Friday, June 20, 2014

KE DAKAPANKU

     Rancangan realiti di kaca televisyen tidak lagi mampu menarik perhatian Izzyan. Penumpuannya hanya bertahan selama sejam yang lalu sahaja. Jam berbentuk bulat yang tergantung kaku di dinding ditelek sekilas. Ingin melihat waktu yang terus berlalu. Dia masih bersabar menanti kepulangan Pak Ngah. Suasana ruang tamu menjadi sepi tanpa kehadiran Mak Ngah dan tiga orang sepupunya yang sudah lena dibuai mimpi. Sekali-sekala bunyi bising daripada siaran dari kaca televisyen sayup-sayup mengisi kesunyian malam yang semakin larut.
     Izzyan melihat lagi jam di dinding. Oh, tidak! Dah pukul 1.25 pagi. Mana Pak Ngah ni?
     “ Assalamualaikum .. “ Perlahan Ramlee memberi salam kerana menyangka semua isi rumah sudahpun tidur. Pintu yang berkunci dibukanya dengan menggunakan kunci pendua dalam simpanan. Sejurus pintu utama rumah ditutup, dia terkejut apabila terpandangkan kelibat Izzyan di ruang tamu.
     “ Izz, asal tak tidur lagi ni? Mak Ngah dah tidur? “
     Huargghh !! Izzyan sempat menguap sebelum soalan Pak Ngahnya dijawab.
     “ A’ah, Pak Ngah. Mak Ngah, Ecah, Aten, Im, semua dah tidur. Izz seorang aja yang tak tidur, tunggu Pak Ngah. “
     Ramlee tersenyum mendengarkan kata-kata Izzyan. Gugusan kunci di telapak tangan dicampak perlahan ke atas meja makan. Dia berlalu ke dapur untuk seketika demi membasahkan tekak dengan air kosong. Fuhh, lega sikit dapat minum air sejuk! Ramlee tersenyum puas.
     “ Pak Ngah, macam mana dengan permintaan Izz hari tu? Pak Ngah tak lupa kan? Hah, dah jumpa kawan Pak Ngah yang ajar orang memandu tu? Apa dia cakap? “ tanya Izzyan bertalu-talu sejurus dilihatnya Ramlee melabuhkan punggung di sofa bersebelahan sofa dia duduk. Izzyan mengerutkan dahi apabila Ramlee menggeleng-gelengkan kepala.
     “ Izz, Izz .. Sabarlah kalau iya pun. Iya .. iya .. Pak Ngah dah jumpa dengan member Pak Ngah tu. Dia okay aja kalau Izz betul-betul nak belajar memandu. “
     “ Eh, mestilah Izz betul-betul nak belajar memandu! Izz dah tekad tau. Izz dah berazam awal-awal lagi nak dapat driving license ni cepat. Nak tolong mama. Lagipun, kesihatan mama tak menentu sejak akhir-akhir ni. Sementara tunggu SPM’s result, baik Izz ambil lesen memandu daripada tak buat apa-apa. Kan? “ Matanya dikelip-kelipkan di hadapan Ramlee. Izzyan turut ketawa tatkala terletus ketawa pak ciknya dengan kelakuannya sendiri.
     “ Pak Ngah faham. Hah, bagus kalau macam tu! Esok siap awal, pukul 6.45 pagi Abang Fiq jemput Izz. Pergi kelas memandu. Okay? “
     Tidak sempat Izzyan membalas kata-kata Ramlee, lelaki berumur lingkungan 40-an itu sudah menghilangkan diri ke bilik. Akhirnya dia juga yang ditinggalkan terpinga-pinga di ruang tamu dengan arahan Ramlee tadi. Izzyan menggeleng-geleng tidak percaya. Biar betul?
     Aku pergi kelas memandu? Esok? Ahhhhh, macam tak percaya! Tapi, syoknya! Yahuu, aku boleh drive kereta nanti, Izzyan terus-terusan berangan tanpa menghiraukan masa yang semakin tenggelam dalam kegelapan malam.

     “ Woo, tahniahlah Fiq! Baru sebulan dapat kerja, terus dapat awek. Tup.. tup.. dah bertunang sekarang. “ Bahu Syafiq ditepuknya lembut. Gembira dengan kebahagiaan yang dikurniakan oleh Tuhan untuk kawannya yang seorang ini. Zamri tersengih menunjukkan barisan gigi putihnya.
     “ Alhamdulillah, rezeki aku. Aku pun tak expect aku boleh jumpa jodoh aku dekat kedai mamak. “
     Syafiq dan Zamri sama-sama meletuskan ketawa. Masih mengingati akan insiden yang berlaku sebulan lalu di sebuah kedai mamak. Peristiwa tatkala Syafiq berperang mulut dengan Fyza kerana berebutkan ayam goreng berempah. Masing-masing berkeras hati menginginkan bahagian paha ayam yang kebetulan hanya tinggal satu ketul pada waktu itu. Daripada pergaduhan kecil itulah yang menerbitkan bibit-bibit kasih antara Syafiq dan Fyza kini. Buktinya,  mereka berdua sudah bertunang dan merancang untuk mengadakan majlis akad nikah pada lima bulan kemudiannya.
     “ Tulah pasal! Dekat kedai mamak pun kau boleh kaut awek. Bukan sebarang awek pula tuh, awek memang cun punya! So, bakal suami orang ni nak buat apa esok? Ada date ke? “ ujar Zamri sambil mengangkat-angkatkan kening tebalnya. Menduga jawapan yang bakal dituturkan  oleh Syafiq.
     “ Tak ada maknanya nak date. Dua-dua kerja esok! Aku kena hantar Fyza pergi hospital, baru aku pergi kerja.  Dapat student baru, anak buah Abang Lee. “
     “ Oh, okaylah kalau macam tu! Masyuk lagi kau bulan ni. “
     Syafiq hanya mampu tersenyum nipis lalu menyedut air teh ais menggunakan straw yang tersedia. Sekilas Syafiq memandang ke arah Zamri yang mulai leka dengan telefon bimbit yang berada di tangan. Melihat Zamri tersengih-sengih sendiri, Syafiq maklum bahawa rakannya itu sedang saling berbalas mesej dengan kekasih hati. Mana tidaknya, jari-jemari lelaki itu juga laju bermain di skrin sentuh gajet mengalahkan orang yang berzikir dengan tasbih! Hanya gelengan kepala yang mengiringi tingkah Zamri yang asyik bercinta sebelum dia menyeluk sesuatu di poket dan ditatap kejap. Terpampang seraut wajah ayu milik tunangnya, Fyza yang tersenyum manis di skrin utama telefon bimbitnya.

     “ Assalamualaikum “
     Izzyan tersentak. Suara garau yang dipercayai milik seseorang yang akan mengajarnya memandu sudah cukup mendebarkan. Milo suam yang disediakan oleh Mak Ngah dihirupnya selaju-laju yang mampu. Stoking berwarna hitam di dalam laci dicapai sebelum disarungkan ke kakinya. Telefon bimbit berjenama Nokia, dompet, wang saku, botol air dan kad pengenalan dipastikan tersimpan di dalam beg sandang miliknya. Dari kejauhan, suara Mak Ngah nyaring memanggil Izzyan yang terkocoh-kocoh ke muka pintu.
     “ Hah, tengok! Salah siapa yang buat pagi ni kelam-kabut? Mak Ngah dah cakap, tidur awal semalam. Tapi degil! “ Yaniey sudah membebel dengan Izzyan. Dengan gaya seperti berposing, Yaniey selamba menyandarkan tubuh ke pintu sambil berpeluk tubuh. Dia tersenyum kepada seseorang yang merangkap guru memandu yang setia menunggu anak saudaranya yang masih menunduk mengikat tali kasut.
     “ Minta maaflah, Syafiq! Si Izz ni memang macam ni. ‘Dengar kata’ sikit orangnya .. “ Terbatuk Izzyan dengan ‘pujian’ Yaniey. Malulah pula apabila di’puji’ sebegitu di hadapan orang yang baru dia kenali, cukup menggambarkan perangai buruknya. Tak ada dah istilah ‘first expression’! Mak Uda dah awal-awal bagi good first expression bagi pihak aku. Thanks gila, Mak Ngah!
     Kedengaran tawa kecil guru memandunya. Izzyan mengangkat wajah ingin bangkit setelah selesai mengikat tali kasut dengan kemas. Wajah Syafiq singgah di mata. Dan tidak semena-mena, jantungnya berdegup berlainan ritma. Dirasakan darahnya menyerbu ke wajah tatkala terasa panas di muka. Senyuman yang dihadiahkan Syafiq kepadanya benar-benar menusuk ke kalbu. Dia terdiam kaku.
     “ Eh, anak dara seorang ni! Boleh pula berangan depan pintu ni. Cepatlah pergi, Abang Syafiq dah lama tunggu tu! “ arah Yaniey yang melihat keadaan Izzyan masih tercegat dan tidak berganjak.
     “ Shall we? “ Pertanyaan Syafiq menyentak lamunannya. Izzyan tersenyum malu sambil menganggukkan kepala. Dia mula mengatur langkah dan berjalan beriringan dengan Syafiq menuju ke kereta Viva. Sempat Izzyan mengukir senyuman apabila jelas terpampang iklan kelas memandu di badan kereta itu. Akhirnya! Tertunai juga hasratnya untuk belajar memandu. Inilah impian yang sering dia tunggu-tunggu. Niatnya hanya satu, ingin meringankan beban mama. Lebih-lebih lagi, wanita itu juga sering dilihat tidak sihat.
Pitt! Pitt!!
     Syafiq membunyikan hon kepada Yaniey yang masih menunggu pemergian mereka berdua dari tingkat atas lalu kereta dipecut meluncur ke jalan raya. Saat bayang Yaniey hilang dari pandangan, Syafiq bersuara memulakan perbualan. Izzyan masih seperti tadi, berdebar-debar sentiasa.
     “ Awak anak buah Kak Yaniey kan? “
     “ A’ah .. “ Terasa perit di kerongkongnya ingin bersuara. Pandangan terus dilemparkan ke luar cermin tanpa sedikit pun Izzyan menoleh ke arah Syafiq.
     “ Oh, yeke? Mula-mula tadi, saya ingatkan awak ni adik dia. Muka sama sangat, macam adik-beradik. “
     “ Eh, tak adalah! Saya memang anak buah dia. Tak tahu pula yang muka kita orang seiras. “ Izzyan tertawa cuma apabila Syafiq juga tertawa.
     “ Saya dapat tahu daripada Kak Yaniey yang awak ni budak lepasan SPM. So, awak dah plan nak sambung belajar ke mana? Ambil course apa? “
     “ Urm, saya tak pasti lagilah abang. Saya minat sangat nak jadi personal assistant. Bercadang juga nak ambil business study aja. “
     “ Awak kena fikir masak-masak. Jangan tersalah pilih pula. Sekarang ni saingan sengit. Takut apa yang kita plan tak menjadi. “ Syafiq terus-terusan memberikan pendapatnya kepada Izzyan. Dia merasakan bahawa Izzyan perlu bijak mengambil peluang yang terbentang di hadapan mata untuk memiliki karier yang bersesuaian kelak. Lebih-lebih lagi, bilangan pelajar yang memiliki keputusan cemerlang meningkat. Saingan menjadi sengit dalam memperoleh peluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
     Pemandangan di luar kenderaan Viva yang dinaikinya bersama-sama Syafiq lebih menarik perhatian. Izzyan menalakan pandangan ke arah lain selain daripada bertentangan mata dengan Syafiq. Entah mengapa dia berasa sungguh tidak selesa dengan wajah lelaki yang juga merupakan kenalan Pak Ngahnya itu. Hatinya selalu disinggah rasa berdebar yang teramat sehinggakan  dia sendiri sukar mengatur nafas. Demi mengelakkan Syafiq daripada mengesan riak wajahnya yang berubah, Izzyan berkeputusan untuk berbual-bual dengan guru memandunya itu tanpa perlu berhadapan wajah masing-masing.
     Hari itu Syafiqlah yang banyak memulakan perbualan antara mereka berdua. Bermula daripada hal-hal memandu hinggalah topik bertukar kepada perihal yang lebih santai seperti cita-cita sewaktu di bangku sekolah. Terkejut jugalah Izzyan dibuatnya apabila dengan senang hati Syafiq meluahkan keinginan lelaki itu untuk menjadi seorang saintis pada suatu ketika dahulu. Dia juga dapat mengetahui serba sedikit tentang Syafiq. Tidak dia menyangka Syafiq turut sepertinya yang mengambil aliran Sains Tulen. Sekali-sekala terhambur tawa Izzyan dengan lawak bersahaja Syafiq.
     “ Ahad depan awak free? “ tanya Syafiq saat enjin dimatikan setelah kereta Viva milik syarikat memandu diparkirkan. Beg galas dicapai di tempat duduk penumpang bahagian belakang. Izzyan yang duduk bersebelahan dengannya dikerling sekilas.
     “ Urm, insyaallah? Kenapa, abang? “ Tali pinggang keledar ditanggalkan daripada tubuh. Telefon bimbit diseluk dari poket seluarnya.
     “ Awak ada class seterusnya tau. So, on ke? “
     Izzyan mengangkat wajah. Lidahnya terkelu dan bibirnya terkatup rapat tatkala mendapati wajahnya berdekatan dengan wajah Syafiq. Spontan dia menjauhkan diri daripada lelaki itu. Terus memerah pipinya apabila Syafiq merenungnya pelik. Terangkat-angkat kening Syafiq, cukup membuatkan dia seperti mahu melarikan diri dan beredar dari situasi merimaskan itu.
     “ Aaa.. okay! “ Izzyan memberi kata putus seraya punggungnya diangkat kerana tidak betah lagi duduk berlama-lama di situ. Sebelum sempat pintu kereta Viva ditutup, Syafiq mengucapkan terima kasih diiringi dengan senyuman menawannya yang sememangnya telah mencuri sekeping hati milik Izzyan.
     Langkah seribu Izzyan diperhati dengan penuh minat. Ketawa besar Syafiq sendiri melihat tingkah anak murid barunya yang kelam-kabut semacam. Seharian dia merasakan gadis belasan tahun itu tidak senang duduk dengannya. Berdua-duaan dengan dirinya dari pagi hinggalah hari berganjak ke petang. Hendak atau tak, mereka berdua terpaksa berhadapan dengan keadaan dan suasana kekok itu memandangkan pusat belajar memandu jauh dari tempat tinggal mereka.
     Kepalanya digeleng-gelengkan hairan dengan ragam orang. Tidak pernah dia bertemu dengan pelajar seperti Izzyan. Sikap Izzyan yang juga pendiam membuatkan dia berasa kurang gemar dan tidak lagi rasa berkobar-kobar ingin mengajar gadis itu memandu. Kunci pencucuh ditarik dan dimasukkan ke dalam poket baju. Dia keluar dari kereta sambil menggalas begnya menuju ke tangga rumah pangsapuri miliknya. Setibanya dia di hadapan pintu rumah, sempat dia mencuri pandang ke pintu rumah Kak Yaniey dan Abang Lee di tingkat atas. Terbayang wajah Izzyan di ruang minda.
     Buat penat aja aku pot pet, pot pet dengan dia. Dia pula asyik ketawa, bukannya nak layan aku bersembang. Tak syok arhh perempuan macam ni kalau nak dibuat bini. Nasib Fyza tak pendiam macam dia! , getus Syafiq sambil menguak pintu.

     “ Kenapa awak nak jumpa saya tiba-tiba ni? Ada hal penting? “ Terus soalan diajukan oleh Syafiq melihatkan wajah keruh Fyza, buah hatinya. Kerusi plastik ditarik kasar sebelum punggungnya selamat berlabuh. Pelayan restoran dipanggil sebentar dan pesanan dibuat. Syafiq hanya membuat pesanan untuk segelas jus oren bagi membasahkan tekak yang kering sedari tadi memandangkan dia terkocoh-kocoh mendapatkan Fyza.
     “ Kenapa awak lambat? Kerja tak habis lagi ke? Mengajar driving sampai tengah malam? Kuatnya bekerja. “
     “ Fyza, kenapa ni? Asal awak melenting tak tentu pasal? Saya ada buat silap? “ Sedaya-upaya nada suaranya dilembutkan supaya tidak kedengaran kasar di pendengaran Fyza. Syafiq merenung dalam-dalam sepasang mata milik tunangnya yang mulai bergenang. Dia memupuk segala kekuatan bagi memberikannya tenang dan sabar menghadapi masalah yang sedang berlaku dalam perhubungannya dengan si gadis. Gadis pujaan hatinya.
     “ Saya buat silap? Awak tu yang buat silap! Awak belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya awak hanya mampu bekerja sebagai guru memandu aja. Kalau awak nak tahu, ayah saya dah mula mempertikaikan pekerjaan awak. Dia cakap, awak tak mampu tanggung saya bila dah berkeluarga nanti. Saya pun dah cakap dekat awak tentang ni awal-awal kan? Kenapa awak tak cuba cari kerja lain yang lebih elok? “ ujar Fyza sambil mengesat air matanya yang menitis. Jus belimbing yang dipesannya tadi pun tidak berusik kerana sudah hilang selera dengan masalah yang melanda. Pandangan pelanggan-pelanggan lain di restoran tidak diendahkan. Dia mahukan Syafiq bertindak segera jikalau benar lelaki itu ikhlas ingin memperisterikannya.
     Syafiq terdiam. Tidak menyangka perkara ini yang akan diutarakan kembali oleh Fyza. Memang mereka berdua pernah berbincang mengenai perkara ini tetapi dia mengganggapnya sebagai suatu hal yang kecil. Tidak perlu diperbesar-besarkan. Dia percaya bahawa pekerjaannya kini sebagai guru memandu, dia mampu menyara keluarga yang bakal dibina nanti.
     “ Fyza, awak tak percayakan saya? Saya yakin pekerjaan saya ni mampu menyara hidup kita sekeluarga nanti. Rumah dan kereta saya dah beli. Hanya perbelanjaan seharian yang kita akan tanggung. Awak janganlah risau. Saya .. “
     “ Saya apa? Awak tahu kan kawan-kawan saya semuanya berlatar belakangkan keluarga berada. Saya nak cakap apa kalau dia orang tanya saya pekerjaan awak? Nak cakap yang awak ni mengajar orang memandu? “
     “ So, apa salahnya? Kerja tu tetap kerja halal. Saya rasa tiada silapnya dengan kerja tu. Awak aja yang terlalu memilih. Awak malu dengan pekerjaan saya! “ Suaranya mula berubah. Kasar semacam. Dia juga merasakan tangannya menggeletar. Namun, amarahnya cepat-cepat menjadi pudar tatkala Fyza teresak-esak. Syafiq menarik nafas dalam-dalam.
     “ Saya minta maaf. Saya tak bermaksud begitu. Maafkan saya. “ Syafiq meluahkan rasa kesalnya. Tangan kecil Fyza ingin dicapainya tetapi pantas si gadis itu mengelak.
     “ Kita bukan muhrim! “
     “ Maafkan saya sekali lagi. “
     “ Maafkan saya juga. Buat sementara waktu ni, kita jangan berjumpa. Saya nak tenangkan fikiran dan awak pun perlu fikir masak-masak dengan apa yang kita bincangkan ni. “ Wajah yang ditunduk tadi diangkat memandang Syafiq. Fyza bangkit dan mula melangkah. Panggilan Syafiq dibiarkan tidak bersahut. Kakinya terus melangkah meninggalkan Syafiq dengan air mata yang setia mengalir.

     “ Good morning.. “ sapa Syafiq tanpa nada. Matanya tidak menoleh pun ke arah Izzyan yang sudah memboloskan diri ke dalam kereta. Telinganya menangkap suara gemersik Izzyan yang membalas sapaannya. Enjin dihidupkan dan kereta meluncur laju di atas jalan raya.
     Suasana di dalam kereta agak dingin pada pagi itu. Kebiasaannya Syafiq yang ramah menegurnya dan rajin membuka pelbagai topik untuk berbual dengannya. Namun, kedutan yang melatari di dahi Syafiq cukup menunjukkan lelaki itu mengalami masalah. Izzyan menggigit bibir bawah. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Hendak berdiam diri, dia tidak selesa dengan keadaan suram yang mengisi ruang antara mereka berdua. Hendak memulakan perbualan, dia tidak mahir dan takut jikalau perbualan tersebut bakal menimbulkan amarah Syafiq. Izzyan tersepit di antara dua pilihan. Nasib menyebelahinya apabila Syafiq mula berdehem berkali-kali seperti ingin bersuara. Kekok barangkali dengan suasana sepi antara mereka.
     “ Hari ni awak ada satu kelas sebelum dapat lesen L. Fokus betul-betul di dalam kelas. Kalau tak faham, tanya aja penceramah tu. Membazir masa, tenaga dan duit kalau satu hapak pun awak tak faham, tak dapat ilmu yang diberi. “
     Senyuman yang mula terukir di bibir Izzyan terus mati dengan kata-kata Syafiq. Walaupun nasihat yang diberi tetapi dengan nada kasar yang dilontarkan membuatkan Izzyan berjauh hati dengan guru memandunya. Dia mengalihkan pandangan ke arah luar tingkap untuk menyembunyi rasa yang bergelodak di dalam jiwa.
     “ Awak dengar tak apa yang saya cakap? Belajar memandu perlu ada minat dan usaha yang bersungguh-sungguh. Baru memberikan hasil. Kalau tak minat, jangan mengada nak suruh saya ajar. “
     Serasa air mata yang bergenang mahu mengalir tetapi cepat-cepat dikesat dengan sehelai tisu yang dicapai dari dalam beg. Izzyan terus-menerus membuang pandang tanpa berniat untuk memandang Syafiq walau sekilas. Hatinya benar-benar dipagut rasa perit yang menjalar. Hari itu sepi dan dingin sedingin sikap Syafiq terhadapnya.

     Begnya dihempaskan ke sofa berbentuk bulat yang menghiasi rumah pangsapuri milik Pak Ngah dan Mak Ngah. Kaki diatur menuju ke dapur untuk mendapatkan Mak Ngah yang sedang sibuk memasak juadah untuk dihidangkan kepada keluarga. Izzyan mengeluh kuat bagi menarik perhatian ibu saudaranya yang leka dengan aktiviti memasaknya itu. Saat Yaniey menoleh ke arah datangnya bunyian yang kurang enak seperti dengusan kuat, alangkah terkejutnya dia apabila melihat susuk tubuh Izzyan berdiri terpacak di belakangnya.
     “ Astagfirullahalazim! Kau buat apa kat sini Izzyan oii! Terkejut Mak Ngah tau. “
     Api dapur ditutup setelah lauk selesai dimasak. Keadaan dapur yang berselerak dikemas rapi. Sambil membasuh pinggan mangkuk, Yaniey berbual dengan Izzyan yang sudah melabuhkan punggung di kerusi makan yang ditarik ke dapur, berdekatan dengan Mak Ngahnya.
     “ Tak bestlah belajar dengan Cikgu Syaf! Dia .. “ kata-katanya dicelah oleh Yaniey. Izzyan terhenti.
     “ Aik, bila pula panggilan ‘abang’ bertukar ‘cikgu’ ni.. ? Eh, ada hati dengan orang tu ke? “ Mata Izzyan terbeliak luas, manakala Yaniey sudah menjongket-jongketkan keningnya. Sedaya-upaya Izzyan mengawal riak wajahnya agar tidak terlalu jelas pada pandangan Yaniey.
     “ Ada pula cakap macam tu! Mak Ngah, Abang Syafiq tu cikgu Izz. Kenalah hormat sikit, so orang panggillah dia cikgu. Lagipun, budak lain panggil cikgu juga. Nampak pelik pula kalau Izz seorang aja yang panggil dia macam tu. “
     “ Yeke tak ada feelings? Boleh percaya ke? Handsome juga Mak Ngah tengok budak Syafiq tuh! “ Yaniey ketawa mengekeh-kekeh.
     “ Sorry sikit, Mak Ngah! Tak mainlah bercinta dengan cikgu sendiri. Mak Ngah, dengarlah apa orang nak cerita ni! “
     “ Iyalah, iyalah.. “
     “ Macam ni, Abang Syafiq tuh! Entah kenapa tiba-tiba hari ni dia boleh bertukar mood pula. Asyik nak sindir orang aja. Bukan setakat sindir, cakap pun nak berkasar aja. Hari tu bukan main peramah dan gentleman bagai. Hari ni, hancuss! Benganglah, Mak Ngah! Terasa tau bila dia layan orang macam tu. Tapi kan, bila ada dua orang amoi ni masuk aja kereta, puihh meleret kut senyuman dia! Gatal! Pantang tengok perempuan lain sikit. Mak Ngah, dengar tak ni?! “
     “ Ermm.. “
     “ Hih, tak apalah  Mak Ngah. Mak Ngah macam tak nak dengar aja. Baik orang pergi mandi! “
     “ Izz, Izz.. kau suka sebenarnya dengan Syafiq kan? Dah tahap parah ni.. “ Yaniey menggetus dalam hati.

     Bernyanyi kecil Izzyan dalam perjalanan pulang dari kedai Kak Mai yang terletak di seberang jalan. Plastik yang membungkus kuih-muih yang dibeli tadi dijinjit kemas. Langkahnya dipercepat menuju ke tangga pangsapuri. Semasa  kakinya tenang mendaki anak-anak tangga, langkahnya terhenti serta-merta tatkala dia mendengar perbualan antara dua orang. Suara orang-orang tersebut diamati. Dia berjalan perlahan naik ke tingkat atas untuk melihat gerangan dua orang yang jelas sedang bertegang urat. Dia menjadi kaku apabila wajah Syafiq dan Fyza menyapa pandangan.
     “ Kalau awak tak sanggup berkorban untuk saya, macam mana saya nak berkorban untuk awak? “
     “ Fyza, apa yang awak cuba cakap ni? Saya tak faham. “
     “ Jangan nak berdalihlah, Syafiq! Saya nak tanya awak, bila awak nak cari kerja lain? “
     “ Saya masih berusaha. Saya ada minta to.. long.. “ Fyza mencelah terlebih dahulu sehingga Syafiq tidak berpeluang meneruskan kata-katanya. Wajah si tunang diperhati, mahu memupuk kesabaran yang mulai menipis.
     “ Cukuplah, Syafiq! Saya fed up dengan awak.”
     “ Fyza, awak sedar tak apa yang awak cakap ni? “
     “ Saya sedar! Saya muak dengan sikap awak yang sambil lewa. Nampak sangat awak bukan lelaki yang saya cari. “
     “ Fine. Kalau awak fed up dengan saya, saya lagi fed up dengan awak! Awak juga tak pernah nak fahami saya. Saya masih dalam usaha mencari kerja baru tapi awak terlalu mendesak. Saya rimas! “
     Bergema suara keras Syafiq di koridor pangsapuri. Keadaan lengang di kawasan perumahan pada waktu pagi ketika itu memandangkan orang ramai keluar bekerja tidak mampu meredakan suasana tegang yang wujud. Esakan halus Fyza memecah kesunyian. Syafiq hanya mampu melepaskan keluhan berat. Disebalik dinding, Izzyan turut mengalirkan air mata. Untuk sebab apa dia perlu menangis, Izzyan sendiri tidak pasti. Apa yang mampu dikatakan, dia  cukup terkesan dengan pertengkaran yang berlaku tadi.
     “ Fyza.. “ Fyza melarikan diri daripada Syafiq apabila lelaki itu cuba mendekatinya. Dia bangun dan mula melangkah menuruni tangga.
     “ Fyza, jangan buat saya macam ni. Saya minta maaf! “
     “ Jangan ikut saya! “ Pantas kakinya menuruni anak-anak tangga. Air mata yang meleleh dibiarkan membasahi pipi.
     Syafiq berhenti daripada melangkah setelah diberi amaran. Matanya sayu memandang kelibat Fyza yang semakin jauh melangkah dan hilang dari pandangan. Izzyan cepat-cepat mencari tempat persembunyian demi mengelakkan  diri daripada bertembung dengan Syafiq dan Fyza. Namun, kelibat Fyza tanpa Syafiq di sisi yang sudah berada di tingkat bawah menarik perhatian Izzyan. Izzyan laju berjalan menyaingi langkah Fyza untuk berhadapan dengan wanita itu.
     “ Kak Fyza!” jerit Izzyan bagai hendak terkeluar anak tekak meskipun jaraknya dan Fyza tidaklah terlalu jauh.
     “ Awak siapa? “
     “ Saya Izzyan. “
     “ Maaf, saya tak ada masa nak layan awak.. “ Budak perempuan yang menegurnya kala ini benar-benar menguji kesabaran. Entah datang dari mana terus menyapanya, membuatkan Fyza berasa amat jengkel dengan tindakan budak perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Izzyan tersebut.
     “ Saya sukakan Abang Syafiq! “ Pengakuan Izzyan mengejutkan Fyza.
     “ Apa yang awak merepek ni? “
     “ Putuskan hubungan dengan Abang Syafiq! Saya lebih layak untuk dia. Sebab saya cintakan Abang Syafiq! “
     “ Apa? Kau gila ke?! “
     Fyza melenting dengan permintaan yang tidak disangka-sangka itu daripada Izzyan. Bibirnya bergetar menahan perasaan yang bergolak. Berani sungguh gadis muda dihadapannya ini menyuarakan hasrat untuk merampas Syafiq daripadanya. Gadis itu tergamak memintanya memutuskan pertunangan yang terjalin sejak empat bulan yang lalu antaranya dengan Syafiq. Fyza benar-benar terluka dan matanya mula terasa pedih.
     “ Saya minta maaf. Saya betul-betul sayangkan Abang Syafiq.. “ ujar Izzyan dengan lelehan air mata. Terasa dirinya terlalu kejam ketika ini. Tegar sungguh hatinya melukakan hati seorang wanita hanya kerana berebutkan seorang lelaki. Kedua-duanya menagih kasih dan cinta daripada lelaki yang sama. Syafiq.
     Di hujung tangga, Syafiq terpempan. Tubuhnya kaku dan kakinya bagai dipaku ke lantai.
     “ Izzyan! Apa yang kau buat ni?” jerkah Syafiq dengan mata yang terbelalak. Tajam dia merenung seraut wajah milik Izzyan yang basah dengan linangan air mata.

     “ Apa yang Izz dah buat ni? Kenapa Izz bertindak tanpa berfikir dahulu keburukannya? “ Tenang saja Ramlee menuturkan kata-kata. Riak wajahnya juga tenang tanpa sebarang kedutan di dahi. Hanya sabar menanti jawapan daripada Izzyan.
     Namun, sebaliknya bagi Yaniey. Isterinya itu bagai cacing kepanasan kerana asyik berjalan ke hulu, ke hilir. Seperti sudah tidak reti untuk duduk diam. Habis ditawafnya ruang tamu pangsapuri bersaiz sederhana luas yang didiami oleh mereka.
     “ Pak Ngah.. Izz, minta maaf. Izz tak tahu kenapa Izz kejam sangat. Izz, minta maaf. “
     “ Bukan dengan kita orang yang kau perlu minta maaf, Izz. Tapi kepada Syafiq. Disebabkan tindakan melulu kau semalam, budak Syafiq dan Fyza tuh dah putus tunang. Kau tak rasa bersalah ke? “ Yaniey menyuarakan apa yang terbuku di hati sedari tadi. Terluah jua rasa terkilannya kepada Izzyan. Dia akhirnya terduduk di sofa yang berdekatan dengan tempat yang diduduki oleh Izzyan. Jelas wajah anak saudaranya itu yang sembam dan kelihatan tidak terurus dengan lelehan air mata.
     “ Ya, betul cakap Mak Ngah! Izz bodoh sebab bertindak dengan melulu. Izz tak fikir perasaan orang lain. Izz sanggup lakukan apa aja untuk perbetulkan keadaan. Izz janji! “ Izzyan melafaz ikrar dan tekad di hati. Wajah Pak Ngah dan Mak Ngahnya dipandang bersilih ganti. Air mata yang masih mengalir dibiarkan tanpa ada keinginan untuk mengesatnya.

To : Izzyan
From : Cikgu Syafiq
Lesen L kau dah keluar. Nak atau tak, esok aku ajar kau driving. Kalau tak datang, kau yang rugi.
     Izzyan menangis untuk sekian kalinya. Sedih dan terguris hatinya dengan kata-kata Syafiq yang dihantar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke nombor telefon bimbitnya. Bahkan lelaki itu juga sudah membahasakan diri ‘aku kau’ dengannya. Tiada lagi hubungan baik antara guru dan pelajar.
     Dia mengesat air mata yang tumpah. Pad kekunci di telefonnya dipicit-picit untuk membalas mesej daripada Syafiq. Terketar-ketar jarinya menahan sebak yang tak tertanggung. Pilu sungguh rasanya apabila mengetahui seseorang mula membenci dirinya. Benci yang teramat.
To : Cikgu Syafiq
From : Izzyan
Okay. Esok saya turun, tunggu cikgu di koridor.
     Seusai mesej selamat dihantar, Izzyan terus menyembamkan muka ke bantal. Dia menghamburkan air mata yang membawa seribu keperitan. Teresak-esak dia di katil keseorangan. Adik-adik saudaranya juga bagai memahami apabila mereka turut memberikan dirinya ruang untuk bersendirian dan enggan untuk diganggu. Pak Ngah dan Mak Ngah pula sentiasa meredakan perasaannya dengan meniupkan kata-kata semangat. Namun, air matanya tetap tidak berhenti mengalir. Hati tetap berasa pedih mengenangkan kembali perbuatannya sendiri. Aku patut dihukum! Ya, dihukum kerana meretakkan hubungan kasih yang terjalin antara dua jiwa.

     “ Berapa kali aku dah cakap, kawal stereng elok-elok! Takkan tuh pun tak boleh buat. “ Suara kasar Syafiq menampar gegendang telinga. Izzyan menoleh sekilas ke arah lelaki itu yang sudah memeluk tubuh di tempat duduk penumpang. Wajahnya masam mencuka dengan seribu kerutan di dahi.
     Berderau darahnya melihat kenderaan-kenderaan lain yang memecut laju di atas jalan raya. Namun, Izzyan gagahi jua dirinya untuk memandu kereta seperti yang ditunjuk ajar oleh Syafiq. Genggaman tangannya di stereng semakin kuat. Antara rasa gemuruh, takut dan sedih yang bercampur-baur membuatkannya ingin menangis saat itu.
     Apabila Izzyan pasti bahawa kereta yang dipandu dapat dikawal dengan baik, sekali lagi dia mengalih pandang ke arah Syafiq yang berada di sebelah. Serta-merta degupan jantungnya bagai terhenti tatkala mereka bertentang mata. Saat dia mencuri pandang seraut wajah yang mula mendapat tempat di hati, si empunya juga sedang merenungnya tajam. Pantas perhatian ditumpukan kembali terhadap pemanduan.
     “ Dah, berhenti di tepi! Cukup untuk hari ni. Bagi aku drive. “Arahan Syafiq itu Izzyan patuh. Segera dia memberhentikan kereta di bahu jalan raya. Izzyan dan Syafiq menukar tempat duduk. Setelah masing-masing siap mengenakan tali pinggang keselamatan, kereta dipecut laju membelah kepekatan malam.
     Perjalanan balik ke rumah terasa begitu jauh dan memakan masa yang lama. Celoteh DJ radio di siaran RedFM tidak mampu memecah kesunyian di dalam kereta. Suasana menjadi terus dingin tanpa sesiapa yang bersuara. Entah mengapa Izzyan merasakan pendingin hawa yang dipasang benar-benar membuatkannya kesejukan. Dia menggenggam jari-jemarinya.
     Syafiq dilihat terus-menerus membisu. Sedari tadi lelaki itu tidak berkutik terhadap pemanduan. Pandangan lelaki itu juga hanya dihalakan ke arah jalan raya. Izzyan diasak rasa bersalah. Kedua-dua matanya dipejam kejap agar kekuatan dapat dia peroleh untuk berhadapan dengan Syafiq.
     “ Cikgu, saya minta maaf. Memang saya yang bersalah. Saya yang kejam! “
     Syafiq memandang Izzyan sekilas sebelum dia tersenyum sinis.
     “ Aku ingatkan kau tak sedar yang kau tu kejam. “
     “ Saya sanggup buat apa aja untuk pulihkan balik hubungan cikgu dengan Kak Fyza. Saya janji! Tolong maafkan saya.. “
     “ Tak payahlah kau nak menangis bagai. Aku dah muak dengan lakonan kau! “
     “ Cikgu, saya.. “
     “ Cukup! Kenapa dari dulu kau tak fikir baik buruk tindakan bodoh kau ni? Kenapa kau tak fikir hati siapa yang akan terluka? Ada kau fikir semua tu? Tak! Sebab apa? Sebab kau perempuan murahan! Memang awal-awal lagi kau berniat untuk pisahkan aku dan Fyza. Tak pernah aku jumpa budak perempuan belasan tahun yang perangai busuk macam kau! Kau memang tak sedar diri. Kau baru aja lepas SPM, tapi kau dah menggatal dan tergamak hancurkan hubungan orang lain. Kau.. kau memang teruk! “ ujar Syafiq dengan mata yang merah menyala menahan amarah. Stereng kereta dihentak-hentak melepaskan geram.
     “ Saya.. saya.. minta maaf.. “ Izzyan masih menagih kemaafan daripada Syafiq dengan suara yang tersekat-sekat. Tidak dapat dia menahan tangis yang semakin menjadi-jadi. Dia merasakan dirinya terlalu hina di mata Syafiq. Seluruh tubuhnya menggigil dengan kesedihan yang membelenggu diri. Air mata semakin lebat. Habis lencun selendang yang melilit kepala.
     “ Diam!! “ Pedal minyak ditekan kasar. Terus kereta dipecut dengan had laju pada tahap yang berbahaya.

     “ Fuhh, aku punyalah ingatkan yang kau tak boleh lafaz akad tadi! Nasib kali kedua kau lepas. Aku pula yang berpeluh tengok kau tergagap-gagap. Wei, bro! Awat muka macam ayam terberak kapur nih?! “ Beriya-iya Zamri mentertawakan Syafiq yang lengkap berpakaian baju Melayu serba putih krim. Terbatuk-batuk jugalah dia dibuatnya kerana kuat ketawa. Hah, semput!
     Melihat wajah cemberut Syafiq yang amat melucukan, hatinya digeletek kegelian. Setelah nafasnya kembali teratur, Zamri menelek sekilas penampilan rakan sekerjanya itu pada hari pernikahan. Syafiq jelas kelihatan kemas dan kacak dengan baju yang dikenakan dan bersesuaian dengan warna kulitnya yang cerah. Tubuh lelaki itu yang sasa dan tegap juga menjadi salah satu tarikan pada Syafiq. Zamri hanya mampu tersenyum.
     “ Entahlah. Aku tak tahu dengan perasaan aku sendiri. Sepatutnya pengantin perempuan tu, Fyza yang.. “
     “ Ish, kau ni! Kalau dengar dek bini kau tu, tak ke terasa dia? Macam nilah, kawan. Kau kena percaya pada takdir Tuhan. Dia memang jodoh kau dan dia jugalah yang ditakdirkan untuk bersama-sama kau. Tak payah nak serabutkan kepala dengan benda lain. “
     “ Zamri, kau takkan faham masalah aku. “
     “ Yes, definitely! Sebab aku tak berada di tempat kau. Tapi, kau dah pun lafaz akad. Tak boleh nak patah balik dah, bro! Hubungan kau orang berdua dah sah di sisi agama dan undang-undang. Berdosa kalau kau abaikan tanggungjawab. Cuba belajar sayangkan dia. Slow-slow and steady. Insyaallah, menjadi punya! “ Zamri mengenyitkan matanya kepada Syafiq sambil menyambung tawanya. Bahu Syafiq ditepuk-tepuk perlahan. Syafiq tersenyum pahit.

     “ Wei, budak! Kau nak letak barang tu kat mana? Letaklah di dapur. Pergi bawa ke ruang tamu, buat apa? “ jerit Syafiq memarahi Izzyan yang laju menonong ke ruang tamu sambil menjinjit beg plastik berisi barang-barang dapur. Langkah gadis itu yang menapak di ruang tamu serta-merta terhenti mendengarkan sergahan Syafiq. Ish, terkejut aku! Nasib baiklah tak tercampak barang-barang ni.
     Izzyan menoleh ke belakang mencari seraut wajah Syafiq yang tercegat di dapur. Pandangan tajam lelaki itu tidak dihiraukan. Dengan selamba dia mengatur langkah ke dapur dengan beg-beg plastik tadi. Saat mereka berdua berselisih bahu di dapur, panas telinga Izzyan dengan sindiran Syafiq yang cukup sinis!   
     “ Kau memang budak tau! Yang pergi bawanya barang dapur tu ke ruang tamu buat apa? Kalau sofa aku berbau ikan, siap kau aku kerjakan! “
     “ Eleh, cikgu nak buat apa dengan saya? Buatlah! Tak kisah pun.. uweek! “ Izzyan menjelirkan lidah kepada Syafiq. Melihat wajah suaminya yang terpempan dengan tindakan berani matinya, dia berasa puas hati! Hehehe.. padan muka. Geram tau!

     Ternganga mulut Syafiq dengan hidangan makan malam yang disediakan oleh Izzyan. Seperiuk maggi kari yang berisi bebola ikan dan telur. Satu jag air sirap bandung juga disediakan khas untuk suami tercinta. Hehe.
     “ Dah, duduklah. Tak nak makan ke? “
     “ Ni aja kau masak? Wei, aku nak makan nasilah! Lapar kut.. “
     “ Cikgu, saya mana reti masak. Buat maggi ni, pandailah. “
     “ Ish, sebab tulah aku tak nak kahwin dengan kau! Aku dah agak mesti jadi macam ni. Arghh, kalau Fyza, confirm dia masak sedap-sedap untuk aku.. “ keluh Syafiq dengan muka sememeh.
     Aku? Mestilah aku tersentap. Boleh dia bandingkan aku dengan Kak Fyza? Kejam! Umur aku baru aja nak masuk 19 tahun, agak-agaklah kalau expect aku pandai masak pun. Muka Izzyan berubah. Mungkin macam cempedak busuk barangkali. Terasa dengan kata-kata Syafiq. Dia terdiam seketika sebelum dia berusaha menceriakan suasana kembali.
     “ Alah, Kak Fyza lain! Dia memanglah superb memasak. Saya lain. Special sikit. Okay.. okay. Nanti saya belajar memasak tapi kita makan maggi untuk malam ni eh? Eh? Cikgu.. boleh eh? “
     “ Hurm.. yelah. Yelah.. “ Dengan muka pasrah, Syafiq mencedok maggi kari yang berasap-asap ke dalam mangkuknya. Sudu dan garpu diambil. Segelas air sirap bandung juga dibawa bersama-sama. Syafiq berjalan menuju ke ruang tamu dan mengambil tempat duduk di hadapan televisyen.
     Izzyan masih di dapur. Menenangkan hati yang terusik. Tiba-tiba, dia tersentak dengan suara garau milik Syafiq dari ruang tamu.
     “ Wei, kau tak nak makan ke? “
     “ Makanlah dulu! Kejap lagi saya makan. “
     Kepala paip di sinki dipulas. Air dibiarkan keluar membuak-buak sambil air matanya terhambur deras. Bunyi air yang kuat menghalang daripada tangisannya kedengaran. Izzyan menangis sepuas-puasnya.

     “ Kenapa kau tak beritahu aku yang kau dapat tawaran tu? “ tanya Syafiq kasar sambil mencekak pinggang. Dia tidak lagi menghiraukan kesibukan Izzyan yang sedang memasak. Dengan tangan yang masih memegang sudip, Izzyan melemparkan pandangan ke arah suaminya.
     “ Tawaran apa pula ni? “
     “ Tak payah pura-pura tak tahu eh! Kau tahu maksud aku kan? “
     Api dapur dipadam. Lauk yang sudah siap dimasak dihidangkan di atas pinggan. Izzyan berlalu meninggalkan Syafiq menuju ke ruang meja makan.
     “ Aku tanya kau, jawablah! “ jerkah Syafiq sekali gus mematikan tingkah Izzyan.
     “ Saya.. saya tak ada hati nak pergi.. “
     “ Apa maksud kau? “
     “ Ya.. iyalah! Habis tuh siapa yang akan jaga minum, makan dan pakai cikgu? Kan tanggungjawab saya untuk sediakan semua tu. Kalau saya sambung belajar, saya dah tak ada kekangan masa. “
     “ Ooo.. jadi, kau tak nak sambung belajar sebab risaukan makan, pakai aku tak terjaga? Macam tu? “
     Izzyan terdiam. Mata Syafiq mencerlung tajam memandangnya yang terkulat-kulat.
     “ Tak payah mengarut! Pergi sambung belajar. Kau muda lagi. Peluang kau banyak untuk berjaya. “ Suaranya mulai kendur. Matanya juga perlahan-lahan menjadi layu. Syafiq melabuhkan punggungnya di atas salah sebuah kerusi makan yang berdekatan.
     “ Tapi.. “
     “ Tak ada tapi, tapi. Aku kata sambung belajar, kau kena sambung belajar. Pandai-pandailah aku jaga diri. Aku dah besar panjang pun. Tak perlu risau sangatlah! Kau ada atau tak, sama aja. Tak ada beza. “

3 tahun kemudian..
     Kopi panas yang terhidang tidak berusik. Berkepul-kepul asap daripada minuman tersebut. Suasana dingin di luar tingkap kaca kafe terus menenggelamkan Syafiq dalam lamunan ciptaannya. Dia berkhayal melihat titik-titik hujan yang menitis dan membasahi bumi. Hujan yang turun dengan lebat mendesaknya untuk singgah di sebuah kafe berdekatan. Tersentak seketika tatkala bahunya disentuh lembut oleh seseorang. Wajah dipalingkan untuk melihat gerangan yang menyapanya. Syafiq terlopong.
     “ K..kau.. Bila kau balik? Macam mana kau tahu aku dekat sini? “
     “ Assalamualaikum, abang. Sihat? “ Tangan sasa milik Syafiq dicapai lalu disalaminya. Izzyan tunduk mengucup lembut tangan kekar sang suami yang dirinduinya. Wajah Syafiq ditenung untuk seketika. Melepaskan rindu.
     Terusik hati kerasnya apabila diperlakukan sebegitu oleh Izzyan. Spontan dia mengusap kepala si isteri yang dilitupi sehelai selendang berwarna merah hati dengan dada yang lapang. Saat Izzyan ingin melepaskan genggaman tangannya, cepat-cepat Syafiq menarik tangan gadis itu dan dipegang kejap.
     “ Kau.. balik terus ke? “
     Izzyan mengganguk-anggukkan kepala sambil tersenyum nipis.
     “ Betul kau tak pergi lagi .. dan tinggalkan aku? “
     Sekali lagi Izzyan menganggukkan kepala. Air mata mula bergenang di tubir mata.
     “ Dan kalau pun kau nak pergi, aku takkan benarkan. Faham? “
     “ Faham.. “ ujar Izzyan dengan lelehan air mata. Tangisannya semakin menjadi-jadi apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Syafiq. Adegan itu berlaku di hadapan pengunjung kafe yang lain. Babak ‘drama’ antara dirinya dan suami dipertonton di khalayak ramai.
     Dapat Izzyan merasakan pipinya yang mula memerah ekoran banyak mata yang memandang. Syafiq yang seperti memahami keadaan tersebut terus menariknya menuju ke ruang yang menempatkan tangga kecemasan. Jauh daripada pandangan ramai. Suasana kafe yang hingar-bingar tadi bertukar menjadi suasana sepi kerana mereka berada di kawasan yang sememangnya sunyi dan tidak mempunyai kehadiran sesiapa. Hanya dia dan Syafiq.
     Gulp!
    Air liur ditelan kesat. Seluruh tubuh Izzyan menjadi sejuk tidak semena-mena. Meremang bulu romanya tatkala tangan sasa milik Syafiq sudah menjalar di sekitar pinggang. Syafiq menarik tubuh Izzyan supaya mendekatinya. Pelukannya ternyata erat dan kemas. Wajah mereka terlalu hampir sehingga hidung mereka bertemu. Renungan menggoda dihadiahkan untuk isteri tercinta. Isteri yang dirindui dalam diam-diam sejak 3 tahun yang lalu.
     “ Kau.. milik aku. “
     “ Saya minta maaf.. Tentang dulu.. “
     Chupp!!
     Bibir merekah Izzyan dikucup lembut oleh Syafiq. Izzyan terpempan.
     “ Sebut lagi pasal dulu, bibir tu jadi mangsa.. “ Syafiq senyum meleret. Melihat Izzyan yang merenung ke lantai, jari-jemarinya mengangkat dagu isterinya supaya mendongak. Mereka bertentangan mata.
     “ Hal dulu, biarkan berlalu. Dah lama aku maafkan. Aku pun minta maaf atas kesalahan aku. Aku cintakan kau.. “
     “ Saya pun.. “
     Izzyan dan Syafiq berbalas senyuman. Genggaman tangan mereka diperkemas. Untuk seketika, terletus tawa mereka mengenangkan kembali memori kisah cinta semalam.
TAMAT
    


     

No comments:

Post a Comment