tak tenang di sana. Bukan Farah seorang aja yang sedih dengan kehilangan arwah, mama juga sedih sayang .. “ Puan Raniey memeluk erat bahu Farah yang sedang menangis teresak-esak.

     Seteko kopi panas dan kuih karipap buatan sendiri dihidangkan oleh Puan Raniey kepada anak muda yang bertandang ke rumahnya pada petang itu. Puan Raniey tersenyum hambar dengan kerenah Emir yang serupa satu-satunya anak lelakinya, Khairi. Kalau bab makan, arwah memang gelojoh. Dilihatnya Emir mengusap bibir yang melecur kerana terminum air kopi yang masih panas. Terus cawan berisi kopi panas itu diletakkan ke atas meja, membiarkan air tersebut menjadi sedikit suam.
     “ Mama Raniey dan Farah sihat? Emir nak minta maaf sebab tak dapat datang majlis tahlil arwah. Tiba-tiba ada urgent di tempat kerja yang tak boleh nak dielak. “
     “ Alhamdulillah, mama okay, Emir. Cuma Farah. Asyik berkurung di dalam bilik. Tak nak makan, tak nak minum. Mama risau tentang keadaan dia. Kalau mama letak makanan  dalam bilik dia, hanya sikit aja makanan yang dia jamah. Tak luak mana pun. Mama dah tak sanggup nak tengok dia terus bersedih. Pedih hati mama bila dengar dia menangis teresak-esak sambil panggil nama arwah. Hampir tiga minggu arwah pergi, Farah tetap macam ni. “
     Emir mengeluh berat. Tidak dinafikan bahawa dia sendiri masih tidak mempercayai kenyataan yang terbentang di hadapannya ini. Khairi, sahabat baiknya telah kembali ke rahmatullah, pergi untuk selama-lamanya. Pastinya Farah menerima tamparan yang hebat dengan pemergian Khairi yang secara mengejut. Lebih-lebih lagi, keadaan arwah yang menyayat hati. Sudahlah pasangan itu baru sahaja ingin mengecap bahagia. Ditimpa pula dengan musibah yang berat dan tidak tertanggung. Dia memahami perasaan dan kesedihan yang melanda Farah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul tetapi tidakkah Farah mengetahui bahawa Tuhan mempunyai rencana untuk perjalanan hidupnya? Tidakkah dia beriman kepada qada’ dan qadar Allah?
     “ Saya faham perasaan Mama Raniey dan Farah. Kehilangan arwah Khairi tinggalkan kesan yang dalam. Saya sebagai kawan baik arwah pun rasa sedih sangat. Tapi suratan Allah tiada apa-apa yang dapat menghalangnya. Tak sangka arwah pergi terlalu cepat. Dia baik orangnya. Saya berasa terkilan sebab tak dapat memohon maaf daripadanya .. “ Wajah Emir berubah mendung. Hatinya dijentik rasa sebak. Terasa semacam baru semalam dia bersua dengan Khairi tetapi realitinya Khairi telah meninggalkannya untuk selama-lamanya.
     Juadah petang yang terhidang di depan mata langsung tidak dijamah. Puan Raniey lebih selesa melayani kesedihannya atas pemergian Khairi. Air mata yang menitis tidak henti-henti dibiarkan terus membasahi wajahnya yang dimamah usia. Puan Raniey hanya mengangkat wajah sebaik Emir meminta izin untuk beredar.
     “ Okaylah, Mama Raniey. Emir kena masuk kerja balik. “
     “ Baiklah, kalau macam tu. Tapi selalulah datang sini, jenguk Farah. Mama takut kalau-kalau dia tak mampu tanggung seorang diri. Lagipun, Farah tak nak share dengan mama. Mungkin dengan Emir dia terbuka hati nak luahkan kelukaan dia . “
     “ Insyaallah, Emir janji. Balik dulu. Assalamualaikum. “
     “ Walaikumusalam .. “

     “ Farah, makan nasi ni sikit sayang. Makan dua tiga suap pun dah memadai. Mama risau sangat tengok Farah bersedih macam ni. Tak makan, tak minum. Nanti Farah sakit, “ pujuk Puan Raniey dengan penuh lemah-lembut. Diusap-usapnya bahu Farah. Berharap benar menantunya itu terbuka selera untuk menjamah sedikit nasi goreng kampung yang dimasaknya. Tetapi, Puan Raniey hampa dan terasa hati apabila Farah tidak termakan dengan pujukannya. Farah masih termenung jauh dengan juraian air mata yang kerap kali menitis setiap kali ingatannya kepada Khairi.
     Tangan yang sudah letih mengusap bahu Farah melurut jatuh. Tawar hati dengan kedegilan Farah membuatkan Puan Raniey mengalah. Pinggan yang berisi nasi goreng kampung diletakkan di atas sebuah meja kecil bersebelahan katil. Puan Raniey hanya mampu melihat sayu keadaan Farah yang berteleku di lantai sambil setia memeluk bingkai gambar majlis akad nikah Khairi bersama-sama menantunya. Mula mengatur langkah keluar dan meninggalkan Farah bersendirian, Puan Raniey sempat berpaling kepada Farah.
     “ Farah kena kuat hadapi semua ni. Farah kena ingat bahawa mama lagi terluka. Bayangkan sembilan bulan mama kandungkan Khairi sehinggalah Khairi dewasa, arwah sentiasa berada di sisi mama. Tapi Allah  lebih sayangkan Khairi. Dia jemput Khairi sebelum mama. Terasa sakit, pedih dan nyilunya hingga ke hulu hati bila Khairi terus lenyap dan tinggalkan mama.
     Kalau Farah berterusan begini, Khairi tak tenang di sana. Biarlah rohnya tenang dan Farah perlu teruskan hidup berbekalkan cinta dan kasih arwah .. “
     Pintu bilik tertutup rapat. Kelibat Puan Raniey hilang disebalik pintu. Suasana menjadi kaku dan sepi. Bercucuran air mata Farah menangisi nasibnya. Betapa peritnya rasa mengakui kebenaran kata-kata Puan Raniey tadi. Bicara itu terus terkesan di hatinya. Dia sesungguhnya alpa akan takdir Tuhan yang ditentukan buat dirinya. Dia terlupa bahawa Allah SWT telah menurunkan musibah yang mampu ditanggungnya dan Dia lebih Maha Mengetahui. Hanya kesedihan dan kehibaan yang menyelubungi diri hampir menyesatkan akidahnya dan menjauhkan dirinya daripada Tuhan yang Maha Kuasa.
     Bingkai gambar yang merakam detik-detik manis saat dia diijabkabulkan dengan Khairi ditatap penuh rasa kerinduan. Sebaknya hati tatkala merenung seraut wajah Khairi dengan segaris senyuman yang meniti di bibir merah lelaki itu pada gambar yang tidak bernyawa dalam pegangannya. Air mata mengalir lesu menuruni pipinya yang mulai cengkung. Farah memegang bahagian dadanya yang dicengkam rasa sakit.
     “ Ya Allah, aku terlalu rindukan suamiku. Aku teringin sangat untuk berjumpa dengan dia buat kali terakhir. Aku rindukan .. dia. Sangat.. sangat. Aku berdosa dengan dia. Ya Allah, Kau kuatkanlah aku. Kuatkan aku untuk hadapi dugaan-Mu ini. Ya Rabb, aku rindukan dia ..
     Abang, Farah rindu abang. Farah nak jumpa abang. Farah nak peluk abang. Farah tak boleh lupakan abang. Hati Farah sakit sangat .. sangat .. Farah nak abang berada di sisi Farah. Farah rindukan abang. Farah terlalu sayangkan abang. Dengan .. nama Allah, Farah pun terlalu cinta .. kan .. abang .. Abang .. abang .. “
     Farah menangis teresak-esak. Sepasang mata miliknya juga terasa pedih yang mencucuk-cucuk kerana menitiskan air mata tidak henti-henti. Matanya berpinar-pinar seiring dengan kepalanya yang mula memberat. Tubuhnya lemah dan tidak lagi berdaya ekoran keengganannya makan dan minum dengan teratur sejak tiga minggu lalu. Tubuh Farah yang tersandar di dinding perlahan-lahan rebah ke lantai apabila suasana menjadi kelam. Gelap.

     Angin petang yang bertiupan menyapa lembut wajah Farah yang sedang duduk bersimpuh di atas bumi yang berhamparkan rumput hijau. Tenang dan damai. Itulah yang dirasakan oleh Farah ketika ini sambil mengucap syukur kerana dia berpeluang menghirup udara segar di tepi tasik luas yang indah. Rimbunan pokok besar menghalang tubuhnya daripada terasa bahang mentari yang memancar. Tasik kelihatan bersinar-sinar akibat fenomena pantulan cahaya. Farah masih menikmati ciptaan Tuhan yang maha hebat itu sehingga saat dia dikejutkan dengan bunyi tangisan bayi yang jelas di pendengarannya. Spontan dia berpaling, mencari punca datangnya bunyi tersebut.
     Terpempan melihat seseorang yang amat dia rindui, Farah kaku di posisi dan diam tidak berkutik. Hanya air mata yang bergenang di tubir mata. Bagai terhenti degupan jantungnya tatkala memandang wajah bersih Khairi dengan segaris senyuman mesra yang meniti di bibir merah lelaki itu. Kini Khairi benar-benar muncul  dihadapannya dengan seorang bayi dalam dukungan. Menggigil-gigil lutut Farah bagi mengimbangi tubuhnya untuk berdiri.
     “ Abang, Farah .. rindukan abang. Jangan tinggalkan Farah. Kalau abang nak pergi pun, bawa Farah sekali. Farah nak selalu bersama-sama abang. Farah tak boleh hidup tanpa abang .. “ rayu Farah tersedu-sedan. Farah mendekati Khairi yang setia berdiri tegak sambil mendukung bayi  yang telah nyenyak tidur. Tidak Farah berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Khairi. Lelaki itu membisu, hanya tersenyum kepadanya. Sedikit sebanyak terubat juga rindunya dengan senyuman itu.
     “ Abang .. ni bayi siapa? Apa nama dia? “ Jaraknya dengan Khairi semakin dekat. Wajah comel milik bayi dalam dukungan Khairi menarik perhatian Farah. Ditenungnya wajah yang lena itu dengan penuh rasa kasih. Tergelak sendiri Farah dibuatnya tatkala dia merasakan wajah bayi comel itu mempunyai iras-iras wajahnya dan wajah Khairi.
     Kening halus yang terukir indah di wajah bayi itu seperti kening miliknya. Mata galak dan bulu mata yang lebat tidak ubah seperti Khairi. Hidung yang terletak elok di wajah bayi itu pula sebiji sepertinya, manakala bibir comel milik bayi itu seperti bibir milik Khairi.
     Sedikit terkejut dengan tindakan Khairi yang menyerahkan bayi itu dalam dukungannya, Farah tetap menyambut huluran itu. Ditatap wajah bayi itu bersilih ganti dengan wajah Khairi yang masih lagi tersenyum. Hangatnya kucupan Khairi di dahinya membuaikan perasaan. Serasa suatu kekuatan menjalar di segenap pembuluh darahnya sekali gus mendamaikan hatinya yang dirundung keresahan. Dan apabila sepasang matanya dialihkan kembali ke wajah milik Khairi, lelaki itu telah hilang dari pandangan. Tiada lagi senyuman yang memekar di bibir merekah Khairi. Tiada lagi kucupan hangat daripada Khairi. Air mata menjadi peneman setia Farah.

     Dari jauh dia sudah melihat Emir menayangkan barisan gigi putihnya sambil saling membalas pandangan. Perlahan-lahan Emir mengayun langkah mendekatinya yang sedang duduk di salah sebuah bangku yang terdapat di ruang menunggu hospital kerajaan. Dia bersuara sejurus lelaki itu melabuhkan punggung bersebelahan dengannya.
     “ Emir, thanks for helping .. “  Sambil wajah yang masih menekur ke lantai, Farah berterima kasih atas perhatian Emir kepadanya. Sesungguhnya dia terhutang budi dengan lelaki muda ini. Amatlah dia hargai pengorbanan Emir.
     “ Its no matters, Farah. My pleasure. Lagipun, tak tergamak rasanya aku nak biarkan Mama Raniey angkat kau tadi. Tak ke patah tulang orang tua tu nanti! “ Ketawa besar Emir dengan kata-katanya sendiri. Memikirkan detik-detik cemas pagi tadi apabila Farah pengsan di bilik air, Mama Raniey lantas menelefonnya. Dia yang baru ingin bertolak ke tempat kerja terus memecut ke rumah Khairi. Oleh sebab kebimbangan yang melampau, dia bertindak merempuh masuk rumah Khairi dan tanpa berfikir panjang bergegas menuju ke bilik yang datangnya tangisan Mama Raniey. Terkejut dia melihat Mama Raniey yang berusaha keras ingin mencempung tubuh Farah yang sudah tidak sedarkan diri. Sempat dia tergelak kecil lantas mengambil alih mencempung tubuh Farah yang boleh tahan beratnya untuk dihantar ke hospital yang berdekatan.
     “ Kau ni jahatlah! “ Farah tersenyum dengan cerita Emir. Tidak dia sangkakan begitu besar kasih Puan Raniey kepadanya hingga terfikir ingin mencempung tubuhnya yang berat ini. Ni mesti kes kalut sangat! Mama, mama ..
     “ Hah, apa doktor cakap pasal kau sampai pengsan bagai ni? Kau ada sakit ke? “
     “ Aku .. aku .. “ Kesunyian mengisi ruang antara mereka berdua. Farah yang kembali menekur memandang lantai hilang kata-kata untuk seketika. Emir pula sudah panas punggung tidak betah dengan diam Farah.
     “ Farah, kau jangan buat aku takut. Kau sakit apa ni? Teruk sangat ke? “ tanya Emir dengan resah.
     Wajahnya diangkat memandang Emir yang sudah bimbang di tahap kritikal. Lucu pula riak wajah lelaki itu dengan dahi yang berkerut seribu. Farah tersenyum. Tangannya mengusap perutnya yang masih kempis dan tidak menunjukkan sebarang bentuk.
     “ Alhamdulillah, there’s my little Khairi in my tummy .. “ Setitik air mata Farah jatuh terharu dengan rezeki kurniaan Tuhan. Senyuman terus meniti di bibirnya melihat Emir yang sudah terlopong dengan berita gembira yang disampaikan.

     Pintu utama rumah diketuk sekali sebelum dikuak perlahan dari luar. Tidak berkunci. Barangkali Puan Raniey sengaja tidak menguncinya kerana dia lewat pulang. Tidaklah dia terkial-kial mencari kunci pintu yang dia sendiri lupa tempat dia menyimpannya. Kaki diayun perlahan menuju ke bilik Puan Raniey yang terletak bersebelahan dapur. Pernah dia mempelawa ibu mentuanya untuk tidur di bilik tetamu tetapi wanita itu berkeras tidur di bilik kecil itu kerana sukar mendaki tangga ke tingkat atas.
     Saat pintu bilik terkuak, terlihat wajah  tua Puan Raniey yang lena dalam beradu. Berhati-hati dia mendekati Puan Raniey sambil tangannya cekap menyelimutkan tubuh wanita itu hingga ke paras dada. Dahi Puan Raniey dicium kejap sebelum dia mula melangkah keluar. Anak-anak tangga didaki ke tingkat atas menuju ke biliknya. Biliknya bersama-sama Khairi .. dulu. Tas tangan dicampakkan ke atas katil lantas tuala yang tersidai ditarik dan dia menghilangkan diri ke dalam bilik air bagi membersihkan diri.
     Farah duduk berhadapan dengan meja solek. Dia menelek seketika wajahnya yang tampak pucat sejak akhir-akhir ini. Bukan kerana dia sakit tetapi mungkin sebab pembawakan bayi. Lantas tangannya mengusap lembut perutnya yang membonyot. Pejam celik, pejam celik, terasa masa cepat berlalu. Kini kandungannya sudah berusia lima bulan. Dia tersenyum sendiri. Teramat indah hidupnya setelah dikurniakan Ilahi satu-satunya waris Khairi. Dia berasa begitu bahagia dengan kehadiran zuriat dan benih yang bercambah di dalam rahimnya ini. Hanya Allah yang mengetahui perasaannya tatkala disampaikan berita yang tidak disangka-sangka ini oleh doktor dahulu. Sehingga Emir pun terlopong dengan khabar tersebut. Benarlah Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengetahui.
     Tiba-tiba Farah dikejutkan dengan deringan telefon bimbitnya yang memainkan lagu berjudul Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah menandakan ada mesej yang masuk. Dia mencapai telefon bimbitnya dan tanpa berlengah lagi terus membaca mesej yang diterima. Senyumannya terukir melihatkan nama penghantar mesej yang tertera di skrin telefon bimbit. Emir.
From : Emir
To : Farah
Assalamualaikum, mak boyot! Dah sampai rumah? Mama Raniey dah tidur ke?
     Farah mengekeh ketawa dengan mesej yang dibacanya sambil jari-jemarinya pantas menekan pad kekunci telefon bimbit membalas mesej tersebut.
From : Farah
To : Emir
Waalaikumusalam, bapak The Hulk! Aku dah lama gak sampai rumah. Oh, mama dah lena tidur pun. Hah, apa cer text aku tengah malam ni? Tak ada kerjalah tu!
From : Emir
To : Farah
Eh, sorry sikit ah! Berlambak kerja yang perlu aku hadap daripada aku text kau ni. Aku risaukan kau.
From : Farah
To : Emir
Eh, eleh! Kerja konon. Aku tengok kau heret perempuan ke sana ke sini aja. Tak ada kerja pun! Pasal aku, kau jangan risau. Aku okay ajalah.
From : Emir
To : Farah
Eii, sampai hati kau cakap macam tu dengan aku. Mana ada aku heret perempuan, dia orang tu yang terhegeh-hegeh kat aku. Aku pun ambillah peluang. Takkan nak tolak rezeki kut ..
From : Farah
To : Emir
Ish, kau ni! Tak baik tau permainkan perasaan orang. Nanti Allah balas cash aja kat kita.
From : Emir
To : Farah
Iyalah, iyalah .. Aku tak buat lagi kerja tak senonoh tu. Aku nak jadi lelaki gentleman! Haha.
From : Farah
To : Emir
Okay, okay.. Baguslah kalau macam tu. Insyaallah, ada jodoh kau tu nanti. Wait and see.
From : Emir
To : Farah
Amin. Thanks. By the way, kau kena kuat tau. At least for the sake of your ‘little’ Khairi.
From : Farah
To : Emir
Insyaallah. Lagipun, aku bukan seorang. Aku ada baby, mama dan kau. Cukup untuk aku teruskan hidup. Okaylah, bapak The Hulk! Aku dah mengantuk ni. Nak tidur.
From : Emir
To : Farah
Alright, mak boyot! Haha. Tidur puas-puas eh.
     Selesai saling berbalas ucap selamat malam, perbualan mereka melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pun tamat. Farah masih tersenyum. Hatinya bahagia kerana dikelilingi orang-orang yang amat menyayanginya. Salah seorangnya ialah Emir. Lelaki yang menjadi kenalannya dan arwah Khairi sejak zaman sekolah itu sentiasa berada di sisinya. Emir menjadi pelindungnya setelah pemergian sang suami yang dicintai. Sentiasa ada untuk dirinya kala suka dan duka. Jasa dan kasih Emir tidak akan dia sia-siakan.
     Telefon bimbit diletakkan di atas laci kecil bersebelahan kepala katil. Lampu tidur dimalapkan. Farah merenung kosong ke siling sambil fikirannya menerawang mengimbau kembali memori indah yang pernah dilaluinya bersama-sama Khairi. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Air mata mengalir di pelupuk matanya sehingga dia terlena.

     Kakinya pantas menuruni anak-anak tangga ke tingkat bawah. Kepala dijengahkan sedikit melihat suasana ruang tamu yang sepi tanpa peti televisyen dihidupkan. Langkahnya mula menuju ke dapur tatkala bunyi kuali dan sudip berlaga kedengaran bingit seperti seseorang sedang memasak. Tersenyum dia dengan kelibat Puan Raniey yang leka memasak nasi goreng di atas dapur tanpa menyedari kehadirannya. Farah terus memeluk ibu mertuanya dari arah belakang wanita berusia separuh abad itu. Suasana gamat seketika dengan aksi Puan Raniey yang beriya-iya melatah. Terkejut barangkali.
     “ Astaghfirullahalazim, budak seorang ni! Bertuah punya anak. Ada ke terkejutkan mama macam tu! Kalau dibuatnya mama tengah potong sayur ke, tak ke naya namanya? Berguraunya mengalahkan orang sihat. Dahlah dia tu tengah bawa baby.. “ bebel Puan Raniey berselang-seli dengan dekahan ketawa Farah. Kepalanya digeleng-gelengkan tidak memahami dengan kerenah Farah tetapi dia tetap tersenyum dengan senyuman yang terukir di wajah menantunya itu. Jarang benar Farah tersenyum dan bergelak sakan begitu sejak pemergian Khairi. Dalam diam, kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi. Sempat juga dia mendoakan kesejahteraan menantunya dan anak yang dikandungi, bakal cucunya.
     “ Sorry, mama! Farah bukan buat apa-apa pun. Peluk aja, mama terus melatah! Lawaklah gaya mama tadi. “ Farah menyambung tawanya.
     “ Hah, ketawalah! Ketawa lagi. Nanti ada juga orang tu yang tak dapat makan nasi goreng special yang mama buat ni. Yummy, sedapnya.. “
     Berkepul-kepul asap nasi goreng yang baru dimasak. Sengaja Puan Raniey mencium bau harum masakannya di hadapan Farah. Dia juga mengenakan menantu kesayangannya dengan mengacah-acahkan pinggan yang berisi nasi goreng setiap kali Farah ingin mencapainya. Tergelak sakan dia melihat muka Farah yang masam mencuka.
      “ Mama, Farah nak makan! “
     Gelak tawa mengisi rasa kekosongan setiap penghuni di banglo itu. Sejak pemergian Khairi, Puan Raniey menjadi tempat untuk Farah mengadu nasib. Kepedihan dan keperitan yang ditanggung kerana merindui arwah suami tercinta dipendam dalam-dalam di hati. Cukuplah rasa sakit yang dialami Puan Raniey kerana kehilangan anak tunggalnya. Tidak tegar Farah membebani ibu mertuanya lagi.
     Dia meniti hari demi hari dengan hati yang cekal berbekalkan rasa cintanya kepada arwah Khairi yang tidak akan pernah berubah. Nyawa yang dikandunginya inilah satu-satunya waris tinggalan Khairi untuknya. Anak yang semakin membesar di rahimnya ini jugalah yang akan menjadi peneman setia dan pengubat lara untuk dirinya.
     Farah mengakui memang dia mengalami kesukaran tanpa kehadiran sang suami di sisi. Keadaannya yang tidak mengizinkannya untuk bergerak bebas menjadi cabaran untuk Farah menghadapinya seorang diri. Perutnya yang memboyot ketika usia kandungannya yang sudah mencecah lapan bulan membuatkannya selalu menangis kerana selalu berasa sakit dan mengalami alah. Hampir setiap malam Farah kekejangan akibat pembawakan bayi. Dia berasa sungguh sunyi kerana Khairi tiada bersama-sama menemaninya. Kadang-kala, sakit yang ditanggung dipendamkan sahaja kerana tidak mahu menyusahkan Puan Raniey. Dia tidak sanggup melihat ibu mertuanya bersusah-payah memandangkan orang tuanya itu juga berada dalam keadaan yang kurang sihat.
     Setiap kali dia merindui arwah Khairi, hanya tikar sejadah yang menjadi sasaran. Dia akan memohon ketenangan daripada-Nya dan memanjatkan doa agar roh Khairi dirahmati senantiasa. Ayat-ayat suci al-Quran yang membasahi bibirnya usai mendirikan sembahyang selalu mengurniakan ketenangan yang didamba. Rindunya kepada Khairi juga akan terubat. Farah reda kini. Dia pasrah atas segala-galanya. Cinta arwah Khairi disemat kemas dan akan mekar dihatinya dengan kehadiran zuriat mereka kelak, Muhammad Khairin Bin Muhammad Khairi.

     Ke hadapan isteriku yang tercinta,
     Maafkan abang, sayang. Abang tak mampu memberikan kebahagiaan untuk sayang. Tetapi, percayalah bahawa abang akan sentiasa menyayangi sayang dan mencintai sayang hingga hujung nyawa abang. Sejak pertemuan kita di bangku sekolah, rasa suka abang kepada sayang mula bertukar menjadi rasa cinta yang mendalam tanpa abang sedari.
     Abang terlalu banyak melukakan hati sayang. Abang mengaku bahawa abang bertindak menyakitkan sayang kerana abang tahu yang abang tak layak memiliki sayang. Setiap kali air mata sayang mengalir, setiap kali itulah hati abang sakit, jiwa abang terseksa. Hanya Tuhan yang tahu betapa abang berasa bahagia tatkala abang selamat melafaz akad yang mengikat kita menjadi suami isteri yang sah.
     Sayang terlalu sempurna untuk abang, jadi abang harap yang sayang dapat terima abang seadanya. Walau apa pun yang bakal berlaku pada masa hadapan, abang akan selalu menyintai sayang sepenuh jiwa abang. Dan jikalau kita dikurniakan cahaya mata kelak, abang nak sayang cintakan anak kita sebagaimana sayang cintakan abang.
     Walau kita terpisah beribu batu, abang yakin takdir akan menemukan kita. Walau kita berpisah atas ketentuan-Nya, abang sentiasa berdoa agar cinta kita akan sentiasa mekar dan kita bakal berjumpa di sana. Dengan nama Allah, abang cintakan sayang.
                                                                                                                                                                                                                                                                                     FARAH CINTA KHAIRI
 TAMAT


No comments:

Post a Comment